Noor Inayat Khan – Perisik India Berdarah Raja

0
363
views

Semasa Perang Dunia Kedua (WWII), pihak Axis melancarkan perang dalam pelbagai bentuk terhadap pihak Bersekutu termasuk perang perisikan. Keadaan ini memaksa Britain yang berada di barisan hadapan Teater Eropah ketika itu menubuhkan pasukan Special Operations Executive (SOE), satu organisasi yang giat melakukan aktiviti perisikan, sabotaj dan membantu pejuang partisan di negara-negara yang dijajah rejim Nazi Jerman. Umum mungkin mengetahui Violette Szabo dan Odette Hallowes tetapi tidak ramai mengetahui peranan yang dimainkan Noor Inayat Khan semasa bersama SOE.

Namanya mungkin tidaklah dikenali berbanding dua rakannya dalam SOE itu tetapi Noor mempunyai latar belakang kekeluargaan yang menarik. Bapanya Inayat Khan merupakan tokoh nasionalis India dan merupakan pengasas kepada Pergerakan Sufi Antarabangsa. Sementara moyangnya ialah Tipu Sultan atau nama sebenarnya Fateh Ali Sahab Tipu, salah seorang daripada Sultan dari Kesultanan Mysore di India. Inayat juga mempunyai hubungan baik dengan tokoh-tokoh kemerdekaan India seperti Jawaharlal Nehru dan Mahatma Gandhi, satu perkara yang menggusarkan kerajaan British di London. Justeru, ini menyebabkan Noor sekeluarga menetap berpindah ke Perancis iaitu di pinggir kota Paris di sebuah kediaman yang dipanggil Fazal Manzil (Rumah Yang Diberkati).

Sebelum WWII meletus, Noor melanjutkan pelajaran dalam jurusan psikologi kanak-kanak dan banyak menghabiskan masa menulis cerita-cerita hebat seperti pementasan teater Aede of the Ocean and Land. Minatnya terhadap bidang muzik yang dipengaruhi oleh ayahandanya Inayat Khan dan ini turut mendorongnya mempelajari muzik. Cerita-cerita tradisional India yang direkodkan beliau menerusi satu tajuk Twenty Jataka Tales dan diterbitkan oleh Le Figaro pada tahun 1939.

Selepas perang meletus pada tahun 1939, Noor mula mendapat latihan sebagai jururawat bersama Pertubuhan Palang Merah Perancis. Bila kerajaan Perancis di bawah pimpinan Marshall Philippe Petain menyerah kalah kepada Jerman pada tahun 1940, beliau bersama ibu dan kakaknya berjaya melarikan diri kembali ke Britain dengan bot pada November tahun sama. Walaupun sedar ajaran Sufi menekankan kepada soal keamanan, bagi Noor apa yang berlaku ketika itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima. Ini mendorongnya menyertai Pasukan Bantuan Tentera Udara Wanita (WAAF) sebagai operator wayarles dan tidak lama selepas itu, bakatnya menarik perhatian pencari bakat SOE.

Bagaimanapun, tidak ramai yang gembira melihat Noor berada dalam SOE. Ini kerana bagi yang sudah masak dengan ajaran sufi atau latar belakang keluarganya terutama ayahnya Inayat Khan, sudah pasti mereka merasa skeptik dengan kebolehannya sebagai perisik. Malah, kecurigaan mereka juga semakin bertambah apabila beliau mengakui tidak boleh berbohong. Tetapi semua itu diatasi menerusi personaliti cekalnya dan bagi pegawai-pegawai atasan SOE, mereka tahu Noor boleh melakukan peranan sebagai perisik dengan jayanya.

Selepas direkrut pada tahun 1942 dan mendapat latihan secukupnya, beliau dihantar ke Perancis dan diberi peranan sebagai operator radio. Tugas operator radio merupakan satu tugas merbahaya semasa WWII kerana setiap frekuensi mereka dipantau rapi pasukan polis rahsia Nazi Jerman atau Gestapo. Jika pihak Gestapo dapat mengesan frekuensi siaran mereka, operator tersebut akan ditahan, dipenjarakan di kem tahanan atau dihukum mati. Secara ringkas, jangka hayat bagi operator radio semasa WWII ialah enam minggu saja.

Dan seperti dijangka, ramai ejen berjaya ditahan Gestapo tetapi mereka gagal mengesan kedudukan beliau. Ini kerana Noor beroperasi di bawah nama pasport palsunya, Madeleine atau Nora Baker dan ini membolehkannya terus beroperasi di Paris tanpa pengetahuan mereka. Namun, semua itu berubah pada Oktober 1943 apabila beliau dikhianati adik/kakak salah seorang rakannya. Menurut penulis biografi beliau Shrabani Basu, ini berlaku disebabkan rasa cemburu terhadap kecantikannya dan ramai lelaki meminatinya. Bagi Basu, motif tersebut sudah mencukupi untuk individu berkenaan mendedahkan namanya kepada Gestapo.

