Dalam bulan Julai 1961 P.Ramlee bersama S.Sudarmaji telah pergi menemui dua orang pegawai tertinggi di Pejabat Agama Johor yang bernama Tuan Syed Othman dan Ungku Mohd.

Tujuan P.Ramlee bersama S.Sudarmaji menemui dua orang pegawai berkenaan ialah ingin membincangkan bagi mendapat khidmat nasihat untuk pembikinan filem terbaru arahannya yang berjudul Menchari Keampunan. Filem berunsur keagamaan ini merupakan filem yang menelan belanja besar yang bakal diarahkan oleh P.Ramlee.

P. Ramlee bersama S.Sudarmaji telah membentang skrip dan jalan cerita kepada dua orang pegawai agama berkenaan. Hasil dari pembentangan tersebut P.Ramlee dan S.Sudarmaji berjaya meyakinkan pegawai agama berkenaan dan meraka ternyata berpuas hati.

Cuma dua orang pegawai agama tersebut meminta P.Ramlee dan S.Sudarmaji harus berhati-hati dalam mempersembahkan soal hukum demi menjaga nilai-nilai kesucian agama Islam. P.Ramlee juga diminta agar menggunakan istilah “Allah” di dalam setiap dialog yang dilontarkan oleh para pelakon dengan tidak menggunakan istilah Tuhan.

P.Ramlee mengulas hasil pertemuannya dengan dua orang pegawai agama berkenaan, “Saya berasa sangat bangga di atas kesudian kedua-dua pegawai agama Johor itu, yang bersedia memberi pandangan dan nasihat soal hukum agama yang sangat berharga kepada saya.

Mereka juga telah memberi kata-kata perangsang kepada saya agar terus berjuang di lapangan perfileman Melayu serta memperbanyakkan lagi filem-filem bercorak keagamaan dan agama Islam khususnya yang sememangkan sangat penting untuk menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat Islam di zaman ini”.

Sekembalinya P.Ramlee dan S.Sudarmadi ke Singapura, P.Ramlee telah menetapkan penggambaran filem Menchari Keampunan akan dimulakan setelah selesai penggambaran filem Si-Tanggang arahan Jamil Sulong pada bulan Ogos 1961. Beberapa nama pelakon yang akan turut serta di dalam filem ini telah pun disenaraikan oleh P.Ramlee.

P.Ramlee juga telah menulis surat kepada pihak studio Cathay-Keris bagi mendapatkan pelepasan untuk Nordin Ahmad berlakon di dalam filem ini. Difahamkan Nordin Ahmad akan bergandingan dengan lapan lagi pelakon lain sebagai bintang utama untuk menjayakan pembikinan filem Menchari Keampunan ini.

Begitu juga dengan Kasma Booty yang turut ada dalam senarai P.Ramlee. Akan tetapi terpaksalah P.Ramlee menunggu sehingga beliau selesai menjalani penggambaran filem Keris Sempena Riau di studio Merdeka, Kuala Lumpur terlebih dahulu. P.Ramlee juga difahamkan telah meminta pihak studio menyediakan beribu pelakon extra untuk terlibat sekali dalam pembikinan filem ini. P.Ramlee sememangnya suka menggunakan khidmat pelakon extra yang banyak di dalam filem-filem arahannya.

Setelah berbincang dengan S.Sudarmaji, P.Ramlee bersetuju untuk mengubah tajuk Menchari Keampunan kepada Hidayah. Dalam mereka berdua telah bersemangat untuk memulakan penggambaran filem ini, pihak studio seakan-akan tidak bersetuju dengan permintaan P.Ramlee dengan alasan modal terlalu tinggi.

Disamping itu pihak studio kurang selesa dengan filem yang berunsur keagamaan ini. Ada juga mengatakan pihak studio menolak skrip filem ini kerana banyak babak yang mengerikan dipersembahkan oleh P.Ramlee dan tidak sesuai ditonton oleh masyarakat serta tidak yakin ia berjaya membawa pulangan yang besar kepada pihak majikan. P.Ramlee sangat kecewa dengan keputusan majikannya itu lantas mengambil pendekatan untuk menangguhkan dahulu pembikinan filem berkenaan.

Di era filem Melayu hitam putih kebanyakkan filem-filem yang berunsur keagamaan seringkali ditolak dan tidak mendapat tempat untuk diterbitkan oleh pihak majikan. Perkara ini terjadi kepada filem Semerah Padi arahan P.Ramlee pada tahun 1956 apabila penyertaannya untuk bertanding dalam Festival Filem Asia ke-3 di Hong Kong telah ditolak dengan alasan filem itu mempunyai unsur dan nilai keagamaan yang diterapkan.

Disebabkan dengan kekecewaan itu P.Ramlee telah meminta kepada S.Sudarmaji untuk meneliti naskah lain yang sudah sudah siap penulisan skripnya seperti Negara Terpendam, Batu Durhaka, Pancha Sitara dan Gadis Tertangga untuk dimulakan penggambarannya.

Sekali lagi P.Ramlee gagal untuk membuat filem-filem berkenaan atas beberapa sebab lain. Filem Pancha Sitara contohnya P.Ramlee terpaksa membatalkan hasratnya untuk mengarah filem berkenaan disebabkan penulis asal cerita itu H.M Rohaizad telah meninggal dunia secara mengejut. Begitu juga dengan filem Batu Durhaka yang telah diarahkan oleh Omar Rojik.

Setelah P.Ramlee berhijrah ke Studio Merdeka, Kuala Lumpur sekali lagi hasratnya untuk mengarahkan filem Hidayah dipohon kepada pihak majikannya dan ternyata alasan yang sama juga diberikan kepada P.Ramlee. Filem Hidayah tidak dapat dilaksanakan sehingga P.Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

RUJUKAN:

Majallah Filem, bil. 16
Majallah Filem, bil. 17
Kenangan Abadi P.Ramlee – Ramli Ismail
Sesi temubual bersama Ramli Ismail, 1998


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

Comments are closed.