Ketokohan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dalam dunia perfileman sehingga kini masih diperkatakan. Beliau adalah lambang kebanggaan sinema Melayu sepanjang zaman.

Seperti kita sedia maklum, P. Ramlee telah banyak menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Filem-filem lakonan serta arahannya telah banyak menyertai Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) sejak ia mula dipertandingkan buat kali yang pertama pada tahun 1954 di Tokyo, Jepun.

Penyertaan pertama P. Ramlee dalam festival tersebut adalah pada tahun 1956 menerusi filem Hang Tuah (1955). FFAP ke-3 itu berlangsung di Hong Kong. Di dalam filem Hang Tuah terdapat tiga buah lagu yang menarik iaitu “Kesuma Jiwa”, “Joget Tari Lenggang” dan “Berkorban Apa Saja”. Ketiga-tiga lagu ini hasil ciptaan P. Ramlee dan liriknya ditulis oleh Jamil Sulong. P. Ramlee telah memenangi Anugerah Penggubah Muzik Terbaik dan ia merupakan anugerah yang pertama untuk P. Ramlee dan juga Shaw Brothers di peringkat Asia.

Pada festival filem yang sama, filem Semerah Padi (1956) turut bertanding namun tidak memenangi anugerah.

Kali kedua P. Ramlee menyertai FFAP ialah tahun yang berikutnya. Filem Anak-Ku Sazali (1956) telah dihantar ke FFAP ke-4 yang diadakan di Tokyo, Jepun. Kehebatan P. Ramlee dalam membawakan dual role di dalam filem tersebut memikat hati para juri dan beliau diberi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik. Turut memenangi anugerah di temasya yang sama ialah pelakon cilik, Tony Castillo yang menerima Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. Tercatat sejarah baru dunia perfileman apabila dua pelakon yang memegang satu karektor (Sazali) memenangi anugerah di pentas yang sama.

Dua tahun kemudian, FFAP ke-5 dipertandingkan di Manila, Filipina. Filem Sumpah Orang Minyak (1958) telah terbang ke sana. Jurukamera untuk filem tersebut, A. Bakar Ali telah diiktiraf dengan memenangi Anugerah Fotografi Terbaik (Hitam Putih). Ini merupakan kemenangan pertama buat pekerja di belakang tabir dalam sejarah perfileman Melayu.

Pada tahun 1959, giliran Kuala Lumpur pula menjadi tuan rumah untuk FFAP yang ke-6. Shaw Brothers tidak ketinggalan untuk menghantar beberapa buah filem terbitannya untuk bertanding. Untuk FFAP ke-6, filem Pendekar Bujang Lapok (1959) telah berjaya memenangi Anugerah Filem Komedi Terbaik. Selepas menerima anugerah itu, P. Ramlee sempat menunjukkan trofi serta sijil kemenangan filem arahannya kepada Pendita Za’ba. Dengan penuh rasa bangga, Pendeta Za’ba berkata kepada P. Ramlee, “Terima kasih. Saudara telah berjaya menaikkan nama bangsa Melayu pada malam ini.”

Kecemerlangan P. Ramlee di peringkat antarabangsa berterusan pada tahun berikutnya apabila filem Nujum Pa’ Blalang (1959) memenangi Anugerah Filem Komedi Terbaik di FFAP ke-7 di Tokyo, Jepun. Untuk dua tahun berturut-turut, P. Ramlee telah berjaya menguasai filem bercorak komedi di Asia. Agak menarik, Bat Latiff yang memegang watak Belalang di dalam filem itu turut diiktiraf dengan Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Lela Manja (1960) arahan Jamil Sulong.

Pada tahun 1962, filem Seniman Bujang Lapok (1961) telah dihantar untuk bertanding di FFAP ke-9 yang diadakan di Seoul, Korea Selatan. Akan tetapi filem tersebut tidak memenangi apa-apa anugerah.

Walaupun P. Ramlee pulang dengan tangan kosong pada FFAP ke-9, tuah menyebelahinya pada edisi yang berikutnya. Filem Ibu Mertua Ku (1962) menyertai FFAP ke-10 yang diadakan di Tokyo, Jepun. P. Ramlee tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Turut tercalon ketika itu ialah pelakon yang tidak kurang hebatnya, Toshiro Mifune. Namun kedua-dua pelakon itu tewas kepada seorang pelakon dari Korea Selatan iaitu Kim Seoung Ho. Walau bagaimanapun, filem Ibu Mertua Ku tetap memenangi Anugerah Fotografi Terbaik (Hitam Putih). A. Bakar Ali sekali lagi mengulangi kemenangannya di FFAP empat tahun sebelumnya.

