Orang Melayu Juga Pribumi Di Borneo – Kritikan Ke Atas Vlogger AdamShamil

0
3683
views

Saya terpanggil untuk membantah sebuah video yang dikeluarkan oleh AdamShamil dalam memperkatakan kata-kata seorang ahli parlimen yang mengatakan bahawa tanah ini adalah Malay Land. Asalnya saya mahu mengabaikan video tersebut, malangnya apabila ia tular menarik 60, 000 tontonan, saya merasakan bahawa sudah tiba masanya saya diperlukan untuk berpencak hujah.

Dalam video tersebut, Adam Shamil yang mendakwa dirinya sebagai seorang Sino-Kadazan telah membuat penafian yang memanggil saya untuk berpencak hujah. Sebelum saya mengulas kenyataan beliau, saya nak tekankan bahawa orang Melayu juga adalah sebahagian daripada puak-puak pribumi yang terawal berada di Pulau Borneo. Hujah-hujah saya adalah berdasarkan fakta yang merangkumi tiga perkara:

  1. Bahasa Melayu
  2. Sejarah Kerajaan-Kerajaan Purba Melayu Di Borneo.
  3. Tujuh Puak Jati Brunei

Cukuplah tiga perkara di atas diperlukan untuk membangkang hujah yang cuba menafikan status pribumi Melayu di Sabah dan Sarawak. Pertama, dari sudut bahasa Melayu, dah cukup untuk menjawab mengenai kepincangan yang cuba dipaparkan. Tahukah saudara AdamShamil bahawa teori linguistik meletakkan bahawa asal usul Bahasa Melayu bukanlah dari Semenanjung Tanah Melayu, mahupun Sumatera, apatah lagi Pulau Jawa. Teori linguistik meletakkan bahawa Bahasa Melayu adalah berasal daripada Borneo itu sendiri.

Dalam teori bahasa ini, kita dapat melihat sekurang-kurangnya pada 1000 SM, iaitu period yang sezaman dengan kerajaan-kerajaan Purba agung seperti Yunani, atau ketika sebelum Rom masih lagi bergelar sebuah kerajaan, ketika Mesopotamia dan Mesir Purba masih lagi masyur menjadi kerajaan hebat, para linguist Bahasa Melayu sepakat mengatakan bahawa asal usul Bahasa Melayu itu, atau lebih tepat Proto-Malay (nenek moyang kepada Bahasa Melayu). Hujahnya adalah nenek moyang kepada semua dahan keluarga Malayan (keluarga kecil bahasa yang berkaitan dengan Bahasa Melayu atau mempunyai kemiripan yang sangat rapat) adalah dipercayai dipertuturkan di Borneo pada waktu setua 1000 SM.

Kalau… kalau bangsa Melayu tidak diletakkan pada satu keluarga pribumi di Sabah dan Sarawak, bagaimana boleh nenek moyang Bahasa Melayu dipertuturkan sekurang-kurangnya 1000 SM di Borneo? Bukankah ini tanda bahawa nenek moyang bangsa Melayu telah berada di Borneo sejak zaman berzaman, kemudian dari Borneo mereka tersebar ke seluruh Kepulauan Melayu lalu membina kerajaan dan tamadun-tamadun purba di Asia Tenggara, untuk sekurang-kurangnya 600 SM pada penemuan yang ditemukan di Sungai Batu. Semoga hujah pertama saya ini dapat dipatahkan oleh saudara AdamShamil.

Fakta menarik, puak Kadazan-Dusun, Dayak, Murut, Melanau, Bajau dan seumpama dengannya adalah diletakkan serumpun dengan orang Melayu dalam keluarga Austronesia. Jadi, apabila anda mengatakan bahawa orang Melayu pendatang di Borneo, bagi saya anda mengatakan bahawa seluruh orang-orang Austronesia yang berada di Borneo juga adalah pendatang.

Hujah kedua saya pula ialah dapat dilihat pada kewujudan-kewujudan kerajaan Melayu purba di Borneo yang saya sama tua dengan hikayat-hikayat pribumi lain, bahkan mungkin jauh lebih tua daripada usia hikayat yang mereka pertuturkan. Kerajaan Melayu Brunei misalnya dikatakan wujud sekurang-kurangnya pada abad ke-9 Masihi, sezaman dengan empayar Melayu Srivijaya yang turut dikatakan menakluk beberapa bahagian kawasan di Borneo Barat. Lagipun nama Borneo itu sendiri diambil daripada nama kerajaan Brunei.

Puncak kekuasaan Brunei yang diasaskan oleh Awang Alak Batatar atau nama lainnnya Sultan Muhammad Shah ialah dibawah Sultan Bolkiah apabila berjaya menakluk seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bulungan dan lain–lain lagi wilayah yang terkenal dalam Borneo, bahkan tidak cukup dengan itu, empayarnya sampai pula ke Kepulauan Sulu, Palawan, Mindoro, Keramian hingga Luzon dan Manila. Baginda berjaya menewaskan Raja Sulu dan Luzon dalam melebarkan empayarnya.Kekuasaan Brunei dirasai dari seluruh Borneo hingga ke Kota Seludong di Luzon, Filipina (kini dikenali sebagai Manila).

Malah, kita harus berterima kasih kepada Brunei untuk Borneo tidak jatuh di tangan penjajah Sepanyol. Kisah kepewiraan orang Melayu Brunei melawan penjajah Sepanyol yang menyerang Borneo masih lagi terngiang-ngiang dalam kepala saya. Serangan ini berlaku pada 1578 Masihi, pada saat sebuah kerajaan orang Melayu di Melaka jatuh, Brunei berjaya menghalau Sepanyol balik ke Filipina selepas 72 hari berperang dengan penuh keazaman.

