Orang Asli – Minoriti Yang Dipinggirkan

1204
views
Gambar 1: Kanak-kanak Suku Jahai. Sumber gambar: Muhammad Adzha, dipetik Wikipedia 2014. https://en.wikipedia.org/

Pada bulan Ogos lepas, sekatan yang dibina oleh Orang Asli suku Temiar di Gua Musang telah dirobohkan oleh peladang-peladang syarikat durian. Sebelum ini para peladang ingin membuka kebun durian di kawasan Orang Asli Temiar malahan ada lesen daripada negeri Kelantan.

Walaubagaimanapun perkara ini tidak dipersetujui oleh penduduk Orang Asli yang telah bertindak membina sekatan untuk menghalang kemasukan pembalak dan juga lori-lori milik peladang-peladang durian. Ini bukan kali pertama kes seperti ini berlaku, pada tahun 2016, seramai 41 Orang Asli di Balah, Gua Musang telah diberkas oleh pihak berkuasa dengan alasan yang Orang Asli ini telah menceroboh kawasan hutan simpan sedangkan tempat itu adalah kawasan Orang Asli. Malah, sekatan yang dibina oleh Orang Asli untuk menghalang kemasukan pembalak telah dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Berita tentang perampasan tanah Orang Asli ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial dan membawa masuk banyak persoalan seperti “Kenapa Orang Asli tidak ada hak tanah?”, “Ke mana perginya hak-hak Orang Asli?”, “Apa yang patut dibuat untuk membantu mereka?” dan lain-lain.

Orang Asli merupakan minoriti yang sering diendahkan dan suara mereka kadangkala tidak didengari langsung oleh pihak berkuasa. Kelibat wakil-wakil mereka serta perjuangan mereka juga jarang muncul dan dibicarakan di media massa. Justeru, artikel ini mahu menjelaskan sejarah Orang Asli secara ringkas serta hak-hak mereka yang sering diendahkan terutamanya berkaitan pendidikan dan pemilikan tanah.

Siapa itu Orang Asli?

Orang Asli merujuk kepada penduduk awal Semenanjung Malaysia. Menurut Idrus (2013), Wok (2015) dan Endicott (2016), terdapat sebanyak 18 kumpulan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kumpulan-kumpulan Orang Asli ini boleh dikategorikan mengikut 3 jenis kumpulan:

  1. Negrito

Kintaq, Kensiu, Jahai, Batek, Lanoh.

  1. Senoi

Chewong, Temiar, Semai, Jah Hut, Semaq Beri, Mah Meri.

  • Aboriginal Malay atau Melayu Asli (dipanggil juga Proto-Malay)

Temoq, Semelai, Jakun, Temuan, Orang Kanak, Orang Seletar, Orang Kuala.

Populasi

Populasi Orang Asli pada tahun 2010 hanya berjumlah 178,000 sahaja. Jumlah ini jika dibandingkan dengan orang Melayu, Cina, dan India adalah sangat kecil. Ini juga bermaksud bahawa populasi Orang Asli di Malaysia mewakili 0.5 peratus populasi Malaysia (Wok 2015).

Sebanyak 85.7 peratus Orang Asli hidup di kawasan pedalaman manakala 11.3 peratus tinggal di kawasan bandar dan 3 peratus lagi tinggal di bandar-bandar kecil (Jabatan Perangkaan Malaysia 2008, dipetik Idrus 2013: 267).

Bahasa

Kebanyakan Orang Asli yang duduk di kawasan selatan Semanunjung seperti suku Jakun, Temuan, Kanaq, Seletar, dan Kuala bercakap dalam dialek Melayu atau dalam sub-kumpulan bahasa Austronesia. Terdapat juga Orang Asli seperti suku Semang dan Senoi yang bercakap dalam sub-kumpulan bahasa Mon-Khemer atau Austroasiatik (Endicott 2016: 6).

Ekonomi dan pekerjaaan Orang Asli

Secara umumnya, ekonomi Orang Asli berasaskan ekonomi sara diri. Mereka mengumpul hasil hutan, memburu, bercucuk tanam, dan jika perlu mereka akan keluar dari kawasan pedalaman untuk berdagang dan menjual hasil hutan mereka (Endicott 2016). Pada abad ke-19, terdapat suku-suku Orang Asli yang keluar dari kawasan pedalaman mereka untuk bekerja sebagai buruh.

Contohnya, orang Rawa dan Mandailing telah mengupah suku Temuan bekerja sebagai porter dan pemungut hasil hutan untuk mereka (Lubis 2018: 169). Sehingga kini, aktiviti ekonomi mereka ini masih berterusan terutamanya di kawasan pedalaman.  Malah, kini terdapat suku-suku Orang Asli seperti Orang Kuala yang berkerja dalam sektor pertanian seperti industri kelapa sawit, getah, dan lain-lain. Pada tahun 2000, sebanyak 64.5 peratus Orang Asli bekerja dalam sektor pertanian (Jabatan Perangkaan Malaysia 2008, dipetik Idrus 2013: 276).

Terdapat juga Orang Asli yang berkerja dalam sektor swasta, sektor pertahanan, sektor pendidikan, sektor awam, dan ada yang pernah mewakili Malaysia pada persada antarabangsa dalam bidang sukan dan akademik. Di dalam sektor pertahanan terdapat rejimen yang khas untuk Orang Asli yang dikenali sebagai Senoi Praaq yang ditubuhkan seawal tahun 1950-an lagi.

Agama dan kepercayaan

Kebanyakan Orang Asli berpegang pada agama animisme. Agama dan kepercayaan mereka berkisarkan lagenda, kisah-kisah wira, semangat dan makhluk halus. Dalam sesetengah kepercayaan Orang Asli, mereka percaya bahawa alam ini mempunyai beberapa lapisan: Alam kayangan, alam pertengahan (dunia manusia), dan alam kubur atau alam barzakh. Setiap lapisan ini dihuni oleh pelbagai jenis makhluk halus dan dewa yang datang dalam pelbagai saiz dan bentuk. Setiap dewa mengawal satu elemen alam seperti kilat dan air.

