Nur: Penarik Aku Untuk Tonton Kembali Drama Melayu

0
3118
views

Jarang aku minat nak tengok drama melayu tapi itulah #dramaNur ini buat aku tertarik nak kembali tonton drama melayu.

Ideanya fresh dan aku teruja nak tahu macamana penamatnya. Adakah ada kejutan? Atau ia tamat happy ending biasa-biasa je.

Ada beberapa perkara yang aku suka tentang drama ni.

1. Aku sebenarnya tertarik dengan idea ‘pelacur halal’. Dalam drama ini, pengarah menggambarkan bahawa pelacur walaupun dipandang hina oleh masyarakat tetapi Nur tetap tidak melupakan tanggungjawabnya pada Tuhan. Sembahyang tak pernah tinggal namun dia terperangkap dalam kancah pelacuran. Hidup Nur yang sebelumnya dalam dunia haram (pelacur) dihalalkan dengan perkahwinannya dengan Ustaz Adam. Ia lebih kepada ‘typically altering the perspective from their everyday lives’, ia bercerita soal berkaitan eskapisme daripada dikotomi hitam kepada putih. Pada aku idea ini wow! Power!

2. Aku juga tertarik dengan idea tema perkahwinan berbeza darjat, tak sekufu (agamawan berkahwin dengan anak pelacur). Tentang bagaimana penerimaan keluarga Adam terhadap Nur. Tema ini buat drama Nur jadi menarik.

3. Tema hipokrasi. Drama ini hidup dengan plot bertemakan hipokrasi. Ustaz Syed Hamidi hidup dalam hipokrasinya, Aishah sup bunjut hidup dalam hipokrasinya, Amirul hidup dalam hipokrasinya, Mak Nur hidup dalam hipokrasinya. Aku rasa niat pengarah nak bagitau bahawa orang yang hipokrit/munafik ini wujud kat mana-mana. Dalam politik, dalam perhubungan seharian, dalam pekerjaan, dalam institusi keagamaan malahan dalam apa-apa juga bidang pasti kita akan menjumpai orang yang bersifat hipokrit ini. Kita memang akan rasa geram dengan orang munafik ni, secara asasnya kita faham, pengarah nak supaya orang yang munafik ni berubahlah.

4. Selain itu tema yang agak menarik tentang drama Nur ini ialah isu ‘pro-choice'(pro-pilihan) ataupun ‘pro-addin(agama)’. Kita digambarkan bahawa Nur adalah seorang yang cenderung kepada agama tapi dalam masa yang sama dia tersepit dengan dunia pelacuran. Jadi Nur nak pro-pilihan (pelacur) atau pro agama? Begitu juga dengan watak mak Nur yang asalnya kuat beragama tetapi apabila berlaku satu tragedi, Mak Nur berubah 100%. Dalam drama ini ajak kita berfikir samada kita pro kepada pilihan atau kita nak pro pada agama.

5. Isu bercinta selepas berkahwin dan soal kesetiaan. Sekarang ni kita selalu dengar ada pasangan bercerai kerana boring dengan pasangan. Yelah masa sebelum kahwin, hari-hari dating, jadi bila dah kahwin masing-masing dah bosan sesama sendiri. Tma cinta selepas perkahwinan ini diangkat dalam drama Nur untuk kita sama-sama berfikir akan kerelevanannya. Dan, belajarlah menerima pasangan seadanya.

6. Drama ini juga membina konsep ‘man jadda, wajada’, ‘siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, dia akan mendapat’. Kita dihidangkan dengan watak Nur yang polos dan serba kekurangan namun kita nampak kelemahan Nur itu ditampung dengan kesungguhan dan efikasi kendiri yang kuat untuk mendapat redha Tuhan, sebab tu diakhirnya aku rasa Nur akan berjaya untuk capai apa yang Nur nak iaitu keredhaan Tuhan.

7. Drama ini juga menghurai bahawa dakwah mampu menjadi perantara untuk membawa manusia berhijrah daripada kegelapan kepada petunjuk cahaya, daripada negatif kepada positif dan daripada buruk kepada baik. Melalui drama ini, aku belajar bahawa dalam hal nak memberi peringatan ini sebenarnya kita tak perlu tunggu sampai jadi mufti, atau jadi Imam Muda, baru kita nak tegur kesilapan yang berlaku depan mata kita. Drama ini juga seolahnya menasihatkan kat mana peranan kita dalam menegur disaat banyak sangat gejala sosial dan keruntuhan moral yang berlaku dalam masyarakat?

8. Dan isu yang paling utama dalam drama ini ialah isu Ustaz Hamidi, seorang ‘penunggang agama’. Aku tak ada masalah dengan jenis ‘ustaz selebriti’ ini cuma yang perlu kita ambil pusing ialah sejauhmanakah tahap keilmuan mereka. Berdasarkan drama Nur ini, kita risau ustaz-ustaz selebriti ni menjadi asbab ustaz-ustaz yang a’lim dan warak pun dapat label yang sama.

Kita nampak jelas melalui watak Ustaz Hamidi, bila dia buat salah, mesti dia guna hujah manusia tak maksum dan tak terlepas dari buat silap sedangkan memang terang-terang benda yang dia buat salah. Ustaz Hamidi juga adalah contoh ‘kapitalis agama’ dan dia menjadikan agama sebagai bahan ekonomi untuk diniagakan. Orang-orang macam Ustaz Hamidi inilah sebenarnya yang buat orang marah pada orang agama.

9. Tanpa perlu berkhutbah, aku rasa dialog-dialog dalam drama ini sangat mengesankan.

10. Pada aku, poin paling penting ialah Nur mengangkat tema emansipasi wanita. Perjuangan perempuan dalam drama ini bukan calang-calang. Kita dapat lihat bagaimana Nur dan mak dia terperangkap dalam dunia patriarki tetapi mereka cuba nak keluar daripada dunia tu. Tapi itulah, silapnya mereka tersalah pilih jalan. Tak sabar rasanya nak tahu apa jadi kat Nur dan mak dia minggu depan.

11. Drama ini juga kuat dengan kritikan sosial. Kita tahu golongan pelacur, golongan ateis, golongan penunggang agama, golongan tertindas memang wujud dalam dunia, namun sebagai anggota masyarakat, apa peranan kita? Adakah kita nak jadi tukang bash (macam watak Aishah) atau jadi agen dakwah (macam watak Adam) atau kita jadi opportunist (macam watak Hamidi) atau kita sekadar berdiam walaupun kita tahu maksiat/ketidakadilan berlaku(macam watak Amirul). Jadi, kita watak yang mana?

Kesimpulannya, aku rasa drama Nur ini adalah sebuah drama yang baik. Best woi! Yang belum tonton tu eloklah korang pi marathon drama ni dari awal. Serius best! Tahniah buat pengarah, Tuan Shahrulezad Mohameddin  dan team.