Moving Forward As One

Orang Minatogawa Ialah Moyang Kepada Kaum Jepun Moden?

2,009

Baru-baru ini, laman web sains bernama Nature menerbitkan jurnal sains tentang keturunan kaum Jepun moden dan dinyatakan dengan jelas bahawa komuniti manusia dari fasa Paleolitik bernama Minatogawa ialah nenek moyang Jepun sebenar.

Kajian ini dibuktikan dengan analisa DNA terhadap fosil manusia yang berusia 20,000 tahun yang dinamakan dengan nama kod Minatogawa 1, di mana fosil ini ditemui dalam kuari batu kapur di Okinawa pada 1970.

Fosil manusia bernama ‘Minatogawa 1’

1. MIGRASI MANUSIA KE JEPUN

Ahli paleoanthropologi (mengkaji asal-usul manusia) telah bersepakat bahawa spesis manusia moden (Homo sapiens) pertama kali bermigrasi keluar dari Afrika dan tiba di tanah besar China pada 50,000 SM. Teori popular berkenaan migrasi manusia ke Jepun ialah mereka bermigrasi dari Asia Tenggara. Manusia pertama kali tiba ke Jepun adalah sekitar 40,000 atau 30,000 tahun dulu, ketika Jepun masih lagi sebahagian dari benua Asia.

Mengikut sejarah manusia di Jepun, terdapat dua kumpulan manusia terawal yang migrasi ke Jepun. Kumpulan pertama ialah kaum Jomon, manusia pemburu yang menetap pada 14,500 SM dan 1,000 SM. Kemudian wujud gelombang migrasi manusia kedua iaitu kaum Yayoi dari timur laut Asia yang mahir bertani. Kaum ini menetap Jepun pada 1,000 SM dan 250 Masihi. Kedua-dua kaum ini berbeza budaya melalui penemuan tembikar.

2. PENEMUAN FOSIL MANUSIA DI KEPULAUAN RYUKU

Pada akhir 1960-an, ahli arkeologi amatur bernama Seiho Oyama mengkaji cebisan tulang yang ditemui dalam batuan yang dia peroleh. Kemudian kajian itu membawanya ke kuari Minatogawa di Okinawa, Kepulauan Ryuku di selatan Jepun. Pada 1969 barulah Oyama melaporkan penemuan fosil manusia di kuari tersebut kepada pengkaji di Tokyo University.

Pihak universiti kemudian melakukan aktiviti ekskavasi di kuari Minatogawa dan menemui cebisan-cebisan tulang manusia dalam lingkungan 5 dan 9 orang individu yang kemudian menamakannya dengan nama ‘Orang Minatogawa’. Hisashi Suzuki, ketua penyelidikan menyatakan bahawa kesemua orang Paleolitik ini meninggal dunia akibat dibunuh oleh anak panah atau lembing, kemudian dijadikan sebagai makanan kaum kanibal.

Salah satu cebisan itu ialah individu lelaki berketinggian 1.55 meter dan wanita berketinggian 1.4 meter. Struktur rangka orang Minatogawa agak berlainan sedikit dengan mempunyai bahu yang kecil dan bahagian bawah badan yang kuat, menunjukkan mereka rajin berjalan dan berlari di tanah tandus. Rangka yang lengkap itu diberi nama Minatogawa, kemudian replika dibina untuk dijadikan sebagai pameran dalam muzium antropologi Tokyo University.

Penemuan ini sebenarnya menggembirakan dunia arkeologi Jepun kerana penemuan fosil manusia begitu sukar di kepulauan tersebut akibat hakisan tanah berasid bercampur dengan abu gunung berapi yang menyukarkan proses pemeliharaan semula jadi fosil. Fosil manusia 20,000 tahun ini menjadi antara manusia Paleolitik yang fosilnya ditemui di Jepun.

3. KAJIAN DNA MINATOGAWA

Namun, persoalan seterusnya bagi membongkar asal-usul Orang Minatogawa ini. Adakah mereka ini nenek moyang orang Jomon? Adakah mereka meneruskan migrasi ke utara meninggalkan penempatan di Kepulauan Ryuku?

Rupa orang Jomon dan Yayoi yang membentuk manusia Jepun sekarang.

Pada waktu itu, saintis bersepakat bahawa Orang Minatogawa berbeza dengan kaum Jomon berbeza kerana wajah Minatogawa tidak mempunyai ciri persamaan dengan Jomon. Walau bagaimanapun, seiring dengan kemajuan teknologi, sekumpulan pengkaji dari pelbagai institut seperti Graduate University for Advanced Studies dan Toho University memulakan kajian DNA mitokondria ke atas fosil Minatogawa 1.

Tujuan kajian ini ialah menjejak asal-usul manusia Jepun moden sehingga ke kaum Jomon. DNA mitokondria adalah elemen penting kerana ia diturunkan dari generasi dahulu kepada generasi terkini, memberi peluang pengkaji ‘berundur ke masa lalu’ semula semata-mata mengesan pemilik DNA mitokondria.

Ilustrasi rupa Orang Minatogawa melalui fosil.

Setelah kajian ke atas fosil tersebut, ternyata fosil ini mempunyai persamaan genetik dengan kaum Jomon, Yayoi, dan manusia Jepun moden. Konklusinya, Orang Minatogawa ialah moyang kaum Jepun moden, sebelum wujudnya kaum Jomon dan Yayoi. Tapi, ini permulaan saja, ahli-ahli arkeologi merancang untuk teruskan lagi penggalian mencari fosil manusia Paleolitik Jepun bagi membongkar lebih mendalam kehidupan mereka yang melahirkan manusia Jepun moden.

RUJUKAN:

Bogaard, Cecilia. (23 July 2021). Did Japanese Population Originate with this Minatogawa Man? Ancient Origins.

Ruangan komen telah ditutup.