Nintendo: Dari Kad Ke Konsol

456
views

Saya pasti ramai dalam kalangan pembaca yang pernah bermain Pokemon. Tidak kurang juga, pasti ada di antara kalian yang pernah memiliki Game Boy/Game Boy Color mahupun Game Boy Advance. Atau ada juga diantara anda yang pernah memiliki konsol keluaran Nintendo, seperti Game Cube, Wii dan juga yang terbaru Nintendo Switch. Walau apa pun jua keadannya, saya yakin ramai rakyat Malaysia yang mengenali Nintendo sama ada secara lansung ataupun tidak.

Nintendo merupakan salah satu dari gergasi syarikat permainan video dunia seperti juga Microsoft dan Sony. Ia bangkit pada era kejatuhan industri permainan video pada tahun 1983 sejurus selepas terkuburnya Atari. Tetapi, tidak ramai yang tahu tentang permulaan kecil Nintendo dari syarikat pengeluar kad permainan sehinggalah menjadi pengeluar konsol terkemuka. Inilah dia Nintendo: Dari Kad ke Konsol.

Hanafuda & Disney

Gambar2: Kad Hanafuda keluaran Nintendo
Sumber: https://www.flickr.com/photos/68532869@N08/16015085648

Pasti para pembaca semua akan terkejut jika saya memberitahu yang Nintendo sudah wujud sejak tahun 1889 lagi. Pada mulanya dikenali sebagai “Nintendo Kappai”, syarikat tersebut diasaskan oleh Fujasiro Yamauchi sebagai syarikat pengeluar kad Hanafuda. Hanafuda merupakan satu koleksi kad permainan (seperti kad terup) yang dicipta sendiri oleh orang Jepun bagi menggantikan penggunaan kad terup yang diharamkan oleh kerajaan atas sebab-sebab perjudian.

Oleh kerana itu, Hanafuda dicipta dengan lebih banyak menggunakan ilustrasi berbanding nombor dan juga abjad supaya ia tidak boleh disalah gunakan sebagai kad untuk perjudian. Kad Hanafuda (Hanafuda secara harfiahnya bermaksud kad bunga) yang dihasilkan Nintendo secara buatan tangan mendapat sambutan yang memberansangkan dan membolehkan Yamauchi untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

Nama Nintendo diambil dari gabungan dua perkataan iaitu Nin (yang membawa maksud dipercayai) dan Tendou yang membawa maksud (syurga). Jadi Nintendo itu sendiri secara literalnya membawa maksud “meletakkan kepercayaan kepada Tuhan”. Pada tahun 1949, perniagaan Fujasiro Yamauchi itu diambil alih oleh warisnya, Hiroshi Yamauchi dan ia beralih kepada pembuatan kad plastik. Ini menjadikan Nintendo syarikat pertama yang mengeluarkan kad Hanafuda buatan plastik di pasaran Jepun ketika itu.

Pada tahun 1956, ketika Yamauchi melawat Amerika Syarikat untuk mewujudkan rundingan perniagaan dengan syarikat pengeluar kad permainan terbesar di dunia iaitu United States Playing Card Company, Yamauchi tersentak. Beliau mendapati, walaupun United States Playing Card Company merupakan syarikat gergasi dalam industri kad permainan, ia hanya beroperasi melalui satu pejabat yang kecil sahaja. Ini menunjukkan yang perniagaan permainan kad ini tidak akan ke mana-mana dan memberi saranan kepada Yamauchi untuk mencari inovasi.

Inovasi yang pertama datang kepada Nintendo dalam bentuk perjanjian dua hala dengan Disney. Disney memberi kebenaran kepada Nintendo untuk mencetak karakter-karakter mereka pada kad Hanafuda keluaran Nintendo. Langkah ini memberi kelebihan kepada Nintendo untuk memasarkan kad Hanafuda-nya kepada kanak-kanak dan ahli keluarga, berbeza dengan selama ini di mana kad Hanafuda hanya popular di kalangan Yakuza dan pengusaha kelab judi.  Strategi mampan Nintendo membuahkan hasil dimana Nintendo berjaya memasarkan lebih dari 600,000 kad Hanafuda dalam masa hanya setahun. Kejayaan ini memberi ruang kepada Nintendo untuk disenaraikan di dalam bursa saham Osaka.