Contohnya terdapat satu dewa yang berbentuk seperti ular yang mampu mengawal banjir. Sekiranya seseorang telah membuat dewa tersebut murka, dewa tersebut akan melepaskan banjir yang besar untuk menenggelamkan kampungnya. Oleh kerana hal yang demikian, Orang Asli diajar dari kecil lagi untuk mempunyai hubungan yang baik dengan alam sekitar yang menentukan takdir mereka. Mereka juga menjalankan ritual untuk meminta alam atau dewa-dewa mereka untuk memberikan mereka hasil pertanian yang lumayan (Endicott 2016).

Agama-agama Orang Asli juga mengajar generasi muda mereka tentang pantang larang. Sekiranya mereka melanggar pantang larang ia boleh mengundang kemurkaan dewa dan alam.

Walaupun kebanyakan Orang Asli masih memegang kepada kerpecayaan animisme, kini terdapat juga Orang Asli yang beragama Islam dan Kristian (Edo dan Fadzil 2016: 257).

Sejarah awal dan asal-usul

Kajian terbaru DNA mitokondria atau mtDNA milik Orang Asli menunjukkan bahawa nenek moyang mereka merupakan antara manusia pertama dari susur-galur Afrika yang datang ke Asia Tenggara (Endicott 2016).

Antara penempatan manusia terawal yang direkodkan dianggarkan berumur 75,000 tahun terletak di Kota Tampan, Perak:

“The earliest dated occupation of the Thai-Malay Peninsula by modern humans was about 75,000 years ago at Kota Tampan in Northern Malaya.” – (Zuraina 1990; Bulbeck 2011, dipetik Endicott 2016: 14).

Di sana pakar arkeologi menemui pelbagai jenis artifak seperti alat-alat batu. Lagi satu lokasi yang mungkin berkaitan dengan kawasan arkeologi Kota Tampan terletak di Moh Khiew, Selatan Thailand. Pakar arkeologi telah menemui pelbagai tinggalan dan tulang-tulang haiwan seperti babi hutan, tapir, tupai, dan kerbau yang dianggarkan berumur 25,000 tahun (Endicott 2016: 14).

Hubungan Orang Asli dengan kerajaan Melayu Awal dan Pertengahan

Seawal 500 SM, penempatan-penempatan di sepanjang persisiran pantai Semenanjung Tanah Melayu telah menjadi pusat perdagangan yang telah menarik para pedagang sejauh China, India, dan Timur Tengah. Kemunculan pusat-pusat perdagangan ini membolehkan Orang Asli untuk menjual hasil hutan mereka dan mengambil bahagian dalam aktiviti perdagangan. Hasil-hasil hutan dan buruan seperti resin, tanduk badak, gading gajah, rotan, dan lain-lain telah diperdagangkan oleh Orang Asli untuk alat-alat besi, makanan, kain, dan manik.

Selain itu, Orang Asli juga bertugas sebagai buruh untuk kerajaan-kerajaan awal. Kerajaan-kerajaan awal amat bergantung kepada Orang Asli untuk hasil hutan dan buruh:

“In this role as collectors of primary forest produce, and as labourers and guides in the transhipment of goods across their lands, the Orang Asli became indispensable to the coastal trading kingdoms” – (Andaya, dipetik Endicott 2016: 17).

Wok (2015) menambah yang Orang Asli merupakan sekutu kepada kerajaan-kerajaan Melayu dan telah banyak berjasa dalam pentadbiran dan ketenteraan.  Selain itu, menurut Wok (2015) lagi, Adat Perpatih di Negeri Sembilan dengan jelas menyatakan bahawa Orang Asli memiliki hutan serta sumber-sumber di dalamnya dan Orang Melayu harus menghormati keperluan dan kepentingan mereka.

Asimilasi Orang Asli semasa zaman pertengahan

Gambar 2: Melaka pada tahun 1750. Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar: Wikipedia 2009. https://commons.wikimedia.org/.

Semasa zaman pertengahan, terutamanya pada awal abad ke-14 dan ke-15 Masihi, kebudayaan dan bahasa Melayu telah tersebar ke seluruh Alam Melayu apabila Orang Asli dan kaum-kaum pribumi lain mula berasimilasi dengan Orang Melayu (Endicott 2016). Proses asimilasi ini juga berlaku melalui aktiviti perdagangan, perkahwinan, dakwah, dan bahasa yang semua berkisarkan kebudayaan dan bahasa Melayu.

Di Sumatera juga, Orang Batak yang tergolong dalam kumpulan Proto-Melayu telah mula berasimilasi dengan Orang Melayu pada awal abad ke-19. Menurut Milner (2016), semasa Anderson mengembara ke Sumatera Timur pada tahun 1823, beliau mendapati populasi Batak melebihi populasi orang Melayu iaitu dalam jumlah berpuluh ribu manakala orang Melayu hanya berjumlah beberapa ratus sahaja.

Namun begitu, beberapa tahun kemudian pada tahun 1860-an dan 1870-an, kebanyakan kawasan-kawasan yang sebelum ini dikatakan Batak serta mempunyai penduduk majoriti Batak telah tiba-tiba menjadi Melayu (Milner 2016: 136). Hal ini demikian kerana telah berlakunya proses Melayunisasi atau Malaynisation di mana orang Batak yang memeluk Islam telah juga memeluk identiti Melayu. Migrasi Melayu ke kawasan pedalaman juga telah membantu dalam menyebarkan Melayunisasi ini (Milner 2016: 137).

Gambar 3: Pahlawan-pahlawan Batak pada tahun 1870. Sumber gambar: Wikipedia https://en.wikipedia.org/wiki/File:Batak_Warriors_60011135_edit.jpg

Beberapa sarjana berpendapat yang Melayunisasi ini dicapai apabila seseorang memakai kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu, dan berkelakuan seperti Melayu. Milner (2016) juga berpendapat bahawa untuk menjadi Melayu, seseorang tidak semestinya mempunyai ciri-ciri fizikal seperti orang Melayu.

