Oerlikon – Transformers Itu Wujud?

28

Sikit punya click bait saya punya tajuk. Jangan marah ya… tapi hakikatnya, ramai jugak di kalangan anggota yang saya kenal, yang menggelarkan senjata ini sebagai Transformers. Kenapa? Jom kita tengok. Tapi, sebelum itu, jika anda perasan bahawa banyak artikel saya kebelakangan ini banyak menjurus kepada persenjataan negara kita, ia bukan bermaksud saya sudah melupakan forte saya iaitu pengkisahan sejarah pasukan.

Ia sekadar satu bentuk rehat buat minda yang anak sendat diisi dengan pelbagai fakta yang terpaksa dicerna semula, dan ia juga adalah satu bentuk perkongsian pengetahuan dengan anda semua, supaya jangan terlampau memandang rendah kemampuan pasukan pertahanan kita. Sejak dua menjak ni, ada saja spesis yang dengan sesuka hati mengutuk elemen pertahanan negara. Segalanya – daripada aset yang dikatakan tidak berfungsi hingga ke isu keanggotaan mencetuskan perdebatan yang kalau dilihat, macam bodoh pun ada. Entah apa tujuan mereka. Diulang-ulang cerita yang sama – kapal selam tak boleh menyelam, bot tak boleh berjalan dan sebagainya.

Bila diceritakan dengan fakta, tak nak pulak mereka percaya. Lebih merosakkan keadaan adalah spesis yang tak mempunyai informasi lengkap, sewenang-wenangnya pula menularkan isu-isu sebegini tanpa pemaham lengkap. Sudahnya bila nak beli aset, dikatakan membazir, atau sekadar buat tayang masa perarakan Hari Kebangsaan. Bila berlaku sesuatu, komplen pula aset tak cukup. Entah bagaimana kepala manusia sebegini berfungsi pun tak taulah. Jadi, harapan saya, semoga penceritaan tentang aset sebegini, akan memberikan lebih pendedahan kepada anda, sepertimana kisah-kisah sejarah pasukan kita mengembalikan kesedaran anda tentang sejarah kita yang sebenarnya diwarnai pengorbanan sekian banyak jiwa demi kemerdekaan yang dikecapi hari ini.

Baik, kembali kepada cerita asal. Ini adalah senjata anti- pesawat yang berada di dalam inventori kita. Namanya Oerlikon, dibuat oleh Oerlikon Contraveson Contraves (dinamakAn semula sebagai Rheinmetall Air Defence AG berikutan penggabungan dengan Firma Rheinmetall pada tahun 2009).

Sistem ini asalnya direkabentuk sebagai 2 ZLA/353 ML, tetapi kemudian ditukar kepada GDF-001, dan telah  dibangunkan sekitar tahun 1950-an dan digunakan oleh sekitar 30 buah negara, seperti Argentina, Austria, Bahrain, Brazil, Cameroon, Kanada, Chile, Cyprus, Ecuador, Mesir, Finland, Greece, Jerman, Iran, Jepun,  Korea Selatan, Kuwait, Malaysia, Oman, Pakistan, Romania, Arabi Saudi , Singapura, Africa Selatan, Sepanyol, Switzerland, Taiwan, Turki dan Emiriah Arab Bersatu.

Terdapat pelbagai kategori peluru dan versi yang mampu dioperasikan oleh senjata ini, tapi Malaysia menggunakan versi GDF-003 yang mempunyai sedikit pengubahsuaian seperti dinding pelindung dan sistem lubrikasi automatik. Antara Oerlikon yang ada di Malaysia, antaranya dioperasikan oleh 31 Rejimen Artileri Diraja, dan mula memasuki inventori kita pada tahun 1988 .

Senjata dengan laras 35mm kembar ini mempunyai Unit Kawalan Tembakan  Skyguard yang mengesan dan menjejak sasaran di udara sehingga jarak 20 km sambil mengira data tembakan secara berkomuter. Prototaip pertama telah dibangunkan pada tahun 1959, didesignasikan sebagai 1 ZLA/353 MK, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai  GDF-1. Pada tahun 1980, model GDF-002 telah diperkenalkan.

Dengan lebih  2,000 dikeluarkan, ia terjual di lebih  30 buah negara. Pada mulanya ia digunakan semata-mata sebagai senjata anti-pesawat dan anti-persenjataan 9 untuk kereta kebal misalnya), tapi penggunaannya kemudian diperkembangkan kepada sasaran di atas tanah yang lain ( bunker misalnya, dan di sini kita bolehmengaitkan penggunaan di Malaysia, di mana kita tidak sekadar mensasarkan apa yang terbang di langit).

Pada bulan Mei 1985, GDF-005 pula diperkenalkan, yang merupakan penambahbaikan menyeluruh kepada model-model GDF-001/2/3. malah, model terdahulu juga boleh dimodifikasikan kepada standard GDF-005 melalui penggunaan kit penambahbaikan kombat yang dibekalkan oleh  Oerlikon Contraves. Antara ciri penambahan bagi GDF-005 adalah sistem autonomi penampakan senjata, satu sistem bekalan kuasa sendiri dan sistem pengisian semula automatik.

Kemudiannya, model ini dinaiktarafkan dengan sistem   AHEAD dan dinamakan sebagai  GDF-007. Teknologi AHEAD , yang dibangunkan oleh Oerlikon Contraves sendiri, memperbaiki kemampuan senjata ini untuk mengenalpasti dan memusnahkan sasaran udara, daripada sebesar-besar pesawat terbang atau sekecil-kecil senjata lain seperti  PGM (Precision-Guided Munition/ Munisi Terpandu-Tepat ). Dengan penambahan AHEAD ini, sistem tembakan Skyguard sedia ada dipasangkan dengan sub-sistem kawalan tembakan, yang membenarkan sistem tersebut dioperasikan bersendirian atau sebagai jaringan unit tembakan yang dipisahkan pada jarak 3 kilometer setiap satu.

Varian utama:

– GDF-001: versi pertama

– GDF-002: dengan sistem penglihatan ditambahbaik, dan kemampuan untuk diarahkan oleh satu sistem kawalan digital  off-gun

– GDF-003: sama seperti GDF-002, tapi dengan penambaikan seperti senjata pelinciran sendiri dan lapisan perlindungan terbina

– GDF-005: mempunyai beberapa penambahbaikan yang boleh dipasangkan kepada versi  GDF sedia ada menggunakan kit modifikasi. Salah satu penambaikan adalah pemasangan sistem penampakan optronik sendiri Gunking 3-D , yang mengenepikankeperluan untuk penembak menganggar parameter sasaran

– GDF-007: peningkatan kepada  GDF-005 dengan sistem  AHEAD

Penggerakan:

Senjata ini sendiri tidak autonomi sifatnya, bermaksud, ia tidak boleh bergerak sendiri. Sebaliknya, ia harus ditunda kenderaan lain, seperti trak 3 tan ( di sini anda dapat lihat bagaimana keperluan trak 3 tan kita adalah sangat mendesak, bukan sahaja untuk kegunaan untuk mengangkut  terup semata). sebaik sampai di lokasi, tayar bantuannya akan dikeluarkan, dan keseluruhan unit ini akan dipasak ke tanah . kenapa dipanggil Transformers? Rasanya anda akan bersetuju apabila anda melihat proses tayarnya terangkat dan pasak diturunkan ke dalam tanah itu. Spefikasinya adalah:

Tinggi :  7.8 m asal; 8.83 m ketika menembak

Leba : 2.26 m asal; 4.49 m ketika menembak

Tinggi : 2.6 m asal; 1.72 m ketika menembak

Berat : 6700 kg dengan aksesori

Selain daripada itu, tanjakan pada badannya juga boleh berpusing 360 darjah, memberikan penglihatan daripada semua arah. Duduk di atas tanjakan ini sambil berpusing-pusing, memang rasa macam..wahhhh, hebatnya benda ni. Badannya ini ( juga dipanggil cradle/ buai) direka untuk membawa laras senjata di atas paksi terangkat, yang mengandungi mekanisme sentakan mekanikal-hidro, yang menyerap sentakan yang terhasil daripada tembakan.

Bekas uminisi terletak pada kedua-dua sisi badan dan akan berpusing bersama-sama badannya. Bahagian bawah badannya terdiri daripada casis 2-gandar dengan pasak 3-bucu yang menyokong kedudukan tembakannya. Penaikan atau penurunan pasak ini dikawal oleh sistem elektro-hdiraulik atau boleh juga dilakukan secara manual jika berlaku keputusan bekalan tenaga elektrik.

Laras kembar Oerlikon menggunakan meriam automatik 35 mm , yang pada mulanya didesignasi sebagai 353 MK dan kini sebaliknya didesignasi semula sebagai siri KD . Siri yang sama digunakan juga untuk kereta kebal berasaskan Leopard, seperti Gepard dan senjata anti-pesawat gerak-sendiri Marksman berasaskan T-55 . Laras meriam dipasang di bahagian atas, yang mengawal jujukan penyasaran, manakala pemusingnya berada di bahagian bawah di mana terdapat dua platform. Platform atas menyokong peralatan penyasar bantuan, tempat duduk untuk kru dan kedua-dua tabung isian 63-peluru. Laras Oerlikon ini mampu digerakkan sehingga 90 ° iaitu tegak terus ke atas pada kadar 56º/s dan kelajuan retasan maksima (maksudnya gerakan ke kiri dan kanan)112º/s.

Peluru:

Dengan badannya berkemampuan berpusing sehingga 360°, ia mampu memberikan tembakan daripada segenap arah, dengan jarak tembakan berkesan 4 kilometer. Pelurunya pula mampu naik sehingga 5 kilometer ke udara. Kalau tak kena macamana? Tidak perlu dikhuathirkan, kerana ia akan meletup terus, tanpa perlu menunggu terkena sasaran setelah mencapai jarak maksima. Keseluruhannya, senjata ini mampu menembak sehingga 1100 peluru/minit (laju tu). Pelurunya diisi dalam 2 tabung yan mampu memuatkan 56 butir setiap satu. Amunisinya diisi secara automatik menggunakan klip-7 butir yang menolaknya masuk ke dalam laras. Ia juga mempunyai tabung isian simpanan bagi peluru tambahan.

Ini adalah tabung simpanan peluru, bekerja sepertimana kelopak rifel – peluru atas diambil dan spring akan menolak peluru baru ke atas.
Nampak tombol bulat tu? Pijakan kaki di atas tombol tu lah yang akan melepaskan tembakan
Pandangan skop tenangan yang digunakan untuk menyasarkan sasaran. Gambar tak berapa jelas, tapi sesiapa yang perasan nampak ranting-ranting pokok yang menjadi sasaran tu..

Sebagai penutup, saya akhiri dengan persoalan. Apakah yang telah anda pelajari daripada artikel ini, dan apakah komen anda mengenai sistem persenjataan malaysia?

=WRA=

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.