Tidak banyak maklumat yang dapat diperoleh tentang kehidupan awal seorang tokoh yang jarang didengari namanya ini, beliau adalah seorang panglima dari Kesultanan Delhi yang dikenali sebagai Malik Hizabruddin ‘Zafar Khan’.

Kesukaran mencari maklumat terperinci dalam bahasa Inggeris adalah berikutan dakwaan sejarawan bahawa namanya telah dipadam terus dari sejarah India dan terdapat beberapa figura sejarah politik lain dengan nama gelaran yang serupa iaitu “Zafar Khan”.

Menurut penulis kronikel abad ke-15, Yahya Ibn Ahmed Sirhindi, nama asli Zafar Khan adalah Yusuf, dan dia merupakan anak kepada adik perempuan Alauddin Khilji, pemerintah teragung Kesultanan Delhi. Namun berdasarkan catatan kronikel abad ke-16 oleh Abd al-Qadir Bada’uni, beliau memanggilnya sebagai Badruddin dan bukan Hizabruddin. Kini dia terus dikenali dengan nama gelarannya, Zafar Khan.

(Jangan keliru dengan Zafar Khan yang lain kerana dalam sejarah Islam di India terdapat beberapa orang lagi tokoh dari sekecil-kecil hamba hinggalah sebesar-besar Sultan yang memiliki gelaran Zafar Khan)

Zafar Khan telah memimpin pasukan tentera Sultan Alauddin Khilji semenjak Alauddin belum menaiki takhta sebagai Sultan Delhi lagi. Selepas Alauddin membun*h bapa saudaranya, Jalal-ud-din Khilji yang juga merupakan pemerintah terdahulu di Kara, Zafar Khan mengetuai salah satu daripada dua kontinjen Alauddin mara ke Delhi.

Kontinjen pertama diketuai oleh Alauddin dan Nusrat Khan;  Zafar Khan mengetuai kontinjen kedua yang tiba di Delhi melalui Koil (Aligarh moden).

Selepas mengambil alih takhta di Delhi, Alauddin Khilji melantik Zafar Khan sebagai Ariz-i-Mumalik (Menteri Per*ng).

Selaku pembantu Alauddin sejak tempoh terakhirnya sebagai gabenor Kara, Zafar Khan mengetuai sebahagian besar tentera Alauddin dari Kara ke Delhi selepas Alauddin membun*h Jalaluddin sebelum itu pada tahun 1296.

Turut bersama beliau adalah adik Sultan Alauddin, Almas Beg atau lebih dikenali dengan gelaran Ulugh Khan (yang ini pun jangan keliru dengan Ulugh Beg atau Muhammad Tughluq sebab Ulugh Khan juga adalah gelaran khas), dia mengetuai tentera yang menceroboh Multan bagi menghapuskan saki baki anggota keluarga Jalaluddin Khilji yang masih hidup.

Jalal-ud-din Khilji

Zafar Khan, bersama Ulugh Khan, turut mengetuai tentera Delhi yang berjaya menundukkan pencerobohan Mongol Chagatai di Jaran Manjur pada tahun 1298. Setelah melepasi tahun itu, Alauddin mengirim Zafar Khan untuk menawan semula Sivistan, yang telah diduduki oleh penceroboh Mongol.

Zafar Khan mengalahkan penceroboh dengan memperolehi kemenangan besar, dan membawa pemimpin dan panglima musuh ke Delhi sebagai tawanan per*ng.

Pada tahun 1299, dia terbun*h dalam Pertemp*ran Kili melawan penceroboh Mongol yang diketuai oleh Qutlugh Khwaja. Sebelum terbun*h, dia masih berupaya meninggalkan kesan yang parah terhadap Mongol, angka k*rban lebih tinggi di pihak Mongol akibat ser*ngan Zafar Khan, lalu ia menjadi salah satu faktor penting dalam pengunduran Mongol yang berikutnya.

Namun malangnya, legasi Zafar Khan tidak pernah diiktiraf dalam kronikel sejarah Kesultanan Delhi, kerana tindakan terakhirnya itu tidak mematuhi perintah Alauddin Khilji dengan membuat keputusan sendiri menyer*ng Mongol semasa pertemp*ran.

Walau bagaimana pun kita akan membaca sedikit sebanyak kisah-kisah kegemilangan panglima Kesultanan Delhi yang tidak dihargai ini memandangkan agak jarang nama beliau disebutkan dalam lipatan sejarah. Kita mulakan dengan penglibatan beliau dalam kempen-kempen meluaskan pengaruh Sultan Alauddin Khilji dan penentangan terhadap Mongol.

PENGEPUNGAN MULTAN

Pada November 1296, pemerintah Kesultanan Delhi yang baru menaiki takhta, Sultan Alauddin Khalji melancarkan satu ekspedisi untuk menakl*ki Multan. Tujuannya adalah untuk menghapuskan sepenuhnya saki baki anggota keluarga bekas pemerintah Delhi, Jalal-ud-din Khilji yang masih hidup. Jalal-ud-din juga merupakan bapa saudara kepada Alauddin.

Walaupun Jalal-ud-din Khilji telah dibun*h dalam perebutan takhta Kesultanan Delhi itu. Namun wilayah Multan masih diperintah oleh putera sulungnya iaitu Arkali Khan.

Dua panglima Alauddin, Ulugh Khan dan Zafar Khan mengepung Multan selama dua bulan. Mereka berjaya menguasai kubu kota setelah beberapa pegawai Arkali Khan membelot ke pihak mereka. Anggota keluarga Jalal-ud-din yang masih hidup dipenjara, beberapa orang dari mereka samada dicacatkan atau dibun*h.

Ketika itu Alauddin tidak memimpin ekspedisi ke Multan, kerana beliau perlu untuk kekal berada di Delhi bagi mengawal takhta yang baru didudukinya. Bala tentera yang diketuai oleh Ulugh Khan dan Zafar Khan ke Multan pada bulan November 1296 berjumlah kira-kira 30,000-40,000 orang tentera, melakukan kepungan setelah tiba ke kota tersebut.

Keluasan wilayah Kesultanan Delhi era Sultan Alauddin Khilji ditandakan dalam warna hijau

Arkali Khan telah menjangkakan pencerobohan Alauddin, dan bersiap sedia untuk menghadapi pengepungan. Walau bagaimanapun, selepas dua bulan dikepung, kotwal (komander kubu) dan beberapa pemimpin masyarakat mulai yakin bahawa pasukan Alauddin akhirnya akan menang. Oleh itu, mereka memutuskan untuk mengkhianati Arkali Khan, dan pergi menyertai pasukan Alauddin.

Arkali Khan yang kecewa dengan pengkhianatan itu kemudian memohon bantuan Sheikh Ruknuddin, yang bertanggungjawab mengatur gencatan senjata antara pihak-pihak yang berper*ng.

Sheikh Ruknuddin membawa Arkali Khan dan adiknya Ruqnuddin Ibrahim ke kem Ulugh Khan. Ulugh Khan dan Zafar Khan menyambut kunjungan mereka dengan hormat. Atas permintaan Sheikh Ruknuddin, panglima Alauddin Khilji itu berjanji tidak akan menganiaya pihak yang kalah.

Walau bagaimanapun, mereka sebaliknya tidak menepati janji mereka selepas menduduki Multan. Keluarga Jalal-ud-din dan setiap golongan bangsawan yang menyokong mereka semuanya dipenjarakan.

PERTEMP*RAN JARAN-MANJUR

Pada musim sejuk 1297-98, Chagatai Duwa, pemerintah Mongol di Chagatai Khanate, melancarkan ekspedisi memer*ngi Kesultanan Delhi. Tentera Mongol dipimpin oleh Kadar Noyan, menjarah wilayah Punjab, kemudian menuju ke Kasur.

Menurut penulis dan pemikir politik Kesultanan Delhi, Ziauddin Barani, Alauddin juga menghantar Ulugh Khan dan Zafar Khan untuk memantau ser*ngan Mongol.

Pencatat rekod rasmi Alauddin Khilji, Amir Khusrau memadamkan nama Zafar Khan, tetapi Barani mungkin betul. Berikutan nama Zafar Khan tidak dimasukkan ke dalam kronikel rasmi dinasti itu kerana Alauddin dikatakan marah dengan ketidakpatuhan Zafar Khan semasa Pertemp*ran Kili walaupun Zafar Khan sendiri terk*rban.

Berbalik pada ser*ngan Mongol, tentera Delhi berjaya menewaskan Mongol pada 6 Februari 1298 di Jaran-Manjur, sebuah tempat yang terletak di tebing Sungai Sutlej. Menurut Amir Khusrau, seramai 20,000 orang tentera Mongol terbun*h dalam pertemp*ran itu.

PENGEPUNGAN SIVISTAN

Zafar Khan kemudiannya berkhidmat untuk Alauddin sebagai gabenor Samana di wilayah Punjab. Pada tahun 1298-99, sepasukan tentera Mongol yang menjadi pelarian Neguderi diketuai oleh Saldi menyer*ng Sindh dan menduduki kubu Sivistan. Peristiwa ini dikenali sebagai Pencerobohan Mongol ke atas Sindh.

