Malaysia digemparkan pada 9 Mei yang lalu, parti yang telah berkuasa selama lebih 60 tahun akhirnya tumbang dan menjadi pembangkang. Dan buat pertama kalinya dalam sejarah arena politik tanah air, sejumlah besar rakyat tidak lagi berminat terhadap ahli terhadap parti politik yang berasakan perkauman. Sebaliknya, rakyat marhaen lebih berminat kepada parti yang boleh mewakili aspirasi serta suara seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Namun, terdapat masyarakat Melayu merasakan dengan kemenangan Pakatan Harapan yang dianggotai oleh Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta Parti Amanah Negara (PAN) ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa gusar di kalangan masyarakat Melayu yang bimbang akan nasib Bahasa Kebangsaan, Hak-hak keistimewaan Melayu serta Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan bakal dilenyapkan oleh orang Melayu sendiri tanpa disedari. Bahkan lebih tragik lagi, ia berlaku di tempat asalnya sendiri.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia pada hari ini sudah menolak kepada parti yang bersifat eksklusif kedapa sesebuah kelompok tertentu. Dan apakah dengan berakhirnya era UMNO kedudukan masyarakat Melayu dan peribumi di Sabah dan Sarawak akan terancam dengan slogan Bangsa Malaysian yang menginginkan keadilan dan kesama-rataan sehingga menggadai maruah bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam itu sendiri?

Majoriti beranggapan bahawa kedudukan dan keistimewaan itu tetap TERJAMIN selagi adanya bulan dan bintang, dan selagi adanya Majlis Raja-Raja Melayu selagi itulah kedudukan istimewa ini takkan terganggu. Pada hakikatnya, cuba imbau kembali isu penghapusan kekebalan Raja-Raja Melayu, walaupun majoriti Ahli Parlimen bersetuju untuk meminda kuasa kekebalan Diraja dan seluruh Raja-Raja Melayu sebulat suara menolak keputusan tersebut, namun ianya akan dianggap sebagai SAH walaupun tanpa rela dan persetujuan Majlis Raja-Raja, namun ianya akan dikuatkuasakan setelah 60 hari dari tarikh akhir usul itu dipersetujui di Dewan Rakyat dan menjadi kata putus yang MUKTAMAD.

Dan perkara inilah yang menghantui masyarakat Melayu amnya dengan tumbangnya UMNO, maka berakhirlah harapan dalam membela masyarakat Melayu secara keseluruhannya. Tapi, apa benarkah kenyataan diatas yang mengatakan tumbangnya UMNO, nasib Ketuanan Melayu turut hilang serta? Di dalam nukilan ini akan menjelaskan nasib umat dan hak keistimewaan umat Melayu masih boleh dibela walaupun TANPA perlu bergantung melalui saluran politik.

Nadhlatul Ulama, Muhammadiyah, Sarekat Islam Sebagai Organisasi Pendesak Terhadap Pemerintahan Serta Benteng Asakan Sekularisme Dan Kirstianisasi Di Indonesia, Juga Menjadi Tempat Untuk Masyarakat Berdikari.

Sejak di zaman penjajahan Belanda lagi masyarakat Islam di gugusan Nusantara gusar akan pengaruh sosial yang dibawa oleh mereka yang tersebar kedapa masyarakat yang jelas bertentangan dengan nilai ketimuran. Ditambah pula sikap rakus yang ditunjukkan oleh mereka sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa sesuatu harus dilakukan sebelum terlambat walaupun Belanda kurang agresif dalam menyebarkan kepercayaan yang mereka anuti.

Simbol organisasi Sarekat Islam

Dan pada 1905, sebuah organisasi yang diberi nama Sarekat Dagang Islam telah diwujudkan oleh Hj. Samanhudi yang merupakan salah seorang saudagar kain batik. Bersama rakan seangkatannya menubuhkan organisasi ini sebagai tindak balas terhadap dasar penjajah membawa masuk pedagang asing secara besar-besaran yang jelas mengancam periuk nasi masyarakat tempatan.

Tujuan asal persatuan ini hanya mencakupi permasalahan ekonomi dan sosial masyarakat setempat. Dan apabila ia semakin mendapat sambutan yang amat mengalakkan pada masyarakat, maka pada tahun 1912. setelah 7 tahun dari tarikh penubuhannya, ia berubah menjadi sebuah gerakan politik serta gerakan Islah yang sangat ampuh.

