Objek-Objek Pelik Di Angkasa

943

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Alam angkasa terlalu menakjubkan sampai bangsa-bangsa terdahulu melihat objek-objek biasa sebagai unsur ketuhanan yang wajib didewakan.

Agama dan sains walau bagaimanapun melihat Matahari dan Bulan jauh berbeza dan berfakta untuk dibandingkan dengan tanggapan mitologi seperti Mesir Purba, Norse, Rom dan Yunani.

Bagi yang tiada ilmu pengetahuan, gerhana pun akan ditakuti kerana menyangka kiamat sudah tiba.

Mungkin ada sebab kenapa objek-objek pelik ditemui pada zaman sekarang selama ini tersembunyi daripada pengetahuan mereka. Andainya tahu, mesti mereka di zaman-zaman terdahulu boleh hilang kewarasan.

Isyarat Radio Aneh

Sejak tahun 2007, Internet menggila dengan penemuan isyarat-isyarat radio di ruangan angkasa (Letzter, 2019). Katanya makhluk asing sedang cuba berkomunikasi dengan penduduk-penduduk Bumi.

Alat mengesan isyarat radio.

Ada yang menyangka Amerika Syarikat atau khususnya Area 51 sedang menyembunyikan kandungan serba serius, bahawa armada besar kian menghampiri dunia ini.

Tetapi sebenarnya panjang isyarat-isyarat radio diterima tidak pernah melebihi satu saat pun tetapi dalam keadaan berulangan setiap 16 hari (Strickland, 2020). Mereka hanya beberapa mili-saat sahaja (Greshko, 2020).

Jika setiap satu isyarat berdurasi tiga mili-saat, saintis perlu mengumpulkan 333 isyarat untuk mendapatkan durasi satu saat.

Gelang Haumea

Nun jauh selepas Neptun ialah sebuah planet kerdil kesunyian di sebalik kegelapan angkasa. Haumea terletak 6.452 bilion kilometer daripada Matahari. Suhunya pula berada pada purata -241ºC, sememangnya sejuk dan mustahil untuk didiami.

Tetapi Haumea dulu pernah dihentam sebuah objek asing, yang membuatkan planet kecil ini berputar begitu laju.

Satu hari di Haumea hanya mengambil masa empat jam. Putaran laju ini juga memberikan Haumea bentuk yang janggal seperti telur (Space, 2018).

Tetapi hentaman ini juga menyebabkan sebuah lingkaran seperti gelang Zuhal (Weitering, 2019).

Gelang yang melingkari Haumea

Bintang Terlalu Bekerdipan

Sebutir bintang di ruangan angkasa mempunyai bahan api tersendiri. Banyak bintang sebenarnya ialah proses penukaran hidrogen ke helium, yang menyebabkan pengeluaran tenaga memanaskan.

Jadi sebutir bintang akan “hidup” dengan konsisten. Tidak mungkin bintang boleh menguatkan atau mengurangkan api, kerana ia bukannya seperti enjin. Tetapi anehnya KIC 8462852 yang terletak 1,470 tahun cahaya di buruj Cygnus nampak macam boleh “slow” dan “power up” pula.

Bintang yang dikatakan kapal alien.

Keadaan ini terlalu pelik sampai bintang ini digelar WTF Star. Sebab ada masa ia terang – dan ada masa ia mengurangkan kecerahannya ke paras 22 peratus. Kekangan teknologi memustahilkan sesiapa pun untuk pergi ke sana untuk menyiasat, kerana sebuah kapal perlu 29.4 juta tahun untuk tiba di sana.

Tetapi pakar penyelidik berpendapat bahawa bintang ini mempunyai debu yang menyebabkan ia nampak cerah dan malap (Siegel, 2018).

Planet Tanpa Orbit

Mungkin bunyi pelik – sebutir planet tanpa orbit. Jadi planet ini pergi mana? Persoalan ini sangat baik, sebenarnya. Kerana ada risiko pertembungan kerana planet yang menjelajah ini.

Tanpa orbit.

Saintis membuat simulasi berdasarkan aktiviti bintang dan menganggarkan bahawa Bima Sakti mungkin mempunyai 50 bilion planet tanpa orbit (Thompson, 2020).

Ada planet yang lengkap dengan aurora pun – tetapi tanpa orbit, ia sememangnya tidak menepati fitrah semulajadi konsisten seperti planet lain.

RUJUKAN:

Greshko, M. (2020, November 4). Mysterious radio signal spotted in Milky Way for first time. National Geographic.

Letzter, R. (2019, Ogos 9). Mysterious, Ancient Radio Signals Keep Pelting Earth. Astronomers Designed an AI to Hunt Them Down. Space.

Siegel, E. (2018, Julai 20). Forget Alien Megastructures, New Observations Explain Tabby’s Star With Dust Alone. Medium.

Space. (2018, Januari 25). Haumea: Fast-Spinning Dwarf Planet.

Strickland, A. (2020, Februari 12). Mysterious radio signal from space is repeating every 16 days. CNN.

Thompson, A. (2020, November 10). Our Galaxy Could Have 50 Billion Rogue Planets, Just Doing Whatever the Hell They Want. Popular Mechanics.

Weitering, H. (2019, Mei 21). Scientists Reveal New Details of Dwarf Planet Haumea’s Elusive Ring. Space.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.