Sebut saja pertubuhan berhaluan kanan atau konservatif, bersedialah bila dilabel pelbagai label negatif oleh media liberal seperti kolot, bersifat perkauman, dinosaur dan radikal. Tetapi bagi ahli pertubuhan sebegini, perkara sebegini ibarat alah bisa, tegal biasa. Bagi mereka, apa yang diperjuangkan itu merupakan kepentingan negara. Bagi Nippon Kaigi (Persidangan Jepun), perjuangan konservatif mereka ialah untuk memulihkan semula maruah dan kedudukan Jepun sebelum P3rang Dunia Kedua (WWII).

Organisasi ini ditubuhkan pada tahun 1997 menerusi penggabungan dua kumpulan konservatif yang berkongsi agenda sama termasuk pindaan semula Perlembagaan Jepun. Dua organisasi itu ialah Nihon wo mamoru Kokumin Kaigi (Persidangan Kebangsaan untuk Melindungi Jepun) dan Nihon wo mamoru Kai (Persatuan Perlindungan Jepun). Nihon wo mamoru Kokumin Kaigi ditubuhkan pada tahun 1981 dan dianggotai oleh veteran-veteran WWII dari cabang Tentera Empayar Agung Jepun (IJA) dan Tentera Laut Jepun (IJN). Pertubuhan ini juga bertanggungjawab menerbitkan draf pindaan semula Perlembagaan Jepun pada tahun 1994.

Sebelum Nihon wo mamoru Kokumin Kaigi, pertubuhan ini dinamakan sebagai Gengo Houseika Jitsugen Kokumin Kaigi dan ditubuhkan pada tahun 1978. Sementara Nihon wo mamoru Kai pula terdiri daripada beberapa kumpulan keagamaan termasuk Shinto dan ditubuhkan pada tahun 1974. Pengerusi pertama Nippon Kaigi ialah pengasas jenama pakaian Wacoal, Koichi Tsukamoto. Tsukamoto merupakan bekas veteran IJA apabila menyertai tentera pada tahun 1940. Beliau pernah terlibat dalam kempen p3rang Jepun di Imphal (Mac-Julai 1944) pada usia 19 tahun. Kini jawatan Pengerusi Nippon Kaigi dipegang oleh Profesor Emeritus Tadae Takubo, bekas dekan Jabatan Sains Sosial Universiti Kyorin di Hachioji, Tokyo dan bekas wartawan.

Rajah 1: Tadae Takubo. Sumber: https://www.japantimes.co.jp/news/2016/07/13/national/nationalist-leader-predicts-constitutional-revision-10-years/#.Xdv7MdxuZ1s

Nippon Kaigi mendakwa mereka mempunyai keahlian seramai 38,000 orang, 47 cawangan wilayah dan 230 cawangan tempatan. Walaupun bilangan mereka nampak sedikit, organisasi dianggotai oleh ramai tokoh berkaliber dan berpengaruh dalam bidang masing-masing seperti bekas pengarah syarikat-syarikat besar, bekas ketua hakim dan ketua-ketua staf Tentera Mempertahankan Diri Jepun (JSDF). Ini termasuklah gabenor wanita Tokyo pertama merangkap bekas Menteri Pertahanan Jepun, Yuriko Koike dan bekas Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada. Malah, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe merupakan penasihat khas organisasi berkenaan sementara adiknya, Nobuo Kishi merupakan ahli Nippon Kaigi di Diet (Parlimen) Jepun.

Rajah 2: Shinzo Abe merupakan penasihat khas Nippon Kaigi.

Nippon Kaigi mempunyai enam matlamat utama rasminya iaitu:

  • Mewujudkan perpaduan dan kestabilan sosial dengan menjadikan keluarga diraja Jepun, sejarah, budaya dan nilai tradisi masyarakat Jepun sebagai batu asas.
  • Memulihkan semula hak pertahanan kebangsaan, memperbetulkan ketidakseimbangan hak dan tanggungjawab, menguatkan penekanan kepada sistem keluarga dan melonggarkan pemisahan agama dengan negara.
  • Menyuntik kembali minat orang ramai terhadap politik dan kerajaan dengan mengambil pendirian lebih agresif dalam soal pengurusan krisis dan debat bersejarah.
  • Menangani pelbagai masalah yang timbul dalam sistem pendidikan Jepun (contohnya buli dan pelacuran) dan mengembalikan rasa hormat terhadap bendera dan lagu kebangsaan (Kimigayo), sejarah, budaya dan tradisi kebangsaan.
  • Menyumbang kepada keamanan dunia dengan mengukuhkan kembali aspek pertahanan Jepun bagi membolehkan ia bersaing dengan kuasa-kuasa asing seperti China dan Korea Utara serta mengingati veteran-veteran p3rang yang telah tiada.
  • Membina hubungan baik dengan negara-negara luar menerusi program-program pertukaran budaya dan sosial.

Pada tahun-tahun awal penubuhannya, kumpulan ini dikatakan bergerak secara rahsia. Tetapi selepas kemenangan pakatan Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP) dan Parti Komeito pada Pilihan Raya Umum 2012, kumpulan ini perlahan-lahan menarik perhatian ramai pihak. Dan semasa Pilihan Raya Umum 2016, Nippon Kaigi berkempen secara terbuka untuk calon-calon LDP. Selepas kejayaan pakatan LDP-Komeito pada pilihan raya berkenaan, ini membuka ruang kepada kempen menyemak dan meminda semula perlembagaan yang dilancarkan pada September 2016.

