Menurut Al Faraby (Alpharabius), individu tidak akan mencapai kesempurnaan dengan sendiri melainkan mendapat bantuan daripada orang lain. Manusia perlu hidup berkumpulan atau berkelompok untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupan. Manusia perlu bekerjasama, toleransi, saling memahani dan saling menghargai dalam sesebuah kelompok masyarakat. Falsafah tersebut menjadi tunjang kepada teori Psikologi Sosial Islam yang dikemukannya.

Secara tidak langsung ia menjadi bukti kekuatan manusia itu tercapai apabila mereka berada dalam kelompok atau kumpulan. Berdasarkan catatan sejarah di dunia, telah merekodkan banyak kejayaan telah dicapai oleh satu unit kumpulan dalam siri peperangan ataupun pertarungan. Hikayat Pendekar 5 Bersaudara yang terkenal menjaga keselamatan dan kedaulatan Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan trio terhebat daripada Perancis seperti Three Musketeers menjadi bukti kekuatan apabila individu itu bekerja dalam kumpulan.

Negara Jepun merupakan negara yang telah menempuh pelbagai siri perang saudara dan melalui revolusi sehingga menjadi sebuah negara termaju pada hari ini. Pertumpahan darah pahlawan mereka yang terdiri daripada samurai dan ninja sering terjadi sebagai tanda taat setia kepada daimyo dan Shogun di Era Sengoku hingga ke Era Edo. Dalam dunia ninja terdapat banyak kumpulan ninja elit telah diwujudkan yang berkhidmat kepada daimyo di wilayah masing – masing. Antaranya adalah 3 Jounin Of Iga, Kouga Sosengumi, Shin Oniwabanshu, Karasugumi, Nokizaru No Gumi dan Sebagainya. Walau bagaimanapun terdapat sebuah kumpulan ninja elit yang sangat popular di Era Sengoku dan Era Edo di Jepun. Kumpulan tersebut diberi nama sebagai Sanada Juuyushi ( Ten Brave Sanada ).

– Sanada Juuyushi (Ten Brave Sanada)

Mengikut catatan sejarah kumpulan ini telah dibangunkan pada abad ke 17 lagi oleh Sanada Masayuki, tetapi disempurnakan sepenuhnya oleh anak kandungnya iaitu Sanada Yukimura. Kumpulan ini dianggotai oleh 10 orang ninja yang mempunyai kemahiran dan keunikan yang tersendiri. Kumpulan tersebut ditubuhkan untuk membantu Klan Sanada dalam pelbagai urusan seperti peperangan, perisikan, sabotaj, dan juga sebagai pembunuh upahan bagi Klan Sanada. Kumpulan ini juga pernah berkhidmat kepada keluarga Takeda semasa Sanada Yukimura bekerja dibawah daimyo Takeda Shingen.

Sanada Yukimura yang terkenal dengan julukan “pahlawan yang hanya muncul 100 tahun sekali “ merupakan pahlawan yang sering terlibat dalam peperangan besar. Secara tidak langsung, kumpulan Sanada Juuyushi turut terlibat dalam membantu ketua mereka dalam pertempuran. Berdasarkan novel yang ditulis oleh Tatsukawa Bunko yang bertajuk Sanada Sandaiki, kumpulan Sanada Juuyushi terlibat dalam siri peperangan seperti perang berskala besar iaitu Perang Sekigahara 1600 (Mewakili Tentera Barat pimpinan Ishida Mitsunari), Pengepungan Osaka Musim Sejuk 1614 dan Pengepungan Osaka Musim Panas 1615.

Kumpulan tersebut terlibat secara langsung dalam pertempuran, perisikan dan sabotaj terhadap musuh. Selepas tamat pertempuran di Sekigahara pada tahun 1600, Masayuki Sanada dan anak bongsunya Sanada Yukimura telah dihukum dan dibuang ke Wilayah Kii setelah tewas mewakili tentera Barat Ishida Mitsunari. Anak sulung Sanada Masayuki iaitu Sanada Nobuyuki yang telah menyebelahi Tokugawa Ieyasu dengan tentera timur telah mengambil alih klan Sanada dan berkhidmat dibawah pemerintahan Shogun Tokugawa Ieyasu.

– Anggota Sanada Juuyushi

Anggota kumpulan Sanada Juuyushi ini terdiri daripada 10 orang ninja – ninja yang terkenal di Jepun seperti Sarutobi Sasuke, Kirigakure Saizo, Anayama Kousuke, Miyoshi Sekai, Miyoshi Isa, Unno Rokuro, Mochizuki Rokuro, Yuri Kamanosuke, Kakei Juzo dan Nezu Jinpachi.

