“Pasokan Polis Di-Raja Malaysia berasa megah di-atas keberanian luar biasa yang telah Enche pamirkan di-kala sa-kumpulan kechil eskot di-mana Enche ada-lah sa-orang menganggotainya pada 29 APRIL 1972 di-Batu 51, Jalan Ulu Oya.

Semangat keperwiraan Enche bukan sahaja telah menyelamatkan nyawa pekerja-pekerja JKR dan rakan-rakan seperjuangan Enche bahkan juga telah berjaya mengusir musoh-musoh tersebut dari kawasan pertemporan dan seterus-nya membunoh dan menchederakan beberapa orang daripada mereka. Sebilangan senjata-senjata dan dokumen-dokumen juga dapat diperolehi.

Sesunggoh-nya keberanian dan semangat keperwiraan Enche yang tidak ada tolok banding- nya itu akan tetap terchatit di-dalm lambaran sejarah Polis Di-Raja Malaysia”

IGP- Tun Muhammad Salleh bin Ismail, 1972

Ini merupakan satu surat penghargaan yang telah diterima oleh seorang bujang berani dari kaum Kelabit berasal dari Pa Lungan, Bario bernama Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu pada tahun 1972.  Surat ini dititipkan kepada beliau oleh IGP pada masa itu iaitu Tun Muhammad Salleh bin Ismail sebagai tanda penghargaan atas jasa beliau ketika satu operasi pada tanggal 29 April 1972. 

Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu merupakan salah seorang daripada enam orang anak Sarawak yang menerima darjah tertinggi Kerajaan Malaysia iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).  Satu pingat terhormat yang bukanlah sembarangan individu boleh menerimanya kerana hanya yang terbukti berani dan gagah akan diberikan penghormatan sedemikian rupa dari Yang Dipertuan Agong Malaysia.  Beliau menerima pingat tersebut pada tanggal 6hb Julai 1972 selepas beliau menunjukkan keberanian menentang satu gerombolan k0munis seramai 100 orang di Jalan Ulu Oya, Sibu pada tanggal 29hb April 1972.

Mengimbau kisah keperwiraannya pada tanggal 29 April 1972 itu, Ngalinuh yang berpangkat Sarjan pada masa itu diarahkan untuk mengetuai satu skuad Pasukan Polis Hutan Sarawak untuk menyertai konvoi tiga buah lori milik Jabatan Kerja Raya Sarawak yang sarat dengan muatan bahan letupan dinamit bagi tujuan kerja-kerja letupan di kuari Mubal yang terletak di Batu 54, Jalan Ulu Oya, Sibu. 

Oleh kerana ia melibatkan bahan letupan maka adalah satu prosedur biasa bagi para anggota keselamatan untuk bersama-sama menyertai konvoi kerajaan telahan lagi pada masa itu k0munis masih lagi bermaharajalela di Sarawak.  Bahan letupan itu sudah tentu berharga bagi k0munis yang sering melakukan serang hendap lantas mencuri segala bekalan senjata dan bahan letupan yang boleh mereka gunakan kelak.

Konvoi Ngalinuh dan JKR pada hari itu bertolak kira-kira jam 1 petang dan tatkala baharu menjengah 3/4 perjalanan menghampiri destinasi iaitu padajam 2 petang itulah mereka diserang hendap oleh k0munis.  Serangan hendap dengan peluru yang bertali arus mensasarkan konvoi mereka telah menyebabkan Ngalinuh dan skuadnya menggunakan apa sahaja perlindungan yang ada sambil memastikan penjawat awam dari JKR dijaga dan dalam keadaan selamat. 

Setelah itu baharulah Ngalinuh dan skuadnya mula membalas tembakan yang diamati datangnya dari arah bukit bersebelahan jalan tersebut.  Tidak mahu membuang simpanan peluru yang ada, Ngalinuh bersama pembantunya iaitu Koperal Itim telah mengatur strategi bagi memastikan mereka boleh mendekati kawasan musuh. Taktiknya adalah setiap pergerakan Ngalinuh akan dilindungi oleh Koperal Itim dan begitulah sebaliknya sehinggalah kedua-duanya berjaya menghampiri kawasan musuh tanpa mampu dijejaki. 

Diceritakan pihak k0munis telah cuba menyekat kemaraan Ngalinuh dan Itim dengan seupaya mereka namun pertempuran selama hampir empat jam itu langsung tidak boleh meredakan semangat mereka.  Biar muntahan peluru menyasarkan mereka, berpantang mati sebelum ajal Ngalinuh dan Itim tetap mara.  Sekitar jam 6 petang pula, skuad Ngalinuh disertai oleh satu pasukan polis hutan dengan jumlah 20 orang anggota yang mendengar bunyi bising tembakan ketika membuat rondaan di kawasan tersebut. 

Dengan pasukan yang semakin besar itulah, Ngalinuh dan pasukan polis hutan terus-terusan memerangi k0munis biarpun bilangan k0munis lebih ramai daripada mereka.  Melihat bilangan pasukan semakin besar menyebabkan k0munis menukar strategi serangan iaitu membahagikan pasukannya menjadi tiga kumpulan kecil.  Dengan penukaran strategi itu juga menyaksikan amukan peluru k0munis datang dari segenap arah.  Dan hanya pada masa itulah Ngalinuh cedera ditembak oleh penembak tepat k0munis yang bersembunyi tanpa disedari di sebalik bukit kecil.  Ngalinuh cedera terkena tembakan di bahagian paha kanan.

Cedera dan menanggung kesakitan yang sudah tentu memeritkan bukanlah satu hal yang besar bagi Ngalinuh kerana semangat perjuangannya tetap membara.  Untuk mengangkat bendera putih tanda menyerah kalah jauh sekali di dalam diari setiap anggota keselamatan lantas k0munis durjana tetap diperangi sebaik mungkin.  Dengan taktik yang bijak mereka berjaya menangkap beberapa orang k0munis hidup-hidup dan ada yang berjaya dibunuh.  Mungkin k0munis sudah berputus asa akhirnya menyaksikan mereka sendiri berundur dan kabur dari lokasi serangan hendap yang mereka reka sendiri. 

Menjelang malam sementara menunggu bantuan sampai dari Sibu, Ngalinuh dan pasukan polis hutan terus bertahan di lokasi serangan.  Sebarang kemungkinan serangan berulang mungkin terjadi sekiranya mereka tidak siaga.  Letih, lapar malahan bekalan peluru juga semakin berkurangan menjadikan mereka sasaran yang terlalu mudah sekiranya ada serangan berulang.  Biar ada yang cedera, tugasan mereka untuk menjaga kenderaan yang dipenuhi bahan letupan yang berharga itu tetap diteruskan. Keesokan harinya baharulah bantuan sampai dan Ngalinuh sendiri mengetuai penyerahan k0munis yang berjaya ditangkap dan mayat k0munis kepada anggota tentera.

Menurut sumber risikan dipercayai serangan hendap pada tanggal 29hb April 1972 itu sudahpun diatur dua tiga hari sebelum kejadian.  Difahamkan rahsia sulit jadual laluan dan perjalanan konvoi JKR yang sarat dengan bahan letupan berharga itu sudah sampai ke pengetahuan k0munis melalui “orang dalaman” JKR sendiri.  Suatu waktu dahulu bukanlah satu rahsia, mata dan telinga k0munis itu ada di mana-mana sahaja dan inilah yang amat merisaukan anggota keselamatan kita. 

Disamping itu serangan hendap pada konvoi JKR itu sudah tentu adalah untuk mencuri bekalan bahan letupan sehingga menyebabkan k0munis hanya menyasarkan tembakan ke arah anggota keselamatan tetapi tidak pada kenderaan.  Taktik k0munis adalah membunuh anggota keselamatan seberapa ramai yang mereka boleh agar senang mereka mengambil bahan letupan itu untuk kegunaan mereka.  Namun sayangnya yang mereka depani adalah satu pasukan polis hutan Sarawak yang berjuang sehingga ke titisan terakhir menyebabkan cita-cita mereka langsung tidak kesampaian. 

Atas dedikasi dan keberanian yang ditunjukkan oleh Ngalinuh Bala pada tanggal 1 Julai 1983, beliau dinaikkan pangkat menjadi Sergeant Major dan seterusnya 1 Januari 1999 sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Sub-Inspector sehinggalah beliau bersara daripada dunia kepolisian pada tahun 2003. 

Inilah satu pengkisahan mengenai keberanian yang ditunjukkan oleh seorang anak Kelabit berasal dari Bario yang merupakan penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa.  Jasa dan pengorbanannya dilupa jangan dan sejarahnya turut jangan dilenyapkan buat pengetahuan kita semua.  Individu seperti Ngalinuh bergalang nyawa untuk memastikan keamanan yang kita kecapi sekarang. 

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!
#HariMalaysia16September

RUJUKAN:

  1. New Sarawak Tribune, 5 August 2018 by James Alexander Ritchie – Two Sarawak ‘Braveheart’ Who Took On Army of 100 CTs. https://www.newsarawaktribune.com.my/two-sarawak-bravehearts-who-took-on-an-army-of-100-cts/
  2. Borneo Post, 26 September 2018 – Kelabits Salute, Honour Living SP Hero. https://www.theborneopost.com/2018/09/26/kelabits-salute-honour-living-sp-hero/
  3. Utusan 10 Januari 2008 – Wira-wira Polis Yang Tidak Dilupakan. https://www.utusan.com.my/mega/rona/wira-wira-polis-tidak-dilupakan-1.293009
  4. Perwira-perwira Negara Yang Dilupakan. http://themalaysianpatriot.blogspot.com/2018/03/perwira-perwira-negara-yang-dilupakan.html
  5.  Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1972 (PDF). http://www.istiadat.gov.my/v8/images/stories/1972.pdf

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.