Berbanding pesaingnya, Budi Utomo yang ditubuhkan pada 1908, Sarekat Islam lebih mendapat tempat di mata masyarakat kerana keanggotaannya lebih bersifat terbuka berbanding Budi Utomo yang majoritinya dianggotai oleh golongan elit yang berpelajaran. Dan ia pernah diharamkan oleh penjajah Belanda ketika itu kerana gerakan tersebut membawa ancaman terhadap kepentingan Belanda sehingga namanya berubah beberapa kali sehinggalah pada tahun 2003, ianya kembali kepada nama asalnya pada awal penubuhan.

Universitas Muhammadiyah Malang. salah satu universiti yang dikelolakan dan dimiliki oleh Muhammadiyah

Muhammadiyah yang bererti pengikut Muhammad merupakan organisasi Islam kedua terbesar dan berpengaruh di Indonesia selepas Nahdlatul Ulama (NU). Ditubuhkan pada 1912 oleh Kiai Haji Ahmad Dahlan di Jogjakarta mempunyai pengikut seramai 50 juta di seluruh Indonesia pada saat ini serta mampu mendirikan sekolah, universiti dan hospital tanpa perlu mengharapkan bantuan dana dari kerajaan serta memberi khidmat bakti kepada masyarakat setempat. Gerakan ini wujud sebagai respons kedapa cara hidup masyarakat Islam pada ketika itu yang mana amalan Islam mereka bercampur dengan unsur kepercayaan kuno mereka yang jelas bercanggah dengan syariat Islam itu sendiri.

Mereka menekankan bahawa Islam bukan sekadar soal ritual semata-mata, juga berfokus kepada permasalahan utama pada setiap peringkat bermula dari sekecil-kecil perkara sehinggalah masalah sejagat yang menimpa umat Islam pada hari ini seperti pemimpin Islam yang gagal membela umatnya. Dan organisasi ini mempunyai corak pentadbiran dan jalan kerja yang sistematik bermula di peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi bagi memastikan gerakan ini terus mendapat tempat pada masyarakat.

Abdul Rahman Wahid atau lebih mesra dipanggil Gus Dur merupakan salah seorang ahli Nahdlatul Ulama

Nahdlatul Ulama atau singkatannya NU yang membawa maksud ‘Kebangkitan Ulama’ ditubuhkan pada 31 Januari 1926, 10 tahun selepas wujudnya Nahdlatul Watan (Kebangkitan Tanah Air) dan diikuti siri “Nahdlatul” sebelum disatukan dibawah sebuah organisasi yang membentuk Nahdlatul Ulama.

Gerakan ini wujud sebagai kesedaran untuk menyuarakan ketidak-adilan kuasa penjajah terhadap peribumi dengan menidakkan hak masyarakat untuk medapatkan pendidikan sewajarnya yang hanya terbuka untuk golongan bangsawan sahaja disamping sebagai alternatif kepada pesaingnya, Muhammadiyah yang dilihat sebagai tidak bertolak ansur terhadap iklim masyarakat setempat yang rata-rata bersikap bertimbang rasa dan rasional dalam mendalami masalah berkaitan Hukum Syariah.

Struktur organisasi ini juga seperti Muhammadiyah bersifat sistematik agar kelancaran dalam melaksanakan dakwah dan mejaga kepentingan Islam berjalan dengan sempurna. Dan ianya pernah menjadi sebuah parti politik pada tahun 1954 sehingga 1973 sebelum kembali kepada gerakan bersifat organisasi.

Dengan beralihnya NU dari gerakan politik kepada organisasi, ia tidak bererti NU sudah tidak relevan, sebaliknya wujud parti politik yang menyatakan sokongan terhadap NU seperti Partai Persatuan dan Pembangunan (PPP) dan Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) yang mana bekas Presiden Indonesia terdahulu, Abdul Rahman Wahid atau nama popularnya Gus Dur merupakan salah seorang daripada ahli NU. Nahdlatul Ulama merupakan organisasi berasaskan Islam terbesar didunia dengan keahlian anggotanya sebanyak 90 juta orang.

