PEPATAH Melayu lama ada menyebut, makan boleh sebarang makan tapi cakap jangan sebarang cakap yang sudah tentu dari pengertiannya sahaja sudah bermaksud apabila kita hendak berbicara mengenai sesuatu tidak kira ianya dalam situasi yang serius mahupun berjenaka harus berhati-hati meluah kata.  Kerana andai ianya tidak bersesuaian maka buruk padahnya.

Begitulah juga dalam media sosial apabila di dalam dua hari ini ada seorang influencer yang terkenal dengan jumlah pengikut melebihi satu juta orang di dalam satu video telah mempersenda pakaian tradisi kaum Iban iaitu “Ngepan Iban” atau “Ngepan Indu Iban” dengan menyamakannya seperti alas meja 70an, kain buruk, langsir lama yang sudah tentu amat perit untuk kaum Iban malahan rakyat Sarawak terima kerana ia jelas menghina pakaian tradisi yang menjadi warisan dan kebanggaan kaum di Sarawak.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Sebelum saya menghentam dengan lebih tajam lagi ingin saya memberi ruang informasi untuk semua kerana tampak gayanya masih ramai yang tidak mengetahui apa itu “Ngepan Iban”.  Di Sarawak, “Ngepan Iban” adalah pakaian tradisi zaman berzaman bagi kaum wanita di kalangan kaum Iban.

Dan perlulah diketahui “Ngepan Iban” itu sendiri bukanlah hanya satu sahaja persalinan sebaliknya dek kerana Kaum Iban mempunyai sub etniknya tersendiri maka setiap pemakaian busana tradisional ini biar nampak serupa tetapi masih ada perbezaan yang hanya diketahui oleh kaum Iban sendiri.  Oleh kerana ia terlalu istimewa maka busana tradisional ini bukanlah dipakaikan sehari-hari sebaliknya pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika majlis perkahwinan, adat-istiadat menyambut orang besar, perayaan Gawai serta banyak lagi.

Dan tidak lengkap penceritaan mengenai busana tradisional wanita kaum Iban andaikata tidak mengaitkannya dengan sejarah dahulukala Kaum Iban.  Pemakaian Ngepan Iban menurut sejarahnya adalah sinonim dengan ikon wanita legenda kaum Iban iaitu yang bernama “Kumang”.  Kumang di dalam sejarah Kaum Iban adalah seorang wanita Iban yang sangat cantik rupa parasnya dan cukup sempurna kerana beliau pandai di dalam serba-serbi seperti bertenun, membuat anyaman, bermasak, mengurus rumahtangga, berhuma serta banyak lagi.  Kerana kesempurnaan itulah Kumang menjadi dambaan setiap jejaka Iban pada suatu waktu dahulu.  Begitulah naratif ringkas Ngepan Iban yang begitu kaya di dalam penceritaan sejarah turun temurun Kaum Iban.

Di kalangan kaum Iban, pemakaian Ngepan Iban bukanlah secara sembrono sebaliknya harus mengikut tatacara tersendiri dan dijalankan mengikut tertib.  Yang membantu pemakaian “Ngepan Iban” kebiasaannya adalah wanita-wanita kaum Iban yang berpengalaman sahaja kerana ia mempunyai banyak pantang larang. Andai tidak betul tertibnya adalah dipercayai ia akan membawa maksud yang berbeza dan boleh memudaratkan kepada si pemakai dan keluarganya.  Disini sahaja kita sudah mampu bayangkan betapa tingginya busana tradisi kaum Iban yang disebut jelek oleh si influencer tersebut.

Keindahan dan keunikan pada busana tradisional wanita Iban sangatlah istimewa kerana ia diperindahkan dengan pemakaian kain tenun yang mempunyai corak-corak yang punya makna tersendiri.  Aksesorinya pula bukanlah calang-calang pembuatannya malah akan dipakaikan daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki yang mana setiap satunya mempunyai perincian dan maksud yang tertentu.

  1. “Sugu tinggi” atau “Tall Combs” ialah perhiasan yang diletakkan dibahagian kepala yang digunakan ketika menyambut sesuatu perayaan besar. Ia merupakan perhiasan yang berwarna perak yang mana ia akan memberikan keunikan dan kilauan yang menarik semasa disanggulkan di kepala.
  2. “Sugu tinggi” ialah kraftangan corak dan rekaan yang bertemakan bunga-bungaan. Juga diperbuat daripada perak.
  3. “Sugu pupung” ialah sikat yang menyokong “sugu tinggi” supaya ia tidak longgar atau terjatuh apabila digayakan di kepala.
  4. “Ensuga Tisir” ialah perhiasan yang diletakkan pada bahagian “sugu tinggi” yang berbentuk bunga-bungaan dan diperbuat daripada perak.
  5. “Lampit” merupakan tali pinggang yang besar yakni digunakan pada bahagian pinggang.
  6. “Tumpa” ialah sejenis perhiasan gelang tembaga.
  7. “Tumpa Rajang” ialah sejenis perhiasan gelang yang diperbuat daripada “tekuyung” atau siput tasik.
  8. “Sementing ringgit” atau “gobeng” merupakan lingkaran tali pinggang yang berjuraian ibarat tali pinggang syiling perak. Setiap syiling tersebut dicantum antara satu sama lain.
  9. “Kunkung kaki” atau “gelang kaki gerunung” yang diletakkan dibahagian kaki merupakan aksesori yang akan berbunyi mengikut rentak pergerakan kaki bila berjalan atau menari.

Perincian aksesori Ngepan Iban ini sahaja jika diamati sebenar-benarnya sudah mampu kita congak ianya bukanlah biasa-biasa kerana diperbuat daripada perak malah ada yang dari siput tasik pula.  Harganya sudah mencecah ribuan ringgit!