Akibat proses asimilasi ini, jumlah populasi Melayu telah meningkat manakala jumlah populasi Orang Asli yang tidak berasimilasi telah menjadi sangat kecil dan akhirnya telah menjadi minoriti.

Perhambaan Orang Asli

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa Orang Asli dan Orang Melayu mempunyai hubungan yang baik sejak zaman kerajaan awal lagi, namun, seawal abad ke-18 dan ke-19, Orang Asli telah menjadi sasaran pedagang hamba yang terdiri daripada Orang Rawa, Mandailing, dan Minangkabau (Endicott 2016: 18 dan Lubis 2018: 169). Kebanyakan pedagang hamba Mandailing dan Rawa yang menangkap Orang Asli ini telah mula berhijrah ke Tanah Melayu semasa atau selepas tercetusnya Perang Padri di Sumatera (Lubis 2018: 168).

Orang Rawa dan Mandailing yang terlibat dalam akitiviti menangkap dan menjarah kampung-kampung Orang Asli ini terdiri daripada veteran-veteran perang yang pernah terlibat dalam Perang Padri. Sifat militan yang mereka warisi daripada Perang Padri serta kelengkapan senjata mereka yang lebih hebat berbanding Orang Asli itu sendiri telah mengancam Orang Asli seperti Sakai dan Temuan:

“Due to their militant character, the post-Padri Sumatrans posed a direct threat to the aboriginal inhabitants of the inland areas adjacent to Sungai Ujong. As reported in 1852, the Rawas had scoured the forests for aboriginal people in order to traffick them for profit.” – (Lubis 2018: 168).

Aktiviti menangkap Orang Asli untuk tujuan perhambaan dilaporkan berlaku di negeri Pahang, Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan. Di Pahang contohnya, Orang Rawa dan Mandailing telah bekerjasama dalam menyerang kampung-kampung Orang Asli. Mereka telah membunuh ramai orang lelaki dan telah menangkap ramai wanita dan kanak-kanak yang kemudian telah dijual sebagai hamba (Lubis 2018:168).

Namun begitu bukan semua Orang Rawa dan Mandailing mempunyai hubungan yang teruk dengan Orang Asli. Terdapat mereka yang mempunyai hubungan yang baik dalam bentuk kerjasama dan aktiviti perdagangan (Lubis 2018: 169).

Terdapat juga Orang Melayu pada masa ini yang sendiri telah dijadikan hamba melalui sistem hamba abdi apabila mereka gagal membayar hutang dan ada yang ditangkap dijadikan hamba dalam peperangan (Endicott 2016).  Campur tangan British pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 telah menghentikan aktiviti penyerangan kampung dan penangkapan Orang Asli dan sekaligus menghentikan aktiviti perhambaan.

Orang Asli semasa Darurat Komunis

Disebabkan pejuang Komunis sering menyorok di dalam kawasan hutan, mereka perlu memujuk dan memeras ugut orang setinggan yang tinggal di pinggiran hutan dan Orang Asli untuk makanan dan bekalan. Apabila pihak British mendapat tahu tentang perkara ini, mereka telah melaksanakan rancangan untuk memindahkan orang setinggan keluar dari pinggiran hutan ke White Areas atau kawasan-kawasan putih di mana pihak berkuasa boleh mengawasi setiap gerak-geri mereka.

Bagi Orang Asli pula, British pada awalnya telah cuba memindahkan Orang Asli keluar dari kawasan pedalaman namun menemui kegagalan dan tragedi. Ramai Orang Asli telah mati dan ada yang lari kembali ke dalam hutan. Akibatnya, British tukar rancangan mereka dan telah membina kubu-kubu hutan di kawasan Orang Asli. Dari sini, British juga telah cuba memenangi hati dan minda Orang Asli dengan memberikan mereka perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Program Integrasi Orang Asli pasca-kemerdekaan.

Semasa tahun 1960-an, kerajaan telah cuba mengintegrasikan Orang Asli dengan Orang Melayu secara semula jadi dan bukannya melalui asimilasi secara paksa atau artificial assimilation (Endicott 2016: 20). Kerajaan juga pada masa itu ingin mengambil langkah-langkah untuk melindungi institusi, adat, cara hidup, harta, dan pekerjaaan Orang Asli.

Di dalam Perlembagaan Malaysia, Artikel 160 mendefinisikan Melayu sebagai Islam, berbahasa Melayu, dan berpegang kepada adat dan kebudayaan Melayu. Justeru, disebabkan ramai Orang Asli pada masa itu sudah mampu berbahasa Melayu dan terdapat juga yang memakai adat dan budaya Melayu, maka kerajaan pada tahun 1970-an ingin memujuk Orang Asli untuk memeluk Islam. Melalui cara ini, Orang Asli boleh berintergrasi dengan Orang Melayu.

Pada tahun 1970-an, JHEOA telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam dan pelbagai organisasi keagamaan untuk memujuk Orang Asli memeluk Islam dan memeluk identiti Melayu. Mereka telah membina bangunan-bangunan komuniti yang dilengkapkan surau.

Selain itu, agensi-agensi ini juga telah memujuk Orang Asli untuk memeluk Islam melalui positive discrimination atau ‘diskriminasi positif’ dengan menawarkan Orang Asli yang memeluk Islam dengan pelbagai insentif seperti pembayaran yuran sekolah, biasiswa, dan kenaikan pangkat bagi kakitangan kerajaan Orang Asli yang memeluk Islam (Idrus 2013: 279 dan Endicott 2016:21).

Hak Bumiputera dan Orang Asli

Kaum Bumiputera terdiri daripada Melayu, Orang Asli, Orang Asal Sabah dan Sarawak (Leong 2017). Walau bagaimanapun, hairannya dalam Artikel 153 yang berbicara mengenai hak keistimewaan Bumiputera, tidak disebut langsung perkataan ‘Orang Asli’. Perkataan ‘Melayu’ dan ‘anak negeri Sabah dan Sarawak (baca: Orang Asal Sabah dan Sarawak)’ disebut secara jelas namun tidak adanya ‘Orang Asli’.