Apakah gerakan di Indonesia kita harus contohi? Di Malaysia juga terdapat perkara yang serupa dan majoritinya dipelopori oleh oleh golongan bukan Bumiputera memandangkan tahap kesedaran mereka untuk memperjuangkan nasib dan kepentingan mereka sangat tinggi. Mereka tidak memilih untuk menjadikan saluran politik sebagai medan untuk bergantung harap memandangkan platform politik hanya dijadikan sebagai tempat untuk mendedahkan keburukan pihak lawan.

Bangunan Persatuan Hokkien Klang ; ‘Melting Pot’ bagi semua orang cina Hokkien di Klang menjalinkan agenda mereka

Di sinilah peranan Dewan Perniagaan, Persatuan-persatuan serta ahli politik mereka bersatu walaupun datang dari parti yang berbeza. Mereka boleh berbeza pendapat, namun ia bukan bererti kepentingan sesebuah bangsa boleh dipandang remeh. Dan ia telah terbukti dengan wujudnya persatuan-persatuan sebegini dan dewan perniagaan mereka mampu melindungi kepentingan mereka tanpa perlu campur tangan dari pihak luar serta mampu berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan dalam memperkasakan agenda mereka.

DAN WUJUDKAH GERAKAN SEPERTI ITU PADA KALANGAN ORANG MELAYU?

Fastaqim PAS 2. 0 pada 2017 lalu menggambarkan seluruh ahli PAS bersatu padu sesama mereka

Hanya sebuah organisasi sahaja yang mampu dilihat memenuhi kriteria tersebut; iaitu Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS. Kenapa PAS? Bukan BN/UMNO ataupun PH? Sebab PAS mampu bergerak sebagai sebuah organisasi selain daripada politik. Namun sayang, gerakan politik dan organisasi dilihat tidak sesuai digandingkan bersama memandangkan sifat politik itu sendiri mempunyai unsur penentangan diantara satu sama lain yang bertentangan dengan objek asal PAS itu sendiri iaitu memperkasakan perkara berkaitan Islam dimana pendekatannya haruslah bersifat penyatuan dan bukannya pengasingan.

Sebab itu apabila konflik berkaitan perkara melibatkan PAS sering disalah tafsir oleh masyarakat luar yang rata-rata jahil serta terlalu cepat menghukum. Ditambah pula dengan stigma majoriti ahli PAS yang masih lagi belum mampu berfikir diluar lingkup permasalahan juga menyebabkan seolah-olah takut untuk mendekati PAS walaupun telah berbagai usaha mereka lakukan untuk mendorong masyarakat supaya berpihak kepada mereka.

Namun itu bukanlah penamat bagi perjuangan PAS walaupun sambutan masyarakat agak dingin, sedikit sebanyak ada peningkatan jumlah pengikut yang tidak terlalu ketara. Dan andaikata perubahan ini konsisten, tidak mustahil PAS mampu menjadi salah sebuah organisasi yang berpengaruh pada masa akan datang JIKA pucuk pimpinan tidak lagi berada di pemikiran takuk lama serta jumud dalam menyingkap suatu permasalahan, pengikut parti yang keluar dari kepompong pola pemikiran sempit serta ahli-ahlinya mampu memperbetulkan cara masyarakat memandang PAS itu sendiri.

Persoalannya disini, apakah masyarakat Melayu perlu bergantung sepenuhnya kepada PAS dalam memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, memelihara hak dan keistimewaan Melayu serta akan sentiasa taat setia kepada Raja-Raja Melayu? Jawapannya ; TIDAK. Kerana terlalu bergantung harap pada satu tempat akan berakhir dengan kekecewaan seperti mana yang telah menimpa kepada tiang seri Barisan Nasional, UMNO sebelum ini.

Sebaliknya masyarakat perlu sedar akan hak mereka sebagai rakyat Malaysia serta masyarakat Melayu perlu diasingkan supaya mereka tidak terkeliru dalam soal ini. Berbalik kepada persoalan utama tadi, orang Melayu kini perlu bergerak melalui organisasi atau persatuan dalam menjaga hak mereka melangkaui sempadan perbezaan politik kerana pada zaman keterbukaan ini, menjadikan saluran politik dalam menjaga hak sesuatu bangsa dan agama dilihat sudah tidak relevan lagi.

