Menjadi kebiasaan bagi pihak Google, sering menukar logo enjin cariannya untuk menghargai sumbangan pelbagai tokoh dari pelbagai bidang, yang hidup pada era ini mahupun pada masa silam.

Sebelum ini, pernah tular di mana pihak Google telah menukar logo klasiknya itu kepada sebuah imej, memaparkan seseorang sedang duduk santai di bawah sepohon pokok sambil memegang segugus anggur di tangan kirinya.

Sebuah kitab terletak rapi di atas riba sambil matanya tenang melihat jari telunjuk yang menunjuk ke langit, dihiasi  lukisan bumi dan geometri berwarna emas kekuningan. Imej ini secara keseluruhannya, telah memberikan info yang sangat baik akan sumbangan beliau terhadap dunia akademik dan penulisan, yang masih dihargai keringatnya hingga hari ini.

Hidup sekitar 1044 hingga 1123 Masihi, nama penuh beliau ialah Ghiyath al-Din Abul Fateh Omar Ibn Ibrahim Khayyam. Panggilan terkenal beliau ialah Omar Khayyam. Beliau merupakan ahli matematik, falsafah, fizik dan juga seorang penyair.

Menurut Zahir al-Din Abu al-Hassan Baihaqi, dalam Tarikh Hukama al-Islam, beliau menyatakan, Omar dilahirkan di Nishapur, begitu juga bapa dan para leluhurnya. Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa leluhurnya telah berhijrah dari Arab dan menetap di Parsi, kerana merujuk kepada nama keluarganya, Khayyam.

Bapa beliau ialah Ebrahim Khayyam, seorang ahli fizik yang kaya. Beberapa penulis berpendapat bahawa bapa Omar menyara hidup keluarganya dengan berdagang dan membuat khemah, merujuk kepada maksud nama keluarganya yang bermaksud pembuat khemah. Ahli keluarga Khayyam, muslim semuanya.

Bapa Omar telah mengupah seorang ahli matematik, Bahmanyar Bin Marzban untuk mendidik Omar sejak di awal usianya. Tambahan, Bahmanyar merupakan bekas anak murid kepada Ibnu Sina dan beliau juga merupakan penganut agama Majusi yang kemudiannya memeluk agama Islam. Omar telah belajar ilmu sains, falsafah dan matematik dengan Bahmanyar.

Antara guru terawal beliau semasa menuntut ilmu di Nishapur juga ialah Imam Muwaffaq. Menurut Edward Fitzgerald, dalam prakata buku terjemahan Rubaiyatnya, semasa di bawah asuhan Imam Muwaffaq, Omar telah bertemu dengan Nizam al-Mulk at-Tusi pada 1092 M., bakal wazir Baghdad di kemudian hari dan selepas itu, bertemu pula mereka dengan Hasan Bin Sabbah, pengasas Assasin. Ketiga-tiga mereka, telah bersama-sama mendapatkan bimbingan dan asuhan terus dari Imam Muwaffaq.

Selain di Nishapur, Omar juga telah menuntut ilmu di beberapa buah institusi terkemuka pada ketika itu seperti Bukhara, Balkh, Samarkand dan Isfahan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1123 di Nishapur.

Sumbangan Omar Khayyam

Sumbangan beliau banyaknya pada satu cabang Matematik, iaitu Algebra. Buku beliau, seperti Maqalat fi al-Jabr wa al-Muqabila, telah membawa sebuah penambahbaikan yang amat ketara dalam bidang tersebut.

Beliau berjaya mengklasifikasikan banyak persamaan algebra berdasarkan tahap kesukaran dan beliau juga telah mengenal pasti, hampir 13 bentuk persamaan segi tiga yang berbeza bentuknya. Di samping itu juga, beliaulah individu pertama yang telah mengembangkan  teorem binomial dan menentukan pekali (coefficient) binomial.

Beliau juga pernah berkhidmat dengan Sultan Seljuk, Malikshah Jalal al-Din. Sultan pernah bertitah agar sebuah kalendar suria yang tepat kiraannya dihasilkan. Tujuannya, memudahkan segala urusan kutipan hasil dan pelbagai lagi urusan pentadbiran. Untuk menyempurnakan tugasan ini, beliau telah memulakan kajian di sebuah balai cerap yang baharu dibina di Ray pada tahun 1074 dan pada 1079, beliau berjaya memperbaharui kalendar suria yang sedia ada.

Kalendar tersebut, bernama Kalendar Maliki atau al-Tarikh al-Jalali, Kalendar Jalali telah berjaya menandingini kalendar Gregorian. Hasil dapatan, beliau menjangkakan bahawa tempoh atau jarak masa dalam satu tahun ialah 365.24219858156 hari.

Kejayaan beliau dalam membuat kiraan sehingga mendapatkan 11 titik perpuluhan, membuktikan bahawa kalendar yang beliau dihasilkan lebih tepat berbanding kalendar-kalendar yang pernah dihasilkan sebelumnya.

Sebagai perbandingan, tempoh setahun yang kita gunakan sekarang ialah 365.242190 hari. Angka ini hanyalah berubah sedikit dari dapatan kiraan pada abad ke-19 iaitu 365.242196 hari. Kalendar Jalali ini hanya digunakan di Iran sehingga abad ke-20 Masihi.

Terdapat juga sentuhan beliau dalam bidang sains yang lain. Beliau telah mengembangkan kaedah bagi penentuan graviti yang tepat dan spesifik. Tambahan, beliau juga diyakini telah membina model yang menggambarkan teori revolusi Bumi pada paksinya.

Beliau juga telah menulis beberapa buah buku dalam bidang metafizik, seperti Risala Dar Wujud dan Norooz Namah. Sumbangan beliau yang sangat besar terhadap perkembangan ilmu matematik dan geometri analisis (analytical geometry), telah memberikan ‘cahaya’ dan manfaat kepada dunia Eropah beberapa abad yang mendatang.

Pada awalnya, dunia Timur tidaklah mengiktiraf atau mengenali beliau sebagai salah seorang penyair yang setanding al-Rumi, walaupun beliau telah menghasilkan Rubaiyat. Bagi pendapat sesetengah mereka, cara pandang puisi amatlah berbeza dari dunia falsafah.

Ada yang berpendapat, bahawa Omar menghasilkan puisi sebagai satu wadah untuk beliau mengekspresi perasaan terpendamnya mengenai kehidupan. Rubaiyat merupakan karya puisinya yang mengetengahkan kekayaan buah fikirannya dalam falsafah dan mistik yang kompleks. Berikut merupakan petikan dari Rubaiyat:

Dipenghujung bumi,
Dipenghujung nun jauhnya langit
aku cuba mencari Syurga dan Neraka.
Kemudian aku terdengar satu suara suram berkata:
“Syurga dan Neraka ada di dalamnya.”

Sepanjang hidupnya, Omar Khayyam telah menolak sebarang  tawaran yang menawarkan diri mereka untuk menjadi anak murid beliau. Tindakan atau keputusannya ini, dikecam hebat oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, tujuannya adalah untuk mengurangkan beban mengajar dan beliau boleh berikan tumpuan sepenuhnya terhadap segala kajian dan tugasan beliau sendirian.

Al hasil, beliau berjaya menghasilkan banyak buku dan monograf dalam pelbagai cabang akademik. Namun begitu, hanya terdapat 10 buah buku dan 30 monograf beliau sahaja yang berjaya dipelihara hingga kini. Antara bilangan buku yang pernah beliau hasilkan ialah 4 buah buku matematik, sebuah buku algebra, sebuah buku geometri, 3 buku perihal fizik dan 3 buah buku dalam bidang metafizik.

Penguasaan pelbagai cabang ilmu akademik, masih lagi relevan pada era ini malah amat digalakkan. Omar Khayyam tidaklah keseorangan dalam penguasaan pelbagai cabang ilmu. Dunia pernah menjadi saksi akan sumbangan dan kemahiran Ibnu Sina dalam bidang perubatan,kedoktoran yang pada masa yang sama juga beliau terkenal sebagai ahli falak, falsafah, pengarang dan ahli matematik.Penguasaan seseorang individu dalam sesebuah cabang ilmu, secara langsung akan menyumbang terhadap pembinaan ketamadunan sesebuah bangsa yang gemilang sehingga bangsanya mampu untuk mengecapi Zaman Keemasan yang diidamkan. Khabar baiknya, perkara ini tidaklah mustahil untuk dicapai!

RUJUKAN:

Frye, R. N. (Ed.). (2007). The Cambridge History of Iran In Eight Volume (Vol. 4). Cambridge University Press.

Persian Language & Literature: Omar Khayyam. (2020). Iranchamber.

Al Jazeera. (2019, May 18). Omar Khayyam: A Persian astronomer, poet and scientist. Arts and Culture News | Al Jazeera.

Mark, J. J. (2020, December 25). Omar Khayyam. Ancient History Encyclopedia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pena, wadah intelek agama, bangsa dan watan.

Comments are closed.