Panglima Ali – Biar Pecah Di Perut, Jangan Pecah Mulut

1,473

PERISTIWA Double Tenth yakni satu perang yang dilancarkan oleh Gerila Kinabalu ke atas tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung pada tanggal 10 Oktober 1943 merupakan satu peristiwa sejarah yang dikenang sehingga ke hari ini. 

Ini kerana kebangkitan masyarakat pelbagai kaum di Borneo Utara (Sabah sekarang) ke atas kekejaman Jepun pada masa itu mampu mengganggugat pentadbiran Jepun yang pada asalnya berpusat di Kuching sehingga mereka memindahkan pusat pemerintahan mereka ke Jeselton (Kota Kinabalu sekarang) selepas peristiwa tersebut berlaku. 

Tanggal 19 Januari 1944 menjadi saksi bagaimana ramai anggota Gerila Kinabalu termasuk pemimpinnya seperti Albert Kwok ditangkap dan ada yang menyerah diri atas nama keselamatan anggota keluarga mereka kerana Jepun menggunakan taktik menyiksa keluarga anggota yang terlibat.

Tatkala sudah ditangkap, mereka dihumban ke Penjara Batu Tiga dan tanggal 21 Januari 1944 menjadi saksi bagaimana 324 orang rakyat Borneo Utara yang bangun berjuang mempertahankan tanahair mereka telah dihukum pancung sampai mati oleh Jepun.  Antara nama-nama pejuang yang sahih menjadi mangsa pedang samurai Jepun pada hari tersebut adalah Albert Kwok (Pengasas Gerila Kinabalu), Li Tet Phui, Jules Stephens, Charles Peter, Panglima Ali, Chan Chau Kong dan Kong Tze Phui.

Dalam pada itu ada juga sesetengah penceritaan sejarah mengatakan ada sesetengah antara mereka yang dihukum pada hari itu bukanlah mati dihukum pancung sahaja sebaliknya turut ditembak dengan mesin gan mahupun ditikam dengan bayonets sehingga mati.

Ada juga saki baki mereka telah dimasukkan ke penjara Labuan dan selepas itu langsung tiada khabar berita mengenai mereka sehinggalah pada tahun 1949 telah dijumpai beberapa kubur besar di Labuan yang didakwa sebagai kubur tanpa nisan saki baki 324 orang rakyat Borneo Utara yang dipenjarakan selepas 21 Januari 1944. 

Panglima Ali atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani mungkin satu nama yang agak asing bagi generasi zaman sekarang namun inilah antara pejuang anak jati Borneo Utara berbangsa Bajau Sub-etnik Ubian berasal dari Pulau Sulug, Jeselton yang turut gugur sebagai bunga bangsa pada peristiwa pembunuhan kejam penuh tragis yang berlaku pada 21 Januari 1944 di Petagas. 

Dilahirkan pada tahun 1884, anak ketiga daripada 12 beradik ini merupakan seorang petani dengan sumber rezeki utamanya adalah menanam ubi kayu, kelapa dan mempunyai kebun buah-buahan di Pulau Manukan dan Pulau Sulug. Atas dasar kearifan beliau di dalam ilmu agama Islam dan ditambahlagi merupakan antara masyarakat terawal yang membuka penempatan di Pulau Sulug pada tahun 1904 menyebabkan beliau amat dihormati di kalangan penduduk di pulau tersebut.

Selain diangkat menjadikan Ketua Kampung Pulau Sulug, Panglima Ali turut merupakan seorang imam masjid dan menjadi guru mengaji Al-Quran untuk anak-anak kampung Pulau Sulug. Hasil daripada kemakmuran berbakti kepada tanah menyebabkan Panglima Ali mempunyai beberapa buah bot bagi memudahkan urusan membawa hasil pertaniannya untuk dijual di pasar-pasar yang terletak di Jesselton.

Ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, masyarakat di Borneo Utara adalah antara yang terkesan secara langsung dengan pemerintahan Jepun di Borneo.  Dengan matawang daun pisang yang langsung tiada harga menyebabkan perniagaan Panglima Ali turut terjejas. 

Dek kerana sering berulangalik antara Pulau Sulug dan Jesselton menyebabkan minda beliau lebih terbuka dan patriotik ditambahlagi dengan cerita-ceriti kezaliman Kempetai Jepun yang turut menular sehingga ke Pulau Sulug menyebabkan Panglima Ali benci dan marah dengan Jepun.  Pengaruh beliau yang cukup kuat di kalangan penduduk pulau sentiasa dipantau oleh Kempetai Jepun cuma mereka belum mempunyai bukti kukuh untuk menangkap Panglima Ali atas kesalahan apa. 