Pada saat genting ini, secara kebetulan sebahagian besar tentera Alauddin telah dipindahkan ke Gujarat di bawah Ulugh Khan dan Nusrat Khan. Dalam ketiadaan mereka, Alauddin menghantar Zafar Khan untuk menawan semula Sivistan dari Mongol.

Walaupun dihujani tembakan anak panah dari Mongol dan tidak membawa sebarang jentera pemusnah kubu, tentera Zafar Khan berjaya menawan kembali kubu tersebut hanya dengan menggunakan senjata jarak dekat seperti kapak, pedang, lembing, dan tombak. Zafar Khan menangkap Saldi dan askar-askar Mongol yang lain untuk dibawa ke Delhi sebagai tahanan. Zafar Khan kemudian diamanahkan untuk mengawal Sivistan.

Kemenangan itu meningkatkan reputasi Zafar Khan sebagai panglima yang cemerlang. Menurut dakwaan Ziauddin Barani, Alauddin Khilji pernah terfikir untuk memulakan kultus atau ‘agama’ baru seperti Islam yang lahir selepas Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT.

Beliau membandingkan empat panglimanya yang berani dan setia (Alp Khan, Nusrat Khan, Ulugh Khan, dan Zafar Khan) dengan para sahabat Nabi ketika zaman Khilafah Rashidun iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali. Namun dakwaan ini disanggah oleh sejarawan India, Banarsi Prasad Saksena.

Barani juga menyatakan bahawa kejayaan Zafar Khan di Sivistan membuatkan Alauddin dan adiknya Ulugh Khan tidak senang duduk. Menurut Barani lagi, Alauddin bercadang untuk menghantar Zafar Khan jauh dari Delhi dengan memerintahkannya untuk menakl*ki dan mengawal Bengal.

Barani juga mendakwa bahawa Alauddin dan Ulugh Khan membuat perancangan untuk membutakan atau meracuni Zafar Khan. Banarsi Prasad Saksena turut meragui kebenaran dakwaan Barani ini.

PERTEMP*RAN KILI

Pada tahun 1299, tentera Mongol Chagatai Khanate, yang diketuai oleh putera Qutlugh Khwaja, menceroboh dan menyer*ng India. Sebagai gabenor Samana, Zafar Khan cuba mencabar mereka untuk bertemp*r ketika mereka melintasi Punjab, tetapi Qutlugh Khwaja menolak tawaran itu dengan alasan bahawa “raja hanya akan bertarung dengan raja”. Beliau memberitahu Zafar Khan supaya bertemp*r di bawah panji Sultan Alauddin Khilji di Delhi.

Mongol mendirikan kem di Kili yang tidak jauh dari Delhi, dan Alauddin secara peribadi mengetuai pasukan tentera bagi menentang pencerobohan Mongol. Manakala Zafar Khan ditugaskan mengetuai sayap kanan tentera Delhi, yang dibantu oleh para pahlawan Hindu. Beliau adalah salah seorang daripada lima ketua kontinjen pasukan tentera Delhi; empat lagi ialah Nusrat Khan, Akat Khan, Ulugh Khan, dan Alauddin Khilji sendiri.

Strategi Alauddin adalah untuk melengah-lengahkan pertemp*ran, kerana dia mengharapkan ketibaan bala bantuan tentera kerajaan kecil dari wilayah-wilayah dibawah pemerintahannya yang terdekat, dan berharap supaya kekurangan bekalan dan sumber makanan akan memaksa pasukan Mongol untuk berundur dengan sendirinya.

Dia memerintahkan para panglimanya supaya tidak bertindak tanpa perintahnya, akan tetapi Zafar Khan telah melanggar arahan ini, beliau bertindak menyer*ng salah satu kontinjen Mongol.

Seperti biasa, Mongol mempraktikkan strategi lazim mereka iaitu berpura-pura berundur bagi mengumpan Zafar Khan dan pasukan berkudanya supaya terpicu lalu mengejar mereka hingga ke satu lokasi terpencil.

Setelah jauh mereka mengejar, Zafar Khan baru menyedari bahawa unit infantrinya telah jauh ditinggalkan di belakang, dan dia hanya tinggal bersama-sama 1,000 penunggang kuda yang masih ada. Kontinjen Mongol yang lain telah menyekat laluan kembali mereka ke kem di Delhi.

