Pagpag – Makanan Orang Miskin Filipina

1,056

Pernahkah anda mendengar terminologi bernama pagpag? Pagpag merupakan perkataan daripada bahasa Tagalog yang membawa maksud ‘membuang kekotoran” (to shake off dust and dirt), iaitu sejenis masakan yang dijual di beberapa perkampungan orang yang kurang berkemampuan di Filipina.

Proses penghasilannya yang unik serta memerlukan beberapa orang individu untuk membuat pekerjaan ini sedikit sebanyak mampu dijadikan sebagai pendapatan tetap bagi beberapa penjual makanan sebegini.

Seawal jam 4 pagi, kebanyakkan sampah yang berasal dari sekitar restoran-restoran fastfood seperti Kentucky Fried Chicken dan Jollibee tiba di kawasan pembuangan sampah menerusi beberapa motosikal dan lori sampah. Sisa-sisa makanan daripada restoran ini menjadi rebutan beberapa orang yang bekerja mengutip bahan-bahan ini yang sering dipanggil sebagai mambabatchoy.

Mereka mengutip sisa makanan yang terdiri daripda lebihan daging ayam daripada dua jenis restoran ini. Selain itu, adakalanya mereka mencari lebihan sisa makanan yang berasal daripada pasaraya besar, yang membuang mana-mana bahan makanan yang telah melebihi tarikh luput, iaitu makanan yang terdiri daripda daging ayam, ikan, lembu dan sayur-sayuran.

Kutipan ini kemudiannya dijual kepada peniaga yang menjual pagpag di gerai kecil yang terletak di kawasan orang yang kurang berkemampuan. Mereka membeli sisa makanan ini dengan membayar RM2.00 untuk satu plastik beg yang dihantar oleh mambabatchoy. Peniaga-peniaga mula memproses sisa-sisa makanan yang dihantar seawal jam 8 pagi.

Antara proses yang mereka lakukan adalah dengan membuang tulang-tulang ayam dan membasuh daging ayam tersebut untuk memastikan ‘kebersihan’ dan bahan-bahan yang ingin dimasak semula adalah terdiri daripada isi daging sahaja. Bahan-bahan kisar dan asas untuk memasak kuah untuk pagpag ini dibeli segar daripada pasar tani seperti bawang, halia dan kunyit.

Setelah kuahnya mereneh, isi-isi daging ayam yang diproses tadi dicampurkan dan dimasak dalam pelbagai cara seperti masakan berkuah, goreng semula mahupun sup. Semangkuk pagpag ini dijual dengan harga RM1.00, dan biasanya dimakan bersama nasi. Rata-rata pelanggan mereka adalah dikalangan mereka yang tidak berkemampuan dan miskin.

Dari segi perubatan, sudah tentu pemakanan makanan sebegini membawa risiko seperti jangkitan hepatitis A, demam kepialu, dan keracunan makanan, yang mana terdapat kes di mana kanak-kanak ada yang jatuh sakit setelah mereka makan makanan ini. Akan tetapi, untuk masyarakat yang miskin ini, mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengambil risiko sahaja, asalkan perut kenyang dan mereka mendapat tenaga untuk melakukan kerja-kerja harian mereka.

Kisah sebegini sedikit sebanyak membuka mata kita, rakyat Malaysia yang kadangkala mengambil mudah atas segala kemewahan yang terdapat di sekeliling kita. Saya pasti, makanan sebegini tidak ada di malaysia memandangkan majoriti daripada rakyat kita beragama Islam, di mana penerapan nilai-nilai pemakanan yang halal dan bersih menjadi keutamaan dalam makanan yang kita makan setiap hari.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.