Pada festival filem yang sama, satu sejarah yang membanggakan seluruh dunia perfileman Melayu telah tercipta apabila P. Ramlee dianugerahkan Anugerah Bakat Serba Boleh atau Most Versatile Talent. Barisan juri telah mendapati bahawa insan yang bernama P. Ramlee ini terlibat dalam hampir keseluruhan aspek pembikinan filem Ibu Mertua Ku. Di dalam filem itu, P. Ramlee telah bertindak sebagai pengarah, pelakon, penggubah lagu, penyanyi dan penulis lakon layar. Maka dengan itulah barisan juri yang terlibat dalam FFAP ke-10 ini sebulat suara memberi penganugerahan tersebut kepada P. Ramlee kerana kemampuan ajaibnya di dalam filem Ibu Mertua Ku. Semua para hadirin yang hadir telah memberi standing ovation kepada P.Ramlee termasuklah bintang filem Hindi yang terkemuka pada masa itu, Raj Kapoor. Beliau mengatakan “He (P. Ramlee) deserve it” kepada wartawan yang menemubual beliau selepas itu.

Anugerah ini tidak dipertandingkan di mana-mana anugerah seni di dalam dunia sebelum dan selepasnya. Anugerah Bakat Serba Boleh hanya ada pada P. Ramlee sahaja. Turut bertanding di FFAP-10 itu ialah filem Labu dan Labi (1962) namun tidak memenangi apa-apa anugerah.

1964. Ramlee sekali lagi masuk bertanding di FFAP dua tahun kemudian. Kali ini, giliran filem Madu Tiga (1964) pula dihantar ke festival yang berprestij itu. FFAP ke-11 telah diadakan di Taipei, Taiwan pada tahun 1964. Dengan kekuatan yang ada pada filem Madu Tiga, P. Ramlee berjaya menggondol Anugerah Filem Komedi Terbaik buat kali ketiga dalam kariernya. Inilah anugerah terakhir yang diterima oleh P. Ramlee di peringkat

Selepas berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Merdeka Filem Studio pada April 1964, P. Ramlee tidak pernah memenangi apa-apa lagi anugerah di festival filem. Hal ini kerana kebanyakan filem-filem arahannya di Kuala Lumpur agak kurang menyerlah jika dibandingkan dengan filem-filem arahannya di

Sejak berada di Kuala Lumpur, P. Ramlee hanya menyertai dua FFAP. Pertama, P. Ramlee menyertai FFAP ke-12 yang diadakan di Osaka, Jepun menerusi filem 3 Abdul (1964) yang diarahkan oleh beliau di Singapura sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan filem bercorak purbawara – Damaq yang terkandung dalam Ragam P. Ramlee (1965). Kedua-dua filem ini tidak memenangi apa-apa anugerah di Osaka.

Kali terakhir P. Ramlee menjejakkan kaki di pentas FFAP ialah pada tahun 1973 ketika berlangsungnya FFAP ke-19 di Singapura. Filem komedi arahan P. Ramlee, Laxmana Do Re Mi (1973) tercalon untuk Anugerah Filem Komedi Terbaik. Sekali lagi beliau pulang dengan tangan kosong namun P. Ramlee berasa seronok sepanjang berada di Singapura. Beliau sempat bertemu dengan rakan-rakan lama dan penggiat seni dari dalam dan luar negara yang berpusu-pusu datang untuk menemuinya. P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, kira-kira seminggu selepas festival filem itu.

Sumber:

Allahyarham Datuk Aziz Sattar

Dato’ Ahmad Fauzee Samad

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

Daftar Filem Melayu 1933-1993 oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan A. Malek Mokhtar

  1. Ramlee Erti Yang Sakti oleh Ahmad Sarji
  2. Ramlee The Bright Star by James Harding and Ahmad Sarji

Filem-Filem P. Ramlee oleh Mustafar A.R. dan Aziz Sattar

Singapore Cinema by Raphaël Millet

120 Malay Movies by Amir Muhammad


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.