Selesai aksesori, mari kita menyelami pula pemakaian kain sarung yang dikenali dengan nama “Bidang”.  Bidang adalah kain yang agak sempit tetapi memanjang sehingga ke paras lutut.  Dilihat pada mata kasar, bidang seolah-olah sehelai kain tetapi sebenarnya adalah dua helai kain yang dicamtunkan menjadi satu.  Setiap geomatrik pada bidang mempunyai maksud tersendiri sesuai dengan upacara yang hendak diraikan seperti tema merah bata dan kekuning-kuningan.

Tidak kurang juga ada sesetengah corak pada bidang bermotifkan tradisional yang ditenun dengan menggunakan benang emas atau perak.  Perlulah diingat suatu waktu dahulu ada sesetengah penenun bukan hanya sembarangan menenun motif sebaliknya mendapat inspirasi daripada mimpi dan sebagainya kerana mempunyai maksud yang tertentu kepada si pemakai.  Dengan keunikan pembuatan kepada bidang ini, kita sudah dapat fikirkan betapa ianya begitu tinggi nilainya dan bagi si influencer itu pula bidang inilah yang disamakannya sebagai kain alas meja ala 70an! Kurang ajar!

Kaum Iban adalah satu kaum yang sentiasa memelihara sopan santun dan ketinggian budi masyarakatnya.  Dan ianya juga terletak pada busana tradisional kaum wanita mereka.  “Marek Empang” iaitu hiasan dada yang diperbuat daripada manik dan bebola kain adalah antara sebahagian daripada persalinan yang dikenakakan dibahagian dada si pemakai.  Tujuannya adalah untuk menutup bahagian baju kecil atau kain kemban agar nampak sopan dipandang mata.  Dengan keunikan pada warna manik itu sendiri membuatkan “marek empang” begitu memukau mata.

Kain Selempang atau Bedong adalah merujuk kepada sehelai selendang yang Panjang pada Ngepan Iban.  Ianya dihiasi dengan pelbagai corak tenunan yang halus dengan motif tradisional kaum Iban.  Panjangnya kain selempang sebenarnya hampir sama dengan panjang sirat.  Dan pemakaiannya bukan boleh dibuat sesukahati sebaliknya mempunyai tertib iaitu diselempangkan di badan dari atas seperti pangkahan di dada mengikut upacara rasmi yang hendak dihadiri.

Dengan pencerahan setiap satu busana tradisional kaum Iban iaitu Ngepan Iban ini, setiap pembaca sudah memahami betapa tinggi nilainya Ngepan Iban di kalangan masyarakat Iban.  Menghina busana tradisi yang amat dihormati dan dipandang tinggi sumber warisan satu kaum dengan jolokan kain alas meja, kain buruk dan sebagainya langsung tidak boleh diterima.  Si influencer yang berpelajaran tinggi malahan berkahwin dengan seorang rakyat Korea yang kita ketahui sebagai antara negara yang amat menyanjung tinggi budaya dan tradisinya seharusnya sedar akan betapa sensitive untuk memperkotak-katikkan tradisi dan warisan kaum lain.

“Delete” video dalam istagram dan kemudian memohon maaf itu senang, lagi-lagi hanya di dalam muatnaik status tetapi nasi sudah menjadi bubur wahai influencer.  Dengan laporan polis yang bertali arus daripada NGO Dayak dan individu, sudah tentu anda tahu akan akibatnya dari segi undang-undang Malaysia.  Itu undang-undang sivil bagaimana dengan hukum adat? Ini kerana setiap etnik di Sarawak juga mempunyai hukum adat yang masih dilestarikan sehingga ke hari ini dan bagi Kaum Iban ia dikenali sebagai Hukum Tunggu.

Oleh kerana betapa Ngepan Iban yang merupakan pakaian tradisi itu adalah satu pakaian yang dihormati dan mempunyai kelas tersendiri di dalam masyarakat Iban maka ia tidak boleh diperlekehkan atau dihina.  Di dalam Hukum Tunggu, setiap perbuatan itu akan dikenakan “bayar hukum malu”.  Denda yang dibayar pula terpulang kepada musyawarah tuai-tuai iban apakah bentuknya samada berbentuk barangan tradisi kaum Iban dan sebagainya. Hanya setelah “bayar hukum malu” itu diberikan kepada tuai-tuai rumah baharulah permohonan maaf itu boleh diterima.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Jadi tidak semudah itu hanya dengan air liur untuk memohon maaf sebaliknya ia akan disertakan dengan apa yang dipanggil “bayar hukum malu”.  Terpulang kepada tuai-tuai Kaum Iban untuk bermusyawarah akan denda yang akan dikenakan kelak.  Hanya denda itu dibayar baharulah permohonan maaf itu akan diterima.

Jadi jangan sesekali memandang enteng akan apa yang telah dan akan dilakukan lagi-lagi melibatkan budaya, tradisi dan warisan kaum-kaum di Sarawak.  Lain kali biarlah urat saraf otak itu bersambung dahulu sebelum mengeluar kata-kata dan jangan hanya memikirkan follower serta mengejar populariti semata-mata.  Hidup di dalam masyarakat majmuk belajarlah untuk mengetahui dan menghormati budaya dan tradisi masyarakat lain di Malaysia. Andai tidak mampu berbuat sedemikian, maka kembalilah hidup di dalam gua, duduk sendiri-sendiri..simple!

Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. Faham!

-HB-

#kameksayangSarawak

#solidaritingepanIban

Nota: Terima kasih Myronea Dency, indu Iban yang membenarkan penulis menggunakan gambar peribadinya sebagai teaser artikel. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.