Orhan Bey – Perintis Kepada Pasukan Tentera Elit Janissaries

0
1320
views

Orhan Bey merupakan Sultan Turki Uthmaniyyah yang kedua yang memerintah daripada tahun 1326 hingga 1359 Masihi. Orhan Bey merupakan putera kepada Osman Bin Ertugrul dan dilahirkan di pusat pemerintahan Beylik (Gabenor) Turki Uthmaniyyah iaitu Sogut, Turki. Pada masa ini, Empayar Turki Uthmaniyyah belum lagi menggunakan gelaran Sultan kerana masih lagi bernaung dibawah kekuasaan Kesultanan Rum Seljuk. Orhan Bey dikatakan seorang pemimpin yang berkarisma, gagah dan bijaksana berkat bimbingan ayahanda dan datuknya. Orhan Bey mempunyai cita – cita untuk membina sebuah negara sendiri tanpa perlu bernaung dibawah Kesultanan Rum Seljuk.

Bagi merealisasikan cita – cita tersebut, beliau telah memperkenalkan duit syiling sendiri yang bertulis inskripsi pada syiling tersebut iaitu “Orhan Bin Osman, “Semoga Allah memberi kejayaan kepada beliau”. Orhan Bey juga telah membina pusat perdagangan iaitu Bazaar di Bursa bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Empayar Turki Uthmaniyyah. Ibnu Batuttah juga dikatakan pernah menziarahi kota Bursa dan beliau mengatakan kota Bursa merupakan sebuah pusat perdagangan yang sibuk dan mempunyai jalan – jalan yang agak luas.

Alauddin Pasha yang merupakan saudara Orhan Bey sendiri dilantik sebagai Wazir Besar yang pertama Empayar Turki Uthmaniyyah. Pada masa yang sama, Orhan Bey telah membina sebuah pasukan tentera yang menjadi lagenda sehingga hari ini iaitu pasukan tentera elit Janissaries. Walaupun menurut ahli sejarah yang pasukan Janissaries ditubuhkan oleh Sultan Murad I, namun Orhan Bey lah dikatakan perintis sebenar kepada penubuhan pasukan tentera elit Janissaries.

Waqaf Saham

Ketika zaman pemerintahan Maharaja Rom Byzantine iaitu Maharaja Andronikos III Palaiologos, Orhan Bey dan pasukan tenteranya berjaya menakluki beberapa wilayah daripada kekuasaan Empayar Rom Byzatine iaitu Bursa, Iznik dan sebahagian wilayah Gallipoli. Penaklukan kota – kota tersebut secara keseluruhannya pantai Marmara telah jatuh ke tangan Turki Uthmaniyyah.

Maharaja Andronikos III Palaiologos

Antara tahun 1341 sehingga 1347, Empayar Rom Byzantine telah dilanda konflik perpecahan sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara. Punca berlakunya peperangan tersebut disebabkan kemangkatan Andronikos III Palaiologos dan takhta Maharaja Rom Byzantine telah diserahkan kepada John V Palaiogolos. Namun, Maharaja John V Palaiogolos masih lagi mentah dan takhta tersebut diserahkan kepada salah seorang Menteri Andronikos III Palaiologos iaitu John VI Kantakouzenos sebagai Maharaja Rom Byzantine. Oleh itu, berpecah Empayar Rom Byzantine kepada dua pihak iaitu satu pihak menyokong Maharaja Rom John V Palaiogolos dan satu lagi pihak menyokong Maharaja John VI Kantakouzenos. Orhan Bey telah mengambil kesempatan untuk memanfaatkan konflik perang saudara Empayar Rom Byzantine.

Maharaja John VI Kantakouzenos

Pada tahun 1341, Maharani Anne dari Savoy dan pihak gereja Greek Ortodoks telah melancarkan kudeta dan merampas segala harta milik Maharaja John VI Kantakouzenos. Selain itu, pihak Maharani juga telah penjarakan sekutu kuat Maharaja John VI Kantakouzenos, Gregory Palamas. Oleh itu, Maharaja John VI Kantakouzenos telah meminta bantuan daripada Orhan Bey untuk menggulingkan Maharani dan pihak gereja Greek Ortodoks.

Orhan Bey bersama – sama pasukan tenteranya telah bersetuju membantu Maharaja John VI Kantakouzenos bagi mendapatkan kembali takhta Maharaja Rom Byzantine dan mengusir pasukan Maharani dan gereja Greek Ortodoks daripada Konstantinople. Pada masa yang sama, Orhan Bey dan pasukan tenteranya telah mengambil kesempatan untuk menakluki kota Thrace semasa kempen memerangi pasukan Maharani. Asakan pasukan tentera Orhan Bey dan Maharaja John VI Kantakouzenos telah menyebabkan pasukan Maharani dan gereja Greek Ortodoks terpaksa menyerah kalah dan akhirnya Maharaja John VI Kantakouzenos telah ditabalkan sebagai Maharaja Rom Byzantine. Bagi mengenang jasa Orhan Bey, Maharaja John VI Kantakouzenos telah menghadiahkan wilayah semenanjung Gallipoli kepada beliau. Suleyman Pasha, putera kepada Orhan Bey telah dipertanggungjawabkan oleh Orhan Bey bagi mentadbir wilayah tersebut.

Wilayah Gallipoli yang ditadbir oleh Suleyman Pasha telah menarik perhatian kaum Turki daripada Anatolia untuk berhijrah ke wilayah tersebut. Itulah permulaan tentera Turki Uthmaniyyah untuk memulakan kempen mereka untuk menakluki benua Eropah dengan bertapaknya kekuasaan Turki Uthmaniyyah di wilayah Gallipoli. Suleyman Pasha juga berjaya menakluki beberapa kubu – kubu kuat Empayar Rom Byzantine disekitar wilayah Gallipoli. Namun sayangnya, Suleyman Pasha telah meninggal dunia secara mengejut pada tahun 1357 dan kempen perluasan kuasa Empayar Turki Uthmaniyyah diteruskan oleh adiknya, Sultan Murad I. Punca kepada kematian Suleyman Pasha adalah disebabkan terjatuh daripada kuda tunggangnya ketika pergi berburu.

Makam Orhan Bey

Pada tahun 1359, Orhan Bey telah mangkat dan meninggalkan seorang pewaris yang bernama Sultan Murad I. Punca kepada kematian Orhan Bey adalah disebabkan kedukaan Orhan Bey akibat kematian Suleyman Pasha yang mengejut. Legasi yang ditinggalkan oleh Orhan Bey telah diteruskan oleh Sultan Murad I bagi memastikan cita – cita mereka untuk menakluki kota Konstantinople tercapai.

Rujukan:
1. Inalcik, H. (2013). The Ottoman Empire: 1300-1600. Hachette UK.
2. Douglas A. Howard (2017). A History of the Ottoman Empire. Cambridge University Press, 9 Jan 2017
3. Sevket Pamuk (2000). A Monetary History of the Ottoman Empire. Cambridge University Press, 9 Mar 2000
4. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016
5. İnalcık, H., & Quataert, D. (Eds.). (1994). An economic and social history of the Ottoman Empire, 1300-1914. Cambridge University Press.
6. Algisi, B. K. K. O. Ottoman Perception in The Byzantine Short Chronicles.
7. URAL, S. (2013). THE STRATEGIC IMPORTANCE OF GALLIPOLI FOROTTOMAN RULE IN BALKANS. Electronic Turkish Studies, 8(9).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here