Omayra Sanchez: Satu Gambar, Seribu Cerita

3,558

Apabila anda terlihat gambar ini, apakah yang bermain di dalam fikiran anda? Seorang budak yang ditenggelami air separas paras lehernya, dan matanya merah, wajahnya bengkak dan tangannya pula kelihatan pucat, ditambah pula dengan keadaan kulit pada tangannya itu yang mengelupas akibat terlalu lama ditenggelami air.

Adakah anda terfikir, mengapa tiada orang ingin membantunya? Mengapa orang lain membiarkannya, dan sehingga ada yang sanggup mengambil gambarnya dan kelihatan ibarat mereka tidak peduli terhadap kanak-kanak ini? Dalam masa beberapa jam selepas gambar ini diambil, kanak-kanak ini m4ut akibat pelbagai faktor seperti terdedah kepada elemen air yang kotor, jangkitan kuman, septic shock dan juga hypothermia.

Imej ini mempunyai satu cerita yang sangat mendalam disebaliknya. Imej ini membuatkan seorang lelaki yang bernama Frank Fournier, iaitu seorang photojournalist memenangi anugerah berprestij iaitu Press Photo of the Year pada tahun 1986 dan seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bagaimana perbuatan satu kerajaan yang tidak peka dan tidak memberi perhatian yang serius terhadap kemungkinan malapetaka yang akan menyebabkan kem4tian berpuluh ribu orang rakyat Colombia.

Gunung Berapi Nevado del Ruiz – Smithsonian Institute

Mari kita balik semula ke zaman silam, iaitu sedikit sejarah mengenai daripada manakah malapetaka ini berasal. Gunung berapi Nevado del Ruiz ini terletak di sempadan Caidas dan Tolima di negara Colombia, kira-kira 129 kilometer daripada ibu negara mereka iaitu Bogota.

Mengikut kajian pakar geologi, gunung ini terbentuk kira-kira 2 juta tahun dahulu, dan terdapat banyak letusan demi letusan yang mana boleh terbahagi kepada tiga zaman, iaitu zaman silam (1-2 juta tahun dahulu), zaman dulu (200 hingga 800 ribu tahun dahulu) dan zaman sekarang, iaitu zaman kini sehingga 199 ribu tahun yang lepas.

Jika kita lihat sejarah letusannya pada 11,000 tahun yang lalu, terdapat lebih kurang 12 kali gunung berapi ini meletus. Antara yang tercatat di dalam sejarah adalah letusan yang berlaku pada tahun:

1595 – mengorbankan 600 orang

1845 – mengorbankan 1,100 orang

1985 – yang akan kita baca di bawah ini.

2016 dan 2018 – letusan kecil yang tidak begitu serius

Gunung ini mempunyai puncaknya pada ketinggian 17,500 kaki, lebih kurang 5,300 meter daripada aras laut. Bahagian puncaknya diliputi dengan ais, dan disebabkan itu, setiap kali gunung ini meletus, satu jenis bahan yang kita kenali sebagai lahar ini ini terbentuk, dimana ianya membawa sisa letusan, cecair yang hadir daripada ais yang mula melarut dan juga tanah. Komposisi lahar ini adalah seperti bahan pyroclastic, lumpur dan air. Sifatnya pula lebih menyerupai bancuhan simen yang masih basah.

Rupa bentuk dan sifat lahar gunung berapi – Jeff Marso, USGS Geologist

Sekiranya anda pernah ternampak seorang pekerja dalam pembinaan rumah dan bangunan, atau sekiranya anda pernah mencampur simen dengan air dan beberapa bahan lain untuk menjadikannya konkrit, maka, anda akan dapati teksturnya likat, dan ibarat berada di antara pepejal dan cecair. Begitulah tekstur lahar ini. Jika lahar ini mengalir, sifatnya ibarat cecair manakala jika lahar tersebut bertakung, atau berhenti mengalir, ianya akan menyerupai pepejal dan mengeras dengan cepat.

Perkataan lahar ini berasal daripada bahasa Jawa, dan untuk pengetahuan anda, lahar ini merupakan salah satu punca bagaimana seseorang itu boleh m4ut akibat letusan gunung berapi, kira-kira 17% daripada jumlah kem4tian. Selebihnya adalah disebabkan oleh gelombang letusan itu tersendiri, atau ada yang m4ut disebabkan oleh dihempap oleh serpihan batu yang terpelanting.

