Nietzsche: “Tuhan Sudah Mati!”

882
views

Nietzsche adalah amat terkenal dalam dunia falsafah dengan pemikirannya yang radikal tentang keberadaan dan kewujudan tuhan. Antara kata-kata beliau yang terkenal adalah ungkapan ‘Tuhan Sudah mati!’ (God is dead!) yang telah digunakan oleh beliau. Baris ini seringkali diulang oleh Nietzsche di dalam tulisan-tulisannya. Tetapi apakah yang dimaksudkan oleh Nietzsche dengan deklarasinya mengenai kematian tuhan?

Untuk memahami dengan lebih lanjut, kita harus melihat semula tulisan asal beliau di dalam karyanya yang popular, ‘The Gay science’ (1882):

“Tuhan sudah mati. Tuhan tetap mati. Dan kita telah membunuhnya. Bagaimanakah kita, pembunuh daripada semua pembunuh, menghibur diri kita sendiri? Yang paling suci dan paling perkasa dari semua yang pernah dimiliki dunia telah berdarah hingga mati di hujung pisau kita sendiri. Siapakah yang akan menyapukan darahnya dari kita? Dengan air apakah kita dapat menyucikan diri kita? Pesta-pesta penebusan apakah, permainan-permainan suci apakah yang perlu kita ciptakan? Bukankah kebesaran dari perbuatan ini terlalu besar bagi kita? Tidakkah seharusnya kita sendiri menjadi tuhan-tuhan semata-mata supaya layak akan hal itu [pembunuhan Tuhan]?”

(Teks asal: “God is dead. God remains dead. And we have killed him. How shall we comfort ourselves, the murderers of all murderers? What was holiest and mightiest of all that the world has yet owned has bled to death under our knives: who will wipe this blood off us? What water is there for us to clean ourselves? What festivals of atonement, what sacred games shall we have to invent? Is not the greatness of this deed too great for us? Must we ourselves not become gods simply to appear worthy of it?”)

Nietzsche merupakan seorang atheis yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Apa yang dimaksudkan oleh beliau bukanlah kematian tuhan secara literal, tetapi kematian ‘idea’ mengenai kewujudan tuhan.

Nietzsche sebenarnya sedang merujuk kepada kejatuhan agama Kristian sewaktu zaman pencerahan di Eropah. Pada zaman kegelapan di Eropah, adalah diketahui umum bahawa pihak gereja mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk mengawal kehidupan masyarakat sekeliling. Sebarang gerakan ilmu yang bertentangan dengan nilai yang dibawa oleh gereja akan menerima kecaman dan penindasan yang maha dasyat.

Namun segalanya berubah di zaman pencerahan. Gerakan-gerakan intelektual telah menerima sambutan ramai, golongan akademik telah disanjung tinggi dan yang paling penting institusi gereja semakin dipinggirkan. Sedikit demi sedikit individu muncul di dunia akademik yang menyoalkan kredibiliti institusi gereja. Falsafah baharu telah membuktikan bahawa kerajaan tidak lagi memerlukan institusi ketuhanan untuk membina sebuah kerajaan yang ‘sah’.

Disebabkan oleh keadaan ini, Nietzsche mempercayai bahawa kehadiran tuhan sudah tidak lagi membawa makna di dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu beliau dengan penuh berani mengatakan bahawa ‘Tuhan sudah mati!’.

Pada zaman pencerahan, Eropah tidak lagi memerlukan Tuhan sebagai sumber moraliti dan nilai di dalam kehidupan mereka; falsafah dan sains mampu memberikan mereka penjelasan buat segalanya. Penyebaran fahaman sekular di barat telah menyebabkan para filsuf untuk mempercayai bahawa manusia telah ‘membunuh’ tuhan melalui pergerakan revolusi sains yang diwujudkan oleh mereka.

Apa yang menarik perhatian ramai bukan sahaja deklarasi Nietzsche tentang kematian tuhan, tetapi juga kepada kesan yang Nietzsche mempercayai akan berlaku dengan kematian institusi agama. Walaupun beliau sendiri merupakan seorang atheis, Nietzsche menyatakan kerisauan beliau mengenai kejatuhan institusi agama. Menurut Nietzsche, akan berlakunya kerosakan moraliti dalam hidup masyarakat awam yang selari dengan kematian institusi agama. Kematian institusi agama akan membawa risiko bahaya yang sangat besar kerana perkara tersebut akan mengeluarkan sifat natural terburuk dalam manusia dan masyarakat besar.

Nietzsche mempercayai bahawa pembuangan sistem ketuhanan akan menyebabkan kehidupan kebanyakkan manusia menjadi ‘tidak lagi bermakna’ kerana mereka tidak mempunyai matlamat. Apakah matlamat hidup tanpa kewujudan tuhan? Manusia akan sedar kewujudan dirinya datang daripada sebuah origin yang hina dan kejadian alam semesta ini tidak berpusatkan kewujudan manusia semata-mata. Nietzsche menyatakan rasa takut beliau terhadap pemahaman dunia ini akan menimbulkan pesimisme, “kehendak kepada ketiadaan” yang bersifat antithetik terhadap falsafah kehidupan.

Nietzsche menyatakan ketakutan beliau terhadap fahaman nihilisme, iaitu sebuah fahaman yang meyakini bahawa kewujudan manusia di dunia ini tidak memiliki tujuan dan makna. Nihilisme berasal daripada perkataan latin yang bermaksud ‘tiada’ (nothing). Manusia akan menjadi sang penguasa dirinya sendiri tanpa kekangan daripada hukum-hukum agama.

Menurut beberapa ahli falsafah, pergerakan ideologi yang berlaku di Eropah pada abad ke-20 seperti kewujudan Komunisme, Nazisme, nasionalisme dan ideologi-ideologi yang lain telah wujud untuk memberi manusia sebuah ‘makna’ dan nilai dalam kehidupan mereka. Ini adalah sama dengan bagaimana agama Kristian pada awalnya telah memberi manusia sebuah makna kehidupan dengan mengaitkan mereka dengan tuhan dan dengan kepercayaan mengenai kewujudan syurga dan neraka.

Rujukan:

1) Hendricks, S. (August 12, 2016). “God Is Dead”: What Nietzsche Really Meant. Retrieved from https://bigthink.com/scotty-hendricks/what-nietzsche-really-meant-by-god-is-dead

2) Lattier, D. (April 12, 2016). What Did Nietzsche Mean by ‘God is Dead’?. Retrieved from https://www.intellectualtakeout.org/blog/what-did-nietzsche-mean-god-dead

3) McConnell, M. W. (1993). God is dead and we have killed him: Freedom of religion in the post-modern age. Brigham Young University Law Review 1993(1), 163-188.

4) Nietzsche, F. (2001). The Gay Science. UK: Cambridge Press.