Era Cuba Dan Jaya

Berbekalkan modal baru hasil penjualan saham, Nintendo mula berjinak jinak menceburi perniagaan dalam bidang-bidang yang lain. Antara bidang yang diceburi adalah perniagaan teksi, rangkaian perhotelan, rangkaian makanan ringan, industri permainan kanak-kanak, dan banyak lagi. Namun begitu, usaha Nintendo kebanyakannya menemui kegagalan, kecuali satu, permainan kanak-kanak. Pun begitu, secara keseluruhannya penglibatan Nintendo dalam industri permainan kanak-kanak adalah sangat minima kerana hadirnya syarikat-syarikat gergasi seperti Bandai dan juga Tomy.

Pada tahun 1964, walaupun Jepun berada pada era perkembangan ekonomi yang pesat dek kerana Sukan Olimpik Tokyo, perniagaan kad Hanafuda milik Nintendo terancam. Ini kerana terlalu ramai pengeluar kad Hanafuda di pasaran menjadikan pasaran kad hanafuda tepu lantas menyebabkan kerugian pada Nintendo. Saham Nintendo jatuh merudum dari 900 kepada hanya 60 yen sahaja. Nintendo dibelenggu dalam hutang dan terpaksa berusaha gigih untuk bersaing dalam industri. Tetapi pada tahun 1965, nasib Nintendo berubah apabila mereka mula mengambil Gunpei Yokoi sebagai jurutera mereka.

Gunpei Yokoi merupakan seorang jurutera penyelenggaraan untuk Nintendo. Pada mulanya Yokoi hanya ditugaskan untuk menyelenggara “conveyor belt” di kilang pembuatan Hanafuda. Suatu hari, sewaktu Yamauchi sedang melakukan pemantaun di kilangnya, beliau terserempak dengan Yokoi yang ketika itu bermain dengan permainan buatannya sendiri. Yamauchi tertarik dengan permainan buatan Yokoi dan memintanya untuk menghasilkannya secara besar-besaran untuk dipasarkan ketika Krismas. Produk yang dicipta Yokoi yang diberi nama “Ultra Hand” itu merupakan produk blockbuster pertama dari Nintendo dan terjual lebih dari 1 juta unit. Melihatkan potensi yang dimiliki Yokoi, Yamauchi menarik Yokoi keluar dari kilang dan Yokoi dipertanggungjawabkan untuk membangunkan produk-produk baru.

Yokoi yang berlatar belakangkan Kejuruteraan Elektrik terus menerus membangunkan produk-produk baru dan sesetengahnya dalam bentuk elektronik. Produk-produk elektronik Nintendo seperti Ultra Machine (mesin pelontar besbol) dan Love Tester memberi margin keuntungan yang besar kepada Nintendo lantas menaikkan balik keupayaan ekonomi syarikat itu. Pada tahun 1970, Nintendo mengeluarkan senapang eletronik mereka untuk pasaran umum dengan kerjasama dari Sharp. Senapang Eletronik itu menjadi titik permulaan penglibatan Nintendo dalam industri permainan video.

Era Elektronik dan Permainan Video

Gambar 3: Metroid, Permainan Video Pertama memaparkan wanita sebagai protagonis

Magnavox Odyssey merupakan konsol pertama yang dikeluarkan kepada orang ramai pada tahun 1972. Magnavox Odyssey mempunyai aksessori senapang elektronik yang dibangunkan bersama dengan Nintendo. Ini adalah kerjasama pertama Nintendo dengan pengeluar konsol dari Amerika dan membolehkan Nintendo mengorak langkah dalam industri permainan video. Usaha dan kerjasama yang baik di antara kedua-dua syarikat (Magnavox dan Nintendo) membuahkan hasil apabila Nintendo diberikan hak untuk mengedarkan konsol Magnavox Odyssey di Jepun.

