Siapakah raja Melayu “berketurunan pemerintah Sriwijaya” yang dikatakan pernah berkuasa di Lavo, iaitu satu kerajaan orang Mon di bahagian tengah “Thailand” (mengikut sempadan negara zaman moden sekarang) pada kurun ke-11?

Tidak lain tidak bukan, baginda ialah Sujita — atau dalam rekod prasasti Khmer — dicatatkan sebagai JAYAVIRAVARMAN.

Bacalah kisahnya di bawah, dengan penuh kesabaran. Tahun 1001 menyaksikan kemangkatan Jayavarman V, iaitu raja Angkor yang lama memerintah dari tahun 968.

Kekosongan takhta Angkor ini membuka peluang kepada kerajaan Haripunjaya (kini di utara “Thailand”) untuk menyerang kerajaan Lavo, iaitu wilayah penting yang dipertanggungjawabkan sebagai pos kawalan tentera Angkor di sebelah barat.

Kitab Jinakalamalipakaranam yang siap dikarang pada tahun 1528 merakamkan pergolakan yang berlaku:

“…Trabaka (raja negeri Haripunjaya),…bersedia untuk menawan negeri Lava (=Lavo)…Ucchitta-Cakkavatti, (raja) dari Lava bersedia untuk berperang…kemudian, muncul RAJA JIVAKA, dengan bala tentera yang besar, dari kota Siridhamma (di negeri Ligor/Tambralingga), dengan kapal yang banyak, menakluk Lava. Pada saat ini, kedua-dua raja (yang berperang itu) dengan tergesa-gesa terus bergerak ke arah bandar Haripunjaya…” (petikan daripada m/s 103, saya terjemahkan daripada bahasa Inggeris).

Nama “Jivaka” itu sebenarnya merujuk kepada bangsa raja tersebut, lebih tepatnya “Javaka”.

“Javaka” ialah label atau panggilan umum oleh teks-teks berbahasa Pali kepada kaum-kaum rumpun Melayu yang menuturkan bahasa-bahasa kelompok Austronesia. Rujuk juga kitab Culavamsa (Part II, m/s 183) yang memanggil bangsa Raja Chandabhānu, juga dari negeri Ligor, yang menyerang Sri Lanka pada lewat kurun ke-13 dengan istilah yang sama. Istilah ini BUKAN secara sempit hanya ditujukan kepada orang-orang dari Pulau Jawa, tetapi kepada semua ahli rumpun Melayu yang sangat luas.

Manakala pengarang kitab Camadevivamsa (m/s 103), menulis nama raja Melayu (“King Jivaka”) berkenaan sebagai SUJITA.

Haripunjaya dan Lavo ialah kerajaan atau negara kota (city-state) orang Mon. Kedua-duanya diyakini pernah menjadi sebahagian daripada persekutuan Dvaravati, yang merosot selepas ditelan oleh kempen hebat perluasan kuasa Angkor pada kurun ke-10. Rujuk peta Thailand, cari kawasan bernama Lopburi (nama Lavo mengikut sebutan Thai). Lokasinya di tengah-tengah daratan Indochina itu adalah sangat strategik.

Tidakkah pembaca sekalian berasa aneh? Mengapakah seorang raja Melayu, yang datang dari arah selatan (dari Semenanjung), tiba-tiba boleh memunculkan diri sebagai pihak ketiga, tiba-tiba boleh “menyibuk” pada ketika dua kerajaan Mon sedang bertempur, kemudian mampu pula menawan negeri yang menjadi tapak perperangan itu dengan mudah?

Sebahagian daripada jawapan kepada pertanyaan ini tersimpan dalam batu bersurat di Wat Ta Phraya, timur Thailand.

Sebenarnya, Sujita, raja Melayu Ligor/Tambralingga ini mempunyai pengalaman bertugas sebagai panglima tentera atau senapati Angkor sejak seawal tahun 962, dari era pemerintahan Rajendravarman II, iaitu raja Angkor sebelum Jayavarman V.

Dalam rekod bertulis di Wat Ta Phraya, gelarannya sebagai panglima dicatatkan sebagai “mratān khlon śrī narapatīvīravarmma” (Sri Narapativiravarman). Beri perhatian kepada nama “vira”.

Batu bersurat Prasat Khna tahun 1001 pula merakamkan Sri Narapativiravarman ini menyerahkan takhtanya di negeri Ligor (“dharmmanidhau”, “takhta Dharma yang dikelilingi laut”) kepada adindanya, Udayadityavarman, hakikatnya, bagi keperluan melaksanakan misi menawan Lavo tersebut. Sejarawan Kemboja, Lem Chuck Moth memegang tafsiran ini. Beliau turut mentafsirkan bahawa saudara kandung perempuan Sujita ialah isteri kepada Jayavarman V. Bermakna, Sujita juga ialah ipar kepada Jayavarman V — raja Angkor yang mangkat pada tahun 1001 itu.

Maka, Sujita bukan orang asing dalam istana Angkor. Di bawah kawalan baginda ada beribu-ribu orang tentera. Walaupun berasal dari Ligor yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu, kawasan Lavo itu umpama padang permainan baginya. Tidak ada halangan untuk Sujita sesuka hati menyerang dan menawan negeri orang Mon, seperti yang telah diriwayatkan oleh mereka dalam teks Jinakalamali dan Camadevivamsa.

Apabila Sujita sudah menguasai Lavo, iaitu titik tengah rantau Indochina yang menjadi pos kawalan tentera Angkor, bererti seluruh empayar Kemboja juga berada dalam genggaman tangannya.

Sujita menempati takhta Angkor. Daripada gelaran Sri Narapativiravarman, kini sebagai raja Angkor baginda dimuliakan dengan nama JAYAVIRAVARMAN: Bagindalah “vira” yang ber-“jaya”.

Apakah kaitan Jayaviravarman, penguasa bumi Ligor dan Angkor, dengan “pemerintah Sriwijaya”?

Kita mengetahui bahawa Sriwijaya ialah satu empayar persekutuan yang terbentuk daripada banyak negeri Melayu dan Ligor antara anggota persekutuan ini. Sriwijaya mengamalkan sistem giliran untuk meletakkan maharajanya (warisan daripada era Funan), dan sistem ini masih diteruskan oleh kesultanan-kesultanan dalam Persekutuan Malaysia pada zaman moden.

Kaitannya ialah: AYAHANDA, atau DATUK, atau MOYANG Sujita dan adindanya Udayadityavarman, ialah raja negeri Ligor terdahulu YANG PERNAH MENDUDUKI TAKHTA KEMAHARAJAAN SRIWIJAYA melalui sistem giliran itu. Darah elit Sriwijaya mengalir dalam tubuh mereka.

Hakikatnya, kemunculan mengejut Sujita dalam peperangan antara Haripunjaya dengan Lavo, didalangi oleh arahan daripada dinasti Sriwijaya yang mahu memberi tekanan kepada pihak Angkor supaya tidak menyebelahi dinasti Sailendra. Dinasti Sriwijaya dan dinasti Sailendra ialah dua dinasti Melayu yang sama-sama berkuasa dalam empayar Sriwijaya tetapi sering bersaing untuk menguasai perairan Selat Melaka, laluan laut yang menguntungkan itu. Kelebihan kuasa politik dengan meletakkan Angkor di bawah pengaruhnya, membolehkan Sriwijaya mendominasi perdagangan antara dunia Timur dengan Barat.

Dalam kitab Camadevivamsa (m/s 104), putera kepada Sujita disebut “Kambojaraja”. Siapakah “Kambojaraja” ini?

Kambojaraja ialah SURYAVARMAN I, iaitulah raja Angkor (tahun 1006 hingga 1050) yang mengarahkan pembinaan Preah Vihear, bangunan indah yang menjadi rebutan antara Thailand dengan Kemboja.

^^^Sejarah Melayu yang BETUL, BUKAN seperti yang anda bayangkan selama ini, yang tak sudah-sudah berlegar dalam dunia “Melaka” dan “Palembang”.

Baru anda SEDAR, bagaimanakah standard MALAY HISTORY yang sepatutnya dicapai?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

1 Comment

  1. assalammualaikum..betul ke nama sebenar sebutan (bagi lidah org sekarang) nama2 purba dulukala
    narapativiravarman [nur alfatih al rahman/irrahman]

    haripunjaya..[.arrifin hayat]

    rajendravarman…[raja indra hirman/herman/harman/aman]

    srivijaya …sulih/solehinhayat

Leave A Reply