Memahami bahawa diri mereka dalam keadaan yang tersepit, Zafar Khan dan rakan-rakannya memutuskan bahawa adalah mustahil untuk kembali ke kem Delhi, dan jika berjaya sekali pun, Alauddin Khilji tetap akan menghukum mereka kerana ketidakpatuhan dan tindakan melarikan diri adalah tindakan pengecut.

Oleh itu, mereka memutuskan untuk mati berjuang. Menurut Tarikh-i-Firuz Shahi tulisan Ziauddin Barani, Qutlugh Khwaja pernah menawarkan peluang kepada Zafar Khan agar menyerah diri, dengan menjanjikan kedudukan yang lebih tinggi dalam pentadbiran Chagatai Khanate, lebih tinggi daripada yang sedang dijawatnya di pentadbiran Delhi.

Tetapi Zafar Khan menolak tawaran ini, malahan semakin lantang mencabar Qutlugh Khwaja untuk bertemp*r.

Kronikel abad ke-14, kitab Isami menyatakan Zafar Khan dan para sahabat seperjuangannya berjaya membun*h 5,000 orang Mongol, dan hanya kehilangan 800 pejuang.

Kemudian, Zafar Khan melakukan ser*ngan terakhirnya dan terus berjuang bersama baki 200 tenteranya yang masih hidup. Selepas kudanya terbun*h, dia meneruskan pertarungan di atas tanah secara jarak dekat dengan seorang komander Mongol bernama Hijlak. Namun akhirnya Zafar Khan m*ut dibun*h oleh tembakan anak panah yang melepasi perisai dan menusuk ke jantungnya.

Mongol akhirnya memutuskan untuk berundur selepas dua hari, tanpa sebarang tindakan susulan di medan per*ng. Barani menyatakan bahawa pihak Mongol berundur kerana kesan trauma yang berpunca dari keganasan ser*ngan Zafar Khan di kalangan askar mereka.

Menurut beliau, setiap kali kuda mereka enggan minum air, orang Mongol akan bertanya kepada kuda mereka :

“Adakah kamu ternampak Zafar Khan??”.

Namun punca sebenar pengunduran tentera Mongol dikatakan kerana Qutlugh Khwaja mengalami kecederaan yang parah ketika bertemp*r. Kemaraan Mongol berakhir setelah berkali-kali cubaan menakl*k Kesultanan Delhi namun berkali-kali juga mereka ditewaskan oleh pasukan tentera Alauddin Khilji.

LEGASI HIZABRUDDIN ZAFAR KHAN

Walaupun Zafar Khan terbun*h dalam pertemp*ran, Alauddin lebih kecewa dengan hakikat bahawa Zafar Khan telah melanggar perintah diraja. Bahkan tiada seorang pun dalam pentadbiran Kesultanan Delhi yang memuji-muji keberanian dan peng*rbanan Zafar Khan; Sebaliknya, Alauddin berterusan mengecam akan kebodohan dan ketidakpatuhannya.

Qutb-ud-din Mubarak Shah

Nama Zafar Khan dipadamkan sama sekali dari kronikel diraja yang ditulis pada zaman pemerintahan Alauddin Khilji. Sebagai contoh, Khazainul Futuh hasil tulisan Amir Khusrau langsung tidak menyebut tentang Zafar Khan.

Semasa menceritakan kejayaan militari yang dicapai semasa pemerintahan Alauddin, Khusrau menghilangkan sepenuhnya kisah gemilang Pengepungan Sivistan yang menaikkan reputasi Zafar Khan sebagai panglima.

Walau bagaimanapun, kisah pertemp*ran itu ditulis semula oleh penulis kronologi yang terkemudian seperti Ziauddin Barani, Isami dan Firishta.

Pada tahun 1301, ketika Alauddin Khilji berada di Ranthambore, sekumpulan pengikut Zafar Khan membantu pegawainya Malik Hamiduddin mengekang pemberontakan Haji Maula di Delhi.

Selepas kemangkatan Alauddin, anaknya, Qutb-ud-din Mubarak Shah mengurniakan gelaran ‘Zafar Khan’ kepada Malik Dinar, seorang bekas hamba India yang ketika itu berkhidmat sebagai ketua kesatria bergajah (Shihna-yi pil) di bawah pegawai Alauddin Khilji yang paling kontroversi bernama Malik Kafur.

RUJUKAN:

A R Fuller (1869). “Translations from the Tarikh-i-Firuz Shahi”. Journal of the Asiatic Society of Bengal. XXXVIII (IV)

History of the Khaljis (1290-1320) – Kishori Saran Lal (mula dari bab Battle Of Sivistan)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.