Ada banyak kelebihan jadi orang tinggi berbanding orang pendek. Antaranya seperti dapat ambil barang di tempat yang dicapai dan langkah lebih panjang semasa berjalan atau berlari. Tetapi orang pendek patut bersyukur kerana mereka lebih susah jatuh sakit berbanding orang tinggi.

Ini berdasarkan satu kajian yang diketuai Sridharan Raghavan dari Pusat Perubatan VA Wilayah Pergunungan Rocky, Amerika Syarikat baru-baru ini. Mengikut kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS Genetics itu, orang tinggi berisiko menghidap neuropati periferi dan jangkitan kuman pada kulit dan tulang (misalnya, ulser kaki dan tapak kaki). Pada masa sama, risiko mereka mendapat penyakit jantung dan tekanan darah tinggi pula rendah.

Orang tinggi lebih berisiko mendapat jangkitan pada tulang dan kulit seperti ulser. Sumber: Mint Images – Jonathan Kozowyk/Getty Images/Mint Images RF

Ketinggian seseorang itu bila mencecah usia dewasa ditentukan oleh ribuan varian gen yang digabungkan faktor-faktor persekitaran seperti status sosio-ekonomi. Sebelum ini, saintis cuba mengenalpasti sama ada ketinggian seseorang itu memberi kesan besar dari segi risiko kesihatan atau faktor-faktor yang mempengaruhi ketinggian seseorang. Bagaimanapun, kaitan antara ketinggian manusia dengan penyakit tidak pernah dijadikan sebagai subjek kajian.

Untuk kajian ini, pasukan pengkaji menganalisis data 323,793 orang bekas anggota tentera AS yang menyertai Program Veteran Juta VA. Program tersebut direka untuk mencari kaitan antara gen, faktor persekitaran dan penyakit. Kajian sama turut melihat lebih 1,000 ciri fizikal dan tabiat peserta kajian sekaligus menjadikan ia sebagai kajian hubungkait penyakit dan ketinggian yang terbesar pernah dilakukan setakat ini.

Keputusan kajian ini mengesahkan orang tinggi lebih berisiko mengalami pemfibrilan atrium, vena varikos dan neuropati periferi. Pada masa sama, mereka berdepan risiko rendah mengalami penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan kandungan kolesterol yang tinggi.

Siapa sangka, wanita tinggi berisiko dijangkiti penyakit lelah akibat ketinggian tubuh badan mereka.

Disebabkan kumpulan saiz sampel yang besar, pasukan pengkaji juga dapat menilai sejauh mana pengaruh jantina terhadap ketinggian manusia dan penyakit. Misalnya, wanita tinggi lebih terdedah kepada penyakit lelah dan gangguan saraf periferi berbanding lelaki.

Hubungkait pelbagai jenis gen yang berkait dengan ketinggian dan penyakit membolehkan pengkaji melihat sebab sesuatu penyakit tidak lagi dikaitkan dengan sebab persekitaran atau berat badan. Begitupun, kajian ini masih tidak menjelaskan bagaimana ketinggian manusia boleh mempengaruhi punca sesebuah penyakit kepada orang tinggi.

Hal ini boleh diatasi dengan kajian lebih lanjut berkenaan punca sesebuah penyakit dan kaitannya dengan ketinggian manusia. Ini termasuk mengenalpasti bahan biokimia atau cara saiz fizikal memberi reaksi kembali terhadap fungsi badan manusia.

Selain itu, fokus kajian seterusnya sepatutnya menambah bilangan saiz sampel dengan menambah bilangan individu dari populasi yang lebih luas. Ini terpakai bukan saja kepada individu yang berlainan etnik (misalnya golongan Afrika-Amerika dan Asia-Amerika), kelompok bukan veteran dan golongan wanita. Dengan membuka ruang kepada bilangan peserta yang lebih ramai, ini dapat membantu pasukan pengkaji menterjemah data dan membuat kesimpulan yang lebih tepat.

Salah satu implikasi kajian ini ialah lebih banyak ujian kesihatan khusus untuk orang tinggi. Namun begitu, menurut Tamar Sofer dari Sekolah Kesihatan Awam T.H. Chan Harvard, lebih banyak kajian perlu dibuat sebelum ujian sebegitu dapat dilaksanakan secara amali di peringkat klinikal.

Memang diakui manusia tidak boleh berbuat apa-apa dari segi ketinggian. Tetapi dengan mengetahui kaitannya dengan beberapa jenis penyakit, ini sekurang-kurangnya membantu membuat persiapan termasuk mengetahui cara merawat penyakit yang dinyatakan. Tak sangka ya, ingat jadi tinggi ini ada faedahnya. Rupanya, tinggi pun ada susahnya juga kan?

Nota kaki

Neuropati periferi – keadaan yang menyebabkan saraf periferi pesakit semakin tidak berfungsi akibat kesan sampingan ubat entiretrovirus (antiretroviral) seperti Didanosine.

Pemfibrilan atrium – aritimia, pencepatan dan gangguan kadar denyutan jantung dan nadi disebabkan disebabkan masalah darah tinggi dan arterosklerosis.

Arterosklerosis – penyakit kronik vaskular yang progresif di mana plak terdiri daripada kolesterol, lipid dan ejen keradangan akan berkumpul di dinding arteri.

Penyakit jantung koronari – penyakit seperti sklerosis atau trombosis yang menghalang pengaliran darah melalui arteri kepada jantung.

Amali – perlaksanaan teori/prinsip di dunia sebenar.

RUJUKAN

Gregory, A. (2022, 2 Jun). More skin infection, less heart disease: study reveals how being tall affects health. The Guardian.

Wong, C. (2022, 2 Jun). Taller people may have a higher risk of nerve, skin and heart diseases. New Scientist.

McRae, M. (2022, 3 Jun). Massive New Study Confirms Being Tall Puts You at Risk of a Bunch of Diseases. Science Alert.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply