Notre Dame De Paris: Ranapnya Secebis Besar Sejarah Perancis

39

Pada saat artikel ini sedang ditulis, Gereja Notre Dame de Paris masih lagi dijilat api. Ternyata, pencapaian para jurutera Zaman Pertengahan menjadi dilema besar buat pasukan bomba zaman moden apabila ketinggian gereja tersebut menjadi cabaran utama.

Gereja Notre Dame de Paris (Our Lady of Paris) yang didedikasikan untuk Maryam Alaihassalam merupakan antara mercu tanda Eropah pada zaman pertengahan. Dibina pada tahun 1163 dengan batu asas diletakkan sendiri oleh Pope Alexander III, pembinaan gereja ini mengambil masa ratusan tahun untul disiapkan. Seiring dengan perkembangan teknologi ketika itu, pelbagai perubahan kepada pela nasal berlaku sebelum Notre Dame siap sepenuhnya pada tahun 1345.

Dengan sejarah yang begitu panjang, Notre Dame menjadi saksi bisu pelbagai peristiwa bersejarah dan berdarah di Kota Paris. Notre Dame menjadi saksi kepada peperangan dan rusuhan antara Katolik dan Protestan di Kota Paris. Pada tahun 1548, Notre Dame de Paris diserang puak Huguenots (Protestan) manakala pada tahun 1572, ianya menjadi saksi kepada serangan balas yang digelar St. Barthelomew’s Day Massacre.

Namun, waktu paling malang untuk Notre Dame adalah semasa Perancis melalui Zaman Revolusi. Pada tahun 1789, Notre Dame Bersama kesemua gereja yang ada di Perancis dirampas menjadi hak milik negara. Patung-patung yang melambangkan raja-raja Kerajaan Bani Israel zaman lampau dipancung para revolusioner dan akhirnya pada tahun 1793 – para fanatik ateis menodai kesucian gereja dengan melaksanakan ‘Fête de la Raison’ (Feast of Reason) di dalam gereja pada 10 November 1793. Sophie Momoro, isteri salah seorang revolusioner telah membawa watak ‘Goddess of Reason’ dalam pesta tersebut. Dalam pesta tersebut, Sophie memakai pakaian yang menjolok mata dan menduduki ruang utama altar yang pada asalnya menempatkan imej Maryam.

Semasa pemerintahan Napoleon dan setelah Concordat ditandantangani bersama pihak Paus, Notre Dame kembali menjadi milik umat Katolik. Menyedari kepentingan Notre Dame dalam menonjolkan ‘legitimacy’ beliau sebagai pemerintah, Majlis Kemahkotaan Napoleon Bonaparte telah dilangsungkan di dalam Notre Dame pada 2 Disember 1804. Namun sejarah Notre Dame selepas terusirnya Napoleon kian pudar. Raja-raja Bourbon lebih mengutamakan Basilica di-Raja Saint-Denis yang menempatkan makam para Raja-raja Perancis. Notre Dame kian pudar dan hampir menerima nasib banyak gereja-gereja binaan Gothic yang dirobohkan.

Namun akhirnya muncul seorang figura yang menyebabkan Notre Dame begitu terkenal sehingga kini. Figura tersebutlah yang menambat hati manusia dari pelbagai latar bangsa mahupun agama untuk mendekati Notre Dame. Sosok ini tidak lain tidak bukan adalah Victor Hugo, penulis agung Perancis yang telah mempopularkan pantun Melayu kepada dunia barat.

Victor Hugo sedar bahawa nasib malang akan menimpa Notre Dame sekiranya dibiarkan terabai. Menggunakan kemahiran penulisan beliau, Victor Hugo telah menulis salah satu karya agung beliau berjudul ‘Notre-Dame de Paris’ atau terjemahan Inggerisnya, “The Hunchback of Notre Dame”. Victor Hugo menggunakan drama antara Quasimodo, Archdeacon Frollo, Esmeralda, dan Phoebus sebagai ‘umpan’ dalam menarik orang ramai mendekati Notre Dame. Sebahagian besar novel beliau memuji kecantikan senibina Notre Dame.

Beliau membandingkan tugas sang arkitek, khususnya arkitek Notre Dame sebagai penyair agung. Tulis beliau dalam novel tersebut, :quiconque naissait poète se faisait architecte” – “barangsiapa yang lahir sebagai penyair akan menjadi arkitek”. Ternyata Victor Hugo berjaya dalam menarik perhatian seantero dunia ke Notre Dame – disebabkan watak-watak yang dihidupkan beliau dalam novel tersebut, lawatan ke Paris umpama tidak sah jika tidak bertandang ke Notre Dame, walaupun terdapat ratusan lagi gereja yang hampir hebat senibinanya di Kota Paris.

Pada Perang Dunia Kedua, Notre Dame hampir saja ranap di bawah arahan Adolf Hitler. Apabila Jerman kian diasak oleh pihak Berekutu, Adolf Hitler mengarahkan General Dietrich von Choltitz untuk memusnahkan seluruh Kota Paris, termasuklah Notre Dame yang harus dibom. Bagi Adolf Hitler, lebih baik Paris musnah daripada ditawan Pasukan Bersekutu. Di sini diplomat Sweden, Raoul Nordling telah bersemuka dengan Choltitz dan mendesak beliau supaya mengingkari arahan Hitler. Siri perbualan antara Choltitz dan Nordling akhirnya difilemkan pada tahun 1965, “Is Paris Burning?” dan sekali lagi pada tahun 2014 dalam filem berjudul “Diplomacy”.

Walaupun Notre Dame yang kukuh dibina menggunakan ratusan kayu oak bertahan menempuh era Revolusi dan penaklukan Perancis oleh pelbagai kuasa – ianya ranap pada Isnin, 15 April 2019 akibat kebakaran. Sejarah Perancis, khususnya penganut Katolik negara Gaul ini amat berkait rapat dengan Notre Dame. Kayu oak, yang ditebang dari 21 hektar hutan Perancis telah menjadi asas Notre Dame selama hampir satu milenia. Namun semuanya ranap ditelan api yang menjulang tinggi.

Pada minggu ‘Holy Week’, secebis besar sejarah Perancis dan peradaban Barat hilang dimamah api. Jika Korea pernah berkabung atas ranapnya Pagar Kota Namdaemun, kini Perancis berkabung atas ranapnya Notre Dame. Namun tidak seperti Pagar Kota Namdaemun yang dapat dibina semula, pihak sejarawan dan pakar senibina telah membawa khabar buruk bahawa Notre Dame tidak akan mampu diselamatkan. Saksi bisu Paris kini menghadap ajal.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.