Okinawa mungkin hanyalah sebuah pulau yang menjadi salah satu pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pasifik tetapi ia mempunyai kepentingan tersendiri. Selain diketahui sebagai antara tempat yang pernah dijejaki Laksamana Hang Tuah semasa menjalankan misi diplomatik dengan kerajaan Ryukyu (nama lama Okinawa), ia turut dikenali sebagai lokasi pertempuran Perang Dunia Kedua (WWII) paling sengit dan berdarah sepanjang perang itu berlangsung. Bagaimana sebuah lokasi yang tenang dan aman ini bertukar sedemikian rupa pada tahun 1945?

Antara tahun 1944 hingga 1945, momentum peperangan di Pasifik kini dipegang oleh Amerika Syarikat dan mereka mahu menamatkan ancaman tentera Jepun dari terus berleluasa di Pasifik. Satu persatu wilayah mereka jatuh ke tangan pihak Bersekutu seperti Saipan dan Filipina. Dan semua pulau yang ditawan ini dijadikan markas operasi untuk menggempur pulau-pulau berhampiran pulau-pulau utama Jepun seperti Iwo Jima. Dengan perang bakal berakhir di Teater Eropah di mana kebanyakan negara bebas dari jajahan Nazi Jerman dan rejim tersebut bakal menyerah kalah, perhatian Washington kini beralih ke sebelah Timur Jauh. Penawanan Okinawa merupakan langkah terakhir sebelum permulaan operasi ketenteraan di Jepun.

Pada 1 April 1945 iaitu Hari Easter kerana jatuh pada hari Ahad, pihak Bersekutu melancarkan Operasi Aisberg. 180,000 anggota tentera dan Marin disertai oleh pasukan petugas khas tentera laut dari Britain, Kanada, Australia dan New Zealand. Operasi ini mensasarkan objektif penawanan Okinawa dan kawasan padang terbang yang ada di situ. Ini kerana bila Okinawa berjaya ditawan, ia dilihat boleh mengurangkan jarak diambil kumpulan pesawat pengebom untuk membedil Jepun dan menambah moral pihak Bersekutu di medan peperangan. Namun selepas melihat apa yang berlaku di Iwo Jima, perancang-perancang strategi tentera sedar bilangan tentera Amerika pasti akan meningkat jika bertempur di Okinawa.

Figure 1: Tentera Marin Amerika Syarikat mendarat di pantai Okinawa.

Alasannya, pihak Jepun pasti tidak akan menyerah kalah dan berlawan sampai ke titisan darah terakhir. Buktinya, hanya beberapa ratus tentera Jepun saja yang memilih berputih mata dan menyerah diri sementara sebahagian besar daripada 21,000 tentera Jepun di Iwo Jima bertempur sampai mati. Pihak Jepun sendiri sedar Okinawa ialah medan terakhir mereka di Pasifik. Atas sebab itu, mereka menempatkan 77,000 tentera disokong oleh 20,000 militia tempatan di bawah pimpinan Leftenan Jeneral Mitsuru Ushijima. 1,800 pelajar sekolah menengah lelaki turut dikerah menyertai Kor Besi dan Darah untuk melindungi Okinawa dari serangan pihak Bersekutu.

Figure 2: Leftenan Jeneral Mitsuru Ushijima

Sebelum memulakan pendaratan di pesisir pantai Okinawa, Angkatan Kelima Tentera Laut diketuai wira Pertempuran Midway, Laksamana Raymond Spruance membedil kawasan pendaratan dengan artileri, Tujuan bedilan bertujuan mengurangkan tentangan tentera Jepun sekiranya pihak Amerika berjaya mendarat di pantai Okinawa.  Bedilan dilakukan selama tujuh hari dengan kawasan tersebut dihujani dengan roket, mortar, artileri dan bom napalm. Bagaimanapun, Ushijima sudah menjangka taktik ini dan mengarahkan tenteranya berundur ke pedalaman. Beliau sebaliknya mahu mengumpan tentera Amerika masuk ke dalam perangkap Garisan Pertahanan Naha-Shuri-Yonabaru. Garisan pertahanan ini dipenuhi dengan gua, terowong, mesingan dan meriam artileri.