Waqaf Saham

Walau bagaimanapun, jika ada menyangka beliau akan mengalah bila ditahan, anda salah. Hakikatnya, Noor melawan habis-habisan semasa rumahnya diserbu Gestapo. Menurut Basu, pihak Gestapo terpaksa menggunakan enam lelaki berbadan tegap untuk menahannya. Tetapi itu tidak menghalang Noor dari menggigit mereka sehingga berdarah. Semasa dalam tahanan, beliau melancarkan dua cubaan melepaskan diri tetapi dua cubaan berkenaan berjaya dipatahkan Gestapo. Noor diseksa berulang kali oleh Gestapo dengan harapan beliau mendedahkan rahsia sistem komunikasi Britain dan siapa orang hubungannya tetapi tidak berhasil. Malah menurut Basu, beliau langsung tidak mendedahkan identiti sebenar dirinya dan mereka tidak tahu bahawa beliau sebenarnya seorang India. Tetapi Noor gagal memusnahkan buku log komunikasinya dan maklumat tersebut digunakan Gestapo untuk menjerat beberapa lagi ejen British.

Selepas hampir setahun dalam tahanan, Noor kemudiannya dipindahkan ke salah satu kem tahanan paling terkenal di Nazi Jerman iaitu Dachau. Apabila tiba di Dachau, beliau sekali lagi diseksa dan akhirnya ditembak sampai mati oleh skuad penembak Schutzstaffen (SS) bersama tiga lagi perisik wanita. Pada ketika itu, wanita jelita ini baru berusia 30 tahun. Sebelum ditembak, Noor melaungkan Liberte yang bermaksud bebas dalam Bahasa Perancis.

Walaupun Noor tidak sempat berkahwin atau menimang cahaya mata, legasinya diteruskan oleh anak saudaranya Pir-Zia Inayat Khan. Pir-Zia yang kini merupakan Pengerusi Pergerakan Sufi Antarabangsa menganggap ibu saudaranya itu banyak berjasa kepada manusiawi. Beliau menambah, “Beliau amat berdedikasi kepada perjuangan menyatukan manusia tanpa mengira agama dan bangsa, satu perjuangan di mana menyedari kebaikan dan kecantikan manusiawi. Tanpa orang sepertinya, dunia ini pasti akan hancur berkecai. Ibu saudara saya tahu beliau memilih misi yang paling merbahaya dalam perang. Beliau sedia menggadaikan nyawanya atas nama kebebasan. Legasi Noor ialah mesej di mana manusiawi itu satu keluarga dan tiada panggilan yang lebih tinggi daripada berkhidmat atas nama keamanan dan keadilan walaupun ia boleh mengancam nyawa.”

Pir-Zia turut menambah sekiranya ibu saudaranya itu masih hidup selepas WWII, Noor pasti akan menumpukan usahanya kepada pelbagai usaha membabitkan cinta dan keamanan di seluruh dunia. Dan penulis biografinya, ini termasuk membantu perjuangan kemerdekaan India. Basu menambah, “Walaupun Noor percaya bahawa Britain patut memberi kemerdekaan kepada India, beliau juga percaya bahawa pemimpin-pemimpin India tidak seharusnya menekankan usul kemerdekaan tatkala Britain sedang sibuk berperang di dua teater iaitu Teater Eropah dan Teater Pasifik. Abangnya, Hidayat percaya sekiranya Noor terselamat selepas perang, perjuangan seterusnya ialah perjuangan kemerdekaan India.”

SUMBER

1. Woolf, Christopher. (2017). PRI.org. The Indian spy princess who died fighting the Nazis. https://www.pri.org/stories/2017-02-07/indian-spy-princess-who-died-fighting-nazis

2. Connor, Laura. (2018). Daily Mirror. The remarkable forgotten story of Indian princess Noor Inayat-Khan who sacrificed her life to fight fascism. https://www.mirror.co.uk/news/uk-news/remarkable-forgotten-story-indian-princess-13087177

3. Dalton, Samantha. (2012). BBC. Noor Inayat Khan: The Indian princess who spied for Britain. https://www.bbc.com/news/uk-20240693

Previous articleHills Like White Elephants: Sebuah Cerpen Tanpa Konteks.
Next articleTekanan Kerja
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE