Kalau tengok sekali imbas, mungkin anda akan ingat gambar ini gambar One Belt One Road (OBOR). Bukan, ia adalah gambar laluan dagang laut dan laluan dagang darat China semasa abad ke-15, ketika Dinasti Ming (1368-1644). Melalui darat, Maharaja Yongle telah mengutuskan Chen Cheng ke Asia Tengah. Melalui laut, Maharaja Yongle telah mengutuskan Zheng He (Cheng Ho) ke Asia Tenggara.

Pengasas Kesultanan Melaka, Parameswara telah merebut peluang ketibaan armada China. Pada tahun 1405, Parameswara telah memeterai hubungan uftian (tributary) dengan China. Hubungan tersebut terbina atas keperluan strategik masing-masing: China memerlukan sebuah gedung (guanchang) di Selat Melaka manakala Melaka memerlukan perlindungan daripada ancaman Siam (Thailand) dan Majapahit (Indonesia).

Hubungan dengan China bukan sahaja membolehkan Melaka bebas daripada gangguan Siam Ayutthaya malah membolehkan Melaka berkembang pesat sebagai pelabuhan teragung di timur. Itulah contoh bagaimana diplomasi menjadi asas kegemilangan sesebuah tamadun.

Ia juga membuktikan kehebatan diplomasi Melayu/Nusantara. Walaupun Siam terlebih dahulu menjadi uftian China (tahun 1371), namun Melaka yang mendapat layanan yang lebih istimewa. China lebih memberatkan hubungannya dengan Melaka berbanding Siam. China memberi amaran kepada Siam agar ia tidak mengacau Melaka lagi. Pada tahun 1411, Parameswara telah dijemput ke Beijing sebagai tetamu Maharaja Yongle, diiringi rombongan seramai 540 orang. 40 tahun Siam menjadi negara ufti China, tidak pernah raja Siam menerima layanan sedemikian; tetapi hanya selepas 6 tahun mendirikan hubungan uftian, Melaka mendapat keistimewaan tersebut. Selain kelebihan geografi, kemahiran diplomasi Parameswara pasti menjadi salah satu puncanya.

Meneliti sejarah membuat saya kurang minat membawa perseturuan politik ke medan hubungan antarabangsa dan diplomasi. Kebijaksanaan Parameswara bukan sesuatu yang hanya unik pada beliau, tetapi sesuatu yang diwarisi oleh semua orang Melayu/Nusantara, dan sudah tentu ia juga diwarisi kepada para pemimpin kita. Apa yang logik pada tahun 1405, tentu ada logiknya pada tahun 2017. Meskipun aktor telah berubah, prinsip-prinsip asas pentas hubungan antarabangsa – kuasa dan imbangan kuasa – tak pernah berubah malah kekal menjadi panduan untuk kita bertindak.

*Sejarah awal Melaka-China dicatat dalam Ming Chronicle (Ming Shilu) manakala sejarah pertengahan Melaka-China dicatat dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.