‘P. Ramlee’ – Filem Biopik Pertama Negara

8,494

Walaupun sudah 46 tahun pemergian P. Ramlee, belum ada filem mengenai riwayatnya diterbitkan sehinggalah…..

Jika di Hollywood, banyak filem biopik bintang telah diterbitkan, antaranya filem yang terbaru; Rocketman – Elton John, Bohemian Rhapsody – Freddie Mercury, Marilyn Monroe, Alfred Hitchcock, Whitney Houston, Jerry Lewis. Manakala di Asia Tenggara juga bersemangat menerbitkan biopik tokoh seperti filem Gandhi, Tanda Putera -Tunku Abd Rahman & Tun Razak, Nasionalis Jose Rizal dan Aung San Suu Kyi.

Jika diambil dari sudut filem biopik berkenaan P. Ramlee, yang paling terdekat adalah Teater Musikal P.Ramlee serta Telefilem Biopik Saloma. Kini cuma tinggal filem P.Ramlee yang seakan tak kunjung tiba.

Tahun 1983:

Seorang pengarah muda bernama Yusaini Amir telah mengejutkan pelbagai pihak apabila mengumumkan untuk mengarahkan filem P. Ramlee yang berkisar tentang riwayatnya. Filem ini dibawah terbitan Segugus Film Productions, dan akan memulakan pengambaran pada tahun 1983 sebagai mengenang 10 tahun pemergian Seniman Agung. Pengumuman dan sidang media telah dilakukan di Holiday Inn, Kuala Lumpur. Biduanita Saloma juga hadir walau ketika itu keadaan beliau uzur berikutan mengidap penyakit kanser. Ini adalah penampilan terakhir Saloma pada Majlis umum.

Pihak produksi menyatakan sebanyak $400 ribu dilaburkan bagi merealisasikan biopik ini. Seorang pelakon baru bernama Daud Yusoff terpilih memegang peranan sebagai P. Ramlee. Daud Yusoff juga merupakan seorang Jurumakmal di sebuah Universiti di Kuala Lumpur.

Pelakon muda Sulaiman Yassin (Mat Over) turut berlakon sebagai rakan baik P. Ramlee dari Pulau Pinang bernama Sukardi. Jalan cerita ditulis oleh insan yang rapat dengan P. Ramlee ; Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang menulis buku P. Ramlee berjudul ‘Gagak Di Rimba’. Para pelakon teater juga terlibat dimana filem ini banyak tertumpu sewaktu zaman P. Ramlee kurus dan membuat pertunjukkan di pentas bangsawan. Filem ini disunting oleh Jamil Khir, di studio suntingan Perfima, Jalan Ampang.

Didalam kerancakan pengambaran baru hendak bermula, Biduanita Saloma menghembuskan nafas terakhir pada 25 April 1983. Negara sekali lagi kehilangan sebutir permata. Sayang sekali beliau tidak berpeluang melihat hasil filem ini yang bakal disiapkan.

Namun setelah setahun pengambaran selesai, filem ini tidak juga ditayangkan. Akhbar Berita Harian menyatakan antara faktor adalah pihak pawagam dikatakan tidak mahu menayangkan filem biopik ini berikutan kualiti dan jalan cerita yang lemah. Yusaini Amir cuba untuk menjual hak filem ini kepada H.M Shah, seorang hartawan dan juga sahabat P. Ramlee. HM Shah juga menolak kerana filem ini gagal mengolah sikap P. Ramlee yang sebenar.

Yusaini Amir pulang kecewa tidak lagi mengarah di Malaysia selepas itu. Beliau bermastautin di Indonesia dan meninggal dunia di sana. Filem ini terus disimpan, dan hanya tinggal kenangan hingga ke hari ini. Pihak karyawan berpendapat sewajarnya FINAS yang menerbitkan filem ini agar terjamin kualitinya, manakala pengarah yang lebih layak untuk filem ini adalah seperti Jins Shamsudin, Jamil sulong, Omar Rojik atau Aziz Sattar yang lebih rapat dengan P. Ramlee. Namun Dato Senu tetap dengan pendirian untuk memilih Yusaini bagi menghasilkan filem biopik pertama Negara.

“Saya juga masih perlu belajar, tapi jika saya tak mulakan, lagi 5 tahun, 10 tahun pun belum tentu filem P. Ramlee dapat dihasilkan” – Yusaini Amir

RUJUKAN:

Repair Gambar Lama
Berita Harian 12 Oktober 1984
Filem Klasik Malaysia – Mustafa AR
Dato Ahmad Fauzee
Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
Fan Poster oleh Sangpotret

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.