Orang Melayu: The Gajah Whisperer

0
1811
views

Dari ‘Mantra Gajah’, himpunan W.G. Maxwell beliau meletakkan penghargaan seperti berikut;

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar yang kemudiannya dibuang ke Kepulauan Seychelles selepas Perang Perak, di mana semasa pemerintahannya, memiliki kawanan besar gajah. Penghargaan juga ditujukan kepada anaknya Majistret Selama Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Wan Muhammad Isa bin Ngah Ibrahim. Penghargaan juga diberikan kepada Orang Kaya Kaya Sri Adika Raja Hulu Perak.

Di dalam ‘Mantra Gajah’ selain mantera bergajah untuk menunduk dan menjinakkan gajah, ditulis juga di dalamnya penyakit-penyakit yang dikenalpasti boleh menjejaskan kesihatan gajah.

Apa yang menarik, selain mengenalpasti penyakit, Melayu ketika itu juga sangat arif untuk mengubati gajah itu sendiri, bukan setakat penyakit fizikal tetapi mengubati masalah psikologi gajah, seperti ketakutan untuk mandi atau berenang merentasi sungai.

Sememangnya tiada pilihan untuk pengendali gajah misalnya untuk tidak tahu mengubati gajah-gajah mereka supaya kecergasan dan kesihatan gajah mereka sentiasa berada pada tahap optimum, sekaligus memudahkan kerja harian sekalipun dalam tugasan yang jauh di dalam hutan atau jauh dari peradaban manusia mahupun perubatan moden yang ada ketika itu, itupun jika ada.

Sebagai contoh, sekiranya gajah enggan atau tidak mahu dan takut untuk berenang, di dalam Mantra Gajah tertulis seperti berikut;

“Dapatkan akar pokok kiambang dan bakarnya sehingga menjadi abu. Campurkan ia dengan minyak dan sapukan pada dahi atau kaki gajah.”

Satu lagi contoh yang dinyatakan di dalam Mantra Gajah ialah sekiranya gajah mengalami bengkak di hujung belalai, atau dinamakan sebagai ‘Mersud’ atau ‘Keradan’;

“Dapatkan daun langkadi, prai (mungkin peria), labu air dan katang-katang tahi lembu, sedikit kapur dan sedikit garam. Carik ataupun kisar campuran semua bahan ini, kemudian tuamkan pada bahagian hujung belalai yang bengkak.”

Berikut adalah lain-lain senarai penyakit yang sering dihidapi gajah seperti yang ditulis di dalam Mantra Gajah;

1. Merchuan : Bengkak di bawah dagu.

Waqaf Saham

2. Tasab : Bengkak di bahagian dahi.

3. Merkabat: Bengkak pada kawasan mata.

4. Keruan : Bengkak pada kawasan telinga.

5. Merpuan : Bengkak pada kawasan perut.

6. Mertemulam : Bengkak pada kemaluan.

7. Mernor : Bengkak pada satu kaki.

8. Mertalam : Bengkak pada kedua-dua kaki (belakang).

9. Merchap : Bengkak pada lubang dubur.

10. Merkabun : Bengkak pada rektum.

11. Merpahat : Bengkak pada hujung ekor.

Ternyata Melayu sebenarnya bukan sahaja pelaut sejati yang hebat mengharung ombak untuk meredah laut dan samudera, tetapi juga pembisik gajah untuk merentas hutan dan belantara dengan menguasai mamalia darat paling besar di dunia.

We ‘are’ the elephant whisperer.

*Gambar ialah ‘Kinta Chief on elephants, 1886’ (Panglima Kinta di atas gajah, 1886) diambil dari buku ‘Malaysia Pictorial History 1400-2004’