Idrus (2013) berkata banyak organisasi Orang Asli telah mengajukan petisyen kepada kerajaan untuk memasukkan perkataaan ‘Orang Asli’ dalam Artikel 153.  Malah, kebanyakan organisasi ini juga mahu memasukkan hak-hak tanah milik Orang Asli ke dalam Artikel 153 yang sehingga kini jelas diancam dari masa ke masa akibat pembalakan dan pembangunan.

Gambar 4 (kiri): Artikel 153, Perkara (1) dan Perkara (2) yang berbicara tentang kuota atau ‘Hak Bumiputera’ dalam Bahasa Melayu. Gambar (5) kanan: Artikel 153, Perkara (1) dalam Bahasa Inggeris. Sumber gambar: http://www.agc.gov.my.

Namun menurut Idrus (2013), ini tidak bermaksud Hak Orang Asli tidak diiktiraf dalam Perlembagaan. Dalam Artikel 8, Perkara 5 (c), Perlembagaan tidak melarang sebarang peruntukan bagi perlindungan hal ehwal dan kemajuan Orang Asli terutamanya di Semenanjung Malaysia (Idrus 2013 dan Wok 2015):

Gambar 6: Artikel 8, Perkara 5 (c): Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang- apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam; Sumber gambar: Perlembagaan Persekutuan http://www.kptg.gov.my.

Malangnya, Artikel 8 sering diendahkan oleh sesetengah pihak sehingga kini. Dalam kes Sagong Tasi lwn. Negeri Selangor– mahkamah mengiktiraf hak-hak Orang Asli dalam Perlembagaan dan telah mengisytiharkan bahawa Aboriginal Peoples Act 1954 atau Akta Orang Asli 1954 seharusnya ditafsir semula supaya ia memperjuangkan hak-hak Orang Asli dan sejajar dengan hak-hak yang dinyatakan dalam Perlembagaan (Rusalina, dipetik Idrus 2013: 283). Kes ini menandakan satu peristiwa yang penting bagi Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pendidikan (1991 – 2008)

Peratusan Orang Asli yang mendapat pendidikan formal telah meningkat dari 49.6 peratus pada tahun 1991 kepada 60.8 peratus pada tahun 2000. Jumlah murid-murid Orang Asli yang memasuki sekolah rendah telah meningkat dari 37.9 peratus pada tahun 1991 kepada 44.5 peratus pada tahun 2000. Bagi peringkat sekolah menengah, peratusan murid-murid Orang Asli yang memasuki sekolah menengah telah meningkat dari 10.2 peratus kepada 15.5 peratus. Walau bagaimanapun, terdapat hanya 0.8 peratus Orang Asli telah berjaya melanjutkan pendidikan mereka ke IPT (Jabatan Perangkaan Malaysia 2008, dipetik Idrus 2013: 273).

Walaupun terdapat peningkatan dalam peratusan Orang Asli memasuki sekolah rendah dan sekolah menengah, malangnya terdapat juga peningkatan dalam peratusan murid-murid Orang Asli yang memberhentikan sekolah. Pada tahun 2000, peratusan murid-murid Orang Asli memberhentikan sekolah menengah berada pada 49.6 peratus dan kemudian telah meningkat kepada 57.2 peratus pada tahun 2002. Peratusan ini kemudian menurun kepada 36.7 peratus pada tahun 2007 tetapi secara tiba-tiba meningkat kepada 47.8 peratus pada tahun 2008 (JHEO 2008, dipetik Idrus 2013: 274).

Kenapa peratusan Orang Asli berhenti sekolah sangat tinggi? Mereka malas belajar ke?

Gambar 7: Remaja-remaja Jakun bermain “pick-up sticks” di perpustakaan komuniti Kampung Punjut, Johor. Sumber gambar: Wikipedia 2011. https://commons.wikimedia.org/.

Apabila kita berbicara mengenai Orang Asli dan pendidikan, terdapat sesetengah pihak yang mendakwa peratusan Orang Asli memberhentikan sekolah ini adalah disebabkan sikap malas Orang Asli yang lebih rela bekerja dalam hutan sahaja. Namun tanpa diketahui ramai, kebanyakan dakwaan-dakwaan ini datang daripada ahli politik dan pihak berkuasa yang tidak memahami keadaan Orang Asli.

Contohnya, pada tahun 2006, Najib Razak dalam satu ucapannya telah mengingatkan ibu bapa Orang Asli agar tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk berhenti sekolah dengan membawa mereka masuk ke dalam hutan untuk mencari hasil hutan dan buruan (Razak 2006, dipetik Idrus 2013: 275). Walau bagaimanapun, kenyataan Najib Razak disangkal oleh kenyataan Majid Zuhud, Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM).

Majid Zuhud menekankan bahawa ia adalah salah untuk mendakwa bahawa peratusan Orang Asli memberhentikan sekolah yang tinggi ini disebabkan oleh sikap malas Orang Asli atau sikap ibu bapa Orang Asli yang tidak mempedulikan akan masa depan anak-anak mereka. Beliau berkata salah satu faktor kenapa peratusan Orang Asli memberhentikan sekolah yang sangat tinggi ini adalah disebabkan oleh ketidakadilan atau ketidaksamaan dalam pendidikan yang diberikan kepada Orang Asli kerana menurut beliau pendidikan yang diberikan adalah tidak berkualiti dan tidak mengambil kira kebudayaan Orang Asli (Idrus 2013: 275).

Kemudahan serta fasiliti yang diberikan dalam sekolah-sekolah Orang Asli tidak sehebat atau berkualiti seperti sekolah-sekolah di kawasan bandar dan desa. Namun tidak dinafikan baru-baru ini terdapat perubahan drastik yang diambil oleh pelbagai NGO dan agensi kerajaan yang telah menaiktarafkan kemudahan dan fasiliti untuk membantu Orang Asli terutamanya di dalam kawasan pedalaman.

Faktor utama seterusnya kenapa ramai Orang Asli memberhentikan sekolah pada usia yang muda adalah kerana kadar kemiskinan mereka yang sangat tinggi (Nicholas, dipetik Idrus 2013:275). Walaupun kerajaan menawarkan subsidi dan telah mengimplimentasikan polisi pendidikan percuma, ibu bapa Orang Asli masih terpaksa membeli barang-barang sekolah seperti buku latihan, baju sekolah, kasut sekolah, dan lain-lain.

Tambahan pula, sejak kebelakangan ini subsidi-subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan dalam sektor pendidikan telah dipotong akibat perubahan dalam ekonomi dan pentadbiran.  Selain itu, kebanyakan Orang Asli duduk jauh dari sekolah dan perkara ini amat menyusahkan mereka kerana kebanyakan mereka tidak ada akses kepada pengangkutan untuk pergi ke sekolah (Idrus 2013: 275).

Menurut Idrus (2013), jumlah Orang Asli yang memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) sangat kecil.  Pada tahun 2000, terdapat hanya 0.8 peratus murid Orang Asli yang telah berjaya memasuki IPT. Statistik daripada JAKAO pula menyatakan bahawa dari tahun 1971 sehinggalah tahun 2000 terdapat hanya 217 Orang Asli yang merupakan graduan IPT.

Berita baiknya, jumlah graduan Orang Asli telah meningkat di antara tahun 2001 dan 2008 kerana di antara jangka masa itu seramai 497 Orang Asli telah lulus melepasi IPT.  Antara faktor kenaikan jumlah graduan Orang Asli ini termasuklah peningkatan dalam penubuhan kolej-kolej komuniti.  Orang Asli juga tidak dinafikan hak dan kedudukan mereka untuk menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang khas untuk kaum Bumiputera sahaja. Buktinya adalah pada tahun 2008 apabila terdapat seramai 63 graduan Orang Asli yang datang dari UiTM (Idrus 2013: 276). Kewujudan graduan-graduan Orang Asli dari UiTM menunjukkan juga bahawa walaupun perkataan ‘Orang Asli’ tidak wujud di dalam Artikel 153, mereka tetap ditawarkan keistimewaan ini seperti kaum pribumi yang lain.

Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak kes di mana Orang Asli yang ingin melanjutkan pendidikan ke menara gading tidak dicapai kerana mereka kurang mampu dari segi kewangan.  Contohnya, terdapat insiden di mana murid-murid Orang Asli telah menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran mereka ke IPT disebabkan mereka tidak mampu untuk membayar yuran (Idrus 2013: 276). Separuh daripada populasi Orang Asli hidup dalam kemiskinan dan ketiadaan kemudahan seperti elektrik dan air. Kemiskinan merupakan salah satu faktor utama kenapa ramai Orang Asli tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam peringkat sekolah rendah, menengah, dan IPT.

Meritokrasi hanya memanfaatkan orang bandar sahaja?

Sebelum tahun 2002, kemasukan ke dalam IPTA berdasarkan polisi kuota etnik. Sebanyak 55 peratus kedudukan dalam IPTA dikhaskan untuk kaum Bumiputera manakala 35 peratus lagi dikhaskan untuk kaum bukan Bumiputera (Khalid 2014: 168).

Apabila sistem kuota digantikan dengan sistem meritokrasi pada tahun 2003, kemasukan yang paling tinggi ke dalam IPTA terdiri daripada kaum bukan Bumiputera. Kemasukan kaum India telah naik sebanyak 46 peratus, kemasukan Cina telah naik sebanyak 36 peratus manakala kemasukan kaum Bumiputera telah naik sebanyak 10 peratus (Khalid 2014: 169).

Khalid (2014) berhujah bahawa perubahan kepada sistem ini hanya memanfaatkan murid-murid yang datang dari bandar dan berstatus kaya. Malangnya ia tidak memanfaatkan murid-murid yang miskin, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Hal ini demikian kerana, murid-murid yang tinggal di kawasan bandar mempunyai akses kepada kemudahan dan fasiliti untuk membantu mereka mendapat pencapaian yang lebih cemerlang berbanding murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman.

Justeru, tidak wajarlah kita mendakwa bahawa Orang Asli malas belajar atau tidak bersyukur dengan pemberian kerajaan.

Ketiadaan dan Kekurangan Kemudahan Asas Dalam Komuniti Orang Asli

Kebanyakan isi rumah Orang Asli tidak ada akses kepada kemudahan asas seperti elektrik dan air bersih. Pada tahun 1991, 63 peratus isi rumah Orang Asli tidak ada elektrik. Peratusan ini kemudian turun kepada 46.7 peratus pada tahun 2000. Pada tahun 1991, 53.6 peratus isi rumah Orang Asli tidak mempunyai akses kepada air bersih dan peratusan ini meningkat kepada 55.5 peratus pada tahun 2000 (Idrus 2013: 269-7). JAKAO telah mengambil tindakan dengan melaksanakan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) yang bertujuan untuk memberikan Orang Asli akses kepada kemudahan asas seperti elektrik dan air, sekaligus membasmi kemiskinan.

Di dalam rancangan ini, Orang Asli telah dipindahkan dan diberikan rumah-rumah baru di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Walau bagaimanapun, reka bentuk rumah-rumah tersebut tidak mengambil kira gaya kehidupan Orang Asli dan mempunyai reka bentuk yang buruk. Rumah-rumah tersebut sangat kecil, beratap zink dan dibina sangat rapat yang menghalang Orang Asli daripada mempunyai kebun untuk bercucuk tanam. Keadaan perumahan Orang Asli yang sangat sempit dan tertutup ini telah menjejaskan kesihatan Orang Asli (Idrus 2013: 270).

Hilangnya tanah-tanah Orang Asli

Sejak kebelakangan ini, isu perampasan tanah Orang Asli semakin menjadi-jadi terutamanya di negeri Kelantan.  Kebanyakan tanah yang dirampas oleh Orang Asli telah dijadikan sebagai kawasan pembangunan atau perladangan. Banyak NGO telah menentang tindakan ini kerana berpendapat ianya melanggar hak asasi manusia dan juga merupakan tindakan jenayah terhadap Orang Asli. Isu-isu ini hangat dibincangkan di dada-dada akhbar tempatan dan juga akhbar antarabangsa.  Ramai orang mempersoalkan kewibawaan kerajaan negeri Kelantan dan ada yang bertanya ke manakah dan adakah wujudnya hak tanah Orang Asli?

Kita seharusnya tidak patut melihat isu ini sebagai isu kehilangan tempat tinggal atau kehilangan sumber pendapatan sahaja tetapi ianya lebih daripada itu – hubungan Orang Asli dengan tanah mereka adalah sangat erat.  Sepertimana Orang Asli lain di seluruh dunia dunia, tanah yang dimiliki oleh Orang Asli di Semenanjung Malaysia mempunyai signifikasi kepada mereka – tanah-tanah mereka ini terikat dengan konsep keagamaan dan sosial (Hunt, dipetik Subramaniam 2016: 424). Maka tidak hairanlah kenapa Orang Asli berusaha untuk mempertahankan tanah mereka daripada pencerobohan syarikat perladangan dan pembalakan.  Tanah-tanah adat mereka ini telah diwarisi dari generasi ke generasi malah ada tanah adat yang berumur beratus-ratus tahun lamanya.

Malangnya, menurut Subramaniam (2016), tidak ada tindakan yang tegas diambil oleh kerajaan persekutuan untuk memelihara tanah-tanah Orang Asli. Pada 31 Disember 2010, hanya 14.21 peratus tanah rasmi Orang Asli telah diiktiraf oleh kerajaan persekutuan untuk pemeliharaan (JAKAO, dipetik Subramaniam 2016: 424). Tambahan pula, kebanyakan tanah-tanah yang diiktiraf ini tidak merangkumi kawasan tradisional dan tanah pertanian yang digunakan oleh Orang Asli.

Selain itu, Wok (2015) menambah dengan berkata yang walaupun terdapat tanah yang diiktiraf sebagai milik Orang Asli, namun, ia masih belum diwartakan oleh kerajaan. Keadaan juga menjadi semakin keruh apabila sesetengah tanah ini telah diklasifikasikan semula sebagai tanah negeri atau telah diberikan dan dijual kepada individu atau syarikat tanpa izin komuniti Orang Asli.

Satu contoh berlaku di antara tahun 1990 dan 1999 apabila negeri Selangor menarik balik pewartaan tanah-tanah Orang Asli sebanyak 76 peratus (Nicholas, dipetik Subramaniam 2016: 424-5). Di negeri Pahang pula yang mempunyai populasi Orang Asli tertinggi di Malaysia, masih terdapat banyak tanah milik Orang Asli yang belum diwartakan secara rasminya di bawah Akta Orang Asli 1954 dan terdapat tanah yang telah diajukan kepada kerajaan negeri Pahang untuk diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli tetapi telah ditolak (Wok 2015).

Persoalannya, kenapa pewartaan tanah Orang Asli boleh ditarik dengan mudahnya dan sering menjadi sasaran syarikat perladangan dan pembalakan?

 Isu undang-undang

JAKAO menyatakan bahawa terdapat pemisahan kuasa di dalam perlembagaan persekutuan.  Pada pendapat JAKAO yang merupakan agensi persekutuan, perlindungan tanah Orang Asli berada di luar bidang kuasa mereka dan sebenarnya dipegang oleh kerajaan negeri (Subramaniam 2016: 425).  Namun, hujah ini disangkal dengan hujah bahawa pemisahan kuasa persekutuan dan kuasa negeri tidak berperlembagaan dan bukannya alasan untuk menidakkan hak-hak tanah Orang Asli yang sudah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya, terdapat peruntukan yang jelas melindungi tanah-tanah adat Orang Asli. Menurut Subramaniam (2016), Artikel 83 di dalam Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil semula tanah-tanah untuk tujuan Persekutuan dan boleh digunakan untuk kebajikan Orang Asli.

Seterusnya, Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli atau National Land Council mempunyai wakil daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang kebetulan juga majoritinya dipegang oleh wakil-wakil kerajaan persekutuan. Kelebihan ini membolehkan kerajaan meluluskan polisi untuk mengiktiraf penyeragaman tanah adat Orang Asli (Subramaniam 2016: 425).

Gambar 8: Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa (kiri) menunjuk kepada sepanduk pada pagar yang dibina penduduk Orang Asli ketika lawatannya ke tapak sekatan balak di Kampung Kaleg, Pos Tohoi di Gua Musang, Kelantan pada Khamis. Sumber: Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tanah-adat-orang-asli-akan-diwartakan-tetapi-182141.

JAKAO juga berkata bahawa aktiviti pewartaan, pembatalan dan perubahan tanah rizab terletak di tangan Pihakberkuasa negeri (Subramaniam 2016: 425-6). Sekiranya terdapat kehilangan tanah rizab, pampasan yang akan diberikan terhad kepada kehilangan dusun buah dan ladang getah milik Orang Asli sahaja dan tidak merangkumi tanah mereka (Subramaniam 2016: 426). Tanah-tanah Orang Asli yang belum diwartakan sebagai tanah rizab tetapi diduduki oleh Orang Asli boleh dilihat oleh eksekutif negeri atau executive state sebagai tanah yang sedia digunakan untuk pemilikan, pendudukan, dan kegunaan oleh mereka yang bukan Orang Asli.

Perintah eksekutif negeri yang ekstensif ini ke atas tanah Orang Asli membolehkan kerajaan negeri untuk mengambil tanah Orang Asli dengan mudah (Subramaniam 2016: 426). Subramaniam (2016) juga mendakwa JAKAO tidak mengambil tindakan untuk melindungi tanah adat Orang Asli dengan menjadi perantara antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam bidang undang-undang. Memetik kata-kata beliau:

“Unreserved lands occupied by Orang Asli are accordingly regarded by the state executive as land available for possession, occupation, use and enjoyment by non-Orang Asli, subject only to the payment of discretionary and relatively paltry compensation. This extensive state executive fiat over Orang Asli land has enabled state governments to take Orang Asli land with relative ease. At the federal level, JAKAO has also not interceded by the way of legal means to protect Orang Asli customary lands– (Subramaniam 2016:426).

