P Ramlee Bercinta Dengan Perempuan Cina?

2,454

P. Ramlee pernah bercinta dengan perempuan cina? Apa hubungannya seniman agung dengan perempuan cina seorang gadis kabaret yang dikenalinya di Singapura?

Yusaini Amir pengarah filem P.Ramlee pernah melontarkan soalan ini melalui salah satu babak dalam filem arahannya di mana P.Ramlee bertemu dengan seorang gadis cina bernama Siew Chen di Singapura, namun babak itu tidak dipanjangkan. Sebaliknya hanya membiarkan begitu sahaja.

Saloma dalam satu kenyataannya pernah memberitahu, “Abang Ramlee setahu saya tidak pernah bercinta dengan seorang perempuan cina di Singapura seperti yang didakwa. Cuma dia pernah mempunyai peminat setia seorang gadis kabaret yang bekerja di kelab malam. Gadis itu kemudian memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang rakan abang Ramlee”. Siapakah rakan P.Ramlee itu?

Filem P.Ramlee arahan Yusaini Amir itu skripnya ditulis oleh Abdullah Hussain (Saterawan Negara) yang juga merupakan penulis buku Gagak Di-Rimba. Ianya merujuk apabila tercetusnya peristiwa Natrah yang berlaku di Singapura. P. Ramlee terpaksa berpindah ke Johor kerana beliau dituduh sebagai salah seorang ejen kaum Boyan di Singapura yang menyebabkan berlakunya rusuhan tersebut.

Di Johor P. Ramlee menetap di sebuah hotel usang dan berkenalan dengan seorang gadis cina bernama Siew Chen yang kebetulan juga berasal dari Pulau Pinang dan telah lama meminati P.Ramlee. Sejauh mana kebenaran kisah ini sukar untuk ditafsirkan kerana filem ini juga tidak pernah ditayangkan. Tetapi yang memperkuatkan asas kisah ini ialah keterlibatan Abdullah Hussain sebagai penulis skrip. Sudah tentulah ada beberapa kebenaran dalam penulisannya. 

Sekitar tahun 1983 seorang pengarah filem bernama Yusaini Amir ingin membikin filem tentang kisah hidup P.Ramlee yang diterbitkan oleh Segugus Filem. Tetapi sayangnya filem itu gagal ditayangkan sehingga sekarang. Yusaini Amir juga telah meninggal dunia di Indonesia.

Masyarakat pada ketika itu sangat teruja ingin mengetahui kisah tentang P.Ramlee terus merasa hampa oleh kerana berita pembikinan filem ini lesap tanpa diketahui. Peranan Yusaini Amir juga sering dikritik pada peringkat awal pembikinan filem ini dengan ramai yang menyatakan keraguan terhadap kebolehannya sebagai pengarah.

Menurut sumber tertentu Yusaini Amir melalui Segugus Filem menghadapi masalah untuk menayangkan filem ini oleh kerana pengusaha panggung wayang enggan menerima filem tersebut kerana menganggap kualiti “P.Ramlee” tidak mencapai tahap yang memuaskan.

Bila tersebar berita filem kisah hidup P.Ramlee ingin difilemkan ramai tokoh filem yang menyambut baik tetapi tidak bersetuju Yusaini Amir yang mengarahkan. Ada juga suara-suara yang menyatakan Jamil Sulong, S. Sudarmadji, Jins Shamsudin dan Aziz Sattar lebih layak mengarah filem P.Ramlee kerana mereka mempunyai sejarah pergaulan yang rapat dengan Allahyarham ketika hayatnya.

Ada pendapat lain mengatakan pemilik syarikat Segugus Filem, Senu Abdul Rahman yang mempengaruhi pemilihan Yusaini sebagai individu untuk mengarah “P. Ramlee”. Sehingga sekarang selepas lebih 35 tahun filem kisah hidup “P.Ramlee” ini masih lagi misteri dan menjadi tanda tanya.

RUJUKAN:

Berita Harian, 15 Oktober 1984.

Mastika Filem, bil.54

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.