Nordin Ahmad ialah pelakon lelaki paling jantan dalam sejarah perfileman Malaysia. Beliau memiliki aura keperwiraan Melayu tulen. Mutu lakonannya juga berada dalam kelas yang tersendiri.

Nordin bin Ahmad dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 4 Ogos 1929. Ketika membesar, Nordin disifatkan sebagai seorang kanak-kanak yang pendiam dan kurang bergaul dengan anak-anak kampung yang lain.

Di zaman kanak-kanaknya, Nordin gemar menonton wayang gambar dan opera Cina. Apabila pulang ke rumah, beliau akan meniru aksi yang baru ditontonnya itu. Watak yang sangat digemarinya ketika itu ialah Zorro dan Tarzan.

Nordin berusia 13 tahun ketika Perang Dunia Kedua meletus. Ketika itu, beliau baru saja tamat sekolah rendah. Beliau kemudiannya bekerja sebagai buruh di sebuah lapangan terbang di Pulau Pinang untuk menyara kehidupannya.

Nordin dibawa ke Singapura oleh tentera Jepun yang berundur setelah British kembali ke Tanah Melayu. Di Singapura, Nordin bekerja sebagai tukang masak di pengkalan tentera sehingga pihak Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Beliau kemudiannya menjadi kerani di sebuah pejabat.

Timbulnya minat Nordin Ahmad untuk menjadi anak wayang adalah ketika dia terbaca satu iklan pencarian bakat baharu di studio Jalan Ampas dalam surat khabar Utusan Melayu.

Kali pertama Nordin Ahmad muncul di layar perak ialah menerusi filem Juwita (1951) sebagai pelakon extra. Di dalam filem itu, Nordin Ahmad memegang peranan sebagai pegawai polis dan menuturkan beberapa patah dialog.

Pada tahun 1952, Nordin Ahmad terpilih untuk menjadi hero filem Permata Di-Perlimbahan yang diarahkan oleh Haji Mahadi. Beliau digandingkan dengan seorang lagi pelakon baharu ketika itu iaitu Maria Menado.

Walau bagaimanapun, filem itu tidak mendapat sambutan dan gagal melonjakkan nama Nordin Ahmad sebagai hero filem Melayu. Beliau kemudiannya sering berperanan sebagai penjahat dalam filem-filem terbitan studio Jalan Ampas seperti Chemburu, Ibu, Panggilan Pulau dan Abu Hassan Penchuri.

Nordin Ahmad berasa sedih dan malu kerana lakonannya sebagai watak jahat sering dibayangi pelakon seperti Salleh Kamil dan A. Rahim.

Sampai satu masa, Nordin dah fikir untuk berhenti berlakon kerana terlalu kecewa dengan perjalanan kerjayanya. Tapi P.Ramlee menyuruh Nordin bersabar dan memberi kata perangsang kepadanya.

Kata P.Ramlee: “Nordin Ahmad seorang pelakon berbakat besar tapi belum menemui sentuhannya”.

Pada tahun 1956, P.Ramlee mengarahkan filem keduanya iaitu Semerah Padi. Di sinilah Nordin Ahmad menemui kekuatannya dan mula menyinar sebagai pelakon. P.Ramlee sengaja meletak nama Nordin Ahmad di atas sekali pada credit title filem itu untuk menaikkan nama sahabatnya.

Filem Semerah Padi mendapat sambutan hangat daripada penonton ketika ditayangkan di panggung. Mulai saat itu, nama Nordin Ahmad sering disebut-sebut oleh peminat sebagai hero Melayu sejati.

Komen Nordin Ahmad: “..P.Ramlee berhak berkongsi kejayaan dengan saya kerana beliaulah orang yang menjadikan kerjaya saya daripada gelap kepada terang.”

Pada tahun 1957, Nordin Ahmad mendapat tawaran yang lebih baik dari studio Cathay Keris. P.Ramlee merestui pemergian sahabatnya itu dengan berkata: “Pergilah sahabatku. Tidak ada apa yang lebih baik dapat kuberikan padamu di sini”.

Di Cathay Keris, Nordin Ahmad menjadi pelakon lelaki yang menerima bayaran gaji paling mahal ketika itu dengan bayaran sebanyak $800 tidak termasuk bonus sekiranya filem lakonannya mendapat kutipan box office. Di sinilah karisma Nordin Ahmad sebagai pelakon semakin terserlah.

Semasa di Cathay Keris, Nordin Ahmad lebih cenderung untuk berlakon dalam filem-filem yang bercorak purbawara. Di sinilah kita dapat lihat Nordin Ahmad mampu menterjemahkan setiap watak yang diberikan kepadanya dengan sangat baik.

Mungkin ramai yang tak tahu, Nordin Ahmad seorang pelakon yang tidak gemar bersosial. Beliau hanya akan pergi ke majlis-majlis rasmi Cathay Keris sahaja sekiranya perlu. Beliau lebih gemar duduk di rumah untuk menghafal skrip dan berlatih berlakon di hadapan cermin.

Pasangan paling idealnya di layar perak ialah Latifah Omar. Mereka telah digandingkan dalam filem2 berikut:

1. Hang Jebat (1961)
2. Lanchang Kuning (1962)
3. Laila Majnun (1962)
4. Chuchu Datok Merah (1963)
5. Gul Bakawali (1963)
6. Patong Chendana (1965)
7. Gurindam Jiwa (1966)

Berlakon di samping Nordin Ahmad banyak meninggalkan kesan di hati Latifah Omar. Menurutnya, Nordin seorang lelaki yang mempunyai budi bahasa yang tinggi dan tutur katanya lembut itu amat menyenangkan hatinya.

Kata Latifah Omar: “Apabila difikirkan balik, semua filem yang saya lakonkan dengan Nordin Ahmad, saya suka. Tidak ada pelakon lelaki lain sehebat Nordin Ahmad.”

Nordin Ahmad juga pernah menjadi pengarah filem. Antara filem2 arahannya:

Wan Perkasa (1964)
Kaseh Ibu (1965)
Naga Tasek Chini (1966)
Playboy (1967)
Kekaseh (1968)
Si-Murai (1968)
Mat Lanon (1968) bersama Mat Sentol
Nafsu Belia (1969)
Keranda Berdarah (1969)
Lobang Nuraka (1970)

Nordin Ahmad berkahwin dengan Salmah Ibrahim. Mereka mempunyai 3 orang anak iaitu Asmah, Tuah dan Hasnor. Beliau sangat menyayangi anak lelakinya, Tuah. Mereka sering menonton wayang bersama-sama sekiranya Nordin tidak ada penggambaran filem.

Nordin Ahmad meninggal dunia pada 15 Jun 1971 ketika berusia 42 tahun di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedok, Singapura. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama orang-orang yang beriman.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.