Nusantara merupakan istilah yang telah digunakan oleh Mpu Prapanca dalam karyanya Negarakertagama untuk merujuk kepada kawasan diluar daripada kepulauan Jawa atau dalam erti kata lain sebagai kawasan tanah orang Melayu.

Ini kerana semasa pemerintahan Hayam Wuruk dan Patih Aria Gajah Mada, Majapahit telah melancarkan kempen Pamalayu iaitu satu kempen ketenteraan untuk menawan kerajaan-kerajaan Melayu sebagaimana sumpah palapa yang pernah diucapkan oleh Patih Aria Gajah Mada yang dinukilkan dalam Pararaton. Katanya :

“Sira Gajah Madapatih Amangkubhumi tan ayun amuktia palapa, sira Gajah Mada: “Lamun huwus kalah nusantara isun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seran, Tañjung Pura, ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana isun amukti palapa”.

Terjemahan : “Dia Gajah Mada Patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan puasa. Ia Gajah Mada, “Jika telah menundukkan seluruh Nusantara dibawah kekuasaan Majapahit, saya (baru akan) melepaskan puasa. Jika mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa”.

Dalam era moden ini, saya lebih suka merujuk Nusantara dalam konteks yang lebih luas iaitu kawasan yang didiami oleh rumpun Melayu tanpa mengira samada ia Jawa, Bugis, Minang, Melayu, Rawa dan sebagainya. Atau dalam geografi hari ini, suka saya merujuk Nusantara sebagai satu wilayah yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Selatan Thailand, Singapura Filipina serta Brunei.

Ramai yang mengatakan bahawa Nusantara ini telah terpisah apabila satu perjanjian ditandatangani oleh British dan Belanda iaitu Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Ini kerana, melalui perjanjian ini, wilayah pengaruh British dan Belanda di nusantara ini telah ditetapkan. Dalam erti kata lain, Tanah Melayu dan Singapura diserahkan kepada British manakala Indonesia diserahkan kepada Belanda.

Ini dikuatkan lagi apabila pelabuhan British di Indonesia iaitu Pelabuhan Bangkahulu telah diserahkan kepada Belanda dan Belanda pula bertindak menyerahkan Melaka kepada British. Melihat kepada kesanggupan Belanda menyerahkan Melaka kepada British itu, kita boleh mengagak bahawa Melaka sudah tidak mempunyai fungsi sebagai pelabuhan entrepot yang makmur sebagaimana zaman Kesultanannya dahulu.

Berbalik kepada berpecahnya Nusantara tadi. Saya secara peribadi mengiakan sahaja orang yang mengatakan bahawa perjanjian Inggeris – Belanda itu telah memisahkan nusantara kerana mereka yang berkata demikian pasti mempunyai hujah dan alasan yang tersendiri.

Namun sebagai meraikan perbezaan pendapat, suka sekali saya ingin menyatakan pendapat saya bahawa perpecahan nusantara bukanlah berlaku pada tahun 1824 tetapi berlaku pada tahun 1945 iaitu kira-kira 75 tahun yang lampau sahaja apabila Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa memasukkan Tanah Melayu dan Singapura.

Mengapa saya berkata demikian? Izinkan saya membentangkan hujah saya.

  1. Masih wujud kerajaan Johor- Riau-Lingga- Pahang yang sah. Perjanjian Inggeris -Belanda 1824 tidak pernah memecahkan kuasa atau wilayah Kesultanan Johor Riau-Lingga- Pahang. Mereka masih berdiri sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat. Kerajaan ini merupakan satu-satunya kerajaan yang mempunyai wilayah yang termasuk dalam negara Indonesia dan Malaysia.
  2. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 bukanlah perjanjian yang membahagikan wilayah jajahan tetapi perjanjian yang membahagikan wilayah pengaruh sahaja. Maknanya perjanjian ini hanyalah terpakai di peringkat penjajah tersebut sahaja tetapi tidak terpakai kepada kerajaan Johor- Riau-Lingga- Pahang bahkan kerajaan Melayu ini langsung tidak terganggu dengan perjanjian tersebut.

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ini tidak lebih seperti Perjanjian Tordesillas yang ditandatangani oleh Sepanyol dan Portugis pada 7 Jun 1494. Perjanjian ini memperuntukkan pembahagian wilayah pengaruh dimana Sepanyol akan meluaskan pengaruhnya di kawasan barat manakala Portugis di kawasan timur.

Walaupun kawasan pengaruh untuk penj4jahan ini dibahagikan, ini langsung tidak bermakna wilayah kawasan barat automatik menjadi wilayah j4jahan Sepanyol dan begitu juga sebaliknya.

Pada 22 April 1529, kedua kuasa penj4jah terawal barat itu telah menandatangani Perjanjian Saragosa yang mana menetapkan wilayah pengaruh Sepanyol dari Mexico hingga Filipina dan Portugis pula dari Brazil ke Kepulauan Maluku. Tapi tidak bermakna negara-negara tersebut terj4jah.

Begitu jugalah dalam kes Perjanjian Inggeris – Belanda ini. Mereka hanya membahagikan kawasan pengaruh mereka sahaja bukannya membahagikan wilayah nusantara kepada dua.

Kenapa saya kata kerajaan Johor- Riau-Lingga- Pahang tidak terjejas langsung? Ini kerana semua pembesar kerajaan terutamanya Bendahara masih “menyembah” kepada Lingga (Sultan).

Walaupun Sultan Husin claim takhta Kesultanan Johor dengan bantuan British namun claim tersebut tidak sah kerana Johor sudah mempunyai sultan yang telah ditabalkan secara sah walaupun ditabalkan secara tergesa-gesa oleh Sultan Muda Bugis (Yamtuan Muda ).

Sebab itulah selepas penyerahan Singapura telah selesai, baginda Sultan Husin telah membawa diri ke Tengkera. Semasa pemerintahan anaknya pula iaitu Sultan Ali Iskandar, British sudah tidak mengiktirafnya sebagai Sultan Johor bahkan baginda hanya diberikan kuasa sebagai wakil untuk membahagikan pusaka ayahnya sahaja bukannya sebagai kuasa sultan.

Sultan Husin jelas tidak mempunyai sokongan dalam kalangan pembesar kecuali Temenggung yang berkepentingan dengan British. Bendahara Kesultanan Johor pula iaitu Bendahara Tun Ali dan kemudiannya Bendahara Tun Mutakhir yang mentadbir Pahang itu masih “menyembah” kepada Sultan Johor yang sah yang bersemayam di Lingga itu.

Tanpa sokongan Bendahara, boleh dikatakan pelantikan seseorang itu sebagai Sultan dianggap sebagai “tidak sah”. Kuasa Bendahara ni sangat besar. Contohnya semasa peristiwa rampasan kuasa oleh Raja Kasim terhadap Sultan Abu Syahid. Apabila pengawal istana melihat Raja Kasim diatas gajah, mereka bersedia untuk melakukan perlawanan.

Tetapi apabila mereka melihat Bendahara bersama Raja Kasim, pengawal iIstana itu pula yang mengamuk ke dalam istana sehingga menyebabkan Raja Rokan dan Sultan Abu Syahid tewas. Besar tak besar Bendahara ini, kalau makanan dihidangkan, Bendahara akan makan dahulu, sisanya makanannya baharu dimakan oleh anak raja dan para pembesar lainnya.

Jadi ini bermaksud, tanpa sekongan Bendahara dan nobat, maka pelantikan Sultan Husin oleh British itu boleh dianggap sebagai “tidak sah”.

Dan Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang ini terus berdiri sebagai sebuah entiti berdaulat dan bersatu sehinggalah Pahang mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1881 iaitu selepas Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad berjaya mengalahkan abangnya Raja Bendahara Tun Mutakhir dalam Perang Saudara Pahang.

Johor iaitu wilayah pegangan Temenggung juga telah mengisytiharkan kemerdekaan dengan Temenggung Abu Bakar menjadi Sultan wilayah Johor pada tahun 1886. Wilayah Kesang yang sebelum ini diserahkan kepada kerabat Sultan Husin juga telah diambil semula oleh baginda dalam P3rang Jementah 1879.

Sultan Husin pernah pergi ke Lingga berjumpa dengan adiknya Sultan Abdul Rahman. Dikatakan adiknya itu sanggup menyerahkan takhta kepada Sultan Husin namun ditegah oleh Sultan Muda Bugis yang tidak mahu kawalan mereka terhadap Johor terjejas.

Jadi konklusinya, Perjanjian Inggeris-Belanda itu tidak pernah memisahkan Malaysia-Indonesia berdasarkan keadaan Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang tetapi yang memisahkan Nusantara secara politik dan geografi ialah apabila Sukarno proklamasi Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945 tanpa memasukkan Tanah Melayu dan Singapura.

Walaupun sejak 1881 Kerajaan Johor (yang asal) telah terpecah akibat Pahang memerdekaan dirinya, namun itu bukanlah penamat kepada pemisahan nusantara. Kerajaan Johor (yang asal) yang dikenali sebagai Kesultanan Riau itu telah dimansuhkan oleh Belanda pada 10 Februari 1911.

Yang betul-betul penamat kepada pemisahan nusantara menurut pandangan saya ialah Kemerdekaan Indonesia. Kerana kemerdekaan Indonesia itu telah menyebabkan kita terpecah kepada 2 iaitu satu wilayah merdeka dan satu wilayah yang “terjajah”. Dan keadaan ini berterusan sehinggalah hari ini..

Ini merupakan pandangan saya yang daif, anda berhak bersetuju dan berhak membantah atas dasar percambahan ilmu.

Sekian Terima Kasih.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sarjana muda pendidikan sejarah UPSI. Kini mengajar di SM Maahad Pontian Johor. Meminati sejarah Melayu terutamanya berkenaan dengan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu.

Comments are closed.