Terdapat dua taring yang sedang memamah rakyat Palestin. Taring yang pertama adalah sepertimana semua tahu, iaitu Israel. Tiada alasan boleh diberikan untuk menghalalkan kezaliman tentera-tentera Zionis yang berpusat di Tebing Barat. Sekalipun perbuatan Israel di Baitulmuqaddis dimaafkan, dosa besar Zionisme iaitu mengancam maruah wanita Palestin sememangnya tiada batasan dari segi amarah orang yang berhati perut. Bayangkanlah sepasang suami isteri yang tidur perlu berjaga-jaga agar tidak dipecah pintu pada pukul 2 pagi [1].

Sarjan Nadav Bigelman yang berkhidmat dari 2007-2010 menceritakan bahawa tentera Zionis akan pecah masuk rumah yang mereka tidak mempunyai info lengkap lalu mengambil gambar penduduk-penduduk di dalam rumah tersebut seawal 3 pagi sekalipun.

Namun, itulah kehidupan di Palestin, apabila dicengkam penjajah Zionis dan pengkhianat bangsa sendiri. Taring kedua yang membaham rakyat Palestin adalah rasuah. Pada 24 Februari 2016, sebanyak AS$70 juta telah dirampas unit anti-korupsi Palestin [2]. Amaun tersebut adalah sisa-sisa keuntungan lima tahun penyelewengan pihak berkuasa Palestin iaitu tiga menteri dan seorang pengarah Kementerian Kewangan yang menggunakan dana kerajaan untuk memulakan perniagaan di luar negara. Namun, mereka menyimpan keuntungan perniagaan tersebut di poket-poket masing-masing.

Tentu sekali cukup sukar untuk merangkul semula dana-dana yang ‘hilang’ oleh kerana statusnya yang telah keluar dari negara. AS$70 juta adalah amaun yang berjaya diambil semula. Lebih daripada setengah daripada jumlah tersebut dikembalikan dari Mesir. Manakala AS$20 juta lagi diselamatkan di Iraq. Namun Pengerusi Rafiq al-Natsheh gagal mengemukakan bukti sebagai sandaran yang beratus-ratus juta dolar telah hilang daripada rizab kerajaan. Sebuah kes telah dibukakan terhadap bekas penasihat Yasser Arafat. Namun AS$34 juta dianggarkan masih belum ditemui.

Rafiq al-Natsheh, selaku Pengerusi Unit Anti-Korupsi Palestin
Kredit: ASHARQ AL-AWSAT

Malah kes-kes penyelewengan yang diketahui telah meningkat sebanyak 50 jumlahnya, yang jika tidak lebih telahpun merekodkan kerugian AS$700 juta hanya akibat rasuah semata-mata. AS$2 juta didapati diseleweng oleh Duta Besar Palestin di Abu Dhabi.

Inilah realiti yang tidak akan dididihkan dengan kepanasan yang sama dengan kezaliman Zionisme. Perkara sebegini telah mencalarkan persepsi bahawa Palestin halal dianiayai penguasa-penguasa sendiri. Maka perjuangan demi Palestin sekaligus mempunyai batu asas anti-Semitisme, iaitu kebencian buta terhadap Yahudi. Tidak mengapa jika autokrat-autokrat dalam kerajaan rakus terhadap rakyat Palestin, asalkan bukan penjajah Israel.

Dan kes-kes penyelewengan sebegini jarang disebut dalam Dunia Islam sendiri. Pada ketika operasi-operasi ketenteraan Israel bermula, khatib dari khutbah Jumaat hingga tazkirah Maghrib hanya akan bercakap tentang Israel sahaja. Dan ketika rakyat Palestin hidup susah, dengan makanan serta bekalan elektrik terputus-putus, dinosaur-dinosaur politik hidup dalam kejiranan mewah berpagar, lengkap dengan prasarana moden bersertakan kebun-kebun kecil.

Sebaris rumah-rumah mewah berdiri megah di Kejiranan Diplomatik Palestin di Tebing Barat, Ramallah. (AP Photo/Nasser Nasser)

Kerajaan juga masih belum mengisytiharkan laporan bajet tahunan untuk proses audit. Kegagalan ini telah berlangsung selama empat tahun, sekaligus menghalang sebarang siasatan bagaimana dana kerajaan dibelanjakan [3]. Dan gambaran buruk yang telah dilemparkan terhadap kerajaan Palestin masih belum mendapat reaksi yang sempurna daripada kerajaan Rami Hamdallah [4]. Hubungan parlimen antara Fatah dan Hamas pula sekadar membuka peluang pekerjaan kepada golongan taat setia kepada parti semata-mata [5].

Perlantikan sebegini dapat ditemui dalam sejarah bangsa Arab, iaitu hanya golongan rapat sahaja yang akan meraih peluang ekonomi. Bangsa Arab yang telahpun keluar daripada kancah jahiliyah kini mempunyai akses untuk kembali hidup berpuak iaitu dalam parti-parti politik masing-masing. Sepertimana nama-nama seperti Bani Hashim, Bani Naufal, dan Banu Sahm wujud dalam demografi Quraysh, kini Fatah dan Hamas mempunyai pengaruh dalam demografi Palestin. Masalah yang akan berbangkit adalah kronisme dan nepotisme.

Terbukti dengan jelas apabila Panama Papers dibongkarkan. Sebanyak 11.5 juta dokumen mengenai transaksi kewangan dibocorkan sejauh 1970 lagi. Salah satu nama yang terlibat adalah Tareq Abbas yang didedahkan memiliki AS$1 juta saham Syarikat Pelaburan Arab Palestin (APIC) iaitu sebuah syarikat luar negara separamilik Tabung Pelaburan Palestin. Kronisme Presiden Mahmoud Abbas tidak berhenti di situ sahaja. Yasser Abbas juga terlibat dengan kontrak AS$2 juta sejak 2005, iaitu tahun ayahandanya menjadi presiden [6].

Struktur politik sebegini adalah bala bencana kepada kestabilan ekonomi Palestin. Dinosaur-dinosaur politik sekadar akan menggunakan pengaruh mereka sebagai alat untuk mengawal zon-zon politik, sambil cuba kembangkan jaluran sokongan. Maka dana-dana awam digunakan untuk membeli pengaruh politik, sekaligus mengekalkan dominasi politik barisan kaki rasuah Palestin [7]. Apabila sebut dengan rasuah, dominasi sebegini turut akan libatkan aset-aset ekonomi yang dicengkam mereka.

Maka masalah paling besar yang didepani rakyat Palestin bukanlah Zionisme semata-mata. Israel adalah taring yang kecil sahaja. Strategi untuk mencabut taring ini sememangnya perlu ditukar, tetapi haruslah dimulakan dengan muka-muka tua yang sentiasa timbul di kaca televisyen berita Palestin terlebih dahulu. Pembaziran, hidup mewah dan penyelewengan tetap akan berlaku selagi mana keadilan tidak diutamakan. Dan denyut simpati pihak antarabangsa sememangnya mula berkurangan, berdasarkan jumlah derma yang menjunam.

Integriti politik haruslah kembali. Namun, dengan kerajaan bersatu antara Hamas dan Fatah masih lagi berstatuskan tidak sah berdasarkan perundangan Palestin, tidak salah untuk berfantasi sekali sekala. Persoalan utama adalah, jika Israel berjaya dilumatkan dan penguasa baru contohnya Jordan mengamalkan dasar penjajahan yang sama keatas Palestin, apakah semangat pro-Palestin akan kekal mendidih pada takat yang sama?

Sumber:

[1] https://www.theguardian.com/world/2014/jun/08/israel-soldiers-speak-out-brutality-palestine-occupation

[2] http://www.aljazeera.com/news/2016/02/palestinian-anti-corruption-chief-claws-70m-160224073940381.html

[3] [4] [5] https://apnews.com/3aabd1f5db4e4623a74c00fcd71589f3/tough-times-most-palestinians-view-government-corrupt

[6] http://uk.reuters.com/article/idUKL9347117

[7] https://al-shabaka.org/briefs/corruption-in-palestine/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply