Pernahkah anda pernah atau sedang mengalami kesakitan pada suatu bahagian tulang yang terletak di bawah lutut dan pada kedudukan paling atas tulang kering anda? Ataupun anak remaja anda mengadu sakit pada bahagian tersebut? Jika ya, jangan risau. Cuma mungkin anda ataupun anak remaja anda salah seorang penghidap Osgood Schlatter Disease (OSD).

Apakah Osgood Schlatter Disease (OSD)? OSD merupakan sejenis kesakitan pada bahagian yang paling atas pada tulang kering (tibia) yang dikenali sebagai tibial tuberosity iaitu bahagian letaknya sejenis tisu (patella tendon) yang bersambung dari tempurung lutut (patella).

OSD ini kebiasaannya berlaku kepada kanak-kanak yang berusia 8 sehingga 15 tahun yang sedang meningkat ke alam remaja khususnya bagi mereka yang aktif bersukan ataupun seorang atlet. Dalam tempoh ini, tumbesaran struktur anggota badan seperti tulang dan otot berlaku dengan pantas.

Apakah Sebab Berlakunya OSD?

Untuk nak memudahkan pemahaman pembaca, penulis akan menjelaskan secara ringkas kawasan yang terlibat dalam berlakunya OSD ini. Secara umumnya, gejala OSD ini melibatkan beberapa struktur bermula daripada otot peha (quadriceps) yang bersambung dengan tempurung lutut (patella) melalui suatu jaringan tisu fiber (tendon) yang dikenali sebagai quadriceps tendon.

Tempurung lutut pula akan bersambung pada bahagian paling atas tulang kering (tibial tuberosity) yang juga disambungkan oleh sejenis tendon yang dikenali patella tendon. Titik tumpuan OSD ini adalah pada bahagian tibial tuberosity yang juga merupakan tempat letaknya plat pertumbuhan (growth plate).

Sepertimana yang telah dijelaskan, OSD kebanyakannya berlaku kepada kanak-kanak yang sedang meningkat remaja. Persoalannya, mengapa OSD tertumpu kepada golongan ini? Hal ini kerana, tulang kanak-kanak dan remaja memiliki plat pertumbuhan (growth plate) yang terdiri daripada struktur tulang rawan iaitu suatu kawasan berlakunya pertumbuhan pada tulang ketika proses tumbesaran. Berbeza bagi golongan dewasa, tulang kanak-kanak belum berada dalam keadaan matang sepenuhnya.

Maka, plat pertumbuhan ini keadaan fizikalnya tidak seperti struktur tulang biasa iaitu lebih lemah. Tambahan pula, kanak-kanak yang berumur 8 sehingga 15 tahun ataupun dalam tempoh awal akil baligh sedang berada pada tahap tumbesaran yang pantas yang menyebabkan mereka terdedah kepada OSD ini. Selain itu, kanak-kanak atau remaja lelaki juga akan lebih terdedah berbanding perempuan.

Gejala OSD ini akan bermula apabila seseorang itu melakukan aktiviti yang memerlukan kekuatan otot quadriceps secara kerap dan berulang. Sebagai contoh, aktiviti berlari dan melompat seperti dalam sukan bola sepak dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan tempurung lutut (patella) ditarik oleh quadriceps membawa kepada ketegangan pada patella tendon.

Kemudiannya, patella tendon pula akan menarik tibial tuberosity sehingga menyebabkan kecederaan pada plat pertumbuhan lalu menyebabkan rasa sakit ketika terutamanya ketika membengkokkan kaki. Kesakitan ini boleh berlaku secara berkala ataupun secara kerap bergantung kepada situasi kerana ada sebahagian pesakit cuma sakit sewaktu melakukan aktiviti dan sebahagiannya berlaku secara berpanjangan.

Sebagai reaksi kepada kecederaan ini, suatu pembentukan struktur tulang pada tibial tuberosity akan berlaku yang menghasilkan sedikit benjolan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kecacatan pada tulang atau menghalang pertumbuhan tulang yang sedang berlaku pesat daripada terjejas. OSD boleh berlaku pada salah satu kaki atau keduanya bergantung kepada individu.

Rawatan Osgood Schlatter Disease (OSD)

Sebenarnya, OSD ini akan pulih secara alami setelah selesai proses pertumbuhan pesat seseorang remaja. Biasanya pada usia 12 hingga 13 tahun bagi perempuan dan 14 hingga 15 tahun bagi lelaki. Meskipun OSD ini adalah sebahagian daripada kecederaan pada tulang, ianya tidak memerlukan rawatan khusus seperti pembedahan kerana pembedahan boleh menyebabkan kerosakan pada plat pertumbuhan.

Dalam kes terpencil sahaja pembedahan akan dilakukan ke atas fragmen tulang yang tidak sembuh. Walaubagaimanapun, kesakitan dapat dikurangkan melalui beberapa kaedah dengan tujuan untuk mendapatkan keselesaan kepada pesakit.

i. Memakai knee-brace ketika melakukan aktiviti

Ya. Meskipun pemakaian knee-brace hanya popular dalam kalangan pesakit yang mengalami kecederaan ACL, kaedah ini juga sesuai untuk pesakit OSD. Tujuannya adalah untuk menyokong lutut dan mengurangkan ketegangan patella tendon ketika melakukan aktiviti. Tapi, cara yang lebih popular ialah menggunakan pita kinesio, guard lutut atau membalut kawasan bawah lutut dengan cara yang sesuai.

ii. Kaedah regangan

Tujuan regangan ini adalah untuk memberikan kelembutan pada otot peha. Apabila otot peha lembut dah fleksibel, ketegangan pada tendon pun dapat dikurangkan. Regangan ini paling utama mesti dibuat sebelum bermain. Tapi, pada waktu lain pun digalakkan bagi melatih otot peha cepat fleksibel. Kaedah regangan boleh dirujuk kepada pakar ataupun doktor.

iii. Ubat-ubatan

Antara ubat biasa yang dicadangkan untuk pesakit termasuklah acetaminophen (Tylenol) ataupun ibuprofen (Aleve dan Advil). Dos ubat bergantung kepada nasihat doktor.

Selain daripada kaedah di atas, kaedah lain juga dapat digunapakai seperti penggunaan pek pemanas atau ais sebelum dan selepas bersukan. Pesakit juga boleh berehat sementara waktu bagi meredakan rasa sakit. Tapi perlu ingat bahawa semua kaedah ini tidak bukan untuk menyembuhkan tetapi lebih kepada mengurangkan rasa sakit dan memberi keselesaan.

Bagi mereka yang menghidap OSD ini, anda boleh meneruskan aktiviti sukan anda seperti biasa kerana kesakitan ini tidak membawa kepada kecederaan yang lebih serius kepada anda ataupun menjejaskan kemampuan fizikal. Jadi, anda tak perlu risau dan boleh terus cergas seperti biasa.

RUJUKAN:

Gregory, J. (2019, January 8). Osgood-Schlatter Disease. Retrieved from  https://emedicine.medscape.com/article/1993268-overview

Woon, C. (2016, June 10). Osgood Schlatter’s Disease (Tibial Tubercle Apophysitis). Retrieved from https://www.orthobullets.com/knee-and-sports/3029/osgood-schlatters-disease-tibial-tubercle-apophysitis

Su, A. (2019, January). Osgood-Schlatter Disease. Retrieved from https://kidshealth.org/en/parents/osgood.html

Singh, D. (2019, August 23). Osgood Schlatter Disease. Retrieved from http://www.myhealth.gov.my/en/osgood-schlatter-disease/

Miller, J. (2019, September 26). Osgood Schlatter’s. Retrieved from https://physioworks.com.au/injuries-conditions-1/osgood-schlatters-disease

Artikel dikirimkan oleh Ammar Jais untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.