Masyarakat Melayu perlukan lebih banyak organisasi dan persatuan yang mempunyai gerak kerja seperti PAS, bukan meneladani ideologi dan gagasan yang dibawa oleh PAS kerana kita sedang jauh ketinggalan oleh mereka yang lebih dahulu sedar akan menjaga survival bangsa mereka. Kita boleh berbeza pendapat mahupun ideologi perjuangan, namun itu bukanlah alasan untuk kita dilarang duduk semeja dalam menjaga hak dan kepentingan kita.

Tidak usah takut dengan istilah “Rasis” kerana istilah itu hanyalah datang dari bibir yang takutkan bayang-bayang sendiri, bak kata leluhur kita dahulu kala : ‘siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya’.  Dan sampai bilakah umat Melayu nak Move On jika kitasering mengungkit luka lama? Apa sampai tahap seperti nasib Red Indian, Aborigin ataupun Maori baru kita nak bertindak? Jikalau saudara/i mengatakan YA kepada jawapan itu, sila sediakan kain kafan sebagai ganti bajumu itu.

Tujuan utama penulis menulis permasalahan ini rentetan rata-rata masyarakat Melayu tertanya-tanya apakah nasib dan survival orang Melayu selepas ini setelah kejatuhan tonggak utama mereka. Sebagai seorang yang sering mengembara melihat dunia luar, tidak pernah satu pun bangsa yang pernah menjadikan saluran politik sebagai wadah dalam membela bangsa selain bangsa Melayu di tanah air yang tercinta ini.

Dan ingin dijelaskan disini adalah dengan adanya perlembagaan yang menyatakan kedudukan Islam, Melayu dan Raja bukan bererti kita sudah cukup selamat dalam soal ini. Perlu diingatkan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen Westminster, apa sahaja boleh berlaku di negara kita. Disini kita perlu mengambil iktibar bagaimana suara masyarakat Islam di Indonesia didengari oleh semua pihak memandangkan kedudukan agama Islam disana diklasifikasikan sebagai “RASMI”, sama seperti Kristian, Buddha dan Hindu.

BAZNAS (Badan Amil Zakat Nasional) sebagai salah satu hasil ushah daripada persatuan Islam untuk melihat satu sistem kutipan dan agihan Zakat diuruskan secara bersepadu

Dalam bahasa mudah, martabat Islam hanya di atas kertas sahaja. Seperti contoh-contoh organisasi yang telah dinyatakan diatas, mereka perlu melakukan sesuatu sebelum sesuatu berlaku keatas mereka dan hasil darpada tindakan tersebut terhasilah RUU (baca : Akta) Anti Penistaan Agama, Baznas (Badan Amil Zakat Nasional), dan institusi pendidikan yang dibangun tanpa bantuan dana dari kerajaan serta gerakan Dakwah bagi mengekang Gerakan Kristianisasi Indonesia yang menjadikan saluran TV sebagai medium Dakwah (baca : pemurtadan) kepada umat.

Salah satu stesen TV milik Gerakan Kristianisasi di Indonesia

Dan situasi disana, organisasi menggerakkan masyarakat dan Politik. Sayangnya, keadaannya sebaliknya berlaku dinegara kita, Politik yang menggerakkan Organisasi dan Masyarakat. Dan inilah punca kenapa masyarakat Melayu di Malaysia dilihat gagal dalam memahami serta menyelesaikan permasalahan yang melanda mereka selama ini. Moga dengan artikel ini sedikit sebanyak dapat mengubah stigma pola pemikiran kita serta cara kita memandang sesuatu permasalahan itu pada sudut pandang yang berbeza dan berfikir kembali apa langkah penyelesaian yang terbaik bagi mengakhiri dilema ini.

Menyalahkan orang lain sememangnya mudah, namun menyalahkan diri sendiri sukar dilakukan dan mengubahnya menjadi lebih baik menuntut sebuah usaha dan pengorbanan dan ini adalah paling sukar bagi mana-mana manusia yang berjiwa pecundang. Namun itulah yang terbaik demi melihat kemajuan Melayu pada masa akan datang.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.