Orang Pyu: Penghuni Pertama Burma

550

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Zaman pra-sejarah Burma bermula pada sekitar tahun 11,000 SM, di mana 3 buah gua berdekatan kawasan Taunggyi menjadi bukti bahawa penghuni Burma mencapai Fasa Neolitik pada 10,000 – 6,000 SM.

Pada tahun 1500 SM, penghuni Burma mula menanam padi, dan menternak ayam dan khinzir, memasuki Fasa Gangsa. Masuk 500 SM, barulah penghuni mahir menukang peralatan besi, di mana penempatan pertama dibina di Mandalay.

Bulatan merah itu adalah dunia orang Pyu dan negara-kota yang mereka bina sepanjang Sungai Irrawaddy.

1) HADIRNYA ORANG PYU DI BURMA

Pada abad ke-12 Masihi, kaum Pyu berbahasa Tibeto-Burman mula memasuki lembangan Sungai Irrawaddy dari Yunnan, menggunakan jalan Sunggai Tapain dan Shweli. Daerah Qinghai dan Gansu, terutamanya sekitar Tasik Qinghai menjadi penempatan orang Pyu. Sejak kehadiran orang Pyu, lembangan Sungai Irrawaddy dan Sungai Chindwin pesat dengan penubuhan negara-kota. Menurut rekod dari Dinasti Tang, terdapat 18 negara-kota Pyu, di mana 9 buah negara-kota mempunyai tembok yang melindungi 298 buah daerah.

Orang Pyu mengamalkan pertanian padi sebagai sumber ekonomi sejak penempatan mereka berdekatan dengan sungai. Mereka juga pernah berdagang dengan China dan India melalui Sungai Irrawaddy bermula pada 128 SM. Pernah duta Empayar Rom di China melalui laluan dagang di negara-kota Pyu pada tahun tahun 97 Masihi dan 120 Masihi.

Budaya orang Pyu mengikut budaya India dan agama Hindu memandangkan orang Pyu sangat rapat dengan kebudayaan India tersebut. Sehinggalah nama negara-kota mereka mempunyai unsur Bahasa Pali dan Sanskrit. Tambahan pula, megikut lagenda Burma, raja-raja kerajaan Pyu Tagaung adalah berketurunan puak Sakya dari India.

Pagoda Shwezigon di Pagan, meniru budaya binaan orang Pyu yang dibina pada abad ke-11 Masihi.

Masuk abad ke-4 Masihi, orang Pyu beralih kepada ajaran Buddha sejak ajaran tersebut tersebar ke luar India. Menurut rekod arkeologi dan China, orang Pyu mengamalkan ajaran Buddha Theravada. Kehidupan orang Pyu sepanjang penempatan di tanah Myanmar adalah aman dari segala bencana berbentuk p3rang dan konflik dalaman. Malah, remaja lelaki Pyu jika menginjak usia 20 tahun harus hidup dalam suasana beragama.

Menurut kajian arkeologi oleh penyelidik Myanmar, 12 buah negara-kota telah ditemui dan antara negara-kota tersebut, terdapat 5 buah negara-kota terbesar dibina pada fasa penempatan orang Pyu di tanah Burma.

2) BEIKTHANO

Negara kota besar pertama adalah Beikthano yang lokasinya di kawasan Taungdwingyi, Maksud kata Beikthano merujuk kepada dewa Vishnu dan ia adalah negara-kota tertua setakat ini dalah rekod kajian arkeologi Myanmar. Binaan kota, artifak, dan tulang-temulang manusia di Beikthano berusia sekitar 200 – 100 Masihi. Negara-kota tersebut berkemungkinan adalah yang pertama menyebarkan budaya orang Pyu dan mempunyai sistem politik tersendiri.

Beikthano mempunyai dinding kubu yang meliputi kawasan 300 hektar penempatan, Dinding kubu tersebut bersaiz 6 meter lebar dan dibina sekitar tahun 180 SM – 610 Masihi. Laluan gerbang utama Beikthano pula, jalannya menuju ke istana di bahagian timur. Stupa dan bangunan keagamaan juga dibina dalam Beikthano.

