Australia di mata dunia dikenali sebagai negara yang mempunyai haiwan yang pelik seperti Kangaru, koala, walabi dan lain-lain. Malah sebagai sebuah negara koloni British, dan masih kekal berajakan Queen Elizabeth, Australia mempunyai imej sebagai negara orang putih. Tapi tahukah anda, Australia mempunyai kaum pribumi atau kaum orang Asli yang dipanggil Aboriginal Australian atau First People? Mari kita mengenali mereka.

Orang Asli Australia dikatakan tiba di Australia lebih kurang 30,000 tahun dahulu di mana ketika itu, masih wujud jejambat tanah merentas utara Australia, Asia dan New Guinea. Kenaikan air selepas itu menjadikan mereka terputus hubungan dengan manusia lain.

Dianggarkan ketika British tiba di Wiradjuri Nation (Sydney), populasi orang Asli Australia mencecah sejuta orang. Namun anggaran ini sukar dipastikan kerana ramai yang meninggal dunia ekoran jangkitan penyakit dan pemb4nuhan beramai-ramai oleh pihak British.

Terdapat lebih daripada 500 bahasa wujud di kalangan orang Asli Australia. Bahasa-bahasa mereka ini boleh dikelaskan kepada 31 keluarga bahasa.

Orang Asli Australia tidak mempunyai konsep pemilikan persendirian. Tanah yang dimiliki dipunyai secara bersama oleh suku kaum tersebut. Justeru itu, mereka berburu dan menangkap ikan secara bersama dan berkongsi makanan merupakan suatu tanggungjawab.

Kemahiran yang dimiliki mereka ini menyebabkan mereka boleh hidup di tempat yang paling gersang yang masih tidak boleh diduduki masa kini. Mereka hidup berpindah-randah (nomadik) dan justeru itu, mereka hanya boleh membawa sedikit barang bersama. Mereka juga hanya membina tempat perlindungan sementara menggunakan kulit kayu.

Makanan

Ketika mencari makanan, orang Asli Australia menggunakan lembing, bumerang, dan peralatan batu. Mereka berpengetahuan luas mengenai bekalan makanan bermusim. Pencarian makanan seperti tumbuh-tumbuhan atau berburu akan menyaksikan orang Asli Australia bergerak seramai 50 orang.

Mereka memburv Kangaru, Walabi, dugong, buaya, burung, cicak, dan ulat. Namun begitu, makanan asasi mereka adalah sayur-sayuran seperti akar kayu, buah-buahan, dan bijirin yang dikumpul oleh para wanita suku kaum masing-masing. Wanita juga bertanggungjawab untuk mengutip kerang dan ulat-ulat pokok. Para lelaki pula bertanggungjawab menjerat haiwan.

Orang Asli juga menghidupkan api dengan memusing batang kayu di dalam sebuah lubang yang dibuat pada sekeping kayu. Mereka akan menerangkan kawasan yang luas menggunakan api bagi memb4nuh atau membongkar kedudukan haiwan-haiwan yang tersembunyi.

Masyarakat

Para wanita merupakan aset utama di dalam pencarian makanan buat suku kaum masing-masing dan terutamanya buat golongan tua yang bergantung harap pada mereka. Golongan tua mempunyai pengetahuan luas berkenaan alam sekitar dan merekalah yang menentukan pergerakan seterusnya suku kaum mereka. Golongan tetua pula menerajui kehidupan bermasyarakat mereka.

Mereka meneguhkan penyembahan nenek moyang, penjagaan kawasan-kawasan suci, dan membentuk totem-totem berupa haiwan. Mereka juga turut mengajar lagu-lagu, tarian suku, dan hikayat-hikayat kepada golongan muda. Begitu juga menganjurkan keramaian seperti keramaian bagi menandakan remaja lelaki memasuki alam dewasa. Remaja-remaja ini akan disunat dan sesetengah suku kaum akan mencabut sebatang gigi bagi menunjukkan mereka telah melalui perubahan jiwa kepada jiwa dewasa.

Kepercayaan

Orang Asli Australia percaya bahawa ketika Dream-time, tanah mereka telah dicipta dan dipenuhi dengan makhluk dengan kuasa manusia luar biasa. Manusia tersebut merupakan nenek-moyang orang Asli Australia. Setiap Orang Asli mempelajari mengenai tanah yang beliau diami. Tanah itu yang memberikan mereka jati diri dan jiwa.

Apabila mereka diusir keluar dari tanah mereka, jiwa mereka turut terb4nuh bersama. Mereka turut mempercayai bahawa kem4tian berpunca daripada sihir orang lain. Kem4tian merupakan perpisahan roh yang abadi daripada jasad di mana jasad tersebut akan dibakar, kadang-kadang, bagi menjadikannya tidak menarik untuk roh kembali di situ. Roh-roh Dream-time akan dilahirkan semula di dalam badan bayi lalu menghubungkannya dengan pencipta kosmos.

Seni

Seni orang Asli Australia berbentuk ukiran dan lukisan yang dijumpai merata Australia. Seni alam dan geometri di jumpai di banyak daerah. Lukisan pula dihasilkan sama ada menggunakan jari atau ranting lembut yang berfungsi seperti berus. Hasil stensil berupa bumerang, kapak batu, dan pelbagai objek lain telah dihasilkan dengan meniup penuh mulut dengan cat ke atas objek tersebut.

Lukisan ini mudah luntur ekoran jenis cat yang digunakan. Tanah liat (warna putih), arang kayu (warna hitam) dan oksida ferum (warna merah) telah digunakan bagi membentuk riak nenek moyang Dream-time. Selain itu, mereka juga menggunakan cara-gaya seni lukisan kayu sebagai salah satu bentuk kesenian mereka. Ketika mana mereka menghasilkan lukisan baru berdasarkan lukisan lama, anak muda akan diajar berkenaan makna tanah dan sejarah mereka.

Pelukis Arnhem Land, Glen Namundja, sedang melukis Seni Injalak

Manakala muzik orang Asli Australia dilakukan dengan tujuan keagamaan. Nenek moyang Dream-time telah menulis lagu-lagu mengenai mereka. Makna sebenar sesebuah lagu hanya boleh difahami selepas mengambil kira persembahan mereka iaitu dengan pemain-pemainya mengecat seluruh badan, tempat dilakukan, reaksi penonton, dan kesatuan dengan nenek moyang. Persembahan mereka diiringi dengan alunan didjeridu dan tepukan ranting.

Bendera Orang Asli Australia

Orang Asli Australia mempunyai identiti sejauh 30,000 tahun namun semenjak mereka menjengah ke zaman moden, mereka menghadapi masalah untuk mengekalkan identiti mereka. Ekoran penjajahan yang berlaku semenjak abad ke-18, orang Asli Australia telah bergelut melawan hegemoni penjajahan British yang membawa pelbagai bencana yang maha dahsyat ke atas mereka. Sehingga kini, mereka menuntut hak mereka sebagai rakyat Australia yang sah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.