Nurul Ezzaty Hasbullah: Penerima Biasiswa Rhodes

2,829

Beberapaminggu lepas, seorang pelajar Melayu yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Pennsylvania telah menerima anugerah Biasiswa Rhodes yang membolehkannya menyambung pengajian di Universiti Oxford. Pelajar yang bertuah itu ialah Nurul Ezzaty Hasbullah, 23, akan menyambung pengajian peringkat Master dalam bidang data sains sosial diikuti pengajian peringkat Master dalam bidang polisi awam bermula tahun hadapan.

Rajah 2: Akaun Twitter rasmi Biasiswa Rhodes mengucapkan tahniah kepada Nurul Ezzaty. Sumber: https://www.therakyatpost.com/2019/12/02/msian-wins-worlds-most-prestigious-scholarship-to-oxford-uni-to-help-fix-education-access/

Anugerah biasiswa ini diadakan pada tahun 1903 dan merupakan antara program biasiswa antarabangsa yang tertua di dunia. Matlamat program ialah melatih pemimpin-pemimpin masa hadapan melalui pengajian pasca-graduasi di universiti-universiti yang berprestij. Untuk program pelajar Malaysia, Biasiswa Rhodes bekerjasama dengan Yayasan Khazanah dengan pembiayaan sebanyak lima juta paun (RM29 juta) selama lima tahun untuk seorang pelajar Malaysia yang layak. Berdasarkan rekod, hanya lima pelajar Malaysia yang pernah menerima anugerah biasiswa itu.

Anak jati Kota Damansara ini sedang menyelesaikan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan kesihatan dan masyarakat dengan pengkhususan kesihatan global dan minor dalam jurusan antropologi di Sekolah Sains dan Kesenian, Universiti Pennsylvania. Nurul Ezzaty amat bersemangat memperjuangkan isu membabitkan polisi awam, diskriminasi jantina dan isu kesihatan. Bila ditanya bagaimana dia amat bersemangat memperjuangkan isu-isu berkenaan, Nurul Ezzaty memberitahu dia dipengaruhi oleh beberapa pengalaman yang memberi impak yang bukan sedikit dalam isu-isu yang dinyatakan.

Walaupun sibuk dengan aktiviti pengajian, itu tidak menghalangnya bergiat aktif dalam pergerakan-pergerakan NGO. Dua NGO yang disertainya ialah The Kalsom Movement dan Charisma Movement dengan kedua-dua organisasi berkenaan dikendalikan oleh pelajar. Menerusi organisasi The Kalsom Movement, Nurul Ezzaty dan rakan-rakannya pergi ke sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia dengan menjalankan kem-kem pendidikan dan motivasi untuk pelajar-pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang cemerlang tetapi datang dari keluarga kurang berkemampuan. Matlamat penganjuran kem-kem ini ialah menggalakkan pelajar-pelajar ini berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Semasa ditemubual portal The Rakyat Post, Nurul Ezzaty menceritakan pada satu ketika, seorang pelajar pernah memberitahunya dia tidak berminat menyambung pengajian ke peringkat universiti. Tetapi beberapa bulan lepas, perkara yang paling menggembirakannya ialah bila pelajar yang sama menghubunginya dan meminta nasihat dalam mendapatkan bantuan biasiswa. Nurul Ezzaty menambah, “Pelajar-pelajar ini mempunyai potensi yang hebat dan jika kita dapat menolak mereka ke jalan yang betul dan menginspirasikan mereka tentang keupayaan mereka merupakan satu perkara yang membanggakan.”

Berdasarkan kajian UNESCO dan Kementerian Pendidikan pada tahun 2004 yang dipetik The Star, 85% pelajar yang tidak menghabiskan persekolahan datang dari keluarga-keluarga miskin. Walaupun peratusan pelajar yang terlibat semakin menurun dari tahun ke tahun, implikasi akibat tindakan ini amat besar seperti terlibat dengan kegiatan jenayah, kehilangan peluang, peningkatan kadar pengangguran dan status sosio-ekonomi yang rendah. Dan ini sesuatu yang disedari Nurul Ezzaty selepas menghabiskan masa selama dua minggu menjadi tutor dan tinggal di sebuah sekolah rendah di pedalaman yang menjadi sebahagian daripada Projek Temuno-Teringai yang dijalankan Charisma Movement.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Menerusi catatan Instagramnya, dia menulis, “Buat pertama kali dalam hidup saya, saya merasai pengalaman berada di sekolah yang tidak mempunyai akses bekalan air, tiada talian telefon dan berhubung dengan pelajar-pelajar muda yang tidak pernah melihat dunia melainkan perkampungan mereka sahaja. Memikirkan bahawa masih ada ratusan jika tidak ribuan pelajar di Malaysia yang berhadapan dengan situasi serupa merupakan sesuatu yang menyedihkan.”

Justeru menerusi Biasiswa Rhodes, dia berharap ia boleh dijadikan sebagai platform untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Tambahnya lagi, “Ia akan menjadikan impian saya semakin hampir menjadi kenyataan iaitu memastikan semua warga Malaysia mendapat akses sama rata kepada peluang-peluang dan kualiti kehidupan yang baik. Saya bukan sahaja mendapat pendidikan bertaraf dunia di Oxford yang dapat melengkapkan lebih banyak kemahiran pada diri saya tetapi juga menjadi sebahagian daripada komuniti Rhodes di mana saya boleh belajar dengan orang-orang yang berkongsi keazaman dan minda sepertinya.”

Nurul Ezzaty turut mengakui kemenangan anugerah biasiswa itu merupakan satu kejutan kepadanya. Dia memberitahu apabila mendapat emel dari pihak Rhodes bahawa dia terpilih untuk program biasiswa mereka, Nurul Ezzaty membaca e-mel berkenaan sebanyak tiga kali untuk memastikan ianya memang betul. Dia turut mengakui menitiskan air mata dan tidak dapat memberitahu berita gembira tersebut kepada ibu bapanya, Encik Hasbullah Yaakub dan Puan Kartina Abdul Latif memandangkan ketika itu ialah waktu awal pagi di Malaysia. Kedua-dua ibu bapanya turut menyokong usahanya dalam pelbagai bidang dan melayannya dan adik-beradiknya yang lain dengan adil.

Semasa membuat proses permohonan, Nurul Ezzaty turut mendapat sokongan rakan-rakan dan Pusat Penyelidikan dan Fellowship Graduan Universiti Pennsylvania (CURF). Tambahnya, “Memandangkan saya perlu pulang ke Malaysia untuk menghadiri temuduga, saya amat bersyukur bila pihak universiti sudi menaja tiket penerbangan saya. Saya sentiasa jujur sepanjang proses pemilihan. Dari proses permohonan sehinggalah sesi temuduga selama 45 minit, saya pastikan membawa diri saya – seorang pelajar Malaysia beragama Islam dan berusia 23 tahun dengan impian yang besar – ke meja berkenaan, memberi usaha yang terbaik dan bertawakal kepada-Nya.”

SUMBER

  1. Kaur, Kirat. (2019). M’sian Wins World’s Most Prestigious Scholarship To Oxford Uni To Help Fix Education Access. The Rakyat Post. https://www.therakyatpost.com/2019/12/02/msian-wins-worlds-most-prestigious-scholarship-to-oxford-uni-to-help-fix-education-access/
  2. Rafidi, Rayyan. (2019). Malaysian student receives prestigious Rhodes Scholarship. New Straits Times. https://www.nst.com.my/education/2019/11/543192/malaysian-student-receives-prestigious-rhodes-scholarship
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.