– Sarutobi Sasuke (1576 – 1615)

Menurut buku Sanada Sandaiki, Sasuke atau nama sebenarnya Kozuki Sasuke digambarkan sebagai ninja Kouga yang berkhidmat dibawah Sanada Yukimura sebagai salah satu daripada sepuluh ninja yang menganggotai Sanada Juuyushi. Sasuke merupakan ninja lagenda yang terkenal pada era Sengoku dan beliau sering dipanggil dengan gelaran ‘ Sarutobi ‘ yang bermaksud monyet terbang / melompat. Terdapat banyak teori yang mengaitkan beliau dengan gelaran itu. Antaranya teori yang mengatakan bahawa Sasuke adalah seorang anak yatim piatu yang dibesarkan oleh sekumpulan monyet. Teori itu diperkukuhkan lagi dengan kelebihan Sasuke yang mahir bertempur dan pantas bergerak diatas pokok. Teori lain pula mengata bahawa beliau merupakan anak kepada Sandayu Washio yang tinggal di Terusan Torii di wilayah Shinano. Setelah kematian ibubapanya, beliau telah diambil sebagai anak murid oleh seorang ninja Kouga yang terkenal yang bernama Tozawa Hakuunsai.

Hakuunsai telah menjumpai Sasuke yang ketika itu sedang seronok bermain monyet disekitar kawasan Gunung Togakushi. Genap umurnya 15 tahun beliau telah berjaya menjadi ninja yang hebat dan mula bekerja dengan Sanada Yukimura. Beberapa tahun seterusnya, beliau telah menyertai kumpulan Sanada Juuyushi secara tidak langsung menjadi ketua dan memimpin kumpulan tersebut. Dalam kumpulan tersebut, Sasuke telah dibantu oleh Kirigakure Saizo yang juga merupakan pesaing dan seterunya daripada ninja Iga.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh Klan Takeda dan Klan Sanada adalah hasil daripada risikan dan kelicikan Sarutobi Sasuke sebagai ninja. Walau bagaimanapun, beliau mati ketika Pengepungan di Osaka pada tahun 1615 bersama tuannya Sanada Yukimura. Sasuke juga popular dengan nama timangannya Kokichi ( bernasib baik ) digambarkan sebagai seorang ninja yang bersemangat dan bersungguh – sungguh dalam mencapai matlamatnya.

– Kirigakure Saizo ( 1571 – ????)

Saizo digambarkan sebagai ninja Iga yang berkhidmat dibawah Sanada Yukimura, secara tidak langsung menganggotai kumpulan Sanada Juuyushi ( Sanada Ten Brave ). Merupakan pesaing dan seteru utama Sarutobi Sasuke kerana latarbelakangnya sebagai ninja Iga yang sinonim bermusuhan dengan ninja Kouga. Tidak banyak maklumat yang direkodkan mengenai latarbelakang Saizo atau nama sebenarnya Soukiri Saizo. Sarjana beranggapan bahawa Saizo telah dilahirkan di rantau Kohoku di Wilayah Omi yang merupakan tanah milik Daimyo yang bernama Azai. Ayah Saizo dikenali sebagai Soukiri Danshosaemon yang bekerja sebagai pegawai bawahan Azai Nagamasa.

Pada tahun 1570, Azai Nagamasa telah memutuskan hubungan perikatan dengan Oda Nobunaga dan mula menyebelahi Tokugawa Ieyasu. Pembelotan tersebut telah memakan diri pengikut Azai dan menyebabkan ayah Saizo mati dalam serangan pengepungan oleh tentera Oda Nobunaga pada tahun 1573. Oleh yang demikian, ayahnya telah mengarahkan pembantunya untuk membawa Saizo lari ke bandar Iga Selatan yang bernama Bandar Nabari. Maka disitulah detik permulaan Saizo menjadi ninja Iga. Beliau telah dilatih oleh salah seorang ninja lagenda Iga iaitu Momochi Tanba yang bertangungjawab melatih beliau ninjutsu Iga Ryu.

Seperti Sasuke, Saizo juga terkenal dengan gelaranya yang tersendiri iaitu “ Kirigakure “ ( hidden mist ). Terdapat banyak sumber yang mengaitkan tentang bagaimana beliau mendapat gelaran tersebut. Antaranya disebabkan beliau dijumpai oleh Momochi Tanba dalam kepulan dan lindungan kabus. Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat gelaran tersebut diberikan disebabkan kebolehan Saizo mengunakan ilmu paranormal ninja ( genjutsu ) dengan memanipulasi air peluh atau cecair pada tubuhnya menjadi kabus untuk melarikan diri atau memperdaya musuh. Mengikut jejak pesaingnya Sasuke, Saizo juga tidak terkecuali menjadi pelindung utama tuannya Sanada Yukimura dalam setiap siri pertarungan dan peperangan.

