Pernah dengan nama Nizam Al Mulk sebelum ini? Ya, mungkin ada yang pernah dengan dalam filem King of Persia: Sands of Time tetapi bukanlah watak khusus Nizam Al Mulk seperti yang digambarkan dalam filem tersebut. Apa yang menarik apabila ada yang menyebut tentang Assassin’s Creed. Yang ni ada kaitan dengan Nizam Al Mulk. Apakah kaitannya? Sebelum kita bercerita lebih lanjut lagi, mari kita berkenalan dulu, siapa Nizam Al Mulk  yang disebut sebut sejarah ini.

LATAR BELAKANG

Nizam Al Mulk atau nama sebenarnya Abu Ali al Hasan bin Ali bin Ishaq at Tusi. Beliau pernah ke Nisabur (Nishapur), sebuah bandar yang terletak di Khurasan, Iran untuk menuntut ilmu dari ulama mazhab Syafie iaitu Hibatullah al Muwaffaq.

Ayahnya adalah seorang pegawai pemerintah di Gaznawi di Tus, Khurasan. Ketika sebahagian besar Khurasan jatuh ke tangan pasukan Seljuk, ayahnya dengan membawa Nizam al Mulk lari ke Khusrawjird dan seterusnya ke Gazna. Di Gazna, Nizam Al Mulk bekerja di sebuah jabatan pada masa pemerintahan Mahmud Ghaznawi.

Tiga atau empat tahun kemudian ayahnya meninggal di Gazna dan menuju ke daerah kekuasaan Seljuk. Pada mulanya dia bekerja di Balkh yang dikuasai Seljuk pada 1040 M hingga 1041 M. Kemudian, berpindah ke Marw. Kerjayanya meningkat dengan cepatnya sehingga dia ditarik ke istana Sultan Alp Arslan dengan Perdana Menterinya, Abu Ali Ahmad bin Syazan. Ketika Perdana Menteri ini meninggal dunia, beliau telah mewasiatkan untuk Nizam Al Mulk menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

KETIKA SEBAGAI PERDANA MENTERI

Dalam jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau menunjukkan kecekapan sebagai negarawan yang dipercayai. Untuk memelihara kemantapan negara, dia menasihati Sultan agar memberi peluang pekerjaan kepada pendatang pendatang pendatang Turki yang datang ke Parsi (Iran) hasil kemenangan Seljuk, dan meningkatkan kekuatan tempur angkatan bersenjata Seljuk dan tindakan pantasnya untuk menumpaskan pemberontakan, tetapi pemberontak yang menyerah harus diampuni.

Kemudian, dinasti juga harus mempertahankan pihak berkuasa tempatan, baik Syiah mahupun Sunni, dan melantik keluarga Bani Seljuk sebagai gabenor gabenor. Nizam Al Mulk juga bertindak mengelakkan perebutan kuasa setelah meninggalnya Sultan dengan cara mengumumkan dan melantik Malik Syah sebagai putera mahkota yang akan menggantikan Sultan.

Hubungan dengan Khilafah Abbasiyah sebagai kuasa tertinggi dunia Islam juga dijalinkan dengan baik oleh Nizam Al Mulk sehingga dia mendapat penghargaan dari Khalifah al Qa’im dari Abbasiyah berupa gelaran Qiwan ad Din (Pendukung Agama) dan Radi Amir al Mu’minin (yang meredai dan pemimpin orang orang beriman).

Apa yang hebat bagi Nizam Al Mulk ini adalah beliau masih muda dan dan beliau mengamalkan Act Local, Think Global bermaksud tindakan yang dibuat seperti orang kebanyakan dan merendah diri tetapi cara fikir beliau tidak hanya untuk jangka masa pendek, tetapi ia membawa kepada lonjakan jangka masa panjang bagi Kerajaan Seljuk.

Nizam Al Mulk tetap menjadi Perdana Menteri Dinasti Seljuk, bahkan setelah Alp Arslan (Toghrul Bek) terbunuh pada tahun 1072 M.dan digantikan oleh Malik Syah. Malik Syah pernah berkata pada anaknya, “Ini Hasan At Tausi (maksudnya Nizam Al Mulk). Terimalah dia sebagai bapa dan jangan derhaka padanya.” Begitulah kredibiliti Nizam Al Mulk walaupun bukan ahli keluarga dari kalangan Bani Seljuk, beliau tetap dianggap seperti ayah dan pembimbing para Sultan Seljuk.

Peranannya lebih besar setelah Malik Syah dilantik sebagai Sultan jika dibandingkan dengan sebelumnya. Dia dipercayai Sultan Malik Syah yang ketika itu berumur 18 tahun untuk mengatur pemerintahan dan mengambil keputusan politik. Sultan telah berikan gelaran Ata Beq, ertinya Amir yang dianggap ayah. Beliau tetap menjalankan dasar kerjasama dan taat kepada Khalifah Abbasiyah, antaranya dengan mengahwinkan seorang puterinya dengan Khalifah Abbasiyah, ketika itu al Muqtadi bin Amr Allah.

Nizam Al Mulk juga terkenal dan jelas pemahaman aliran diikutinya. Beliau Perdana Menteri yang berfahaman Asy’ariyah dan menyebarkan melalui madrasah madrasah di beberapa kota wilayah Seljuk. Hebatnya Nizam Al Mulk walaupun sebagai Perdana Menteri tetapi tanggungjawab menyebarkan ilmu agama tetap dilakukan meskipun di bawah Kerajaan Seljuk ketika itu, pelbagai bangsa dan agama tetapi itu tidak menjadikan beliau apologetik dengan agama. Madrasah yang terkenal yang beliau dirikan adalah Madrasah Nizamiyah di Baghdad, yang dirasmikan pada 1067 M.

Menurut Philip K. Hitti, Madrasah Nizamiyah merupakan contoh awal institut perguruan tinggi yang menyediakan kemudahan belajar yang mencukupi bagi penuntut ilmu. Ia bukanlah madrasah pondok seperti yang kita ada sekarang. Ketika itu pendidikan agama diberi keutamaan. Antara ulama yang mengajar di Madrasah Nizamiyah ialah Syeikh Abu Ishaq asy-Syirazi, Syeikh Abu Nasr bin as Sabbag, dan Syeikh Abu Mansur bin Yusuf bin Abdul Malik. Cawangan Nizamiyah kemudian didirikan di hampir setiap kota di Iraq dan Khurasan.

Usaha Nizam Al Mulk mendirikan madrasah dan lembaga keagamaan yang lain mendapat sokongan daripada ulama ulama yang bermazhab Syafi’e dan dalam teologi beraliran Asy’ariyah. Para ulama tersebut gembira dengan naiknya Nizam Al Mulk dan kebijaksanaanya mengembalikan nama baik ulama Asy’ariyah yang dikutuk oleh Perdana Menteri al Kunduri pada masa Sultan Alp Arslan.

Pada masa al Kunduri, aliran Asy’ariyah bersama Rafidah dikutuk melalui mimbar mimbar masjid, sehingga banyak ulama melarikan diri seperti Imam Al Haramain Abu Ma’ali al Jawaini dan al Qusyairi. Ulama ulama hanya kembali ke negeri mereka setelah Nizam Al Mulk menjadi Perdana Menteri dan melarang pengutuk pengutuk Asy’ariyah di mimbar mimbar masjid.

Disebutkan dalam al-Kamil fi at-Tarikh (Sejarah Lengkap) bahwa Nizam Al Mulk adalah seorang alim, dermawan, adil, penyantun, suka memaafkan orang yang bersalah, pendiam, majlisnya ramai dihadiri oleh para qari, fakih, ulama dan mereka yang menyukai kebajikan dan kebaikan. Beliau juga dikatakan menyampaikan hadis di Baghdad, Khurasan dan di kota kota lain dengan alasan ikut serta menyampaikan hadis Nabi saw, sekalipun dia mengakui bahawa beliau bukan ahli hadis. Dikatakan juga beliau suka menjamu dan menghiburkan fakir miskin.

Bermula 1086-1087 M, beliau telah menghapuskan khumnus (cukai yang tidak mengikut syariat) kerana cukai inilah yang membebankan rakyat dan jika tidak dikawal, maka ia akan menjadikan Kerajaan Seljuk sebagai kerajaan kapitalisme. Dengan penghapusan cukai, beliau meningkatkan kemudahan bagi mereka yang menunaikan ibadah haji.

Setelah Hijaz kembali berkuasa kepada Abbasiyah daripada kekuasaan Syiah Fatimiyah pada 1076 M, beliau mengamankan laluan perjalanan dari Iraq ke Tanah Suci dengan membanteras penjahat-penjahat yang mengancam Jemaah haji. Selain itu, beliau mencetuskan idea perluasan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, serta mendirikan tempat tempat khusus bagi para abid, zahid dan fakih dan membina rumah sakit di Nisabur.

Setahun sebelum dia meninggal, pada tahun 1091 M beliau telah berupaya menulis kita Siyaset Name (buku mengenai politik) tentang siasah pemerintahan. Beliau mengingatkan bahawa  yang mengancam keutuhan Seljuk yang datangnya dari kaum Qaramitah (salah satu pecahan dari Syiah) yang pada 1090 M – 1091 M menyerang kota Basra, dan bermarkas di benteng yang kukuh di Alamut. Kaum ini mempunyai pasukan pembunuh yang disebut Hasyasyin dan dipimpin oleh Hasan bin as-Sabah, yang bertujuan menghidupkan Fatimiyah. Seorang ahli pasukan as-Sabah, yang menyamar sebagai sufi, berjaya membunuh Nizam Al Mulk di Sihna, Nahawand ketika dalam perjalanan dari Isfahan ke Baghdad.

Lakaran ketika pembunuhan Nizam Al Mulk (Sumber:Wikipedia)

Pendapat- pendapat sejarawan berselisih tentang sebab sebab yang membawa kepada pembunuhannya:

1. Beliau mungkin dibunuh oleh seorang kanak kanak upahan ketika di Nahawand, ketika itu beliau bersama ahli keluarga dan seorang budak ingin memberi sepucuk surat lalu menikam beliau.

2. Mungkin Malik Syah hantar orang untuk membunuhnya kerana lamanya penjawatan sebagai Perdana Menteri dan juga banyak tanah tanah di bawah kawalan beliau dan juga cucu cucunya.

3. Ada yang kata pakatan antara isteri Malik Syah, Turkan Khanun bersama perdana menteri yang baru dilantik iaitu Tajul Mulk membunuh beliau kerana Nizam Al Mulk ingin menjadikan cucunya, Barkiaruk sebagai Sultan yang ketika itu berumur 12 atau 13 tahun.

Apa saja yang terjadi, kita mendoakan beliau atas jasa jasanya pada Islam. Manusia sentiasa ada khilaf. Kita yang hidup belum tentu dapat berbakti sebegitu rupa.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN:

1. Dr Hasan Ibrahim Hassan, (1988), Sejarah Islam-Siri Keenam, Yayasan Islam Terengganu


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan seorang Jurutera Mekanikal Lapangan di The Hub's Engineering Bergiat aktif dengan YADIM dan merupakan Presiden Kluster Belia di bawah YADIM iaitu Sahabat YADIM.

Comments are closed.