Satu daripada kejayaan kempen Nippon Kaigi ialah mengembalikan semula tradisi menyanyikan Kimigayo dan berdiri tegak di hadapan bendera Hinomaru (bendera kebangsaan Jepun). Salah satu penyokong utama kempen mereka ialah bekas gabenor Tokyo, Shintaro Ishihara. Untuk memastikan amalan ini dilaksanakan, Ishihara mewajibkan mana-mana guru yang enggan berdiri menghadap bendera dan menyanyikan Kimigayo semasa perhimpunan sekolah dikenakan hukuman.

Rajah 3: Shintaro Ishihara

Walaupun dilihat mempunyai sokongan politik penuh kerajaan dalam bentuk Abe dan ahli-ahli politik yang cenderung terhadap polisi-polisi Nippon Kaigi, usaha-usaha untuk mendapatkan sokongan bukanlah sesuatu yang mudah. Misalnya dalam isu semakan dan pindaan semula Perlembagaan Jepun 1947. Di sebalik rancangan mengadakan referendum Artikel 9 Perlembagaan Jepun (pengembalian JSDF sebagai t3ntera konvensional) pada tahun hadapan, Abe bakal berhadapan pelbagai halangan untuk merealisasikan agenda itu. Ini kerana dalam pelbagai tinjauan awam, majoriti rakyat Jepun dilihat tidak berminat dengan isu ini. Contohnya, satu tinjauan pra-pilihan raya 2016 menunjukkan hanya 11% responden saja yang berminat dengan semakan Artikel 9 Perlembagaan Jepun. Ini ditambah pendirian Komeito yang menolak sama sekali usaha LDP untuk membuang klausa berkenaan.

Usaha Nippon Kaigi dalam memulihkan semula kuasa maharaja, mengembalikan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat dan menolak isu hubungan sejenis merupakan sesuatu yang terpuji. Tetapi pada masa sama, pendirian organisasi itu yang melihat perlakuan kejam t3ntera Jepun semasa WWII bukan satu jenayah merencatkan usaha mengembangkan lagi agenda konservatif mereka.

Buktinya, cubaan Nippon Kaigi dan akhbar konservatif Sankei Shimbun untuk meletakkan buku sejarah Jepun yang disemak semula di sekolah-sekolah tinggi berakhir dengan kegagalan. Kurang daripada satu peratus sahaja yang memilih buku-buku yang didukung oleh Nippon Kaigi dan Sankei Shimbun ini.

Bagaimanapun, satu daripada tuntutan organisasi itu berjaya dipenuhi Abe iaitu tidak memohon maaf atas j3nayah p3rang yang dilakukan Jepun semasa WWII. Selain itu, organisasi itu juga turut menyeru pemimpin-pemimpin kerajaan untuk melawat Kuil Yasukuni walaupun ia berpotensi mencetuskan kontroversi berikutan kaitannya dengan j3nayah p3rang Jepun semasa WWII.

Pada tahun 2013, lawatan Abe ke kuil berkenaan mencetuskan kemarahan China dan Rusia dengan sekutu rapat Jepun, Amerika Syarikat menggesa Tokyo memperbaiki hubungan dengan negara-negara jirannya. Sikap keras kepala Nippon Kaigi dalam dua isu yang dinyatakan di atas sedikit sebanyak mencalarkan imej kelompok konservatif Jepun termasuk kelompok berfahaman sederhana seperti Shinjiro Koizumi. Bagi Koizumi, walaupun isu-isu yang dibangkitkan kelompok seperti Nippon Kaigi ada asasnya, ada banyak perkara yang lebih mendesak yang memerlukan perhatian kerajaan seperti isu pengurusan bencana, isu ekonomi dan penggunaan tenaga nuklear.

Rajah 4: Shinjiro Koizumi

Walaupun Abe dilihat tidak terjejas dengan kontroversi-kontroversi ini termasuk mengekalkan sebahagian anggota Nippon Kaigi dalam rombakan kabinetnya baru-baru ini, semua itu pasti akan berubah jika referendum Artikel 9 Perlembagaan Jepun yang akan dijalankan pada tahun hadapan berakhir dengan kegagalan. Dan ini bakal membuka ruang kepada anggota-anggota LDP yang mengintai jawatan yang dipegang Abe sejak September 2012 termasuk anak bos lamanya Koizumi, Shigeru Ishiba dan Pengerusi Majlis Penyelidikan Polisi LDP, Fumio Kishida.

Nippon Kaigi harus berdoa pengganti Abe yang seterusnya ialah orang yang sealiran dengan mereka seperti Kishida atau Ishiba. Jika tidak, sebarang usaha membawa agenda konservatif Jepun ke peringkat seterusnya tidak akan berhasil jika yang mengisi kerusi panas Perdana Menteri ialah Koizumi. Dan melihat kepada situasi semasa, ianya bukan soal bagaimana tetapi bila anak kedua bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi mengisi kerusi panas itu.

RUJUKAN:

  1. George Mulgan, Aurelia. (2019). Abe’s cabinet reshuffle. East Asia Forum. https://www.eastasiaforum.org/2019/09/14/abes-cabinet-reshuffle/
  2. McNeill, David. (2016). The secretive cult shaping Japan’s future. South China Morning Post. https://www.scmp.com/week-asia/article/2003033/secretive-cult-shaping-japans-future

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.