Orang Belanda – Si “Playboy” Borneo

0
438
views

Si “Playboy” Borneo begitulah gelaran yang diberikan kepadanya di kalangan pengkaji binatang seantero dunia.  Dek kerana sifatnya yang seakan-akan kasanova yang mana di dalam satu kumpulan hanya terdapat seekor monyet jantan yang menjadi ketua manakala pengikut-pengikutnya pula adalah “isteri-isteri”  serta anak-anak sahaja dibenarkan dibenarkan.

Orang Belanda atau Monyet Belanda atau Kera Bekantan atau Bayau atau Proboscis Monkey (Inggeris) merupakan salah satu daripada jenis haiwan yang dilindungi di Borneo.  Ianya begitu istimewa kerana hanya di Borneo mempunyai habitat penghidupannya dan tidak di tempat lain di dunia.  Menurut kajian dinyatakan bahawa dinamakan Orang Belanda (Dutchman) kerana merujuk kepada bulunya yang keperang-keperangan seolah-olah orang dari Negara Eropah iaitu dari Negara Belanda yang pernah memerintah wilayah Kalimantan suatu waktu dahulu.

Jetpack Langkawi

Antara ciri-ciri yang membezakannya dengan spesis monyet yang lain adalah saiz hidungnya yang luarbiasa iaitu mancung dan panjang.  Dan mungkin ramai tidak mengetahui di dalam kitaran penghidupan Orang Belanda bahagian hidung inilah sebenarnya memainkan peranan yang maha penting bagi si jantan untuk menarik perhatian monyet betina. Ada waktunya yakni apabila di dalam keadaan teruja mahupun marah, saiz hidungnya boleh mengembang dan berwarna kemerah-merahan.

Keberadaan perutnya yang kelihatan buncit itu pula sebenarnya adalah disebabkan oleh makanan utamanya iaitu dedaunan terutama daun bakau yang sukar dicerna dan bertoksin.  Dan tidak seperti spesis monyet yang lain dikatakan sistem penghadaman Orang Belanda terbahagi kepada beberapa bahagian sama seperti sistem penghadaman seekor lembu.  Di dalam perutnya juga sudah mempunyai sejenis bakteria yang akan bertindak sebagai peneutral toksin di dalam dedaunan yang dimakannya.  Dek kerana itulah perutnya yang buncit comel itu sebenarnya adalah disebabkan oleh kandungan gas yang terdapat di dalam perutnya.

Buah pisang pula sentiasa menjadi makanan kegemaran spesis monyet yang lain tetapi untuk Orang Belanda pula, pisang itu adalah seumpama “racun” baginya.  Ini kerana apa sahaja yang mempunyai kandungan  gula di dalamnya akan menjadi sesuatu yang boleh membawa musibah ke atas Orang Belanda iaitu bakteria yang berada di dalam perutnya akan melakukan proses penghadaman yang terlalu cepat sehingga memungkinkan ianya boleh menyebabkan Orang Belanda jatuh sakit dan kadang-kadang membawa maut.

Walau Pulau Borneo ini besar namun tidaklah semua tempat menjadi habitat Orang Belanda.  Di Borneo kawasan tumpuan untuk Orang Belanda ialah di kawasan paya bakau, hutan pinggir sungai yang mempunyai air yang jernih dan hutan paya gambut.  Di Sarawak, spesis monyet ini boleh ditemui di Taman Negara Bako.  Di Sabah pula ianya boleh ditemui di Kinabatangan, Segama, Klias, Sugut dan Tawau . Di Negara Brunei di sepanjang sungai paya bakaunya manakala di Kalimantan ada di kawasan Paloh, Tarakan serta banyak lagi.

Biarpun ada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan Orang Belanda terus ada di bumi Malaysia seperti apa yang dilakukan oleh Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary di Sandakan namun haiwan unik identiti Borneo ini sedang diancam kepupusan.  Populasinya saban tahun di Borneo semakin mengurang dek kerana habitat mereka sudah diekplorasi oleh manusia atas nama pembangunan seperti pembukaan ladang kelapa sawit berskala besar, industri pertanian, pembalakan serta pemburuan haram manusia yang berselera eksotik.

-HB-

 

#KamekSayangSarawakBah!

 

Rujukan:

  1. Monyet Belanda Di Labuk Bay

http://www.jurnalmalaysia.com/?p=2007

  1. Proboscis Monkey, The Playboy Of Borneo

http://www.mysabah.com/wordpress/proboscis-monkey/

  1. Aktiviti Pertanian Komersial Dan Implikasi Terhadap Hidupan Liar

https://www.malaysian-ghost-research.org/pertanian-komersial-dan-implikasi/

  1. Monyet Belanda Cuma Di Pulau Kalimantan

http://www.mongabay.co.id/2012/04/27/foto-monyet-belanda-cuma-di-pulau-kalimantan/

  1. Berita Harian, 6 September 2015 – Taman Negara Bako Simpan Hampir Semua Spesis Tumbuhan di Borneo

https://www.bharian.com.my/node/79850