Ohitorisama – Fenomena Kehidupan Solo Di Jepun

1,116

Dalam kehidupan seharian, tidak sah kalau sesetengah daripada kita mengusik rakan yang suka lakukan perkara secara bersendirian. Usikan sebegini hanyalah bersifat gurauan dan kadangkala sebagai daya tolakan untuk mendorong rakan itu memikirkan alam perkahwinan dan membina keluarga. Tetapi di Jepun, fenomena ini diberi satu terma khas iaitu ohitorisama. Ohitorisama merujuk kepada fenomena warga Jepun tinggal atau melakukan perkara-perkara tertentu secara solo.

Di Jepun, fenomena ohitorisama bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah bermula sejak tahun 80-an dan telah melalui tiga fasa. Fasa pertama melanda generasi yang dibebaskan dari Akta Peluang Pekerjaan Sama 1986 yang menjadi fenomena bila wanita memanjakan diri mereka dengan memberi diri sendiri ganjaran mewah seperti makan seorang diri di hotel bertaraf lima bintang atau urutan muka di salon kecantikan.

Gelombang kedua pula melanda generasi yang lahir pada tahun 1970-an di mana mereka minum kopi atau mengunjungi bar berseorangan. Sementara gelombang ketiga pula bermula pada tahun 2012 di mana tumpuan diberi kepada sektor hiburan dan terpakai bukan saja kepada orang bujang tetapi juga pasangan yang sudah berkahwin. Tetapi majoriti yang terpengaruh dengan fenomena ini ialah wanita yang berumur belasan tahun hingga 20-an dan melakukan pelbagai aktiviti dari berkaraoke

Jika kadar pasangan yang berkahwin bertambah sekalipun, itu tidak bermakna bilangan individu yang menjadi sebahagian daripada fenomena ohitorisama ini akan berkurangan. Ini kerana bilangan mereka ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Satu punca yang mengakibatkan pertumbuhan ini ialah populariti kewujudan telefon pintar dan laman media sosial.

Dengan akses kepada media sosial di hujung jari, tiada masalah bagi sesetengah meluangkan masa dengan melawat tempat tumpuan pelancong seperti Disneyland bersendirian dan melihat persembahan bunga api bersendirian. Trend ini turut mendedahkan perubahan yang melanda masyarakat Jepun termasuk kemerosotan isi rumah tradisional yang menyaksikan ahli keluarga dari dua atau tiga generasi menjadi sebahagian daripada isi rumah.

Ketika ini daripada 53 juta isi rumah Jepun, satu pertiga daripadanya diisi oleh individu. Angka ini didedahkan oleh Institut Penyelidikan dan Keselamatan Sosial Kebangsaan dengan jangkaan ia akan meningkat sebanyak 40% menjelang 2040. Data sama turut mendedahkan kemerosotan kadar isi rumah membabitkan ibu bapa dan anak-anak dengan kemerosotan bilangan orang dewasa yang mempunyai hubungan jangka panjang. Pada tahun 1980, hanya satu daripada 50 lelaki Jepun yang tidak berkahwin menjelang usia 50 tahun. Perkara sama turut terpakai kepada satu daripada 22 wanita Jepun pada tahun itu. Tetapi hari ini, status ini terpakai kepada satu daripada empat lelaki dan satu daripada tujuh wanita.

Dan bagi firma-firma perniagaan, ohitorisama turut menawarkan peluang baru perniagaan dan akses kepada pelanggan baru. Satu daripada mereka ialah rangkaian kelab karaoke Koshidaka. Tujuh tahun lepas, mereka mendapati 30% pelanggan mereka ialah pelanggan yang datang berseorangan. Bagi memenuhi kehendak pelanggan baru ini, mereka mewujudkan ruang kecil bernama 1Kara, ruang kecil bagi pelanggan yang mahu menyanyi secara solo. Bagi yang suka menyanyi solo dan tidak mahu dikritik kerana suara tidak sedap atau boleh panggil hujan macam katak, ini sesuai untuk anda. Sejak diwujudkan tujuh tahun lepas, Koshidaka mengendalikan rangkaian lapan kelab karaoke yang menyaksikan puluhan ribu pelanggan berkunjung ke 1Kara seperti didedahkan jurucakap syarikat Daiki Yamatani.

Bagi yang menggilai mi ramen tetapi tak mahu bercampur dengan sesiapa, sudah wujud beberapa rangkaian restoran yang menawarkan pilihan makan secara berseorangan. Kedai makan ramen tradisional tidak sah jika tidak mendengar suara chef dan staf restoran yang kuat bila mendapat pesanan daripada pelanggan. Tetapi di Ichiran, perkara tersebut tidak berlaku dengan pelanggan boleh makan secara berseorangan tanpa gangguan staf-staf restoran dan terlindung daripada pandangan pelanggan lain.

Jika anda hendak makan mi ramen di Ichiran, mula-mula beli tiket untuk ramen daripada sebuah mesin layan diri. Dari situ, lampu biru akan dinyalakan bagi menunjukkan ruang makan kosong tetapi kecil, muat untuk seorang. Selepas mengambil tempat, seorang staf akan datang membawa mi ramen yang panas dan menutup tabir ruang makan. Setelah itu, pelanggan boleh menikmati ramen yang disediakan secara berseorangan tanpa perlu bimbang dengan gangguan suasana atau orang lain.