Pada hari yang dijanjikan, pihak Amerika mendarat tanpa mendapat sebarang penentangan. Satu kumpulan demi satu kumpulan terdiri daripada tentera, kenderaan, bekalan dan persenjataan sudah berada di pantai dalam tempoh beberapa jam. Memandangkan tiada siapa yang menentang mereka, pihak Amerika berjaya menguasai padang terbang Kadena dan Yontan. Apabila mereka menghampiri kawasan pedalaman, mereka dikejutkan dengan penentangan sengit pihak Jepun di sebelah selatan Okinawa. Tidak seperti sebelah utara di mana pertempuran yang dihadapi walaupun sengit berjaya dimenangi dalam masa singkat. Tetapi di sebelah selatan, terima kasih kepada garisan pertahanan yang dirancang Ushijima, pihak Amerika perlu menawan setiap kubu pertahanan sebelum boleh meneruskan kemaraan.

Jika itu saja menggusarkan kepimpinan tentera, Ushijima turut melancarkan sernagan mengejut dengan menghantar kapal perang gergasi Yamato pada 7 April 1945. Yamato diarah menyerang Angkatan Kelima Tentera Laut dan membedil tentera Amerika yang terperangkap berhampiran Garisan Shuri. Namun sebelum sempat Yamato melaksanakan semua ini, sebuah kapal selam pihak Bersekutu mengesan kedudukannya dan segera memberi amaran kepada Angkatan Kelima. Sebagai tindak balas, Spruance menghantar pesawat-pesawat pengebom untuk menyerang Yamato. Serangan balas itu berjaya melumpuhkan kapal perang gergasi tersebut, sekaligus mengakibatkan ia tenggelam bersama anak kapalnya. Ramai mati lemas akibat serangan tersebut.

Satu persatu kubu pertahanan Jepun jatuh tetapi harga yang dibayar tentera Amerika amat besar. Sudahlah bilangan tentera yang terbunuh semakin ramai, keadaan cuaca buruk dan permukaan bumi menyukarkan mereka menghantar bantuan bekalan dan tentera diperlukan. Dan ini membawa kepada penurunan moral dalam kalangan tentera Amerika. Bagaimanapun, itu tidak menghalang mereka berjaya menguasai Istana Shuri pada akhir bulan Mei. Sedar bahawa garisan pertahanan di sebelah selatan saja peluang mereka untuk bertahan, saki-baki tentera Jepun bertahan di situ.

Figure 3: Menyembur api dengan penyembur api merupakan antara kaedah yang digunakan tentera Amerika untuk memaksa tentera Jepun keluar.

Jika Angkatan Kelima merasakan mereka sudah selamat selepas tenggelamnya Yamato, mereka silap. Jepun memerintahkan juruterbang pesawat mereka melakukan kamikaze dengan melanggar kapal-kapal perang Amerika. Sesetengah melanggar kapal dengan kelajuan 500 batu sejam dan mengakibatkan kerosakan teruk. Di Okinawa saja, Angkatan Kelima kehilangan 36 buah kapal sementara 368 lagi mengalami kerosakan. Ramai menjadi mangsa taktik ganas ini dengan statistik menunjukkan 5,000 anak kapal dan juruterbang terbunuh dan ramai lagi mengalami kecederaan. Sementara 700 pesawat berjaya ditembak jatuh oleh pihak Jepun. Ini menjadikan Okinawa saksi kepada kerugian terbesar pernah dialami tentera Amerika.

Satu kawasan yang menyaksikan pertempuran sengit tentera Amerika dengan tentera Jepun ialah Permatang Hacksaw. Babak ini diabadikan dalam filem arahan Mel Gibson, Hacksaw Ridge menampilkan Andrew Garfield (The Social Network, The Amazing Spider-Man) sebagai Desmond T. Doss. Doss merupakan seorang penganut Seventh-Day Adventist dan penerima Pingat Kehormatan (Medal of Honor) kerana keberaniannya menyelamatkan 75 orang tentera yang cedera semasa bertempur di situ. Situasi pertempuran amat getir di mana pihak Jepun terus berkubu dalam rangkaian gua dan bunker dan bertekad menghapuskan mana-mana tentera Amerika yang menghampirinya. Tentera Amerika terpaksa bertempur habis-habisan melawan tentera Jepun yang lebih rela mati daripada menyerah kalah. Tetapi akhirnya pada 6 Mei, Permatang Hacksaw akhirnya jatuh.

