Moving Forward As One

Obangsaek (오방색) : Lima Warna Tradisional Korea

460

Dalam masyarakat Korea, simbolisme warna-warna mereka dipengaruhi oleh banyak faktor, seperti sistem agama dan pemikiran, falsafah Yin dan Yang, Buddhism dan Confucianism. Walau bagaimanapun, simbolisme tradisional ini telah melalui banyak perubahan sejak beberapa dekad yang lalu akibat kemasukan pengaruh Barat dan budaya luar yang lain.

Dari segi sejarahnya, simbolisme  warna tradisional Korea ini telah wujud sejak dinasti kuno lagi dan mula diberi perhatian pada sekitar era Dinasti Joseon. Penggunaan warna dalam sejarah dan budaya Korea boleh dibahagikan kepada dua ciri utama, iaitu pertamanya, penggunaan warna putih dan warna semulajadi yang lain, dan kedua adalah penggunaan lima warna utama Korea (putih, biru, hitam, merah, kuning) yang dipanggil obangsaek.

Obangsaek dalam budaya Korea

Budaya Asia Timur serta kehidupan masyarakat pada zaman dahulu berpegang kukuh kepada persekitaran dan alam semulajadi, dan kerana itulah mereka mempercayai setiap elemen di atas muka bumi ini membentuk dunia yang kita diami pada hari ini. Yin dan Yang, yang bermaksud cerah dan gelap, diwakili oleh matahari dan bulan. Manakala lima elemen utama yang diambil daripada sumber semulajadi merangkumi api, air, pokok, logam berharga (emas dan perak) dan bumi yang dipanggil sebagai ohaeng.

Melalui ohaeng inilah setiap bahagian di atas muka bumi ini diinterpretasikan, seperti warna, kedudukan, masa dan cuaca. Bagi interpretasi warna, lima warna asas iaitu obangsaek adalah warna-warna yang mewakili lima elemen utama yang terdapat secara semulajadi dalam persekitaran kita. Selain itu, obangsaek ini juga mewakili lima kedudukan utama, iaitu selatan, utara, timur, barat dan tengah, yang selari dengan musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

Lima warna utama ini ialah:

  • Putih (baek) – putih melambangkan logam, barat dan musim luruh. Ia juga mewakili kesucian dan keadilan. Masyarakat Korea kuno percaya bahawa warna putih mewakili titik permulaan, asal, dan asas manusia. Mereka percaya bahawa putih adalah simbol yang paling asas. Ini menerangkan keutamaan mereka untuk memakai pakaian putih, sesuatu yang menjadi ciri yang berbeza dalam kalangan masyarakat Korea waktu itu.

    Masyarakat Korea juga percaya putih menjadi simbol kesucian, kebersihan, dan kerendahan hati, dan penggunaannya membayangkan pengabdian kepada semua perkara yang semula jadi, murni, dan suci. Sewaktu era Joseon, para sarjana yang berpegang kepada Confucianisme memakai jubah putih dengan hiasan jalur  hitam bagi menunjukkan kehormatan dan ketinggian ilmu mereka.

  • Hitam (Heuk) – hitam adalah simbol bagi air, bijaksana, utara dan musim sejuk. Warna ini dikatakan mampu menenangkan keadaan mental seseorang. Selain itu, hitam juga dikaitkan dengan kematian, kehormatan dan undang-undang. Pada era Joseon, penggunaan topi hitam menggambarkan formaliti dan kehormatan si pemakainya, malah selepas era penjajahan Jepun, ia menjadi simbol untuk menunjukkan undang-undang.
  • Merah (jeok) – warna merah melambangkan api dan selatan. Ia juga mewakili musim panas, semangat membara, penambahan tenaga serta jagaan daripada semangat jahat. Masyarakat Korea menggunakan cili merah untuk dibuat seperti tali dan menggantungkannya pada tempayan berisi sos di halaman rumah bagi melindungi mereka daripada nasib buruk. Malah, amalan memakan bubur kacang merah pada hari Dongji, iaitu solstis musim sejuk untuk keselamatan dan keuntungan masih lagi menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Korea hari ini.Dalam perubatan tradisional Korea, warna merah ini dikaitkan dengan jantung, dan bahan-bahan makanan berwarna merah, seperti cili merah dikatakan sangat membantu dalam peredaran darah.
  • Kuning (hwang) – warna kuning mewakili bumi dan merupakan pusat utama bagi kelima-lima warna ini. Dalam tradisi purba Korea, warna kuning digunakan untuk pakaian diraja bagi menunjukkan kebangsawanan, kekuasaan dan kepercayaan. Sebagai warna utama dalam Yin dan Yang serta lima elemen dunia (ohaeng), warna kuning ini melambangkan tanah di atas muka bumi dan kesuburan.
  • Biru/hijau (cheong) – warna ini mewakili kayu dan timur. Ia juga melambangkan muda dan musim bunga. Ia juga adalah lambang harapan serta menunjukkan kehidupan. Pada era Joseon, warna ini biasanya digunakan bagi pakaian untuk pesuruh wanita dan dayang di istana.

Simbolisme warna di Korea

Sewaktu era Dinasti Joseon, terdapat beberapa sekatan terhadap penggunaan warna yang dilakukan terhadap para pegawai dan pekerja di istana. Setiap warna adalah milik eksklusif seseorang individu bergantung kepada status sosialnya pada waktu itu. Sebagai contohnya, warna pakaian (top coat) untuk Maharani adalah kuning, manakala bagi Permaisuri pula adalah merah, bagi puteri pula adalah ungu merah manakala warna untuk isteri para pegawai adalah hijau. Warna-warna ini tidak dibenarkan penggunaannya dalam kalangan mereka yang berstatus rendah seperti penghibur wanita, bomoh dan kanak-kanak.

Warna biru dan merah, selain daripada termasuk dalam konsep yin dan yang, ia juga merupakan warna utama di Korea. Biru dan merah ini yang mewakili selatan dan timur, juga melambangkan arah penerimaan tenaga solar. Disebabkan inilah, dalam acara perkahwinan di Korea, masyarakatnya memilih warna biru dan merah sebagai warna utama kerana ia dipercayai mampu untuk menghalang sebarang semangat negatif dan jahat.

Dalam dunia politik Korea, warna turut memainkan peranannya yang tersendiri. Malah, ia adalah antara alat berkuasa dalam menyampaikan mesej yang tepat kepada masyarakat. Antara simbolisme warna dalam politik Korea adalah:

  • Merah – mengingatkan masyarakat terhadap komunisme. Merah juga merupakan warna yang digunakan oleh para pekerja sewaktu mogok dan konflik pengurusan.
  • Biru dan hijau – warna ini mewakili kestabilan, kejujuran, keharmonian dan perkembangan dalam situasi politik. Presiden Lee Myung Bak sering memakai warna biru lembut sebagai suatu perlambangan dalam perkembangan ekonomi Korea.
  • Kuning terang – warna ini adalah warna politik yang paling berjaya di Korea. Dua bekas presiden Korea, iaitu Roh Moo Hyun dan Kim Dae Jung memilih warna ini sebagai mesej dalam menyampaikan keamanan dan harapan buat rakyatnya.

Dalam bidang sukan pula, warna merah merupakan lambang yang menunjukkan rasa bertenaga, kegembiraan dan sekaligus mencetuskan semangat dan keterujaan dalam diri masyarakat untuk menyaksikan acara sukan. Sebagai contohnya, ketika Piala Dunia 2002 yang berlangsung antara Korea dan Jepun, warna merah inilah yang banyak memberi semangat buat semua yang menontonnya.

Kesimpulan

Di sebalik falsafah dan simbolisme obangsaek di Korea, keadaan ini telah banyak mengalami perubahan sejajar dengan peredaran waktu. Campuran antara unsur tradisional, pengaruh Barat dan trend dalam dunia antarabangsa telah mengubah simbolisme warna di Korea menjadi begitu kompleks pada hari ini.

Jika sebelum ini warna merah dalam dunia politik memberikan konotasi negatif, pada hari ini ia turut dilihat sebagai warna harapan dan perpaduan. Malah, warna putih dan hitam merupakan antara warna pilihan utama dalam dunia fesyen. Walau dengan semua perubahan ini, dalam acara-acara tradisi seperti majlis perkahwinan dan memperingati kematian, masyarakat Korea masih berpegang kukuh kepada simbolisme warna ini sebagai suatu perlambangan yang memelihara kesucian majlis tersebut.

RUJUKAN:

Kim, W. (2016). Korean Traditional Color: Blue. National Museum of Korea, 35, 21. https://doi.org/10.1038/197021e0

Olesen, J. (2017). Korean Color Symbolism – Learn What Traditional Colors Mean in Korea. Retrieved March 27, 2021, from https://www.color-meanings.com/korean-color-symbolism/

Shin, M., Westland, S., Edel, M., & Cheung, V. (2012). Colour preferences for traditional Korean colours. Jornal of the International Colour Association, 48–59. Retrieved from http://aic-colour-journal.org/index.php/JAIC/article/view/126

Ruangan komen telah ditutup.