Pada zaman moden ini, bukan sedikit pasukan khas yang menjadi kebanggaan negara masing-masing. Kita berbangga dengan kelibat anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), Britain (Special Air Service (SAS) dan Special Boat Service (SBS)) dan Rusia (Spetsnaz). Tetapi pada masa silam terutama di Jepun, mereka juga mempunyai pasukan khas tersendiri yang berkhidmat sama ada dengan Keshogunan Tokugawa atau daimyo wilayah masing-masing. Pasukan ini yang kita kenali sebagai ninja dan mereka bukan saja perisik tetapi juga komando setaraf dengan pasukan khas keselamatan hari ini.

Sejarah ninja

Tidak diketahui bagaimana sejarah ninja bermula kerana tiada rekod catatan dan jika ada sekalipun, ia diselubungi dengan mitos-mitos. Cerita rakyat Jepun menyifatkan golongan ninja ini merupakan keturunan syaitan yang mempunyai ciri separuh manusia dan separuh burung gagak. Tetapi jika mengikut rekod kontemporari, mereka merupakan pesaing kepada golongan samurai pada era awal feudal Jepun. Kebanyakan sumber menunjukkan ninjutsu atau seni bayang-bayang mereka ini mula dibangunkan antara 600 hingga 900 Masihi. Antara individu yang bertanggungjawab membangunkan ninjutsu ialah Otomono Sahito yang direkrut sebagai perisik shinobi oleh Putera Shotoku yang hidup antara 574 hingga 622 Masihi.

Pada awal abad ke-10 yang menyaksikan kejatuhan Dinasti Tang, China bergelumang dengan perang saudara dan pemberontakan yang berlangsung selama 50 tahun. Ini memaksa jeneral-jeneral Tang melarikan diri ke Jepun. Semasa di tanah baru inilah, mereka mengajarkan kelas pahlawan Jepun terutama ninja strategi-strategi peperangan dan falsafah pertempuran. Pada awal abad ke-11 pula menyaksikan kehadiran sami-sami China yang membawa falsafah perang mereka sendiri dan rahsia-rahsia berkenaan perubatan. Semua ilmu ini amat berguna kepada kelas pahlawan Jepun dan membantu konflik mereka dengan daimyo-daimyo yang menjadi pesaing tuan mereka.

Untuk satu abad seterusnya, ia terus dibangunkan tanpa sebarang peraturan tetapi semua itu berubah melalui kehadiran Daisuke Togakure dan Kain Doshi sekitar abad ke-12. Togakure merupakan seorang samurai tetapi selepas tewas dalam peperangan, beliau terpaksa menyerahkan gelaran samurai dan tanah yang dimilikinya kepada pihak yang menang. Biasanya jika mengikut kod Bushido, seorang samurai itu harus melakukan seppuku untuk memastikan maruahnya tidak tercemar tetapi itu tidak dilakukan oleh pahlawan berkenaan. Sebaliknya, Togakure mengembara ke kawasan pergunungan di barat daya Honshu dan bertemu dengan Doshi, seorang sami pahlawan China yang duduk dalam buangan di Jepun. Beliau tidak lagi mengamalkan Bushido dan kedua-duanya membangunkan taktik perang gerila yang kita kenali hari ini sebagai ninjutsu. Dari situ juga, Togakure dan keturunannya menubuhkan sebuah sekolah ninja pertama bernama Togakureryu.

Ninja datang dari latar belakang yang berbeza. Ada yang datang dari latar belakang samurai seperti Togakure di mana mereka kalah dalam peperangan atau disingkirkan daimyo mereka tetapi enggan melakukan seppuku. Menurut Jinichi Kawakami, antara mahaguru terakhir ninjutsu di Jepun, ninja juga mempunyai pekerjaan harian mereka. Selain sebagai samurai, ada juga yang bekerja sebagai petani, pedagang, artisan dan sami. Ninja wanita atau kunoichi juga wujud di Jepun ketika itu dan mereka selalunya menyusup ke istana-istana sebagai penari, pelacur atau khadam untuk menyusup sebagai perisik atau adakalanya sebagai pembunuh.

Hubungan benci-sayang ninja dengan samurai

Bagi samurai, hubungan mereka dengan ninja boleh diibaratkan seperti hubungan sayang-benci. Dalam sesetengah perkara yang dianggap bertentangan dengan kod Bushido, mereka tidak boleh melakukannya. Jadi orang terbaik untuk melakukannya ialah golongan ninja untuk perkara-perkara seperti pembunuhan musuh, pengintipan dan penyebaran propaganda, perkara-perkara yang dianggap mencemar maruah seorang samurai. Masalahnya, mereka ini juga boleh diupah oleh sesiapa saja untuk melakukan perkara sama dan upah untuk semua ini amat lumayan. Jadi ninja walaupun diperlukan tetapi dibenci dan ditakuti oleh golongan samurai.

Ninja juga mempunyai hierarki mereka tersendiri. Ninja bertaraf tinggi dipanggil jonin dan mereka memberi arahan kepada ninja kelas pertengahan atau chunin, seterusnya arahan ini diberi kepada ninja biasa. Hierarki ini berdasarkan kelas ninja yang datang sebelum menjalani latihan. Bagaimanapun, semua ini boleh berubah sekiranya mereka yang berkemahiran boleh mendaki hierarki ninja tanpa mengira latar belakang mereka.

Kebangkitan dan kejatuhan ninja

Ninja mula menjadi pemain penting antara abad ke-14 hinggalah abad ke-17 membabitkan daimyo-daimyo yang berusaha mengekalkan kekuasaan atau melebarkan pengaruh mereka. Disebabkan situasi perang yang berterusan, mereka membantu dalam siri perang Nanbukucho (1336-1392), Perang Onin dan tempoh Sengoku. Dan jika samurai terjebak dengan pertelingkahan dalaman, orang pertama yang pasti dipanggil ialah ninja untuk mencetuskan huru-hara dalam kem musuh.

Tetapi di sebalik semua ini, mereka juga menjadi ancaman kepada sesiapa yang mempunyai impian menyatukan Jepun sebagai sebuah negara. Ini berlaku semasa era Oda Nobunaga yang muncul sebagai daimyo terkuat pada pertengahan dan akhir abad ke-16. Nobunaga melihat kubu-kubu ninja di Iga dan Koga sebagai halangan kepada rancangan penyatuan Jepunnya. Walaupun tidak bermasalah menewaskan Koga, Iga terus menentang mereka habis-habisan kerana melihat rancangan Nobunaga itu boleh melenyapkan cara hidup mereka sebagai pahlawan bayang-bayang.

Bagi Nobunaga, beliau ada sebab tersendiri untuk memerangi mereka. Pada September 1579, pasukan pimpinan puteranya Oda Nobuo tewas mengejut di tangan 4,000 pahlawan dan ninja Iga melalui serangan hendap di perkampungan Iseji pada waktu malam. Kelibat kabus dan hujan menutup jejak mereka serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan tentera Nobuo. Ramai mati dibunuh oleh oleh tentera dan ninja Iga, ada yang mati dibunuh rakan sendiri atau melakukan seppuku. Bagi sejarawan Stephen Turnbull, kejayaan Iga merupakan kejayaan dramatik taktik bukan konvensional ninja ke atas taktik perang samurai. Berang dengan kekalahan ini, Nobunaga menyelar sikap mengambil mudah Nobuo dan gagal merekrut ninja untuk membantu kempen perang mereka.

Pada tahun 1581, kesilapan puteranya itu tidak diulangi oleh Nobunaga dengan merekrut ninja-ninja dari Koga untuk membantu angkatan perangnya seramai 40,000 orang. Iga diserang dari semua arah dan mereka yang tidak dapat bertahan terpaksa membuka pintu kubu mereka. Tentera Nobunaga membunuh ramai orang Iga tetapi ada juga yang berjaya melarikan diri dan menyertai pesaing Nobunaga, Ieyasu Tokugawa. Walaupun era kebebasan mereka berakhir pada tahun 1581, mereka terus menjadi pemain penting semasa era Tokugawa termasuk semasa Perang Sekigahara (1600), Peristiwa Pengepungan Osaka (1614) dan Pemberontakan Shimabara (1637-1638). Tetapi semasa era Tokugawa, ia membawa kepada kestabilan dan keamanan di Jepun, sekaligus menamatkan kisah ninja yang kita ketahui hari ini.

Mitos ninja

1. Jika anda perasan, kebanyakan filem dan drama televisyen atau dalam talian menunjukkan ninja memakai topeng sebagai samaran semasa beroperasi. Hakikatnya, mereka tidaklah memakai topeng seperti digambarkan dalam drama atau filem seperti American Ninja, GI Joe atau Daredevil. Jika hendak menutup identiti mereka, mereka menutup rupa dengan memakai kain lengan baju. Dan bagi membolehkan ninja mengenali siapa rakan mereka, mereka diarah memakai kain pengikat putih sebagai tanda pengenalan pada waktu malam dan pin rambut suci yang dikatakan dapat membantu mereka menutup jejak. Topeng biasanya digunakan oleh mana-mana individu untuk menutup identiti mereka semasa pergi ke sarang perjudian atau rumah pelacuran.

2. Dalam catatan sama, ninja juga mempunyai kod pakaian berbeza mengikut waktu atau situasi. Perisai hanya dipakai jika mereka terlibat dalam serangan malam, pakaian longgar bila menyusup masuk ke kawasan perumahan, pakaian hitam (fasa anak bulan), pakaian berwarna cerah (fasa bulan purnama) dan warna popular bila bertemu dengan orang ramai. Semasa waktu siang, mereka juga turut menyamar sebagai pedagang, sami atau peminta sedekah.

3. Shuriken atau balingan bintang memang wujud semasa tempoh ninja aktif tetapi tiada kaitan dengan tokoh sejarah ninja dan tidak pernah disebut dalam manual ninja. Begitu juga dengan ninjato atau pedang ninja yang selalu ditonjolkan dalam filem atau drama.

4. Ninja menggunakan senjata biasa berdasarkan kemahiran menyusup mereka seperti alat mengumpil pintu, sabit, kunci dan gas tidur. Ninja juga arif dengan bahan letupan, cop, kod rahsia dan peralatan canggih bagi membolehkan mereka menyusup masuk ke istana atau melakukan misi-misi tertentu.

SUMBER

1. Cummins, Antony. (2015). Aeon.co. Samurai, spy, commando: who were the real ninja? https://aeon.co/ideas/samurai-spy-commando-who-were-the-real-ninja

2. Szczepanski, Kallie. (2018). Thoughtco.com. The Greatest Ninja Battle in 1581. https://www.thoughtco.com/the-greatest-ninja-battle-195580

3. Szczepanski, Kallie. (2018). Thoughtco.com. The Ninja of Japan. https://www.thoughtco.com/history-of-the-ninja-195811


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.