Pahlawan Helang: Tentera Elit Dari Empayar Aztec

528

Pahlawan-pahlawan helang merupakan pasukan tentera infantri elit dalam barisan pertahanan Empayar Aztec. Komuniti ini terdiri daripada golongan kehormat dan juga orang awam yang berupaya menunjukkan kebolehan di medan tempur.

Dalam bahasa Nahuatl/Aztec, pahlawan helang disebut sebagai cuauhtli. Bersama-sama dengan pahlawan harimau kumbang yang disebut sebagai ocelotl, kedua-dua pasukan elit ini secara kolektif dikenali sebagai cuauhtlocelotl (bermaksud pahlawan helang-harimau kumbang). Pahlawan-pahlawan ini dicatatkan membentuk komuniti pahlawan elit yang paling besar dalam barisan pertahanan Aztec.

PEMILIHAN PAHLAWAN-PAHLAWAN MATAHARI


Dalam mitologi Aztec, helang dianggap sebagai simbol bagi matahari. Justeru itu, pahlawan-pahlawan helang turut dikenali sebagai pahlawan-pahlawan matahari. Anggota-anggota elit ini berpakaian seperti helang, menghiasi diri dengan bulu-bulu helang serta memakai kelengkapan kepala daripada kepala helang.

Kelengkapan kepala ini mempunyai paruh yang ternganga. Menerusi paruh itulah pahlawan-pahlawan helang melihat. Imej pahlawan-pahlawan helang ini boleh dilihat menerusi beberapa buah artifak, terutama pada patung-patung hasilan masyarakat Aztec di samping gambar-gambar yang boleh ditemukan di dalam manuskrip-manuskrip lama Sepanyol.

Setiap lelaki Aztec dikehendaki menjalani latihan ketenteraan asas. Progres setiap tentera pelatih ini sentiasa diuji oleh pihak kuil tempatan. Mereka yang mempamerkan bakat luar biasa akan disenarai-pendek untuk menjalani latihan lanjut yang boleh menjadikan mereka sebagai pahlawan helang. Kebanyakan daripada mereka dipilih daripada golongan kehormat. Pun begitu, orang awam yang memperagakan bakat luar biasa juga akan turut terpilih.

Pintu masuk ke ruang dalam Kuil Pahlawan-Pahlawan Helang di Malinalco

MENANGKAP MUSUH

Latihan sahaja tidak cukup untuk melahirkan pahlawan helang. Untuk menyertai barisan pahlawan elit itu, tentera-pelatih perlu membuktikan keupayaan mereka di medan tempur sebenar. Bagi keadaan ini, mereka dikehendaki untuk menangkap pahlawan musuh yang kemudiannya tawanan ini akan dikorbankan dalam upacara keagamaan.

Satu sumber menyatakan bahawa seorang tentera Aztec perlu menangkap seramai empat orang musuh sebelum boleh diiktiraf sebagai pahlawan helang. Sumber lain pula menyebutkan bahawa angka tersebut mencecah 12 orang atau lebih, bersama syarat tambahan iaitu tawanan-tawanan tersebut perlu ditangkap dalam dua buah pertempuran secara berturut-turut. Sementara itu, ada juga sumber yang menyebutkan bahawa mereka perlu menangkap seramai 20 orang tentera musuh untuk menjadi pahlawan helang.

Apapun, untuk memudahkan mereka melaksanakan tugas menangkap musuh secara hidup-hidup, tentera-tentera pelatih Aztec dibekalkan dengan senjata-senjata yang direka khusus untuk memengsankan musuh, dan bukannya untuk membunuh. Senjata yang lebih kurang sama turut dibekalkan kepada pahlawan-pahlawan helang. 

Antara kelengkapan perang lain yang digunakan oleh pahlawan elit ini adalah busur panah, lembing, pisau pendek, tali pelempar, atlatis (sejenis tombak untuk dilempar), dan juga machahuitls (senjata yang mengandungi bilah-bilah tajam). Sebagai kelengkapan perlindungan pula, pahlawan-pahlawan helang dibekalkan dengan sejenis pakaian pelindung berupa kapas berlapik di samping perisai bulat berwarna terang dan dihiasi dengan bulu dan juga kulit haiwan. Tidak lupa juga kelengkapan kepala yang diperbuat daripada kepala helang.

KEDUDUKAN SOSIAL


Di luar medan tempur, pahlawan-pahlawan helang menikmati kedudukan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Aztec. Misalnya, anggota pahlawan elit ini dibenarkan untuk mengenakan perhiasan dan juga kostum cantik di khalayak umum. Mereka turut dibenarkan untuk menggunakan kain kapas dan sandal ketika berada di istana-istana raja, di samping dikurniakan hak untuk menyimpan gundik.

Selain itu, mereka turut dianugerahkan dengan tanah. Tanah ini bebas daripada cukai dan sebarang keuntungan yang diperoleh daripada tanah tersebut menjadi hak milik pahlawan helang sepenuhnya. Tidak cukup sekadar itu, tanah ini juga bersifat sepanjang hayat dan dibolehkan untuk diwariskan kepada keturunan mereka. Walaupun dianggap sebagai pahlawan perang sepenuh masa, anggota pahlawan helang juga dibenarkan untuk terlibat dalam politik.

Patung pahlawan helang yang ditemui semasa ekskavasi di Kuil Mayor, Tenochtitlan

Akhir sekali, elok kiranya diutarakan hakikat bahawa walaupun pahlawan-pahlawan helang dianggap sebagai pahlawan yang berkdudukan tinggi dalam barisan pertahanan Aztec, mereka sebenarnya bukanlah berada di puncak hierarki.

Terdapat dua buah lagi badan ketenteraan lain yang memiliki prestij yang lebih tinggi berbanding pahlawan helang. Sudah tentu, kegagahan yang jauh lebih hebat diperlukan untuk menyertai kedua-dua badan ketenteraan ini. Badan ketenteraan yang dimaksudkan tersebut adalah otontine (Otomies) dan juga cuauhchicaueh.

DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:

Wu Mingren. (30 Mei 2016). The Infamous Eagle Warriors: Elite Infantrymen of the Aztec Empire. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/infamous-eagle-warriors-elite-infantrymen-aztec-empire-005994

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.