Baik, setahun sebelum letusan ini berlaku, iaitu sekitar bulan November, tahun 1984, pakar geologi daripada Colombia itu sendiri telah memberi amaran kepada kerajaan bahawa aktiviti gunung berapi ini meningkat, dan mempunyai kemungkinan tinggi untuknya meletus. Kira-kira dua bulan sebelum kejadian ini terjadi, gunung berapi ini mula memuntahkan abu. Selain itu, aktiviti yang dipanggil sebagai fumarole ini juga meningkat, dan mereka mendapati bahawa kandungan sulfur mula terbentuk di puncak gunung tersebut menandakan bahaya yang bakal mendatang.

Akan tetapi, pada awal bulan Oktober tahun 1985, aktiviti gunung ini berkurangan semula. Justeru, pihak kerajaan tidak mengeluarkan arahan dan amaran kepada penduduk setempat disebabkan oleh amaran yang diberikan oleh pakar geologi itu merupakan false warning. Namun, pada 22 Oktober 1985, satu gempa bumi kecil terjadi, dan masa inilah baru kerajaan mereka mengeluarkan arahan untuk penduduk yang tinggal di kawasan ini supaya berjaga-jaga.

Anda perlu fahami bahawa kejadian ini berlaku pada tahun 1985, di mana sistem telekomunikasi hampir tidak wujud lagi. Apa yang mereka boleh lakukan hanyalah menyerahkan risalah kepada penduduk setempat terutama sekali di satu perkampungan di sekitar gunung tersebut yang bernama Armaro. Risalah tersebut mengandungi amaran dan juga apa yang digelar sebagai hazard map, iaitu jangkaan tentang kedudukan dan laluan lahar ini.

Hazard map Gunung Berapi Nevado del Ruiz – Wright and Pierson

Terdapat beberapa masalah mengenai sistem yang digunakan untuk menghantar amaran ini, dan masalah yang paling utama adalah kegagalan untuk amaran ini tiba kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai risiko yang paling tinggi untuk terkena letusan, dan salah satunya adalah perkampungan Armaro. Sebenarnya, jika kita fikirkan, daripada kali terakhir gunung ini meletus sebelum tahun 1985, iaitu pada tahun 1845, tiada tindakan yang diambil dengan serius diambil oleh kerajaan mereka.

Hal ini adalah kerana mereka tidak menghalang mana-mana rakyat negara mereka untuk membina rumah dan menjadikan kawasan tersebut sebagai satu perkampungan. Bukan itu sahaja, seperti yang kita fahami, kawasan di persekitaran gunung berapi mempunyai tanah yang subur, sesuai untuk aktiviti pertanian. Hal inilah yang menyebabkan ramai penduduk sanggup mengambil risiko untuk tnggal di situ. Walau bagaimanapun, hal tersebut bukanlah satu alasan untuk pihak kerajaan menutup sebelah mata sahaja kerana mereka tahu gunung tersebut masih aktif dan sekiranya terdapat letusan gunung berapi, mereka mempunyai risiko yang amat tinggi untuk m4ut.

Pada 13 November 1985, letusan gunung berapi ini berlaku. Gelombang yang pertama letusan ini membunuh kira-kira 20,000 manusia dengan serta merta. Kemudian, letusan gelombang kedua dan ketiga pula terjadi. Hal ini menyebabkan pembentukan lahar gunung berapi dan mengalir ke perkampungan terdekat, memusnahkan 13 buah penempatan dan meningkatkan jumlah kem4tian kepada 23,000 orang. Jumlah penduduk yang paling ramai m4ut adalah di perkampungan Armaro.

Imej mengerikan yang menunjukkan keadaan selepas sahaja letusan Gunung Berapi itu berlaku – Bernard Diederich, Getty Image

Pada malam hari berkenaan, terdapat satu keluarga yang tinggal di sebuah rumah berdekatan gunung Nevado del Ruiz, dan salah seorang daripada ahli keluarga tersebut adalah seorang kanak-kanak perempuan bernama Omayra Sanchez. Ketika kejadian, dia berusia 13 tahun. Apa yang berlaku kepadanya, disamping imej dan kata-kata yang ditinggalkan di akhir hayatnya akan menyebabkan masyarakat daripada seluruh dunia terkesan dan terdapat perubahan pada segala sistem keselamatan berkaitan dengan cara mereka menangani dan mengelakkan tragedi yang sepatutnya diketahui akan menyebabkan kem4tian tetapi dibiarkan begitu sahaja.

