Tanggal 30 November 1964 adalah hari yang sedih bagi P.RAMLEE apabila beliau telah menerima berita berpulangnya ke rahmatullah seorang yang dianggapnya sebagai guru di dalam bidang muzik. Orang yang dimaksudkan ialah seniman OSMAN AHMAD seorang penggubah lagu yang juga turut terlibat di dalam orkestra Panca Sitara bersama YUSOF B. P.RAMLEE sangat menghormati kedua-dua individu ini kerana beliau banyak menuntut ilmu muzik bersama mereka.

Sejurus menerima berita itu P.RAMLEE segera bertolak ke Singapura dari Kuala Lumpur dengan memandu keretanya. RAMLI ISMAIL pembantunya turut dibawanya bersama. P.RAMLEE sempat mengusung jenazah Allahyarham OSMAN AHMAD sehingga ke tanah perkuburan. Selepas selesai urusan pengkebumian, P.RAMLEE terus bertolak semula ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan pulang P.RAMLEE singgah sebentar di Batu Pahat untuk minum melepaskan penat.

Sedang P.RAMLEE duduk minum sambil bersembang dengan RAMLI ISMAIL di sebuah warung, beliau terpandang ada satu persembahan silat sedang berlansung dikawasan lapang berdekatan dengan warung berkenaan. Lalu P.RAMLEE terus bangun dari kerusi seperti ingin meninjau persembahan silat itu tadi. “Kenapa bang?” tanya RAMLI ISMAIL, “aku nampak ada persembahan silatlah, mari kita pergi lihat” kata P.RAMLEE. Apabila P.RAMLEE dan RAMLI ISMAIL menghampiri persembahan silat itu, ramai yang tidak perasan kehadiran mereka oleh kerana orang ramai telah pun berkumpul. Mereka berdua menonton persembahan silat itu dicelah-celah orang ramai itu tadi.

P.RAMLEE memerhatikan persembahan itu dengan penuh tekun. Tiba-tiba seorang yang bergelar guru berada di tengah-tengah gelanggang sambil dibantu oleh beberapa anak muridnya dengan membawa kuali yang berisi air panas yang sedang mengelegak. P.RAMLEE semakin berminat lalu berjalan dicelahan orang ramai itu menuju ke hadapan sambil diekori oleh RAMLI ISMAIL dari belakang. Kali ini P.RAMLEE berada di barisan hadapan dan boleh menonton persembahan silat itu dengan lebih jelas.

P.RAMLEE memerhatikan beberapa orang pesilat sedang memasukkan tangan mereka di dalam kuali yang berisi air yang sedang panas menggelegak itu tadi. Apabila sampai ke giliran pesilat terakhir untuk memasukkan tangannya, P.RAMLEE menjerit, “dry ais!” (ais keping, bahan untuk membekukan ais krim). Orang ramai tertumpu pada P.RAMLEE hasil dari jeritan tadi termasuk guru silat itu sekali. P.RAMLEE membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa tetapi perlahan-lahan P.RAMLEE undur kebelakang lalu mengajak RAMLI ISMAIL meninggalkan majlis itu dengan cepat. Apabila sampai ke dalam kereta P.RAMLEE nampak beberapa orang persilat tadi berlari menuju ke kereta P.RAMLEE, tanpa membuang masa P.RAMLEE menekan pedal minyak dan meninggalkan tempat berkenaan sambil ketawa tidak henti-henti.

Di dalam kereta RAMLI ISMAIL bertanya kepada P.RAMLEE, “kenapa abang menjerit tadi?”, “aku tak sengaja nak kacau majlis tadi. Tapi bila aku tengok perkara itu berlaku secara spontan perkataan ‘dry ais’ terkeluar dari mulut aku. Mana boleh mereka tipu orang filem, ‘trick’ begitu aku dah biasa buat dalam filem arahan aku”. Lalu P.RAMLEE dan RAMLI ISMAIL sambung ketawa mengenangkan kisah yang berlaku tadi sambil terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.

PENGARUH SILAT DALAM FILEM P.RAMLEE

P.RAMLEE ada mengarah beberapa filem yang menerapkan nilai-nilai persilatan Melayu di dalamnya. Sebagai contoh filem PENDEKAR BUJANG LAPOK. Walaupun filem itu dikomedikan oleh P.RAMLEE, tetapi konsep menuntut ilmu dengan beguru itu tetap ada. Lihat sahaja pada babak Ramlee, Aziz dan Sudin menulis sambil membaca mentera yang diajarkan oleh Pendekar Mustar. Inilah konsep bertalaqqi dengan guru yakni duduk berhadapan bersama guru sambil menulis ataupun menadah kitab dan membaca. P.RAMLEE tahu akan prinsip dan etika dalam menuntut ilmu. Sebab itu beliau mewujudkan babak sebegitu.

Apabila P.RAMLEE membuat filem KANCHAN TIRANA pada tahun 1969 di Kuala Lumpur. Di dalam filem ini beliau memperlihatkan ilmu kebatinan yang ada pada diri beliau. Sebab itu ada babak ilmu jarum keluar dari jari, bunuh lalat menggunakan buluh kecil yang berisi jarum dan teknik kebatinan membelah kayu menggunakan tetakan tangan. Ilmu ini semua sinonim dengan ilmu kebatinan silat Melayu. Kata P.RAMLEE, “ilmu silat itu adalah ilmu kebatinan, jika ilmu silat tanpa ilmu kebatinan ia hanyalah senaman biasa”. Konsep bertalaqqi sekali lagi ditonjolkan P.RAMLEE dalam filem KANCHAN TIRANA dengan mengambil JINS SHAMSUDDIN berlakon sebagai anak muridnya. Kerana dalam dunia sebenar JINS SHAMSUDDIN juga adalah bintang ciptaan P.RAMLEE melalui filem PANCHA DELIMA pada tahun 1957.

P.RAMLEE juga sanggup mencari guru silat untuk belajar bermain tekpi semata-mata untuk menghayati watak Tantari di dalam filem ENAM JAHANAM. Akhirnya P.RAMLEE bertemu dengan seorang guru yang menetap di Klang, Selangor bernama Haji Sani seorang pengasas Persatuan Seni Silat Kuntau Tekpi. P.RAMLEE berlajar bersama Haji Sani sehingga beliau betul-betul dapat menguasasi teknik permainan Tekpi. Ini kerana untuk melakukan babak bermain senjata Tekpi seseorang itu memerlukan kemahiran yang tinggi. Apabila kita menonton filem ENAM JAHANAM, nyatalah P.RAMLEE berjaya menguasai permainan tekpi itu.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

Leave A Reply