Semasa Pengepungan Osaka pada musim panas pada tahun 1615, Saizo hampir berjaya menewaskan tentera perlindung Tokugawa Ieyasu dan serangan pedangnya juga berjaya menyentuh Tokugawa. Setelah Sanada Yukimura tewas dalam pertempuran tersebut, Saizo bertanggungjawab membantu anak Yukimura iaitu Sanada Yukimasa melarikan diri daripada ditangkap oleh tentera Tokugawa. Menurut Buku Sanada Sandaiki, Saizo digambarkan mempunyai fizikal yang menarik, beramput panjang dan lurus serta memiliki wajah yang tampan dan sedikit feminin. Kelebihan fizikalnya sering digunakan untuk menyamar sebagai wanita semasa kegiatan perisikan. Saizo digambarkan sebagai seorang ninja yang tenang, pendiam dan pemurah. Saizo juga mahir terkenal sebagai pemedang yang hebat dalam kumpulannya dan sering mengunakan pedang semasa bertempur.

– Anayama Kosuke (1569 – 1615 )

Beliau merupakan salah seorang daripada ahli Sanada Juuyushi yang paling veteran. Beliau merupakan bekas pegawai tentera Takeda Shingen sebelum berkhidmat untuk klan Sanada. Beliau dikatakan sebaya dengan Yukimura dan berkongsi banyak ciri – ciri fizikal yang sama dengan tuan barunya. Kosuke merupakan anak sulung kepada Anayama Nobumitsu yang juga pernah bekerja sebagai bawahan Takeda. Kosuke sering bertindak sebagai “ Kagemusha “ (pahlawan bayang) yang sering menyamar sebagai Sanada Yukimura untuk memperdayakan musuh.

Beliau juga merupakan seorang ahli pedang yang hebat seperti Saizo. Dalam pertempuran terakhir Musim Panas di Osaka, beliau bertindak sebagai Kagemusha yang menyamar sebagai Yukimura dan mengelirukan tentera Tokugawa. Apabila beliau mengalami kecederaan parah akibat daripada puluhan peluru yang menembusi badannya, Kosuke dikatakan telah menjerit kearah musuh dengan berkata “Saya akan menjadi Saemon-no-suke ( pelindung ) untuk Sanada Yukimura selamanya!!” Pada masa itulah, Kosuke membuka jalan Yukimura yang ingin menyerang Ieyasu dengan membunuh kesemua tentera pelindung Tokugawa sehingga beliau rebah dan mati dibawah kaki Tokugawa Ieyasu.

– Unno Rokuro (1571 – 1615 )

Rokuro atau nama sebenarnya Unno Rokurobei merupakan salah seorang ahli daripada Kumpulan Sanada Juuyushi (Sanada Ten Brave). Tidak banyak maklumat yang direkodkan mengenai beliau. Walau bagaimanapun, terdapat sumber yang mengatakan beliau merupakan pengiring Sanada Yukimura dalam sebarang urusan rasmi dan rahsia. Beliau juga dikatakan sebagai penyimpan rahsia dan pembantu peribadi Sanada Yukimura.

– Kakei Juzo (1573 – 1615)

Kakei Juzo juga dikenali sebagai Kakei Jubei merupakan salah seorang penembak tepat dalam kumpulan Sanada Juuyushi. Kemahiran beliau telah dikesan oleh Hachisuka Koroku dan beliau juga pernah menjadi orang bawahan Toyotomi Hideyoshi. Beliau menguasai Teppo Jutsu ( teknik mengendalikan senjata api dalam ninja) dan mahir menggunakan Tanegashima ( Istinggar / Senapang Kancing Sumbu ) dengan cara yang unik dan mempunyai purata ketepatan tembakan yang tinggi. Kehebatan menembaknya yang menakjubkan menyebabkan beliau digelar sebagai “ Si mata helang ”.

Selain bertindak sebagai penembak tepat, beliau juga terkenal sebagai penyoal siasat yang kejam dan sering menusukkan jarum keatas tentera Tokugawa yang disoal siasat. Setelah kuasa Toyotomi Hideyoshi jatuh akibat pengkhianat Tokugawa, beliau telah beralih arah dan bekerja dengan dengan Sanada Yukimura. Beliau kononnya meninggal dunia semasa konflik terakhir Kempen Osaka pada tahun 1615 dan dibunuh oleh tentera Tokugawa.

– Mochizuki Rokuro ( 1572 – 1615)

Merupakan salah seorang ninja Kouga selain Sasuke dalam kumpulan Sanada Juuyushi (Sanada Ten Braves). Merupakan salah seorang generasi terakhir puak Mochizuki ( puak yang mengasaskan Kouga Ryu / Ninja Kouga ). Menurut buku Sanada Sandaiki, Rokuro merupakan seorang ninja yang mengagumi keberanian Yukimura, dan beliau sanggup menghabiskan seluruh hidupnya mencari cara bagaimana untuk berkhidmat kepada idolanya Yukimura.

Beliau juga dianggap sebagai anggota utama dalam kumpulan itu, kerana dia mempunyai lebih banyak pengalaman bekerja dalam kumpalan tersebut. Rokuro terkenal dengan kemahirannya menguasai bahan api (Katon no Jutsu). Beliau bijak menghasilkan bom daripada serbuk peledak dan memerangkap musuh dengan perangkap yang dipasangkan bersama bahan letupan. Setelah Rokuro menyertai Yukimura, beliau dan Jinpachi diperintahkan untuk melindungi perkampungan dibawah jajahan Sanada dengan menyediakan perangkap bom untuk melindungi daripada musuh.

Semasa Konflik terakhir di Osaka, Rokuro memilih untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak musuh dengan menamatkan hidupnya dengan Tanto ( pedang pendek) miliknya sendiri.

– Nezu Jinpachi ( 1569 – 1615 )

Merupakan salah seorang ahli dalam Sanada Juuyushi dan sering dipasangkan bersama Mochizuki Rokuro semasa bertugas. Tidak banyak maklumat mengenai beliau berdasarkan Buku Sanada Sandaiki. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sumber mengatakan bahawa beliau berasal daripada keluarga Kosaka yang merupakan salah satu daripada keluarga ninja Kouga. Beliau digambarkan sebagai seorang pelaut yang berkulit gelap dan merupakan bekas ketua lanun. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti yang menunjukan kebenaran disebalik penyataan tersebut.

– Yuri Kamanosuke ( 1573 – 1615 )

Merupakan salah seorang pahlawan yang berkhidmat lama dengan keluarga Sanada sejak zaman Sanada Masayuki hingga menjadi ahli kumpulan Sanada Juuyushi dibawah Sanada Yukimura. Tidak banyak maklumat yang direkodkan mengenai beliau. Selain daripada kemahiran beliau mengunakan Kusarigama ( Sabit berantai ) sebagai senjata utama menghapuskan musuh. Berdasarkan sumber yang tidak sahih, beliau digambarkan sebagai ninja yang hauskan darah dan gemar melibatkan diri dalam pertempuran.

– Adik Beradik Miyoshi ( Miyoshi Seikai / Miyoshi Isa )

Kedua beradik ini yang terdiri daripada Miyoshi Seikai (abang) dan Miyoshi Isa (adik) yang mengabdikan diri kepada Sanada Yukimura dengan menganggotai Sanada Juuyushi. Mereka berdua merupakan seorang Nyuudou ( Sami Buddha ) yang taat beragama serta setia kepada tuannya Sanada Yukimura. Mereka dikatakan berasal daripada Keluarga Ogasawara yang telah dimusnahkan pada tahun 1500 oleh sekutu Oda Nobunaga. Mereka berdua mempunyai kemahiran bertempur secara fizikal yang tinggi sehingga Sarutobi Sasuke berjaya memujuk mereka berdua menyertai Sanada Juuyushi.

Mereka berdua mempunyai fizikal yang tinggi, besar dan tegap serta berkemahiran dalam Sumo. Semasa bertempur di medan perang, mereka kerap berada dibarisan hadapan. Mereka diletakan dalam formasi sedemikian kerana serangan fizikal mereka mampu menghancurkan tengkorak musuh. Namun, dari sudut formasi bertahan, mereka berdua diletakan dibarisan terakhir untuk mempertahankan kubu pertahanan.

Pada penghujung konflik musim panas di Osaka, mereka mengakhirkan riwayat hidup mereka dengan memenggal kepala mereka sendiri apabila sudah tidak mampu bertempur akibat kecederaan yang dialami. Menurut buku Sanada Sandaiki yang ditulis oleh Tatsukawa Bunko, mereka berdua merupakan salah seorang daripada anak – anak angkat Ishikawa Goemon yang terkenal sebagai Robin Hood Jepun yang gemar mencuri harta pembesar untuk membantu orang miskin.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply