Di Malaysia, etnik Melayu merupakan kelompok masyarakat terbesar yang menetap di negara ini. Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah kerana di sini merupakan tempat bermulanya ketamadunan Melayu itu sendiri. Maka tidak hairanlah mengapa mereka menjadi kelompok majoriti di Malaysia. Namun begitu, sejak abad ke-20, etnik majoriti ini sering diberikan tanggapan dan tafsiran yang salah oleh sesetengah pihak sehingga perkara ini telah menyebabkan ada sebahagian daripada pemimpin tempatan yang malu untuk mengaku mereka sebagai warganegara Malaysia!

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan amatlah memalukan kerana ia diungkapkan oleh seorang pemimpin Melayu. Mungkin, hal ini disebabkan kerana kurangnya jati diri dan kecetekan ilmu berkaitan sejarah asal-usul Melayu, atau mungkin tindakannya itu disebabkan keinginan yang telah lama beliau pendamkan untuk melakukannya. Tiada siapa yang mampu menjawab dengan tepat kecuali si pelaku itu sendiri.

Perkara-perkara yang begitu negatif sebegini boleh dielakkan sekiranya kita kerap membaca dan menyelak helaian kajian yang dilakukan oleh sarjana tempatan mahupun sarjana luar, sudah pasti orang Melayu akan berbangsa dengan keturunan dan asal usul Melayu. Sarjana luar yang dimaksudkan ialah mereka yang terdiri daripada bekas pegawai British dan ilmuan dari Barat. Sememangnya perlu diakui bahawa telah sedemikian lama masyarakat dari luar terutamanya orang-orang Eropah telah mennemukan dan membentuk pandangan serta perspektif yang salah mengenai orang Melayu. Perkara ini diakui sendiri oleh A. Wright dan T.H. Reid (1912), katanya:

“Alangkah tidak adilnya pandangan ini yang telah dibuktikan secara menyolok oleh sejarah Melayu. orang-orang dari luar bangsa Timur yang mengenali orang Melayu dipaksa mengakui bahawa ia (orang Melayu) tidak senang memilih kerja kasar. Selera mereka terarah kepada permainan sabung ayam (yang sebenarnya bertentangan dengan kehidupan mereka yang sibuk bekerja.”

Pendapat dan gambaran yang salah tentang masyarakat Melayu akhirnya kembali dijernihkan pada abad ke-20 melalui beberapa karangan dan catatan yang dilakukan oleh sarjana Barat sendiri. Antara sarjana luar yang memberikan gambaran tentang masyarakat Melayu secara adil ialah bekas pegawai-pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan abad ke-20. Menurut buku yang dikarang oleh mereka, terdapat catatan yang menceritakan tentang keperibadian tinggi dan nilai murni orang Melayu. Menurut F.A Swettenham (1955), beliau tidak mempercayai dakwaan yang menyatakan bahawa orang Melayu sebagai golongan yang khianat.

Baginya, orang Melayu ialah sekelompok masyarakat yang sangat berpegang kepada janji. Untuk menggambarkan keadaan berkenaan, Swettenham menceritakan bahawa walaupun orang Melayu mempunyai sifat suka berhutang dan meminjam wang, mereka akan melakukan apa jua pekerjaan untuk kepentingan pemberi wang sehingga dia menyelesaikan kewajipannya. Selain itu, beliau turut menyanggah sesetengah pendapat yang menyatakan orang Melayu sebagai bangsa pemalas dan tidak suka bekerja keras!. Melalui pemerhatiannya:

“Orang Melayu sangat bekerja keras terhadap sesuatu pekerjaan yang diminatinya, mereka akan menunjukkan keajaiban, dia akan bekerja kuat, bertahan dan berteguh (sehingga selesai sesuatu pekerjaan yang dilakukan.”

Rajah 1: Sir Frank Athelstane Swettenham (sumber daripada www.wikipedia.com)

Berbeza dengan Swetthenham, Clifford pula menilai masyarakat Melayu sebagai manusia yang ringan tulang. Beliau menyatakan:

“Orang Melayu, sekiranya mereka menjalankan sesuatu pekerjaan, mereka akan benar-benar bekerja keras tanpa upah. Negeri-negeri Melayu merupakan suatu naluri keturunan yang diwarisi daripada datuk nenek moyangnya, yang mendorong dia mematuhi dengan senang hati kebiasaan ini, yang sehingga tidak ada syarat-syarat lain, dia akan mengizinkan dirinya sendiri melakukan kerja keras. Saya mendapati orang Melayu Pahang bekerja terus-menerus selama 60 jam tanpa rehat.”

Rajah 2: Sir Hugh Clifford (Sumber daripada http://www.britishempire.co.uk/article/hughclifford.htm)

Berdasarkan kepada gambaran yang diberikan oleh kedua-dua pegawai-sarjana British tersebut, kita dapat membayangkan bahawa tanggapan mengenai masyarakat Melayu oleh orang Barat sebelum abad ke-20 amat bercanggah sekali dengan kenyataan orang Barat yang menduduki Tanah Melayu kemudiannya. Mereka yang datang dan menetap di kawasan ini pada abad ke-20 telah memberikan dan membuka perspektif baharu masyarakat mengenai latarbelakang dan kehidupan sebenar orang Melayu. etnik ini mula dipandang tinggi dan disanjung dek kerana sikap dan tatasusilanya yang sangat berbudi pekerti itu.

Keadaan dan kenyataan yang dilemparkan oleh para pegawai British ini sudah tentu bukanlah untuk memberikan suatu perasaan “bangga diri” terhadap orang Melayu untuk terus merasa selesa dan dibuai angan-angan kosong. Sebaliknya kenyataan ini perlu dilihat dengan perasaan bangga kerana menjadi seorang Melayu, kerana bangga menjadi Melayu itulah yang meMelayukan bangsa ini di mata Inggeris. Menurut Sir Winstedt:

“Orang Melayu memiliki kebanggaan yang besar terhadap bangsanya- barangkali sebesar kemegahan agama Muhammadnya pada masa lalu…”

Rajah 4: Sir Olaf Winstedt (Sumber daripada Arkib Negara Malaysia).

Oleh itu berbanggalah sekalian kamu menjadi Melayu, apa hendak dihairan dengan cakap-cakap kosong bahawa Melayu itu pemalas, suka berjudi dan sifat-sifat tercela yang lain yang cuba disesuaikan dengannya. Sedangkan Inggeris juga telah memandang tinggi kaum Melayu, mengapa tidak kita yang Melayu ini merasa begitu?.  Sedarkanlah mereka yang malu mengaku Melayu bahawa mereka hanyalah segelintir kelompok yang telah melupai asal usulnya, serulah supaya mereka pulang mengkaji keturunannya. Jika mereka tetap berdegil, ketahuilah kita barangkali sememangnya dia bukan berasal dari rumpun Melayu.

Rujukan:

F.A. Swettenham. 1955. British Malaya. London: Allen and Unwin.

Hugh Clifford. 1927. In Court and Kampong. London: The Richards Press.

Wright & T. H. Reid. 1912. The Malay Peninsular. London: Fisher Unwin.

Syed Hussen Alatas. 1987. Mitos Peribumi Malas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.