TATKALA Perang Dunia Kedua menutup tirainya di Borneo akan menyaksikan pemerintahan diambilalih oleh tentera-tentera dari Australia dan ini bukanlah satu lagi rahsia memandangkan ianya dicatitkan di dalam kronologi bersejarah bagi Sarawak, Borneo Utara (Sabah), Brunei mahupun Kalimantan sendiri.  Tempoh peralihan itu dikenali sebagai Pemerintahan Tentera Komanwel di Borneo dan ianya berlangsung hanya sekejap sahaja sementara menunggu kerajaan-kerajaan sebelumnya menyusun strategi untuk membina Negara-negara yang hampir musnah dek kerana perang.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di dalam sejarah perang dunia kedua menyaksikan tentera-tentera Australia adalah mereka yang menjadi tulang belakang di dalam siri-siri perang pada akhir perang dunia kedua iaitu memerangi Jepun bagi mengambil kembali tanah jajahan British mahupun Belanda yang jatuh di tangan mereka dari tahun 1941 hingga 1945.  Bukan sesuatu yang mudah namun perjuangan tentera Australia pada waktu itu tidaklah boleh kita lupakan sebegitu sahaja kerana mereka meninggalkan tanahair mereka beribu batu jauhnya demi “menyelamatkan” kita dari Jepun.

Operation Oboe adalah siri-siri operasi ketenteraan yang digunakan oleh Tentera Australia bagi membebaskan Borneo dari penaklukan Jepun.  Siri-siri operasi ketenteraan ini berlangsung dari Mei hingga Julai 1945.  Menurut perancangan pihak Tentera Perikatan sepatutnya ada enam siri operasi ketenteraan yang akan dilakukan di Borneo namun atas beberapa masalah hanya tiga sahaja operasi yang benar-benar terlaksana.

Dalam pada itu antara yang menjadi pembakar semangat kepada keberanian tentera Australia di dalam melaksanakan Operasi Oboe menjadi kenyataan adalah apabila Operasi “Z” menemui kejayaannya iaitu dengan menyusup masuk di dalam wilayah Borneo biarpun pada ketika itu Jepun sudah menakluki Borneo.  Operasi “       Z” telah berjaya dilakukan di Bario, Sarawak dengan tentera Perikatan melakukan terjunan bebas menggunakan payung terjun di satu wilayah tanah tinggi di Sarawak tanpa disedari oleh pihak Jepun.  Ianya terjadi sekitar Mac 1945 yang mana atas kebijaksanaan tentera di dalam Operasi “Z” telah membawa kepada tertubuhnya Komando Semut iaitu satu pasukan komando terdiri daripada etnik pribumi Sarawak pada waktu itu.

Impak ke atas Jepun di dalam siri-siri perang gerila oleh Komando Semut sememangnya cukup membanggakan kerana menurut rekod hampir 1,500 orang tentera Jepun berjaya dibunuh oleh pasukan Komando Semut yang langsung tidak takut mati.  Selain itu ianya juga turut dikatakan mencipta sejarahnya tersendiri apabila perang kayau (kepala dipenggal) yang dahulunya dianggap tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun oleh bangsa Inggeris telah dijanakan kembali sehingga menjadi igauan ngeri bagi tentera-tentera Jepun yang berada di bumi Borneo pada waktu itu.

Atas perintah Jeneral Douglas MacArthur iaitu pemerintah tertinggi pasukan Tentera Perikatan bagi Selatan-Barat Pasifik pada waktu itu telah meminta pasukan tentera Australia untuk membuat terjunan bebas di beberapa kawasan di Borneo.  Menurut rekod ada lebih kurang 35,000 tentera Australia yang terlibat bagi menjayakan operasi ketenteraan itu di Borneo samada dari segi taktikal sehinggalah ianya berjaya dilakukan.  Rekod juga menunjukkan lebih daripada 590 nyawa anggota tentera Australia yang terkorban dan hampir 2,100 orang pula mendapat kecederaan parah di dalam operasi Oboe ini tatkala ianya berlangsung.

Bagi menjayakan satu misi ketenteraan penting ini, kesemua anggota tentera Australia yang terlibat telah diarahkan untuk berhimpun di sebuah pulau yang terletak di Maluku iaitu yang dinamakan Pulau Morotai.  Disini mereka mengatur strategi dengan membawa kesemua kekuatan tentera seperti tentera dari unit 1st Tactical Air Force, Divisen 7th dan 9th tentera Australia yang pernah berperang di Timur Tengah dan New Guinea.  Malah tentera laut Australia yang pakar di dalam perang laut juga turut menyertai mereka di Pulau Morotai beberapa bulan sebelum operasi diadakan.  Dikatakan juga di Pulau Morotai inilah kesemua tentera Australia telah didedahkan dengan keadaaan geografi Borneo yang langsung tidak sama dengan tanahair mereka.

Setelah kesiapsiagaan pada tahap maksima akhirnya Operation Oboe 1 dilaksanakan iaitu pada tanggal 1 Mei 1945.  Operation Oboe 1 ini menyaksikan tentera Australia telah mempersiapkan diri dengan serangan sengit samada berbentuk laut dan udara ke atas pendudukan Jepun di Tarakan.  Perancangan yang cukup rapi menyebabkan Jepun langsung tidak mampu menyedari bahawa Pulau Sadau yang lokasinya tidak jauh dari Tarakan telah dicerobohi oleh tentera Australia.  Menjelang dinihari, Tarakan yang juga kaya dengan pelantar minyak dan penapisan telah diserang bertubi-tubi.

Di dalam Operation Oboe 1 ini, 26th Briged tentera iaitu yang pakar di dalam kerja-kerja kejuruteraan telah dikerahkan ke Tarakan bagi menyelamatkan sumber “emas hitam”  dari terus dimusnahkan dan membangunkannya semula sebagai salah satu sumber ekonomi pada waktu itu.  Operasi ini berlangsung lebih kurang seminggu sehinggalah Jepun benar-benar mengundurkan diri langsung menjadikan Tarakan adalah bumi pertama di Borneo yang berjaya ditawan semula oleh Tentera Perikatan pada Perang Dunia Kedua berlangsung.

Operation Oboe 6 pula adalah siri operasi tentera Australia yang dilakukan pada 10 Jun 1945.  Ianya dilaksanakan di Pulau Labuan dan sekitar Teluk Brunei.  Di kawasan ini menyaksikan tentera laut, udara dan darat Australia mengerahkan segala kekuatan mereka bagi memerangi tentera Jepun.  Di kawasan ini perang berlangsung selama hampir 3 hari sahaja sebelum Jepun mula mengundurkan diri.  Dari lokasi ini, tentera Australia telah bergerak secara darat dan air membebaskan wilayah Brunei, Borneo Utara dan utara Sarawak satu persatu dari tentera Jepun.

Akibat tentangan sengit dari Jepun yang sudah bersedia dengan kekuatan udara, tentera dan darat mereka akibat daripada kejayaan Operation Oboe 1 di Tarakan menyaksikan banyak juga kemusnahan di pihak tentera Australia.  Di dalam operasi ini menurut rekod ada lebih kurang 115 nyawa tentera Australia yang terkorban serta beratus-ratus lagi mengalami kecederaan yang parah.

Operation Oboe 2 pula diadakan pada 1 Julai 1945 iaitu Balikpapan menjadi lokasinya.  Dua kejayaan operasi sebelumnya menjadi pembakar semangat kepada tentera Australia untuk berperang sehingga ke titisan yang terakhir.  Di Balikpapan pihak tentera laut telah memulakan serangan yang pertama langsung dari kapal perang mereka iaitu dari unit tentera 7th Divisen.  Dek kerana pada waktu itu yang menjadi sasaran adalah telaga-telaga minyak di Balikpapan menyaksikan pasukan tentera payung terjun mereka telah terjun bebas disebalik asap hitam yang berkepul-kepul di ruang angkasa Balikpapan pada waktu itu.

Pada tanggal 15 Ogos 1945, biarpun sudah berjaya merealisasikan tiga operasi ketenteraan di Borneo yang mana didahului dengan Tarakan, Pulau Labuan dan Brunei Muara serta yang terakhir adalah Balikpapan akhirnya misi ketenteraan ini dihentikan setelah Jepun menyerah kalah secara rasmi.  Hanya selepas itulah, tentera Australia telah mula memasuki segenap pelusuk Borneo dari Borneo Utara, Sarawak dan Brunei dan akhirnya mengwujudkan pemerintahan tentera Perikatan di 3 wilayah di Pulau Borneo suatu waktu dahulu.

Jika kita menyelidiki sejarah Pulau Borneo itu sendiri dapatlah kita ringkaskan bahawasanya tentera Australia telah banyak berbakti untuk kita semua di Borneo bukan sahaja ketika Operasi Claret iaitu ketika menghadapi Konfrontasi Indonesia/Malaysia malah lebih awal daripada itu iaitu sejak Perang Dunia Kedua berlangsung lagi.  Dek kerana itulah di pihak veteran tentera Australia, Borneo itu sentiasa dekat dihati mereka kerana ramai pejuang-pejuang mereka gugur di medan perang iaitu di Borneo jauh dari tanahair mereka.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Borneo Oboe Campaign – Second World War Historical Backgrounder by Australian Government , Department Of Veteran Affairs (PDF)
  2. Allies in adversity, Australia and the Dutch in the Pacific War: Australia’s OBOE operations

https://www.awm.gov.au/visit/exhibitions/alliesinadversity/australia/oboe


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.