Ada segelintir golongan di dalam masyarakat Malaysia hari ini seringkali melabelkan yang masyarakat pribumi Dayak Borneo adalah mereka yang tidak bertamadun suatu waktu dahulu. Dan mereka juga sering mengatakan bahawa hanya kedatangan bangsa Eropah ke bumi Borneo barulah bangsa-bangsa di Borneo itu bertamadun.

Itulah kenyataan pahit yang harus ditelan oleh rata-rata masyarakat pribumi Borneo sedangkan hakikatnya mereka tidak tahu bahawa masyarakat pribumi Borneo juga telah lebih bertamadun dengan adanya ciptaan sistem tulisan tersendiri. Sejarah ini sememangnya amat kurang pendedahannya tapi itulah realitinya yang harus diketahui oleh semua rakyat di Malaysia ini. Merendah-rendahkan tamadun bangsa orang lain demi survival tamadun bangsa sendiri adalah umpama perbuatan “membaling batu sembunyi tangan”.

Untuk kesekian kalinya, Kami akan memaparkan satu lagi sejarah ketamadunan masyarakat Dayak Borneo iaitu satu bukti yang cukup untuk mengatakan bahawa masyarakat Dayak Borneo adalah mereka yang lebih bertamadun sejajar dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Sistem Tulisan Iban “Papan Turai” itulah tajuk artikel daripada Kami pada kali ini. Mungkin ramai rakyat Malaysia malah rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui kewujudan sistem tulisan ini kerana ianya tidak begitu didedahkan buat ruang informasi rakyat Malaysia sendiri.

Untuk penjelasan lebih terperinci sistem tulisan yang dinamakan Turai ini adalah sejenis tulisan yang dimulakan oleh etnik Iban iaitu etnik majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Ianya adalah satu tulisan yang bercorak yang ditulis di atas kepingan papan oleh lemambang iban iaitu penyair iban yang mengisahkan saga para dewa sewaktu musim perayaan penting bagi masyarakat Iban.

Bentuk tulisan ini boleh mengambarkan secara tepat susur galur keturunan selama 15 generasi atau lebih. Dan yang lebih mengagumkan turai ini mampu mengaitkan dengan tempat sebenar dan kejadian sesuatu yang terjadi ke atas masyarakat Iban dahulu. Inilah kehebatan sistem tulisan Iban “Papan Turai” yang menjadikan ianya bukti bahawa tamadun etnik Iban yang mewakili masyarakat pribumi Dayak Borneo adalah duduk sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Walaupun hakikatnya penggunaan papan turai ini hanya terhad di dalam pembelajaran puisi ritual seperti “tusut”, “pengap” dan “sabak” kerana mantera-mantera yang digunapakai oleh lemambang itu panjang serta begitu khusus pengungkapannya dan ianya tidak boleh diingati hanya sebegitu sahaja. Jadi apabila adanya etnik Iban terdahulu yang mampu memperterjemahkannya di dalam bentuk tulisan bercorak maka ianya juga adalah satu bukti ketamadunan masyarakat Iban itu sendiri.

Sejajar dengan waktu, jika dahulunya Turai hanya di dalam bentuk puisi lemambang namun pada awal 1960an telah ada usaha daripada anak Iban iaitu Dunging anak Gunggu yang telah membuat penambahbaikan kepada sistem tulisan Turai ini dengan membuat penambahan pada 77 karekternya. Daripada jumlah 77 buah karekter itu beliau telah mampu menyingkirkan beberapa karektor atau simbol yang berulang-ulang dan menjadikannya kepada 59 karekter tetap.

Kemudian usaha Dunging tidak terhenti disitu sahaja apabila sistem tulisan Turai ini telah dilangsungkan oleh Dr Bromeley Philip yang merupakan seorang Pensyarah Linguistik Universiti Teknologi Mara Sarawak yang telah berganding bahu mengajarnya untuk diketahui oleh pelajar-pelajar linguistik di Sarawak.

Hasil usaha beliau juga dengan kerjasama daripada sebuah syarikat “Linguistic;s Software” dari Edmons, Washington DC, United States of America, huruf Iban Dunging yang dikenali dengan nama “LaserIban” kini boleh didapati dalam bentuk perisian untuk dipasang pada komputer. Sistem tulisan ini boleh ditaip menggunakan komputer seperti tulisan Cina, Jawi dan Roman. Perisian Font ini sesuai digunakan dengan sistem operasi komputer seperti Microsoft Windows dan AppleMac.

Seorang pakar pengkaji bahasa yang terkenal didunia iaitu Professor Derek Freeman ada menyatakan bahawa Iban “The Master of Language” kerana apa yang diperkatakan oleh beliau adalah bagaimana etnik Iban mempunyai kepandaian di dalam penggunaan bahasa iaitu dengan penyusunan ayat serta bijak berpuisi mengikut rima yang menarik dan ianya adalah setanding dengan prosa kata yang digunakan di dalam Bahasa Inggeris maka kenyataan beliau itu tidak boleh disangkal sama sekali. Ini kerana “Papan Turai” itu sendiri sudah cukup membuktikan bahawa tamadun etnik Iban itu telah melangkaui batas waktu.

Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba mengenali satu sistem tulisan Iban yang dikenali dengan nama “Papan Turai”. Mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan sistem tulisan iban ini dan sekarang ianya juga boleh didapati di dalam aplikasi komputer melalui apa yang di”improvise” oleh Dunging anak Gunggu.

#KamekSayangSarawakBah!

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply