Pahlawan Banjar Dari Pulau Borneo – Pangeran Antasari Bin Pangeran Masohut @ Mas’ud

0
275
views

“HIDUP Dan Mati Hanya Untuk Allah”, “Haram menyerah, waja sampai ke puting”.. itulah antara laungan yang seringkali didendangkan tatkala berhadapan dengan tentera Koloni Belanda yang pernah membuat onar di bumi Banjar suatu ketika dahulu.  Dek kerana gerakan-gerakan yang didokongi oleh beliau sehingga terjadinya Perang Banjar menyebabkan Koloni Belanda pernah mengistiharkan perang berhabis-habisan ke atasnya malah sanggup menyediakan wang ganjaran sebanyak 10,000 gulden bagi sesiapa sahaja yang menyerahkan beliau dan anak-anaknya kepada Koloni Belanda hidup atau mati.

Cukup besar wang yang disajikan oleh Belanda untuk memikat hati rakyat agar berpaling tadah namun tiada seorang pun masyarakat di Sungai Barito yang mahu berbuat sedemikian sebaliknya semakin utuh pula sokongan mereka ke atas perjuangannya melawan Belanda suatu ketika dahulu.  Biar dirinya seorang anak Banjar dan beragama Islam namun beliaulah juga pemimpin yang cukup disegani serta paling dihormati di kalangan Dayak Ngaju, Maanyan, Siang, Sihong, Kutai, Pasir, Murung, Bakumpai serta beberapa lagi pribumi minoriti yang mendiami kawasan di sepanjang Sungai Barito.

Pangeran Antasari nama diberi merupakan salah seorang putera di dalam salsilah keluarga diraja Kesultanan Banjarmasin yang lahir di Kayu Tangi, Banjar, Kabupaten Banjar, Provinsi Kalimantan Selatan pada tahun 1797.  Ayahandanya adalah Pangeran Masohut @ Mas’ud bin Pangeran Amir iaitu cucunda kepada Sultan Muhammad Aliuddin Aminullah yang memerintah Kerajaan Kesultanan Banjarmasin antara tahun 1759 hingga 1761. Bondanya pula bernama Gusti Hadijah merupakan keturunan “purih raja” iaitu puteri kepada seorang lagi pemerintah yang mengungguli Kerajaan Kesultanan Banjarmasin iaitu yang digelar Sultan Sulaiman Saidullah.

Diceritakan sewaktu zaman mudanya dikenali dengan nama Gusti Inu Kartapati dan digelar sedemikian rupa bagi memudahkan dirinya untuk bergaul dengan rakyat jelata. Walau lahir di keraton Banjar namun beliau sentiasa menempatkan dirinya di kalangan rakyat sehingga memungkinkan beliau mampu menuntut ilmu mempertahankan diri daripada guru-guru silat yang terbaik pernah ada di Banjarmasin. Selain daripada itu turut dikatakan beliau adalah antara individu yang begitu taat kepada setiap ajaran agama Islam sehingga demi menimba ilmu agama beliau pernah berkelana dari satu pasentren ke pasentren di Borneo suatu ketika dahulu.

Nama Pangeran Antasari mula menjadi igauan ngeri Belanda tatkala adanya campurtangan Belanda di dalam menentukan pemerintah bagi Kerajaan Kesultanan Banjarmasin pada 1859.  Pada ketika itu menurut wasiat yang diperturunkan oleh Sultan Adam, adindanya iaitu Pangeran Hidayat berhak untuk menjadi pengganti beliau namun akibat daripada konspirasi penipuan licik Belanda telah mengangkat kakanda tirinya yang bernama Tamjidullah sebagai Sultan Banjar dengan gelaran Sultan Tamjid Allah II. Yang berhak iaitu Pangeran Hidayatullah pula hanya diangkat sebagai seorang Mangkubumi Banjar pada Oktober 1859.

Pada masa itu juga demi memperkuatkan alasan Belanda yang meletakkan Sultan Tamjid Allah II sebagai “raja boneka” Kesultanan Banjar, keluarga Pangeran Hidayat iaitu bondanya Ratu Siti dan seluruh keluarganya telah diarahkan untuk mendiami kawasan kediaman terhad iaitu di Cianjur.  Hal ini telah memungkinkan api kemarahan rakyat banjar dan golongan keraton semakin memuncak. Natijahnya  tanpa menghiraukan Belanda, golongan ulama Islam dan pembesar Banjar tetap menabalkan Pangeran Hidayatullah II sebagai Sultan Banjar pada September 1859. Belanda yang tidak berpuashati turut menangkap Sultan Hidayatullah kemudiannya lantas dihantar ke Cianjur mengiringi keluarganya di sana sehinggalah beliau meninggal dunia.

Sebagai seorang sepupu kepada Pangeran Hidayatullah lebih-lebih lagi isteri Pangeran Antasari yang pertama iaitu Ratu Idjah merupakan puteri kepada Sultan Adam, Sultan Banjar sebelumnya menyebabkan beliau tidak boleh menerima apa yang berlaku di Keraton Banjarmasin pada masa itu.  Pangeran Antasari yang menjadi pemerintah di bahagian utara iaitu kawasan Muara Teweh dan sekitarnya telah mengatur strategi dan mengumpul kekuatan rakyat di kawasannya untuk bangun menentang Belanda.  Sejak itulah bermulanya rentetan kronologi bersejarah perang-perang Banjar yang berlaku dari tahun 1859 hingga 1905. (Sumber Belanda pula menyebut 1859 hingga 1863).

Sesungguhnya perang orang Banjar ke atas Belanda merupakan satu perang yang menyaksikan kemusnahan yang teruk di Sungai Barito.  Walaupun Belanda telah menggunakan peralatan perang yang moden berbanding dengan rakyat yang mendokongi Pangeran Antasari masih ianya tidak menjadi satu kegentaran.  Belanda yang kejam telah menggunakan taktik dengan memusnahkan lamin dan rumah panjang masyarakat Dayak di Sungai Barito yang menjadi penyokong kuat Pangeran Antasari.

Namun kegilaan dan kekuatan Belanda langsung tidak menjadi kegusaran.  Perang Barito 1859 misalnya menyaksikan sebuah kapal milik Kolonial Belanda iaitu “Ontrust” telah berjaya ditenggelamkan melalui taktik tipu helah. Pada ketika itu dikatakan bahawa Pangeran Antasari sudahpun memperkukuhkan pertahannya di Daerah Dusun Atas iaitu satu permukiman bagi suku Dayak Siang. Pemimpin suku Dayak Siang iaitu Tumenggung Surapati yang juga abang iparnya melalui perkahwinan kedua Pangeran Antasari dengan Nyai Fatimah, adinda Tumenggung Surapati sudahpun menjalinkan kerjasama yang erat atas nama keluarga.

Tanpa Kolonial Belanda mengetahui kesepakatan itu dan tanpa curiga telah menjemput Tumenggung Surapati dan beberapa orang pemuda Dayak Siang untuk naik ke kapal Ontrust. Tujuan mereka adalah untuk menunjuk-nunjuk betapa hebatnya senjata perang yang mereka miliki.  Pada tanggal 26 Disember 1859 itu, Tumenggung Surapati dan anak buahnya telah naik ke kapal Ontrust dan di dalam kealpaan Komandan Van Del Velde , mereka telah menyerang keseluruhan kapal tersebut. Temenggung Surapati sendiri telah menghunus mandaunya dan melakukan ngayau ke atas Leftenan Bangert lalu bercerailah kepala dari badan seorang pemimpin tentera Kolonial Belanda itu.