Selain itu, antara kerajaan purba Melayu di Sarawak adalah kerajaan Santubong yang wujud sekitar abad ke-10 sehinggalah abad ke-13 Masihi yang pernah juga berada di bawah pengaruh Srivijaya, yang kemudian dibangunkan oleh Raden Merpati Dipati Jipang menjadi sebuah pelabuhan enteport di Sarawak itu sendiri.

Tidak cukup dengan itu, selain Brunei dan Santubong, terdapat banyak kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah memerintah sendiri Borneo termasuklah Kesultanan Kutai yang berdiri pada 1300 jauh lebih awal daripada Kesultanan Melayu Melaka, yang dapat dijejak di tanah yang sama sebuah kerajaan purba yang bernama Kerajaan Kutai yang berdiri sekurang-kurangnya 350–400 Masihi. Selain itu, Kesultanan Pontianak yang berdiri sejak 1771 Masihi, Kesultanan Bulungan yang berdiri pada tarikh 1731 Masihi, atau Kesultanan Sambas yang lebih awal pada 1609.

Waqaf Saham

Untuk pengetahuan saudara AdamShamil, kerajaan-kerajaan ini memakai Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan raja-raja yang memerintah kerajaan tersebut sudah tentu berbangsa Melayu. Bukankah berdirinya tamadun-tamadun awal di Borneo ini adalah bukti betapa orang Melayu juga adalah “indigenous” yang cuba dinafikan statusnya oleh saudara?

Baiklah, tidak cukup lagi dengan itu. Tahukah saudara bahawa di Brunei, falsafah untuk kerajaan di situ ialah Melayu Islam Beraja, terdapat sebuah undang-undang yang telah secara tak langsung, mengiktiraf kepribumian orang Melayu di Brunei?

Pada tahun 1961 Undang-Undang taraf kerakyataan NBD mula dibuat dan undang-undang itu dipanggil sebagai Undang-Undang Taraf Kebangsaan Brunei (UUTKB) 1961 dan berkuat kuasa pada 1. Januari 1962. Mengikut definisi UUTKB 1961, rakyat sultan dengan kuat kuasa mutlak undang-undang ialah mereka daripada puak jati bangsa Melayu iaitu Belait, Bisaya, Melayu Brunei, Dusun, Kedayan, Murut dan Tutong. Perkara itu disebut dalam Bab 2, Perkara 4(1)(a).

Seperti mana di Semenanjung, takrif Melayu itu merangkumi rumpun lebih luas seperti Jawa, Banjar, Bugis, Acheh, dan banyak lagi. Begitu juga di Borneo, tanpa saudara mengetahui bahawa betapa status Melayu itu turut merangkumi suku-suku yang dalam saudara pertahankan sebagai “indigenous” berbanding orang Melayu. Secara tak langsung, tanpa disedari oleh saudara sendiri, meletakkan orang Melayu sebagai bukan “indigenous” di Borneo, sekaligus mengatakan juga suku-suku kaum yang diletakkan sebagai Bangsa Melayu di Brunei sedemikian. Berhati-hati dalam menafsirkan sejarah orang lain.

Senang cerita, daripada teori linguistik yang mengatakan bahawa Proto-Malay dituturkan di Borneo, dan juga kewujudan kerajaan-kerajaan purba Melayu di Borneo itu sendiri, dan falsafah Melayu-Islam-Beraja menjadi tiang berdirinya kerajaan Melayu di Borneo iaitu Brunei, dan 7 puak jati di sana sudah cukup untuk meletakkan dan mengikat status Melayu sebagai pribumi di Borneo itu sendiri.

Rujukan:

K. Alexander Adelaar (2004). ‘Where Does Malay Come From? Twenty Years Of Discussions About Homeland, Migrations and Classifications’. Leiden: Brill

James T. Collins & Awang Sariyan (2006). Borneo And The Homeland Of The Malays. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 

Andaya, Leonard Y (2001). “The Search for the ‘Origins’ of Melayu”. Journal of Southeast Asian Studies, University of Singapore

Said, Sanib (2012). Sejarah Awal Kepulauan Melayu: Lima Buah Negeri Warisan Sarawak yang Hilang. CREAM – Current Research in Malaysia Vol. 1, No. 1, October 2012: 21-50.

Yaapar, M.S. (2014). Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan. In Wacana Fikrah (pp. 1-26). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kassim, Abdul Azim. (2015). Proposal to amend Brunei’s law on citizenship turned down. AsiaOne.com. http://www.asiaone.com/asia/proposal-amend-bruneis-law-citizenship-turned-down

FactsandDetails.com. Minorities in Brunei. http://factsanddetails.com/southeast-asia/Brunei/sub5_10b/entry-3610.html

Sejarah Orang Melayu Sarawak (n.d). Yayasan Budaya Melayu Sarawak. http://www.melayusarawak.org.my/sarawak-dan-melayu-sekarang/ 

Muhd Rusli, M.H (2015). The unsung Malay history. Astro Awani. http://english.astroawani.com/malaysia-news/unsung-malay-history-71733  

Previous articleKito Aya – Diari Sedekad Perjalanan Kehidupan
Next articlePerjuangan Mahasiswa Menaiktaraf ITM Kepada UiTM
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE