Nowruz: Perayaan Tahun Baru Majusi

197

Mengikut kalendar Zoroaster atau kalender Iran, kalendar mereka mempunyai 12 bulan juga sepertimana kalendar lazimnya iaitu:

1. Farvadin (31 hari) Mac-April.
2. Ordibehesht (31 hari) April-Mei.
3. Khordad (31 hari) Mei-Jun.
4. Tir (31 hari) Jun-Julai.
5. Mordad (31 hari) Julai-Ogos.
6. Shahrivar (31 hari) Ogos-September.
7. Mehr (30 hari) September-Oktober.
8. Aban (30 hari) Oktober-November.
9. Azar (30 hari) November-Disember.
10. Dey (30 hari) Disember-Januari.
11. Bahman (30 hari) Januari-Februari.
12. Esfand (30/29 hari) Februari-Mac.

Kalendar Iran yang didasari dari putaran matahari Sasanid tersebut dilengkapkan dan ditambahbaik oleh ahli matematik Islam, Omar bin Khayyam pada tahun 1074 M di Isfahan pada zaman pemerintahan Sultan Seljuk, Malik Shah.

Dan ya, dua hari lepas pada tanggal 21 Mac 2019 tepat jatuhnya tanggal 1 haribulan Farvadin mengikut kalendar Zoroaster, iaitu Hari Nowruz. Dan apa maksud Nowruz ni? Baik, ia sebuah perkataan yang berasal daripada dua kosakata Parsi iaitu Nuw bermaksud BARU dan Ruz pula yang membawa HARI. Jadinya, NOWRUZ membawa makna HARI BARU, hari pembuka segala hari dalam tahun baharu. Mudah.

Sejarah Nowruz: Perayaan Tahun Baru Agama Terawal Di Dunia.

Melalui catatan rekod sejarah Parsi, nama Nowruz ditemui pada abad ke-2 M, dan para ilmuwan meyakini perayaan ini jelas dirayakan oleh masyarakat dan penganut Majusi sebelum tahun tersebut, iaitu sebelum Masihi iaitu pada zaman pemerintahan empayar Achaemenid (555-330 SM). Ahli sejarah mengemukakan teori bahawasanya pembinaan dan fungsi Istana Apadana dan Hundred Columns dibina untuk tujuan perayaan Nowruz.

Catatan rasmi terlama mengenai perayaan Nowruz ditemui pada zaman pemerintahan empayar Parthia di Parsi pada sekitar tahun 247 SM sehingga 224 M ketika era kepimpinan Kisra Vologases I. Tetapi akibat kekurangan maklumat, ahli sejarah buntu untuk menentukan apakah pada rentang waktu tersebut Nowruz sudah diraikan ataupun masih belum diraikan?

Tetapi penemuan data pada zaman empayar Sasanid, apabila setelah Ardeshir I Pabakan, pengasas dinasti Sasanid menaiki takhta memerintah Parsi, beberapa maklumat ditemui mengenai perayaan Nowruz. Ketika zaman Sasanid, Nowruz dijadikan sebagai perayaan keagamaan tahunan negara.

Walaupun awal kelahiran perayaan Nowruz tidak diketahui secara tepat tetapi perayaan ini tidak dihalang dan dihapuskan oleh Islam ketikamana pembebasan Parsi dibawah kepimpinan pasukan Khalid al-Walid dan Abu Ubaidah bin Jarrah pada hujung zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab.

Penganut agama Majusi ataupun masyarakat masih dibenarkan menyambut perayaan tersebut. Walaupun perayaan ini menjadi salah satu perayaan tahun baharu bangsa Parsi, umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kerana di dalam perayaan tersebut terdapat beberapa unsur syirik di dalam agama Islam.

Perayaan Nowruz turut diteruskan pada zaman dinasti Abbasiyah ketika berlaku campur tangan politik oleh bangsawan Buyid (Syiah) di dalam pemerintahan. Perayaan ini dijadikan salah satu perayaan wajib di istana khalifah Abbasiyah.

Setelah kejatuhan Dinasti Buyid, kerajaan Turki-Seljuk mahupun empayar Mongol tidak melarang perayaan tersebut kepada masyarakat kerana ianya sudah menjadi perayaan kebudayaan di Asia Tengah. Perayaan ini diteruskan dan dikembangluaskan oleh negara Iran sehingga ianya menjadi salah satu perayaan antarabangsa.

Nowruz Pada Zaman Sekarang

Pada zaman millenia sekarang, perayaan kuno Nowruz masih disambut sesetengah negara yang penduduknya masih mengamalkan penyembahan kepada api ataupun perayaan ini sudah menjadi sebahagian daripada budaya bangsa mereka.

Mengikut data United Nations, pada tanggal 21 Mac 2010 lalu, perayaan Nowruz diiktiraf sebagai perayaan antarabangsa yang diraikan oleh negara Afghanistan, Albania, India, Iran, Kazakhstan, Turkey dan Turkmenistan. Sambutan perayaan ini makin berkembang apabila dianggarkan seramai 300 juta orang dari seluruh dunia menyambut perayaan ini termasuk negara Amerika Syarikat.

Dengan pengiktirafan ini, maka hari perayaan Nowruz dijadikan cuti umum dan cuti antarabangsa sepertimana yang direkodkan di dalam gambar peta di atas.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.