Kebanyakan tentera Jepun dan penduduk Okinawa percaya dengan propaganda rejim di Tokyo yang memaparkan pihak Amerika sebagai raksasa, kejam dan mengamalkan kanibalisme, satu ironi di mana ianya dilakukan oleh pihak Jepun sendiri semasa perang berlangsung. Atas sebab inilah, ramai memutuskan membunuh diri atau terus bertempur sampai mati. Sesetengah memilih terjun dari bukit tinggi sementara sebahagian lagi memilih meletupkan diri dengan bom tangan. Hanya 7,000 tentera Jepun saja yang memilih untuk menyerah kalah. Menyedari situasi perang sudah tidak memihak kepada mereka, Ushijima dan Ketua Staf, Isamu Cho membunuh diri dengan melakukkan seppuku pada 22 Jun 1945. Kematian mereka menandakan berakhirnya Pertempuran Okinawa.

Jika anda melihat statistik kematian kedua-dua belah pihak, pasti anda akan merasa ngeri. Di pihak Amerika, mereka mengalami kehilangan 50,000 orang di Okinawa termasuk Leftenan Jeneral Simon Bolivar Bruckner. Bruckner terbunuh apabila terkena peluru artileri pihak musuh empat hari sebelum pertempuran berakhir. Ini menjadikan beliau pegawai tertinggi tentera Amerika yang mati semasa WWII. Selain Bruckner, Amerika turut kehilangan wartawan perang terkemuka, Ernie Pyle yang ditembak mati oleh seorang penembak curi Jepun di sebuah pulau kecil di barat laut Okinawa.

Figure 4: Leftenan Jeneral Simon Bolivar Buckner

Di pihak Jepun pula, 90% tentera yang berpangkalan di situ terbunuh. Sementara kebanyakan 150,000 orang awam Okinawa turut terbunuh, dianggarkan 1/3 daripada populasi pra-WWII. Ramai terbunuh kerana dipaksa dijadikan perisai manusia oleh pihak tentera. Ada juga yang memutuskan untuk membunuh diri bersama ahli keluarga kerana bimbang pihak Amerika akan membunuh atau merogol sesiapa saja yang ditawan. Ironinya, kebanyakan wanita Okinawa menjadi mangsa pemuas nafsu tentera Jepun di mana mereka dirogol beramai-ramai semasa pertempuran berlaku. Selain itu, kebanyakan bangunan turut musnah akibat peperangan itu.

Okinawa menjadi saksi betapa sengitnya penentangan yang dihadapi pihak Bersekutu sekiranya mereka cuba menyerang pulau-pulau utama Jepun. Jika ini boleh berlaku di Okinawa, maka tidak mustahil bilangan tentera yang terbunuh semasa menyerang pulau-pulau utama Jepun juga akan meningkat berkali-kali ganda. Mungkin atas sebab inilah, pengganti Franklin Delano Roosevelt, Presiden Harry Truman merasakan langkah terbaik ialah menggunakan bom atom ke atas Jepun. Maka pada 6 Ogos 1945, bom atom pertama dunia digugurkan di bandar Hiroshima. Tiga hari selepas itu, satu lagi bom dijatuhkan di Nagasaki. Ini mengakibatkan 140,000 hingga 200,000 orang terbunuh dalam serangan itu.

Ramai masih mempertikai sejauh mana keberkesanan bom atom dalam memaksa Jepun menyerah kalah. Ini kerana ada yang mengaitkan ia dengan kebimbangan mereka diserang tentera Kesatuan Soviet. Tetapi penggunaan bom tersebut sedikit sebanyak mengejutkan Jepun akan realiti perang yang dihadapi dan menyelamatkan lebih ramai tentera dari terbunuh sekiranya mereka menyerang Jepun. Ini yang mendorong Maharaja Hirohito mengisytiharkan Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos disusuli proses penyerahan rasmi di atas kapal perang USS Missouri di Teluk Tokyo pada 2 September 1945.

SUMBER

  1. A. Von Spakovsky, Hans. (2018). National Interest. 73 Years Ago Today the Battle for Okinawa Began. It Was Hell on Earth. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/73-years-ago-today-the-battle-okinawa-began-it-was-hell-25171
  2. History.com. Battle of Okinawa. https://www.history.com/topics/world-war-ii/battle-of-okinawa

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.