Tanggal 9 Oktober 1943 menyaksikan satu gudang yang di dalamnya penuh dengan hasil getah telah sengaja dibakar oleh penduduk tempatan.  Dan tanpa membuat siasatan yang menyeluruh, Kempetai Jepun telah menuduh dalang atas kebakaran yang disengajakan itu adalah angkara Panglima Ali dan orang-orangnya dari Pulau Sulug. Dikatakan Kempetai Jepun telah mendatangi Pulau Sulug dan Pulau Gaya selepas kejadian bagi menangkap Panglima Ali dan pengikutnya di kedua-dua pulau. 

Dengan bersenjatakan apa yang ada di pihak mereka, Panglima Ali dan pengikutnya tidak pernah berpeluk tubuh sahaja.  Mereka bangun mempertahankan diri,  keluarga dan penduduk yang berada di Pulau Sulug dan Pulau Gaya.  Biar hanya bersenjatakan parang, kehadiran Kempetai Jepun yang cuba membuat onar atas kesalahan yang tidak mereka lakukan diperangi walau nyawa jadi taruhan. 

Namun apakan daya parang melawan senapang ditambahlagi dengan jumlah tentera Jepun yang mendatangi Pulau Sulug cukup ramai menyebabkan akhirnya Panglima Ali bersama orang kanannya yakni sepupunya sendiri iaitu Kasil dan adik iparnya Sandolan berjaya ditangkap. 

Kekejaman Jepun itu tiada taranya waima mereka mempunyai senapang namun Panglima Ali, Kasil dan Sandolan sengaja mereka heret lebih satu kilometer sehingga ke dermaga Pulau Sulug dan dihumban ke dalam kapal Jepun lantas dihantar ke Kinarut.  Di penjara Kinarut itulah, ketiga-tiga mereka disoalsiasat tanpa perikemanusian untuk mencari dan mengaku merekalah dalang sebenar kebakaran gudang getah pada tanggal 9 Oktober 1943 itu. 

Namun biar pecah di perut jangan pecah di mulut, rahsia dan pengakuan yang dicari oleh Jepun tidak pernah dibocorkan oleh ketiga-tiga mereka.  Biarlah diseksa dengan apa cara sekalipun seperti minum air sabun dan dihenyak perutnya, ditumbuk dan dipukul dengan hujung senapang langsung tidak pernah melemahkan semangat juang mereka. 

Marah kerana tidak mampu mengorek rahsia daripada Panglima Ali, Kasil dan Sandolan menyebabkan dua minggu selepas penahanan mereka menyebabkan Jepun kembali ke Pulau Sulug.  Kedatangan mereka pada kali ini adalah untuk menangkap 33 orang lagi penduduk Pulau Sulug yang didakwa sebagai pengikut Panglima Ali.  Kesemua mereka dibawa ke Kinarut untuk disoalsiasat ataupun dalam ertikata lain diseksa oleh Jepun. 

Biarpun sudah menahan Panglima Ali dan sejumlah besar pengikut-pengikutnya dari Pulau Sulug, Jepun tidak pernah berpuashati lagi.  Hari-hari seterusnya menyaksikan mereka sentiasa ada di Pulau Sulug membuat onar di perkampungan tersebut biarpun penduduk kampung di dalam keadaan lemah dan tidak terdaya melawan kekejaman mereka.  Keluarga Panglima Ali yang masih lagi berada di Pulau Sulug diganggu malah diarahkan untuk keluar daripada perkampungan tersebut.  Kesemua ini dilakukan oleh Jepun agar pengaruh Panglima Ali terus hilang di Pulau Sulug. 

Atas nama keselamatan dan demi survival keluarga serta turut menggunapakai nasihat yang dianjurkan oleh seorang Pegawai British Syarikat Berpiagam Borneo Utara akhirnya keluarga Panglima Ali berpindah meninggalkan Pulau Sulug dan mencari kedamaian di Papar selepas itu. 

Pengakhiran kepada perjuangan Panglima Ali dan pengikut-pengikutnya adalah apabila mereka dibawa ke Petagas pada tanggal 21 Januari 1944 untuk menjalani hukuman pancung sampai mati bersama-sama dengan Albert Kwok dan anggota Gerila Kinabalu. 

Di Taman Peringatan Petagas itulah kesemua mereka disemadikan dan saban tahun pada tanggal 21 Januari akan diadakan satu acara memorial yang melibatkan Kerajaan Sabah di dalam mengenang pejuang-pejuang anak bangsa Sabah yang terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung. 

Semoga roh pejuang-pejuang anak Sabah ini dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para ambiya dan syuhada. AL-FATIHAH. 

-HB-

#saiasayangsabahbah!

RUJUKAN:

  1. Man recalls how father, brother perished in war. http://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=130677

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.