https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Nordin Ahmad Dan M. Amin Bertarung 17 Hari Dalam Filem Hang Jebat

3,755

Setelah dilantik menjadi pengarah, Hussain Haniff memilih untuk mengarah cerita dari karya novel Sasterawan Ali Aziz yang bertajuk Hang Jebat Pelaku Terajidi. Hussain Haniff yang sememangnya terkenal dengan pendirian memberontaknya memulakan kajian terhadap naskah Ali Aziz ini dengan begitu teliti.

Hussain Haniff seorang yang sangat cerewet dalam berkarya, beliau suka memperlihatkan kesempurnaan di dalam mempersembahkan hasil kerjanya. Para pelakon seperti Nordin Ahmad, M.Amin, Latifah Omar, Siput Sarawak dan Mahmud Jun dipilih untuk melakonkan watak-watak utama di dalam filem ini.

Penggambaran filem Hang Jebat ini dimulakan pada pertengahan tahun 1961. Selain penggambaran di dalam studio Hussain Haniff juga ada melakukan penggambaran di luar studio. Antara lokasi yang dipilih untuk menjalankan penggambaran filem ini termasuk di kawasan kampung Bedok Laut dan di sekitar pantai Tanjong Katong.

Semasa melakukan penggambaran babak akhir untuk aksi pertarungan antara Nordin Ahmad dengan M.Amin di dalam filem ini, Hussain Haniff dengan seluruh tenaga kerja dan krew yang terlibat dikatakan telah berkampung selama tujuh belas hari di studio Cathay-Keris. Hussain Haniff juga telah mengarahkan dua pelakon utama yang terlibat turut berkampung di studio bagi menyatakan komitmen. Mahmud Jun yang bertindak sebagai koreografer silat turut bersama-sama berkampung di studio Cathay-Keris.

Menurut Mahmud Jun, beliau terpaksa bekerja keras untuk mencipta aksi pertarungan di antara Nordin Ahmad dengan M.Amin dalam babak akhir berkenaan. Nordin Ahmad mudah dibentuk oleh kerana beliau mempunyai asas dan kemahiran dalam persilatan. Berbeza dengan M. Amin yang tidak mempunyai apa-apa asas persilatan. Tetapi Hussain Haniff tetap mahukan M.Amin melakukan seperti apa yang Mahmud Jun lakukan walaupun M.Amin kelihatan agak sedikit kaku.

Ternyata apabila menonton filem ini banyak aksi persilatan dan buah pukul yang sangat realistik dipersembahkan oleh kedua-dua pelakon berkenan. Sehinggakan menurut Mahmud Jun beliau mengalami bengkak di kaki kerana terlalu banyak bersilat ketika menjalankan latihan untuk mewujudkan satu aksi pertarungan yang ikonik di dalam filem Hang Jebat. Begitu juga dengan Nordin Ahmad yang jatuh sakit akibat keletihan semasa menjalankan babak pertarungan dalam filem ini.

Apabila filem ini ditayangkan di pawagam, Hang Jebat telah mengejutkan seluruh peminat dan pengkritik filem Melayu pada ketika itu. Ramai yang beranggapan Hang Jebat merupakan karya paling terbaik dari Hussain Haniff dan di antara filem Melayu terbaik yang pernah dihasilkan oleh Cathay-Keris.

Nama Hussain Haniff sebagai pengarah melonjak naik ketika itu sehingga mampu diangkat dan bersaing dengan filem-filem arahan P.Ramlee dari MFP. Kewibawaan Nordin Ahmad sebagai hero nombor satu Cathay-Keris juga sudah tidak boleh dinafikan lagi dengan lakonan yang agresif dan penuh jiwa yang ditonjolkan melalui filem Hang Jebat.

Sehingga hari ini wajah Nordin Ahmad akan tergambar jika ada yang memperkatakan tentang sejarah yang dikaitkan dengan Hang Jebat.

RUJUKAN:

Layar Perak Dan Sejarahnya – M.Amin & Wahba

Dari Keris Film ke Studio Merdeka – Hamzah Hussin

Berita Filem

Temubual bersama Dato’ Mahmud Jun, Finas, 2001

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.