Tetapi jangan sangka trend ini hanya terpakai kepada kaum Hawa sahaja. Bagi lelaki Jepun yang terjebak dengan fenomena ohitorisama, mereka dipanggil lelaki herbivor. Lelaki herbivor merujuk kepada lelaki yang tiada minat untuk berkahwin atau mempunyai teman wanita. Bila terma ini popular pada tahun 2007, firma-firma mula menghasilkan produk-produk khusus untuk lelaki sebegini termasuk produk penjagaan diri, fesyen, masakan dan pelancongan.

Dan menurut pengarah agensi perhubungan Hakuhodo, Kazuhisa Arakawa, firma-firma seharusnya memberi fokus kepada mereka. Tidak seperti dahulu di mana lelaki sebegini dipandang negatif oleh masyarakat, stigma tersebut kini sudah hilang. Dan dengan pasaran pengguna membabitkan kumpulan lelaki ini yang berumur 20-an hingga 50-an yang semakin besar berbanding wanita, kuasa membeli lelaki herbivor tidak seharusnya dipandang enteng.

Fenomena ohitorisama ini tidak terpakai kepada sektor hiburan dan makanan semata-mata. Malah, ia menjadi semakin luas dengan firma-firma turut berlumba-lumba menawarkan pakej solo kepada pelanggan yang dahulunya ditawarkan kepada kumpulan pelanggan dari pusat-pusat boling hingga agensi pelancongan.

Malah, sudah wujud tawaran di mana penonton pawagam membuat tempahan kerusi solo semasa menonton filem seperti Avengers: Endgame atau memberi keutamaan kepada pelanggan solo memotong barisan untuk menaiki tarikan taman tema. Menurut perunding kanan Institut Penyelidikan Nomura Motoko Matsushita, tawaran-tawaran ini ialah refleksi kepada perubahan fenomena ohitorisama yang melanda masyarakat Jepun hari ini.

Menurut beliau, selain kewujudan media sosial, ohitorisama juga sebenarnya membebaskan warga Jepun dari tekanan orang luar terutama ahli keluarga dan rakan sekerja yang sentiasa mahukan mereka ini mengikut norma yang wujud. Dan dengan kelajuan gaya hidup moden dan rangkaian media sosial yang kadangkala terlalu banyak, ini membuatkan ramai orang merasa letih daripada isu komunikasi dan perhubungan sepanjang masa.

Matsushita menambah, berdasarkan data mereka, orang yang gemar bersosial cenderung untuk melakukan aktiviti solo. Bagi salah seorang individu yang terpengaruh dengan ohitorisama, Masaki Kitakoga, ia bukan satu isu pun. Walaupun dia mengakui seronok melancong bersama rakan-rakan tetapi rancangan pelancongan solo yang dilakukannya membolehkan dia melakukan apa yang dia suka dan mengikut kelajuan yang dimahukannya. Dan itu memberinya satu kepuasan kerana dapat mengembara tanpa rasa terganggu atau keperluan mengikut rentak orang lain.

Dan bila ohitorisama dianggap norma dalam masyarakat, wujud pula bagaimana hendak menghabiskan tahun-tahun terakhir kehidupan secara berseorangan dengan baik. Jadi jangan terkejut sekiranya anda membaca akhbar seperti Japan Times atau Asahi Shimbun, artikel-artikel seperti ’10 perkara yang perlu disediakan bagi menghadapi usia warga emas ohitorisama’ dan ‘lapan rahsia mengelak kemuflisan ohitorisama’ ini timbul. Ada juga yang memilih membeli rumah agam bukan saja sebagai tempat tinggal tetapi juga sebagai tempat persediaan ohitorisama lebih-lebih lagi kebimbangan tentang masa depan.

Ada juga yang memilih rumah kolektif sebagai kediaman baru pilihan mereka. Berbeza dengan rumah tamu di mana semua ruang boleh diakses oleh semua, rumah kolektif pula hanya membenarkan akses kepada ruang tamu dan ruang makan tetapi turut menyediakan dapur dan bilik air solo. Ini menjadi pilihan individu pertengahan umur yang mahukan privasi tetapi masih dapat mengekalkan hubungan sosial dengan orang lain.

RUJUKAN:

1. AFP. (2018). Karaoke without friends: how ‘me time’ is becoming a growing Japanese trend. South China Morning Post. https://www.scmp.com/news/asia/east-asia/article/2172657/karaoke-without-friends-how-me-time-becoming-growing-japanese

2. Asia Today. (2016). Japan Evolving into “Ohitorisama” Nation. The Huffington Post. https://www.huffpost.com/entry/japan-evolving-into-ohito_b_13144474?ncid=engmodushpmg00000004

3. McCurry, Justin. (2018). Karaoke for one: Japan’s surging singles give rise to solo business boom. The Guardian. https://www.theguardian.com/world/2018/dec/25/going-solo-japanese-businesses-target-customers-who-want-to-be-alone

 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.