Omayra, bersama ahli keluarganya yang lain sedang tidur malam tersebut, tetapi mereka tidak sangka dan bersedia bahawa terdapat lahar gunung berapi yang mengalir pantas ke arah rumah mereka, sepantas 6 meter sesaat. Mereka tidak bersedia kerana mereka, bersama puluhan ribu mangsa yang lain tidak mendapat risalah yang mengandungi amaran. Pengaliran lahar ini membawa jumlah isipadu dan berat yang amat tinggi, dan akan menyebabkan apa-apa sahaja sahaja yang berada di laluannya musnah.

Rumah yang didiami Omayra musnah, dan mengorbankan beberapa ahli keluarganya yang lain kecuali ibu dan abangnya. Ayahnya, kakaknya dan makciknya juga terkorban serta-merta, tetapi, jiwa kecil yang dimiliki oleh Omayra ini bertahan menempuhi kemusnahan rumahnya. Pada awalnya, dia terkambus di bawah runtuhan konkrit dan hanya tangannya sahaja kelihatan. Pasukan penyelamat yang menyedari masalah ini segera mengalihkan timbunan batu, kayu dan konkrit yang menghempapnya.

Keadaan Omayra yang sedang giat dibantu oleh pasukan penyelamat – Tom Landers, Getty Image

Keadaan Omayra yang sedang giat dibantu oleh pasukan penyelamat – Tom Landers, Getty Image

Malangnya, Omayra tidak dapat ditarik keluar daripada situ kerana kakinya tersangkut di bawah timbunan kayu ini. Sebelum saya meneruskan penulisan, saya ingin memberi anda satu amaran bahawa imej yang bakal anda lihat di bawah ini tidak sesuai untuk dilihat oleh mana-mana individu yang tidak kuat, kerana ianya bersifat mengerikan dan menyedihkan sehingga mempunyai potensi untuk menyebabkan beberapa orang berasa terganggu daripada segi emosi.

Mana-mana ahli pasukan penyelamat yang berada di situ mula berusaha untuk mengalihkan timbunan konkrit dan sisa perumahan yang musnah di sekeliling Omayra. Akan tetapi, mereka tidak boleh membuat perkara tersebut untuk mana-mana sisa runtuhan yang berada di sekeliling Omayra. Hal ini adalah kerana setiap kali mereka mengalihkan runtuhan tersebut, keadaan air akan meningkat dan menyebabkan Omayra tenggelam sehingga ke paras di atas kepalanya, menyebabkan dia kelemasan.

Beberapa orang ahli pasukan search and rescue (SR) ini mula menilai situasi dan keadaan yang menyebabkan Omayra tersangkut. Kaki Omayra berada dalam posisi melutut, dan dihempap oleh konkrit. Bukan itu sahaja, terdapat tangan mendiang makciknya, yang mana berada dalam posisi memeluk kedua-dua kaki Omayra. Kombinasi ini menyebabkan kegagalan untuk Omayra melepaskan dirinya.

Omayra diikat dengan pelampung supaya dia tidak tenggelam – Wikimedia

Kemudian, pasukan SR mula meletakkan satu tayar dan tali di sekeliling leher Omayra untuk memastikan dia terapung. Hal ini kerana cuaca berikutan daripada letusan gunung berapi tersebut adalah hujan. Hujan ini meningkatkan lagi aras air, menjadikan risiko Omayra untuk tenggelam menjadi tinggi. Ramai pasukan SR berkumpul di sekeliling Omayra, menemaninya untuk membolehkan dia tenang.

Namun, apa yang mengagumkan mengenai Omayra ini adalah ketenangannya menghadapi situasi ini. Dia menyanyi untuk mana-mana ahli SR yang cuba menyelamatkannya untuk menghilangkan ketegangan situasi. Kadangkala, dia meminta makanan manis dan minuman soda, yang dipenuhi permintaannya oleh ahli-ahli SR ini. Omayra juga kadangkala berdoa dan mengekspresikan emosinya yang rindu untuk berjumpa abang, kakak, ibu dan ayahnya.

Apa yang sangat menyedihkan adalah apabila Omayra menyuruh rata-rata ahli SR ini untuk meninggalkannya, kerana dia khuatir keadaan dirinya itu akan menyebabkan proses menyelamat mangsa lain terhenti. Dia juga berkata kepada ahli-ahli SR ini untuk berehat, memandangkan dia merasakan mereka bertungkus-lumus dengan apa alat yang ada untuk menyelamatkannya.

Antara petikan kata-katanya (terjemahkan ke bahasa Inggeris)

“Mama, please pray that I can walk after this anda these people will can help me free

I miss you so much, but I think this is the time for me to go

Mom, Dad, Brother and Sister, I love you. Goodbye”

Ini adalah antara ayat-ayat yang diungkapkan yang sememangnya membuat saya sendiri pun yang menonton video ini berasa amat sedih, apatah lagi apabila didengari oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat sewaktu kejadian ini.

Frank Fournier tiba di tempat ini dua hari selepas gunung ini meletus, iaitu beberapa jam sebelum Omayra m4ut. Terdapat beberapa ayat yang diungkapkan oleh Frank menceritakan betapa besarnya kesan tragedi tersebut kepada dirinya. Berikut adalah beberapa ayat yang diungkapkan apabila ditanya kepada dirinya untuk menceritakan pengalamannya itu.

“We felt totally powerless in front of this girl (Omayra) who was facing death with courage and dignity”

“All around, hundreds of people were trapped. All the rescuers were having difficulty reaching them. I could hear people (victim) screaming for help, then silence – an eerie silence”

Antara detik-detik yang menyedihkan yang berjaya dirakamkan melalui video (resolusi rendah memandangkan kejadian berlaku pada tahun 80-an) – GloomyHouse Youtube Channel

Pada hari ketiga, iaitu pada 16 November 1985, keadaan Omayra makin teruk. Dia mulai mengalami halusinasi, dan dalam kata-katanya yang berjaya direkodkan oleh Frank adalah (diterjemahkan dalam bahasa Inggeris)

“I am going to miss a year because I haven’t been to school for 2 days”

Dia juga mengatakan kerisauannya kerana tidak sempat mengulangkaji mata pelajaran matematik kerana terdapat peperiksaan akhir tahun yang dirancangkan pada beberapa hari kemudian.

Hanya selepas hari ketiga ini, barulah pihak SR dapat menerima satu pam air untuk mengepam kesemua air yang terdapat di sekeliling Omayra. Seorang doktor juga hadir dan dia mengatakan pada ketika itu, tiada cara yang boleh dibuat untuk membebaskan Omayra tanpa memutuskan atau memotong kedua-dua belah kakinya.

Bukan itu sahaja, sewaktu pam air itu belum ada, dia mengatakan sekiranya dia memotong kaki Omayra sekalipun, air yang berada di sekelilingnya yang tercemar akan masuk ke dalam badan Omayra melalui salur darah yang terbuka (sekiranya pemotongan ini dilakukan).

Doktor tersebut membuat keputusan, memandangkan keadaan Omayra sangat kritikal. Kakinya yang tersepit itu menghalang penghantaran darah kepadanya, dan menyebabkan kakinya mengalami gangrene, iaitu sel-yang m4ti dan dalam kes ini adalah akibat tidak menerima bekalan darah yang cukup. Dia membuat keputusan bahawa lebih baik membiarkan Omayra m4ti daripada mencuba sesuatu yang dia ketahui, tidak akan dapat mengubah apa-apa prognosis pun kepadanya.

Melihatkan dia yang mulai berhalusinasi sedikit sebanyak menyatakan bahawa Omayra sedang mengalami septic shock, iaitu satu keadaan yang menyebabkan tekanan darahnya tidak dapat dikekalkan lagi oleh sistem kardiovaskular dan pernafasan kerana jangkitan kuman yang berasal daripada kakinya yang gangrene itu mula memamahnya daripada dalam.

Satu imej yang amat memilukan, tangan Omayra yang terkujur layu setelah dia disahkan men!nggal dvnia – Getty Images

Setelah pam itu tiba, mereka mulai membuat usaha untuk mengepam keluar air yang bertakung, akan tetapi, 3 jam kemudian, Omayra disahkan m4ut pada jam 9.45 pagi, 16 November 1985. Gambar yang diambil oleh Frank tersebar luas, dan gambar dan penceritaannya itu mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak.

Untuk satu pihak, mereka mengecam perbuatan Frank yang hanya berdiri dan melihat serta menjalankan temubual kepada Omayra tanpa memberikan bantuan atau pertolongan itu sangat-sangat menjelikkan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang manusia yang mempunyai sifat kemanusiaan dalam dirinya.

Untuk satu lagi pihak pula, mereka memuji perbuatan Frank yang menyebarkan gambar berkenaan beserta dengan video temubualnya kepada seluruh dunia untuk memberitahu bahawa betapa teruknya kelakuan pihak kerajaan Colombia yang diperkatakan langsung tidak berperikemanusiaan dan membiarkan sahaja rakyatnya terseksa.

Antara gambar mangsa lain yang terkorban apabila kejadian ini berlaku – Getty Images

Sememangnya, seluruh masyarakat dunia mula mengutuk perbuatan kerajaan Colombia atas banyak sebab. Pertama, ahli SR ini langsung tidak dilengkapi dengan apa-apa kemudahan atau alat untuk menyelamatkan manusia. Mereka tiada jentera berat, dan alat-alat asas seperti pam air untuk menjalankan kerja mereka.

Sebab yang kedua adalah mereka tidak mengambil serius dalam menangani dan membendung masalah berkaitan malapetaka ini, walhal amaran sudah diberikan oleh pakar geologi menganai bahaya yang mendatang. Kaedah penyebaran maklumat yang menggunakan risalah dan tidak tiba kepada orang yang sepatutnya juga dikecam.

Namun, sebab utama yang menyebabkan kebencian kepada kerajaan Colombia ini adalah ahli pasukan SR yang tiba itu hanyalah beberapa kru dan beberapa ambulans daripada Red Cross, dan rata-rata orang yang membantu hanyalah ahli keluarga dan sahabat kepada mangsa yang terlibat.

Sudah tentu mereka semua tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk menyelamatkan mangsa dalam kes ini. 100,000 orang tentera di seluruh Colombia dan juga 65,000 orang polis langsung tidak dikerah untuk tujuan membantu mangsa-mangsa ini.

Omayra Sanchez – World Press Image

Apapun, kita dapat lihat betapa hebatnya jiwa kanak-kanak ini yang walaupun baru sahaja berusia 13 tahun, tetapi sangat matang, cekal dan kental menghadapi m4ut. Terdapat beberapa video yang berada di laman web Youtube yang menunjukkan temuramah dan apa yang dikatakan oleh Omayra ini, namun, saya perlu memberi anda sedikit amaran kerana video tersebut tidak sesuai untuk ditonton oleh beberapa pihak memandangkan kandungannya amat sensitif.

Satu agensi dibentuk oleh kerajaan Colombia yang bernama Directorate for Disaster Prevention and Preparedness untuk tujuan mengelakkan tragedi sebegini terjadi. Apa pun, tragedi sebegini kita harap dapat membuka mata pelbagai pihak daripada seluruh dunia, terutama dari segi perhatian serius yang perlu diberikan dalam mencegah perkara-perkara sebegini daripada berlaku.

Apa pendapat anda mengenai kes ini? Adakah anda merasakan keputusan demi keputusan yang diambil oleh pelbagai pihak ini betul? Adakah keputusan doktor yang melihat kes ini dan membuat keputusan untuk tidak merawat Omayra kerana dikatakan tidak mampu mengubah apa-apa itu boleh diterima pakai? Sama-sama kita fikirkan.

RUJUKAN:

  1. Martí and Ernst, pg 291.
  2. 2) “Rescuers in Colombia refuse to give up hunt for survivors”. Milwaukee Journal. November 18, 1985.
  3. 3) Fielding, Emma. “Volcano Hell Transcript”. BBC Television. BBC. Retrieved September 3, 2008.
  4. 4) “BBC:On this day: November 13: 1985: Volcano kills thousands in Colombia”. BBC News Online. BBC. November 13, 1985. Retrieved September 3, 2009.
  5. Video link on Youtube by GloomyHouse  -https://www.youtube.com/watch?v=fVqZzf8VQcY

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.