3) MAINGMAW

Maingmaw adalah negara-kota besar yang lokasinya di kawasan Kyaukse, bentuk negara-kota ini bulatan berbanding Beikthano yang bersegi empat, dibina pada abad pertama SM. Negara-kota ini luasnya sebesar 222 hektar dan berdiameter 2.5 km, menjadikan ia adalah negara-kota terbesar di lembangan Kyaukse.

Maingmaw mempunyai dua buah dinding kubu, di mana lapisan dinding luar berupa segi empat manakala lapisan dinding dalam berupa bulatan. Binaan dinding dibuat sedemikian kerana ia melambangkan syurga, mengikut tanda zodiac yang orang Pyu percaya. Dalam aktiviti arkeologi di Maingmaw pada 1979, penyelidik menemui barang kemas, syiling perak, dan pasu abu mayat.

4) BINNAKA

Binnaka adalah negara-kota yang berjiran dengan Maingmaw dengan keluasan 200 hektar. Negara-kota ini mempunyai unsur budaya Buddha kerana penemuan banyak artifak unsur Buddha seperti barang kemas berupa jed dan rantai emas, batu berukiran banruk gajah, kura-kura, dan singa; tembikar, dan tablet yang terdiri dari skrip Pyu. Menurut sumber arkeologi juga, Binnaka dikatakan penyebab kepada runtuhnya kerajaan Tagaung

Also excavated are distinctive silver coins identical to those found at Beikthano and Binnaka, stone moulds for casting silver and gold ornamental flowers, a gold armlet in association with a silver bowl that has Pyu writing on it, and funerary urns virtually identical to those found Beikthano and Binnaka.[12]

5) HALIN

Negara-kota Halin terletak di lembah Mu, yang mempunyai kawasan perairan terbesar dan negara-kota orang Pyu yang paling utara. Halin mempunyai 12 buah pintu gerbang kayu yang bertarikh sekitar 70 Masihi. Halin mempunyai kubu bersegi empat yang diperbuat oleh bata, namun bahagian sudut kubu adalah melengkung. Negara-kota ini agak luas, dua kali ganda dari Beikthano dengan 664 hektar.

Pada abad ke-7 Masihi, Halin menjadi negara-kota terpenting orang Pyu kerana satu-satunya pengeluar garam yang ketika itu adalah emas bagi warga pendagang. Pembinaan Halin juga menjadi rujukan untuk pembinaan kota-kota kerajaan Pagan dan Siam Sukhothai.

6) SRI KSETRA

Pagoda Bawbawgyi di Sri Ksetra. Satu-satunya pagoda tinggalan orang Pyu yang menjadi rujukan binaan pagoda Empayar Pagan.

Dikenali sebagai Thaye Khittaya (Padang Kemenangan), ibu-kota ini bertempat di 8 km dari tenggara perkampungan Hmawza, menjadikan ia adalah negara-kota Pyu paling selatan. Negara-kota ini dibina pada abad ke-5 dan ke-7 Masihi.

Dalam pentadbiran politik, Sri Ksetra pernah ditadbir oleh dua dinasti iaitu Dinasti Vikrama yang pernah menghasilkan Kalendar Pyu yang kemudian diberi nama lain iaitu Kalendar Burma, ditubuhkan pada 22 Mac 638. Dinasti seterusnya memerintah Sri Ksetra adalah Dinasti Duttabaung yang ditubuhkan oleh raja Duttabaung pada 25 Mac 739.

Sri Ksetra mempunyai kubu yang tingginya 4.5 meter dan mempunyai 12 buah pagar bersama patung devas (dewa) yang besar mengawal setiap pintu kubu. Bahagian tengah negara-kota ini mempunyai istana berbentuk persegi empat yang mempunyai simbolik zodiac tertentu. Bahagian selatan Sri Ksetra terbinanya kuil, istana, dan perumahan manakala bahagian utara pula hanya terdiri dari sawah padi.

Berbanding dengan negara-kota Pyu lain, Sri Ksetra berfungsi sebagai pelabuhan untuk pedagang China dan India berdagang kerana lokasinya adalah terdekat dengan lembangan Sungai Irrawaddy yang menuju ke laut. Sri Ksetra mempunyai hubungan dagang yang rapat dengan India, menjadikan negara-kota ini sebagai tempat penyebaran ajaran Budha Theravada.

Banyak rujukan China mengenai orang Pyu melalui Sri Ksetra, antaranya adalah sami Buddha yang popular dengan mengembara ke India bernama Xuanzang, mengenali Sri Ksetra sebagai kerajaan Buddha dari Asia Tenggara. Dalam rekod Dinasti Tang, pernah duta orang Pyu datang ke China pada 801, berkemungkinan duta tersebut berasal dari Sri Ksetra.

7) TAGAUNG

Selain kelima-lima negara-kota Pyu , kerajaan kecil Tagaung adalah antara negara-kota yang popular ditubuhkan oleh orang Pyu yang menetap di utara Burma. Tagaung ditubuhkan pada abad pertama Masihi. Tagaung telah lama menjadi penempatan bagi manusia Fasa Neolitik dan Gangsa, kemudian orang Pyu menubuhkan negara-kota mereka yang mengambil unsur budaya Buddha.

Menurut manuskrip Hmannan Yazawin, Tagaung adalah negara-kota yang melahirkan dinasti paling pertama dalam sejarah dinasti Burma. Dalam manuskrip tersebut, Tagaung ditubuhkan oleh Abhiyaza dari puak Sakya dari India pada 850 SM. Melalui Abhiyaza, para monarki Burma mempunyai talian berdarah dengan raja pertama beragama Buddha iaitu Maha Sammata. Tagaung ditadbir oleh dua dinasti. Dinasti pertama ditubuhkan oleh Abhiyaza sendiri dan dinasti kedua pula ditubuhkan oleh puteranya bernama Dazayaza.

DI FASA AKHIR PENEMPATAN ORANG PYU

Orang Pyu mengalami fasa keamanan sejak pertama kali mereka tiba di Burma sehinggalah pada abad ke-9 Masihi, kehidupan mereka berubah sekelip mata oleh penjajahan ‘tentera berkuda’ dari utara.

‘Tentera berkuda’ tersebut merujuk kepada bala tentera Kerajaan Nanzhao dari selatan China, menjarah negara-kota Pyu melalui utara Sungai Irrawaddy. Menurut rekod dinasti Tang, tentera Nanzhao memulakan penjarahan pada awal 754 atau 760. Masuk tahun 763, raja Nanzhao bernama Ko-lo-feng telah menakluk utara Burma. Penjarahan Nanzhao tidak berhenti bermula 800 hingga 809.

Akibat dari penjarahan Nanzhao, dunia orang Pyu musnah dan orang Burma mula muncul sebagai penghuni kedua Burma, membina dunia mereka di atas tapak keruntuhan negara-kota Pyu. Orang Burma menubuhkan kerajaan Pagan pada lewat abad ke-10 Masihi dan melalui penyatuan dengan utara Burma, Pagan menjadi empayar Burma pertama dunia pada abad kemudian. Masyarakat orang Pyu diterima sebagai sebahagian rakyat Pagan.

Orang Pyu kekal menetap dalam Empayar Pagan sehingga pada abad ke-13 Masihi, orang Pyu diserap masuk sebagai orang Burma. Maka, berakhirlah legasi orang Pyu dan menjadi sejarah yang patut dipelihara oleh para arkeologi dan sejarahwan Myanmar.

RUJUKAN:

Harvey, G. E. (1925). History of Burma: From the Earliest Times to 10 March 1824. London: Frank Cass & Co. Ltd.

Htin Aung, Maung (1967). A History of Burma. New York and London: Cambridge University Press.

Hudson, Bob (March 2005), “A Pyu Homeland in the Samon Valley: a new theory of the origins of Myanmar’s early urban system”, Myanmar Historical Commission Golden Jubilee International Conference. https://web.archive.org/…/acl.arts.us…/~hudson/BH2005Jan.pdf

Stargardt, Janice (1990). The Ancient Pyu of Burma: Early Pyu cities in a man-made landscape (illustrated ed.). PACSEA.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.