Pada tahun 1975, Nintendo yang melihat potensi dan peluang yang ada dalam industri permainan video mula menghasilkan permainan video mereka sendiri. Gunpei Yokoi diarahkan untuk mengepalai divisyen permainan video Nintendo yang berjaya menghasilkan permainan-permainan video yang popular dan diminati ramai. Antaranya Donkey Kong (yang dihasilkan bersama lagenda pembangun permainan video, Shigeru Miyamoto) yang merupakan antara permainan video yang klasik yang berdiri sebaris dengan Tetris/Pac-Pac Man dan juga Mario Bros yang memperkenalkan maskot utama Nintendo, Mario kepada khayalak ramai. Kebanyakan permainan video yang dikeluarkan Nintendo ketika itu hanyalah untuk pasaran arked dan juga konsol-konsol keluaran Amerika termasuklah untuk Atari 2600 dan juga Intellivision. Nintendo pada ketika itu masih belum membangunkan konsol keluaran mereka sendiri.

Pada tahun 1983, Nintendo mula menghasilkan konsol mereka sendiri. Diberi nama Famicom (singkatan untuk Family Computer), konsol keluaran Nintendo itu terjual lebih dari 500,000 unit di pasaran Jepun sahaja. Nintendo yang melihat potensi Famicom berhasrat untuk membawa konsol itu ke Amerika Syarikat, namun hasrat mereka terbantut disebkan kejatuhan industri permainan video tahun 1985 (ingatkah lagi artikel saya tentang Atari?). Kejatuhan Atari dan industri permainan video pada tahun 1985 menyebabkan Nintendo berundur dan merangka strategi yang lebih baik untuk membawa Famicom ke Amerika Syarikat.

Sebelum menembuskan konsol mereka ke pasaran Amerika Syarikat, Nintendo menjenamakan konsolnya dari Famicom kepada Nintendo Entertainment System (NES) bagi menarik perhatian pengguna Amerika Syarikat yang pada masa itu serik dengan konsol permainan video. Bagi mengelakkan ketepuan permainan video di pasaran, Nintendo memastikan yang setiap permainan video yang ingin dikeluarkan untuk NES, perlu menepati kualiti yang ditetapkan oleh Nintendo (satu kaedah yang diamalkan semua pengeluar konsol utama sekarang).

Nintendo juga menghadkan pengeluaran permainan video kepada hanya 5 sahaja setahun bagi setiap pembangun dan penerbit permainan video. Strategi Nintendo berjaya apabila Nintendo berjaya memasarkan sehingga 60 juta konsol ke seluruh dunia. Nintendo dikreditkan sebagai pemangkin semula industri permainan video selepas kejatuhan tahun 1985.

Banyak permainan-permainan video yang dikeluarkan untuk NES ketika itu, kebanyakannya adalah permainan video lagenda dan jenama yang membawa kepada transformasi industri permainan video. Antaranya Metroid (ciptaan Gunpei Yokoi) yang diangkat sebagai permainan video pertama yang meletakkan perempuan sebagai watak utama dan Legend of Zelda (ciptaan Shigeru Miyamoto) yang merevolusikan genre RPG. Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi membawa Nintendo ke zaman kegemilangan.

Era Kegemilangan

Gambar 4: Gameboy Color dan Pokemon Yellow Edition
Sumber: https://favim.com/image/47072/

Selepas kejayaan Nintendo dalam melancarkan NES, Nintendo terus menerus mengeluarkan konsol dan permainan video yang berkualiti tinggi. Gunpei Yokoi sekali lagi melonjakkan nama Nintendo dan mencipta Game Boy yang dilancarkan pada tahun 1989. Game Boy menerima sambutan hangat dan terjual lebih dari 118 juta unit di seluruh dunia. Game Boy jugalah yang bertanggungjawab memperkenalkan Pokemon kepada audiens di seluruh dunia. Dicipta oleh Satoshi Tajiri, Pokemon merupakan salah satu dari permainan video popular Nintendo yang sangat dikenali di seluruh dunia dan mewujudkan jenamanya sendiri.