Kelantan dan Orang Asli

Negeri Kelantan sejak kebelakangan ini sering dilanda kontroversi terutamanya berkaitan isu tanah Orang Asli. Pada 4 Ogos beberapa pekerja daripada sebuah syarikat perladangan durian telah bertindak merobohkan sekatan yang dibina oleh masyarakat Temiar di Gua Musang.

Gambar 9: Beberapa Orang Asli (kiri) bersua muka dengan beberapa orang pekerja daripada syarikat perladangan durian (kanan). Sumber gambar: Youtube MalayMail 2018.  https://www.youtube.com/watch?v=vdxJ_1rQkp0

Sebelum ini pada 29 November 2016, seramai 41 Orang Asli telah diberkas pihak berkuasa atas alasan menceroboh kawasan hutan simpanan (Tang dan Azhar 2016). Hairannya kawasan tersebut memang merupakan kawasan penempatan masyarakat Orang Asli. Pihak berkuasa kemudian telah bertindak merobohkan sekatan yang dibina oleh Orang Asli.

Masalah yang dihadapi oleh Orang Asli ini juga telah melibatkan nama kerajaan negeri Kelantan. Ramai orang telah mempersoalkan kewibaan kerajaan negeri Kelantan dalam cara mereka melayan Orang Asli.

Kelantan tidak mewartakan tanah untuk Orang Asli?

Peladang dan pembalak yang memasuki kawasan Orang Asli tersebut mempunyai lesen yang sah daripada kerajaan negeri Kelantan. Namun begitu, terdapat tanah di Gua Musang seperti Pos Belatim yang diiktiraf oleh Mahkamah Majistret Gua Musang dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebagai tanah adat Orang Asli suku Temiar (Putri 2018). Oleh kerana hal yang demikian, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan sepatutnya membatalkan perjanjian perladangan mereka itu dengan syarikat durian tersebut.

JAKAO juga mendakwa Kelantan masih belum mewartakan beberapa hektar tanah rizab Orang Asli. Menurut Pengerusi JAKAO, Ajis Sittin, negeri Kelantan sehingga kini masih belum mewartakan tanah rizab sebanyak 5,142.73 hektar untuk komuniti Orang Asli. Antara tanah-tanah yang masih belum diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli di Gua Musang termasuklah Chawas, Tohoi, dan Kuala Wok (Salleh 2018).

Tanah-tanah yang belum diwartakan lagi ini juga telah diakui oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah:

Tanah rizab Orang Asli ni ada yang sudah kita wartakan, ada yang belum. Sebab mengapa ia tidak diwartakan, saya tidak berhak memberikan komen sebaliknya pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan lebih arif mengenainya.” – (Salleh 2018).

Walaupun terdapat keputusan mahkamah yang dengan jelas menetapkan beberapa kawasan di Gua Musang adalah milik Orang Asli, projek perladangan durian dan pembalakan masih berterusan seakan-akan aktiviti mereka tidak dibatalkan oleh kerajaan negeri Kelantan (Putri 2018). Menariknya juga, sumber pendapatan utama negeri Kelantan adalah pembalakan (Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, dipetik Putri 2018). Jika mereka menghentikan aktiviti tersebut, adakah hasil negeri Kelantan akan terjejas?

Gambar 10: Laman Web Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Perenggan pertama artikel menyatakan pembalakan merupakan sumber pendapatan negeri utama Kelantan. Sumber: JPNK 2018. http://www.jpnk.kelantan.gov.my/.

Pada tahun lepas, dalam artikel Harakahdaily yang bertajuk “Hampir kesemua tanah di Kelantan Rizab Melayu”, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mendakwa bahawa tanah adat hanya wujud di Sabah dan Sarawak:

“Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar enakmen tersebut tiada istilah tanah adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Kata beliau tanah adat hanya wujud di Sabah dan Sarawak.” – (Aslani 2017).

Beliau juga berkata hampir kesemua tanah di Kelantan merupakan rizab Melayu berdasarkan Enakmen Rizab Melayu 1930 yang beliau dakwa lebih awal berbanding Akta Orang Asli 1954. Beliau kemudian berkata kawasan yang akan diwartakan ditentukan oleh JAKAO (yang merupakan agensi kerajaan persekutuan). Putri (2018) berhujah bahawa kerajaan negeri merupakan badan tertinggi dalam hal ehwal berkaitan pokok, perhutanan dan tanah, jadi mereka juga mempunyai kuasa untuk mewartakan tanah-tanah Orang Asli di Kelantan.

Perkara ini juga disebut oleh Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang berkata isu-isu berkaitan tanah adalah berada di bawah bidang kuasa negeri (Yen 2018). Tambahan pula, menurut Naib Pengerusi Kelantan, Che Ibrahim Mohammad, beliau berkata Enakmen Rizab Melayu tidak boleh digunapakai ke atas kawasan Orang Asli yang jelas telah lama menetap di kawasan tersebut sejak turun-temurun (Zakaria 2017).

Berita baiknya, baru-baru ini kerajaan persekutuan sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkaitan tanah Orang Asli dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

Gambar 12: Putrajaya sedang mencari penyelesaian untuk isu tanah Orang Asli. Sumber: FMT 2018. http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/08/28/putrajaya-consults-ag-over-orang-aslis-land-dispute-with-kelantan-govt/.

Kesimpulan

Orang Asli merupakan kaum yang tertua di Malaysia dan mempunyai sejarah yang sangat bernilai. Walau bagaimanapun, mereka sering dipinggirkan – suara mereka kadangkala tidak langsung didengari dan hak serta kepentingan mereka sering diendahkan oleh pihak berkuasa. Tidak dinafikan juga bahawa Orang Asli telah didiskriminasi dan dieksploitasikan oleh sesetengah pihak untuk sekian lama.

Seterusnya, Orang Asli telah melalui banyak dugaan perit dalam sejarah seperti peperangan dan perhambaan. Sehingga kini mereka masih sedang melalui dugaan yang besar seperti kehilangan tempat tinggal dan tanah adat. Sehingga kini juga persoalan kenapa hak-hak mereka tidak dilindungi dengan tegas oleh sesetengah pihak berkuasa masih tidak terjawab. Kini terdapat pelbagai NGO yang telah berkerjasama antara satu sama lain untuk memberikan kemudahan dan fasiliti kepada Orang Asli untuk menjaga kebajikan dan kemajuan mereka.

Selain itu, seperti yang telah dihujah di atas tadi, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai kuasa dan tanggungjawab dalam melindungi kebajikan dan kemajuan Orang Asli. Oleh kerana hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah tegas dalam mempertahankan tanah adat, kebudayaan, sejarah, dan bahasa Orang Asli.

Harapan saya untuk era Malaysia Baharu ini termasuklah kerajaan akan menjalankan reformasi untuk menjaga kebajikan dan kemajuan Orang Asli yang sudah sekian lama diabaikan sekaligus menggunakan pendekatan yang berhemah serta berdiplomasi untuk menyelesaikan kemelut ini. Sekiranya kerajaan baru ini dan kerajaan seterusnya tidak mengambil tindakan yang sewajarnya, maka suku-suku Orang Asli serta warisan dan sejarah mereka akan hilang daripada dunia ini dalam masa yang terdekat.

Rujukan

Aslani, M. (2017) ‘Hampir kesemua tanah di Kelantan rizab Melayu’. HarakahDaily [online] 11 July 2017. available from <[http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/2091-hampir-kesemua-tanah-di-kelantan-rizab-melayu]> [29 August 2018]

Edo, J. and Fadzil, K.S. (2016) ‘Folk Beliefs vs. World Religions: A Malaysian Orang Asli Experience’. in Malaysia’s Original People: Past, Present, and Future of the Orang Asli. ed. by Endicott, K. Singapore: National University of Singapore, 251-267.

Endicott, K. (2016) ‘Introduction: The Orang Asli’. in Malaysia’s Original People: Past, Present, and Future of the Orang Asli. ed. by Endicott, K. Singapore: National University of Singapore, 1-29.

Idrus, R. (2013) ‘Left Behind: The Orang Asli under the New Economic Policy’. in The New Economic Policy in Malaysia: Affirmative Action, Ethnic Inequalities and Social Justice. ed. by Gomez, E.T. and Saravanamuttu, J. Singapore: National University of Singapore, 265-287.

Khalid, M.A. (2014) The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing.

Leong, T. (2017) ‘Who are Malaysia’s bumiputera?’. The Straits Times [online] 3 August 2017. available from <[https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/who-are-malaysias-bumiputera]> [29 August 2018]

Putri, A. (2018) Kenapa Kelantan Satu-Satunya Negeri Yang Tak Wartakan Tanah Orang Asli? [online] available from <[https://soscili.my/kenapa-kelantan-satu-satunya-negeri-yang-tak-wartakan-tanah-orang-asli/]> [15 August 2018]

Salleh, N.H. (2018) ‘Jakoa: Hanya tanah rizab Orang Asli Kelantan belum diwartakan’. Free Malaysia Today [online] 16 July. available from <[ http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/16/jakoa-hanya-tanah-rizab-orang-asli-kelantan-belum-diwartakan/]> [29 August 2018]

Subramaniam, Y. (2016) ‘Orang Asli, Land Rights and the Court Process: A “Native Title” Lawyer’s Perspective. in Malaysia’s Original People: Past, Present, and Future of the Orang Asli. ed. by Endicott, K. Singapore: National University of Singapore, 423-442.

Tang, A. and Azhar, S. (2016) ‘41 orang asli arrested in operation at Gua Musang barricades’. The Star [online] 29 November 2016. available from <[https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/11/29/orang-asli-gua-musang-arrested/]> [29 August 2018]

Wok, I. (2015) ‘The Aboriginal Peoples Act 1954 And The Recognition Of Orang Asli Land Rights’ ResearchGate [online] 6 (1), 37-54. available from <www.researchgate.net> [15 August 2018]

Yen, H.K. (2018) ‘Putrajaya consults AG over Orang Asli’s land dispute with Kelantan govt’. Free Malaysia Today [online] 28 August. available from <[http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/08/28/putrajaya-consults-ag-over-orang-aslis-land-dispute-with-kelantan-govt/]> [29 August 2018]

Zakaria, H. (2017) ‘Orang Asli menang di mahkamah Kota Bharu, kekalkan tanah milik mereka’. Malaysia Dateline [online] 23 April 2017. available from <[https://malaysiadateline.com/orang-asli-menang-di-mahkamah-kota-bharu/]> [29 August 2018] 

Bibliografi

Buang, S. (2018) ‘Sekatan Orang Asli Kelantan halang projek ‘Musang King’. Malaysiakini [online] 17 February 2018. available from <[ https://www.malaysiakini.com/news/412558]> [28 August 2018]

Bernama (2018) ‘NGO tak hasut kami tuntut tanah adat, kata Orang Asli Kelantan’. Free Malaysia Today [online] 12 August.  available from <[http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/12/ngo-tak-hasut-kami-tuntut-tanah-adat-kata-orang-asli-kelantan/]> [22 August 2018]

Lee, P. (2016) ‘Orang asli sending message to loggers that they are here to stay’. The Star [online] 28 October 2016. available from <[ https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/10/28/blockade-village-growing-orang-asli-sending-message-to-loggers-that-they-are-here-to-stay/]> [29 August 2018]

Muhammad, M. (2018) ‘Tanah adat Orang Asli akan diwartakan, tetapi…’. Astro Awani [online] 3 August. available from <[http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tanah-adat-orang-asli-akan-diwartakan-tetapi-182141]> [29 August 2018]

Shaari, M.N. (2011) ‘Wither The Bumiputera Identity Of Universiti Teknologi MARA (UiTM)?’ Universiti Sains Malaysia [online] 29 (2), 67-89. available from < http://www.usm.my> [14 August 2018]