Ibon, putera Temenggung Surapati yang juga terkenal sebagai pahlawan Dayak sudah siap siaga menunggu di sisi kapal Ontrust. Dikala jeritan “serang” dilaungkan maka bertingkahlah Temenggung Surapati dan pahlawan-pahlawan Dayak yang lain di atas kapal Ontrust dan ramailah yang terkorban di pihak Kolonial Belanda ketika itu. Diceritakan juga sebelum mereka berjaya menenggelamkan Kapal Ontrust, Tumenggung Surapati dan pahlawan-pahlawan Dayak yang bersamanya telah berjaya mengambil senapang dan senjata api milik Belanda seperti meriam untuk dibawa ke mukim Dusun Atas.  Dengan bahan api yang ada di atas Kapal Ontrust itulah juga yang digunakan untuk menenggelamkan kapal tersebut. Kejadian ini menyebabkan pihak Kolonial Belanda menjadi berang dan berikrar akan membalas segala perbuatan yang dilakukan oleh Tumenggung Surapati dan Pangiran Antasari itu sehabis mungkin.

Dokongan yang kuat sebagai pemimpin di Sungai Barito pada masa itu menjadikan Pangeran Antasari dilihat sebagai penerus legasi pemerintahan Kerajaan Kesultanan Banjar yang tulin kerana yang ada di Keraton Banjar hanyalah boneka Belanda semata-mata.  Pada tanggal 14 Mac 1862, Pangeran Antasari telah diangkat sebagai pemerintah tertinggi Kesultanan Banjar dengan gelaran Panembahan Amiruddin Khalifatul Mukminin disaksikan oleh ketua-ketua Dayak dan Adipati wilayah Dusun Atas, Kapuas dan Kahayan iaitu Tumenggung Surapati sendiri. Usai sahaja diangkat menjadi pemerintah tertinggi, tiada namanya untuk Pangeran Antasari duduk diam sebaliknya terus-terusan memerangi Belanda sehingga ke hujung nyawa.

Namun Allah lebih mengasihi seorang pahlawan yang tulin seperti Pangeran Antasari yang hidup matinya hanya untukNya kerana pada tanggal 11hb Oktober 1862, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Bayan Begok, Kabupaten Barito Utara, Provinsi Kalimantan Tengah akibat penyakit radang paru-paru dan campak yang dihidapinya.  Jenazahnya dikuburkan di Bayan Begok pada mulanya yang kemudiannya pada 11 November 1958 telah dipindahkan dan dikubur semula di Taman Makam Perang Banjar, Banjarmasin Utara, Kalimantan Selatan.

Berdasarkan SK No. 06/TK/1968 di Jakarta iaitu pada tanggal 27hb Mac 1968, Pangeran Antasari telah dinobatkan sebagai Pahlawan Nasional Republik Indonesia atas usaha-usahanya memerangi Koloni Belanda yang pernah membuat onar di Pulau Borneo suatu waktu dahulu.  Penghormatan besar turut diberikan kepada Pangeran Antasari apabila pada tahun yang sama, Bank Indonesia turut mencetak dan mengabadikan nama serta gambar beliau di atas wang kertas Rp 2,000 Republik Indonesia sebagai tanda kenang-kenangan.

Umpama kata bidalan lama, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama begitulah juga untuk seorang pahlawan Banjar dari Pulau Borneo iaitu Pangeran Antasari apabila tanah kelahirannya iaitu Kalimantan Selatan turut mendapat jolokan sebagai “Bumi Antasari” di kalangan rakyat Republik Indonesia sehingga sekarang.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Biografi Pangeran Antasari – Pahlawan Banjar

http://www.biografipedia.com/2016/03/biografi-pangeran-antasari.html

  1. Mengenang Pangeran Antasari : Pahlawan Dari Pulau Borneo

https://www.kompasiana.com/isnafitria/mengenang-pangeran-antasari-pahlawan-dari-pulau-borneo_5519504d81331167769de0df

  1. Sejarah Dan Budaya Nusantara Perang Banjar (1859-1905)

sejarahbudayanusantara.weebly.com/perang-banjar.html

  1. Perang Barito 1859 – Borneo Oracle