Selepas itu, banyak iterasi-iterasi baru konsol yang dibawa oleh Nintendo yang membawa perubahan kepada industri permainan video. Antaranya Super NES yang membawa kepada penciptaan Playstation,Nintendo 64 yang memperkenalkan permainan video GoldenEye 007 yang menjadi perintis kepada FPS untuk konsol dan banyak lagi. Pun begitu, langit tak selalunya cerah untuk Nintendo.

Nintendo sering diserang hebat oleh pesaing-pesaing seperti Sega, Sony dan tidak kurang juga Microsoft. Tetapi, Nintendo nampaknya tidak berganjak dan terus menerus mampan dengan melakukan inovasi demi inovasi yang membolehkannya tetap teguh sehingga kini.

Kesimpulan

Walaupun mengalami banyak persaingan dari Sony dan juga Microsoft, Nintendo tetap berdiri teguh sehingga sekarang. Untuk melawan persaingan tersebut, Nintendo melancarkan konsol mereka yang terbaru iaitu Nintendo Switch. Nintendo Switch yang membawa konsep konsol hybrid (yang boleh dimainkan pada televisyen ataupun dibawa ke mana-mana) mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat. Ianya turut disertai koleksi permainan-permainan video yang menarik antaranya Legend of Zelda: Breath of the Wild yang diiktiraf sebagai Game of The Year bagi tahun 2017.

Pada April yang akan datang, Nintendo akan melancarkan Nintendo Labo. Ianya adalah konsep baru yang diperkenalkan oleh Nintendo yang mengabungkan konsep permainan seperti lego (bina dan main) dan permainan video. Ianya didatangkan dalam bentuk kadbod yang boleh dipotong dan direka bentuk sebagai aksesori tambahan kepada Nintendo Switch bagi menjadikan sesi bermain lebih menarik. Ini menunjukkan, yang Nintendo merupakan sebuah syarikat mandiri yang sentiasa memperbaiki diri mereka dan sentiasa berinovasi ke arah yang lebih baik.

Nintendo juga memiliki tenaga kerja lagenda dan berkemampuan seperti Gunpei Yokoi, Shigeru Miyamoto dan juga Satoshi Tajiri yang memacu syarikat ke era kegemilangan. Bayangkanlah sebuah syarikat yang dahulunya hanya tahu membuat kad sahaja kini dikenali sebagai gergasi industri permainan video seantero dunia dan secara tidak lansung membawa banyak perubahan dan revolusi dan menyumbang kepada kemajuan industri permainan video.

Rujukan:

  1. Jones,Tegan (2013), “The Suprisingly Long History of Nintendo”, Gizmodo

https://gizmodo.com/the-surprisingly-long-history-of-nintendo-1354286257

  1. Ashcraft, Brian (22 March 2011). “The Nintendo They’ve Tried to Forget: Gambling, Gangsters, and Love Hotels”. Kotaku.

http://kotaku.com/5784314/the-nintendo-theyve-tried-to-forget-gambling-gangsters-and-love-hotels

  1. Kohler, Chris (23 September 2010). “Sept. 23, 1889: Success Is in the Cards for Nintendo”. Wired.com. Wired.

https://www.wired.com/2010/09/0923nintendo-founded/

  1. Pollack, Andrew (9 October 1997). “Gunpei Yokoi, Chief Designer Of Game Boy, Is Dead at 56”. The New York Times.

http://www.nytimes.com/1997/10/09/business/gunpei-yokoi-chief-designer-of-game-boy-is-dead-at-56.html

  1. Voskuil, Erik (20 February 2011). “Nintendo Light-beam games Kôsenjû SP and Kôsenjû Custom (光線銃SP, 光線銃 カスタム 1970-1976)”

http://blog.beforemario.com/2011/02/light-gun-games-kousenjuu-sp-and.html